Rekaan jubin dunia Islam


Oleh Ros Mahwati Ahmad Zakaria Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

Seni bina dunia Islam adalah antara seni bina yang paling berwarna warni dalam tamadun manusia. Ia juga mempunyai pelbagai rekaan motif hiasan yang digunakan sebagai hiasan permukaan bangunan ataupun hiasan dalaman.

Salah satu bahan yang digunakan untuk memberikan warna dan corak hiasan ke atas seni bina Islam ialah jubin.

Menurut Kamus Dewan, jubin adalah kepingan tanah liat (biasanya berbentuk segi empat) yang dibakar dan digunakan untuk menutupi permukaan dinding dan lantai.

Penggunaan jubin dalam dunia Islam bermula kira-kira pada abad ke-9 Masihi/ abad ke-3 Hijrah.

Bermula dari abad itu, jubin merupakan pilihan utama para pemerintah dan arkitek Islam dalam rekaan seni bina mereka. Jubin dunia Islam yang awal dikenali kerana cirinya yang unik iaitu warna yang terang seperti biru firus dan biru kobalt.

Jubin awal juga tidak mempunyai motif atau corak hiasan berbentuk figura. Namun begitu, lama kelamaan, corak figura mula digunakan di atas rekaan jubin.

Kebanyakan bentuk figura yang digunakan dalam bentuk cerita yang berkait tentang kehidupan golongan bangsawan seperti situasi memburu, berkelah di taman ataupun gambar haiwan yang dimiliki atau melambangkan golongan bangsawan seperti kuda atau burung merak.

Antara motif hiasan jubin yang menjadi pilihan para pemerintah dan arkitek Islam ialah motif bunga, geometri dan kaligrafi. Motif hiasan ini diperbuat dengan menggunakan teknik acuan, lukisan dan cantuman.

Teknik acuan biasanya digunakan bagi motif timbul dan tebuk seperti arabesque dan kaligrafi. Jubin yang direka dengan motif berlubang atau tebukan adalah bagi tujuan pencahayaan dan pengudaraan.

Ia juga bagi memudahkan penghuni di dalam sesebuah istana atau kediaman melihat tetamu mereka tanpa disedari oleh para tetamu. Ini kebanyakannya digunakan bagi ruang yang dikhaskan bagi kaum wanita.

Teknik lukisan adalah seperti teknik seramik Iznik yang dibincangkan sebelum ini. Bagi teknik cantuman, ia lebih terkenal dan digunakan di Iran. Dalam teknik ini jubin berwarna monokrom seperti biru firus, hijau, merah dan putih yang kemudiannya akan dipotong dan dicantumkan menjadi satu lagi hasil kreatif seni jubin dunia Islam.

Susunan yang sering digunakan melambangkan taman bunga berwarna-warni berlatarbelakangkan warna biru yang menjadi simbol kepada langit.

Teknik potong dan cantum ini juga dikenali sebagai teknik mozek yang merujuk kepada kepingan kecik yang telah dipotong dan disusun semula.

Selain segi empat, jubin dunia Islam juga boleh didapati dalam potongan bentuk bintang pecah enam atau lapan, heksagon dan bulat.

Jubin bentuk ini selalunya digunakan sebagai hiasan tengah. Ia merupakan titik fokus kepada motif hiasan yang digunakan di sekelilinginya.

Dalam dunia Islam, terdapat tiga buah kerajaan yang menggunakan jubin secara meluas dalam seni binanya. Kerajaan Islam tersebut ialah Uthmaniyah di Turki, kerajaan Islam di Iran (terdapat beberapa kerajaan Islam yang besar di Iran seperti Seljuk dan Safavid) dan akhir sekali kerajaan Islam Timurid di Asia Tengah.

Antara seni bina Islam terkenal yang menggunakan jubin dalam ketiga-tiga kerajaan Islam ini ialah Masjid Biru di Turki, Masjid Imam di Iran dan Kompleks Makam Bibi Khanum di Uzbekistan.

Keindahan jubin dunia Islam dengan warna yang terang dan motif hiasan yang halus pada seni bina Islam turut dipamerkan dalam lukisan miniatur yang berasal dari kedua-dua buah kerajaan Islam tersebut.

Artifak jubin dari Dunia Islam dipamerkan di dalam galeri seramik Muzium Kesenian Islam Malaysia

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: