Archive for Disember 2011

Sahkah niat zakat campur dengan bebas cukai

ADAKAH salah andai saya meniatkan zakat pada akhir tahun ini untuk mendapatkan faedah dunia yang lain. Misalnya memperolehi rebat ke atas cukai pendapatan, mendapat hadiah atau cenderamata pembayaran daripada pihak institusi zakat dan sebagainya?

JAWAPAN:

Terima kasih kerana mengemukakan persoalan di atas. Tidak dapat dinafikan bahawa, sememangnya pada setiap tahun ada dua bulan yang menjadi ‘bulan puncak’ dalam kutipan zakat, iaitu pada bulan Ramadan dan juga bulan Disember.

Bulan Ramadan menjadi pilihan para pembayar zakat, justeru ramai orang ingin merebut pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang telah disediakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang bersedekah dan berzakat pada bulan Ramadan.

Bulan Disember pula menjadi rebutan pembayar zakat kerana ia adalah waktu yang sesuai bagi menunaikan zakat dan memperolehi rebat atau pelarasan ke atas cukai pendapatan seseorang. Sebabnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya menerima pembayaran zakat yang dilakukan pada tahun semasa untuk rebat cukai pendapatan pada tahun berkenaan.

Seandainya seseorang terlewat menunaikan zakatnya sehingga masuk tahun hadapan (katakanlah 1 Januari 2012), maka ia sudah tidak boleh direbat lagi ke atas cukai pendapatan bagi tahun 2011.

Petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib (zakat) dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu”.

Dalam hal niat pula, sudah semestinya seseorang itu mestilah menjaga niat asalnya dalam berzakat hanya semata-mata sebagai memenuhi ibadah wajib lagi fardu kepada Allah SWT.

Apabila seseorang melakukan ibadah tetapi demi maksud atau atas niat yang lain daripada Allah SWT, hakikatnya dia telah meletakkan sesuatu yang lain lebih besar daripada Allah SWT. Sedangkan, perbuatan itu adalah ibadah. Hal ini pastilah menyalahi perintah agama.

Di dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari daripada amirul mukminin Saiyidina Umar al-Khattab r.a, Nabi Muhammad SAW pernah menegaskan: Sesungguhnya setiap amal perbuatan tergantung pada niat; dan setiap orang akan mendapat sesuai dengan apa yang dia niatkan.

Oleh itu, seandainya seseorang membayar zakat demi mendapatkan rebat cukainya semata-mata, maka hanya itu sahajalah dia akan memperolehinya. Sedangkan, sepatutnya dia juga turut memperolehi pahala yang bakal dibalas syurga di akhirat kelak. Inilah mafhum kepada hadis di atas.

Namun begitu, fuqaha memang ada membicarakan perihal niat dalam beramal. Di sisi Imam al-Ghazali menyatakan: “Jika seseorang melakukan amalan dan jika niat atau tujuan keduniaannya lebih menonjol, maka rosaklah pahala amal itu. Jika niatnya jelas untuk ibadah (ikhlas), maka amal itu diterima. Jika bercampur niat keduniaan dan niat ibadah dalam sesuatu amal, maka ia tidak memperolehi pahala”.

Pada sisi Imam Abu Ja’afar at-Tobari pula: “Ia dilihat kepada permulaan ibadahnya atau amalnya. Jika pada permulaan amal ia niatkan ikhlas kerana Allah, maka amal itu tidak dirosakkan dengan percampuran niat selepas itu kerana niat dilihat pada permulaannya”. (Fath al-Bari, cetakan al-Ahram Mesir, tahqiq Syeikh Sayyid Saqr Jilid 2/16)

Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa, sesuatu amalan itu hendaklah dilakukan dengan niat hanya semata-mata kepada Allah, khususnya pada awal perbuatannya.

Rebat cukai

Kemudian, jika ada niat sampingan yang lain – misalnya mendapat hadiah atau rebat cukai – maka ia hendaklah dikemudiankan. Berdasarkan pandangan ulama, ia tidak akan merosakkan amalan tersebut, melainkan jika seseorang itu lebih mengutamakan niat sampingan berbanding niat ibadah kepada Allah SWT.

Hal ini disamakan seperti seseorang yang mengamalkan puasa sunat dan dalam masa yang sama, mereka berniat atau berhajat mendapatkan kesihatan yang baik dan dapat menurunkan berat badannya.

Maka, selagi mana orang berkenaan mendahulukan Allah SWT, insya-Allah dia akan mendapat pahala di samping beroleh faedah dunia, yakni kesihatan yang baik dan badan yang ramping.

Walau bagaimanapun, hendaklah difahami bahawa di sisi agama Islam, zakat adalah amalan yang dikategorikan sebagai hukum taklifi. Ia adalah fardu dan wajib.

Amalan fardu lagi wajib ini, pengertiannya menurut syariah, apabila menunaikannya mendapat pahala dan jika meninggalkannya mendapat dosa.

Maka, sesiapa sahaja yang menunaikan zakat, sama ada atas niat mahu mendapatkan rebat cukai atau apa-apa sahaja, hakikatnya dia masih tertakluk kepada hukum asal zakat – yakni berpahala mengerjakannya dan berdosa meninggalkannya.

Namun, sama ada benar-benar mendapat pahala atau tidak, ia adalah urusan Allah SWT. Apa yang penting, jika ibadah zakat ditunaikan berbetulan dengan syarat dan rukunnya, ia tetap sah dan mudah-mudahan ia berpahala.

Oleh itu, adalah lebih molek sekiranya kita mengikhlaskan niatnya semata-mata kerana Allah. Sama ada terpaksa atau rela, ia adalah kewajipan kita. Maka, menunaikannya dengan niat sepenuh hati mentaati hukum dan perintah Allah SWT adalah lebih baik dan dipandang terpuji lagi mulia di sisi Allah SWT.

Seorang fuqaha pernah mengungkapkan: “Tiada siapa yang boleh memberitahuku sama ada semua amalan itu diterima pada timbangan amalanku, dan adakah ia diterima di sisi Tuhanku? Allah telah berfirman (yang bermaksud): Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa. (al-Maidah: 27)

Kesimpulannya, utamakan berzakat kerana mentaati perintah Allah, kemudian rebutlah segala manfaat sampingan yang ditawarkan.

Insya-Allah, kita akan beroleh pahala dan amalan itu sah di sisi Allah SWT. Wallahu a’lam.

Hukum sambut Tahun Baru Masihi

HUKUM MENGUCAPKAN SELAMAT HARI NATAL KEPADA NON-MUSLIM &
HUKUM MENCETAK KAD HARI RAYA KRISMAS

Nama penanya : Yasir (dari Jerman)
Nama Mufti yang menjawab : الشيخ الدكتور مصطفى الزرقا _ رحمه الله.ـ (Syeikh Dr. Mustafa Zarqa)
Soalan
: Diharap dapat memberi penjalasan hukum syara’terhadap perkara-perkara berikut :
1) Ucapan Selamat Hari Natal/Krismas dan Selamat Tahun Baru
2) Mencetak Kad Hari Krismas, Kad Selamat Tahun Baru dan Kad Harijadi peribadi
3) Perniagaan menjual kad-kad yang disebutkan tadi
جزاكم الله عنا الخير الجزيل

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله
Mengucapkan tahniah/selamat hari raya Krismas kepada kenalan Kristian yang merayakan hari Kelahiran Al-Masih – عليه الصّلاة والسلام – pada pendapat saya termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Sesungguhnya Islam tidak melarang kita daripada berbuat baik seumpama ini terhadap mereka lebih-lebih lagi Isa Al-Masih itu dalam akidah Islam kita, beliau adalah salah seorang rasul Allah, termasuk dalam golongan Ulul-‘Azmi. Beliau juga dimuliakan dalam Islam, akan tetapi mereka (kaum Kristian) berlebih-lebihan dalam mengagungkan mereka dan beriktikad bahawa Isa itu adalah tuhan, Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka perkatakan.

Sesiapa yang keliru, dengan mengatakan sambutan hari kelahiran Isa ini adalah perayaan mereka (spt Aidilfitri dan aidil Adha), maka ia adalah haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang ketuhanan Isa. Orang yang beriktiqad macam ini adalah salah. Mujamalah ini tidak ada kaitan dengan perincian aqidah mereka terhadap Nabi Isa dan sikap keterlaluan mereka dalam aqidah mereka.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad –  صلّى الله عليه وسلم – tatkala baginda صلّى الله عليه وسلم bersama-sama sahabat, lalu satu jenazah Yahudi, baginda صلّى الله عليه وسلم lantas berdiri. Berdiri Rasulullah صلّى الله عليه وسلم itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut (yakni bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut)

Orang-orang Islam dituntut menzahirkan kebaikan dan kesederhanaan Islam kepada non-muslim, tidak boleh seorang pemimpin Islam paksa rakyatnya yang non-muslim atau ahli zimminya supaya memeluk Islam. bahkan, hendaklah bertasamuh (toleransi) dengan mereka dan biarkan mereka dengan agama mereka.

Tambahan lagi,  orang Islam di serata alam sekarang ini dalam keadaan lemah, berbanding bangsa-bangsa lain, negara-negara besar membuat konspirasi ke atas negara muslim dan menuduh mereka sebagai pengganas …..tugas utama muslim sekarang ialah membersihkan gambaran negara mereka yang telah diletakkan oleh negara Barat.

Lebih-lebih lagi, pada hari raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha, mereka sering dikunjungi oleh sahabat-handai yang beragama Kristian bagi meraikan dan mengucapkan selamat hari raya. Jika pada hari raya mereka (Kristian), orang-orang Islam tidak pula menziarahi mereka, maka mungkin menjadi tanggapan bahawa benarlah apa yang dituduh ke atas Islam selama ini, dan juga orang-orang Islam tidak bersedia untuk bercampur dan bergaul dengan mereka.

Hukum yang disebut tentang hari raya kelahiran Isa (Krismas), adalah sama juga dengan hukum perayaan menyambut tahun baru kerana ianya tiada kaitan dengan aqidah. Ia sekadar permulaan sejarah (tarikh) sahaja. Para sahabat, tatkala sayyedina Omar – رضي الله عنه  – mengumpulkan mereka untuk berbincang bagi menentukan peristiwa manakah yang patut diambil bagi menetapkan permulaan tahun hijrah, mereka mengetepikan pendapat-pendapat yang bergantung kepada tarikh-tarikh Rom atau tarikh Yahudi. Jika sekiranya peraka ini haram, sudah tentu mereka tidak mencadangkannya sedari awal lagi.

Apabila kita telah mengetahui hukum syara’ tentang mengucapkan tahniah (mengucapkan selamat hari raya), maka secara tidak langsung kita juga tahu hukum mencetak dan meniagakan kad-kad tersebut (kad hari raya Krismas sebagai contoh, atau kad selamat tahun baru). Kerana, selagimana ianya daripada jalan yang harus, maka ia menjadi harus.

Perlu diberi perhatian bahawa, mengucapkan   Selamat hari Krismas kepada  kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakan Tahun Baru dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.

Ini yang jelas bagi saya والله سبحانه أعلم (Allah S.W.T. saja yang lebih mengetahui)

Diterjemah bebas daripada http://www.islamonline.net/fatwaapplication/arabic/display.asp?hFatwaID=17894

Syarat taubat diterima

DULU saya bekerja sebagai pengawal peribadi. Jadi saya ada ‘memakai’ atau bersahabat dengan makhluk halus untuk membantu saya dalam tugas seharian. Kini saya sudah bersara.

Soalnya, semasa muda dahulu saya sering lalai solat dan sebagainya. Kini saya telah membuang semua ‘sahabat’ itu. Sekarang baru saya sedar besarnya dosa saya. Bagaimana untuk saya menebus dosa masa silam ini?

JAWAPAN:

Alhamdulillah yang telah memberikan hidayah kepada kita semua. Demikianlah Allah memberikan ujian dan cubaan untuk mengingatkan hamba-Nya, dan berbahagialah orang yang ingat dan mahu mengambil pengajaran dari diari kehidupannya.

Tiada seorang pun yang bergelar manusia terlepas diri dari diuji dengan dunia serta segala penipuan yang ada padanya. Para anbia diuji, para rasul diuji, para aulia diuji.

Ujian tidak kira individu. Ia umpama matahari yang menyinari bumi. Suka atau tidak matahari pasti mengenai penghuni bumi. Itulah lumrah hidup menjadi manusia.

Manusia lahir ke atas dunia dengan sifat lupa. Namun lupa tidak boleh jadi alasan berpanjangan. Dosa yang sudah sedia terpikul pun belum pasti sempat ditebus, janganlah hendaknya ditambah dengan dosa-dosa baru.

Antara penebus dosa adalah taubat nasuha. Para ulama menyebutkan bahwa taubat nasuha memiliki empat syarat:

* Menyesali apa yang telah berlalu.

* Meninggalkan perbuatan tersebut.

* Berniat untuk tidak mengulanginya di masa yang akan datang.

* Mengembalikan hak orang lain

kalau dosa tersebut berkaitan

dengan hak orang (seperti mencuri

dan lain-lain).

Antara penebus dosa tersebut adalah tauhid, kerana Allah akan mengampuni dosa-dosa kita selama kita tidak berbuat syirik kepada-Nya. Gantilah dosa-dosa yang kita lakukan dengan amal-amal kebaikan.

Hendaknya mencari ustaz dan teman-teman yang soleh yang boleh menasihati kita dan membimbing kita kepada jalan istiqamah, dan menjauhi teman-teman yang mengingatkan dan mengajak kita kepada dosa kembali.

Allah SWT telah lama mengajak dan menyeru manusia agar kembali kepada-Nya. Dalam erti kata yang lain, kembali kepada fitrah semula jadi manusia agar menjaga kesucian dirinya seperti ia dijadikan dan dilahirkan ke atas permukaan bumi ini.

Contohnya, kadang-kadang kita dapati di dada akhbar mengenai seruan ibu bapa kepada anak mereka yang lari dari rumah mungkin kerana perselisihan kekeluargaan, kenyataan ibu atau ayah di dalam seruan tersebut adalah: “Pulanglah kepangkuan keluarga, ibu dan ayah telah memaafkan kamu.”

Bagi mereka yang membaca iklan itu pasti akan berkata, apa lagi yang dia mahu (yang lari dari rumah) bukankah ibu bapa dia telah memaafkan dia, baliklah, jangan jadi anak yang derhaka. Persoalannya, bukankah Allah SWT menyeru manusia agar kembali kepangkuan-Nya serta menyedari hakikat hamba kepada Pencipta? Kadang-kadang bila saya membaca ayat yang berkaitan dengan seruan taubat, saya sedar, betapa kasihnya dan sayangnya Allah SWT kepada hamba-hambanya.

Panggilan suruh pulang begitu indah dan manja bunyinya, contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman taubatlah kamu kepada Allah (kembalilah kepada Allah) dengan sebenar-benar taubat (nasuha)… (al-Tahrim: 8)

Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda ketika baginda melihat seorang ibu mendakap anaknya, baginda bertanya kepada para sahabat: “adakah si ibu itu akan mencampakkan anaknya ke dalam api?” Para sahabat menjawab, demi Allah tidak Wahai Rasulullah, lantas baginda menjawab: “Allah lebih merahmati hambanya daripada si ibu yang merahmati anaknya”. (riwayat al-Bukhari).

Manusia yang beriman disuruh bergantung harap hanya sanya kepada Allah SWT, bukan dengan makhluk halus. Dalam sudut akidah, secara tidak langsung saudara telah syirik kepada Allah SWT dengan berkawan dengan makhluk halus untuk tujuan tertentu. Namun, saudara masih berpeluang untuk bertaubat.

Pertamanya, saudara harus mengulangi penyaksian terhadap ketuhanan Allah SWT dan baginda Rasulullah SAW sebagai utusan dari-Nya. Kemudian disusuli penyesalan sesungguh hati, seterusnya perbanyakkan istighfar serta mengqada amalan-amalan fardu yang tertinggal sebelum ini.

Mengqada solat yang tertinggal bolehlah aturkannya mengikut kemampuan saudara. Saudara perlu yakin bahawa Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Jangan berputus asa, Allah SWT tidak suka mereka yang berputus asa. Firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad kepada hamba-hambaku yang telah melampaui batas atas diri mereka sendiri, jangan sama sekali mereka berputus asa, sesungguhnya Allah menghapus segala dosa yang dilakukan oleh manusia….(al-Zumar: 53)

Bertaubat

Dalam beberapa hadis yang sahih baginda bersabda yang bermaksud: “Setiap anak Adam melakukan dosa, sebaik-baik orang yang melakukan dosa adalah orang yang bertaubat.”

Maksudnya, orang yang buat dosa sedar bahawa yang dibuat itu adalah dosa. Ini kerana ramai yang tidak atau sengaja tidak mahu sedar terhadap dosa-dosa yang dilakukannya, sedangkan dia tahu itu adalah dosa. Semoga mereka diberi hidayah untuk kembali kepada Allah SWT.

Taubat bermaksud kembali kepada Allah setelah melakukan maksiat. Taubat adalah rahmat Allah yang diberikan kepada hamba-Nya agar mereka dapat kembali kepada-Nya.

Agama Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa sebagaimana Islam tidak membiarkan manusia berputus asa daripada keampunan Allah. Betapa pun dosa yang telah diperbuat manusia.

Di antara kita pernah berbuat kesalahan terhadap diri sendiri sebagaimana terhadap keluarga dan kerabat bahkan terhadap Allah. Dengan segala rahmatnya, Allah memberikan jalan kembali kepada ketaatan, keampunan dan rahmat-Nya dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Penyayang dan Maha Penerima Taubat.

Seperti diterangkan dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan Akulah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (al-Baqarah: 160)

Taubat daripada segala kesalahan tidaklah membuat seorang terhina di hadapan Tuhannya. Hal itu akan menambah kecintaan dan kedekatan seorang hamba dengan Tuhannya kerana sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang bertaubat dan menyucikan diri.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri. (al-Baqarah: 222)

Taubat dalam Islam tidak mengenal perantara, bahkan pintunya selalu terbuka luas tanpa penghalang dan batas. Allah selalu membentangkan tangan-Nya bagi hamba-hamba-Nya yang ingin kembali kepada-Nya. Seperti terungkap dalam hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Musa Al-Asy’ari: Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kesalahan pada malam hari sampai matahari terbit dari barat.

Rugilah orang-orang yang berputus asa daripada rahmat Allah dan membiarkan dirinya terus-menerus melampai batas. Padahal, pintu taubat selalu terbuka dan sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya karena sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha penyayang.

Memang tepat firman Allah dalam surah Ali-‘Imran ayat 133.

Boleh percayakah qiamat tahun 2012

BOLEH dikatakan semua agama di dunia mempercayai akan hari khiamat. Agama Kristian, Yahudi atau lain-lain agama di dunia ini juga dikatakan kononnya lebih ‘tahu’ akan tarikh berlakunya kiamat.

“Kepercayaan mengenai hari kiamat terutamanya menurut agama Kristian dan Yahudi memang ada asasnya kerana nabi-nabi mereka diterima dan diiktiraf dalam Islam.

“Tetapi pada asasnya kepercayaan hari kiamat mereka adalah sebagaimana kepercayaan dalam Islam itu sendiri.

“Iaitu tidak ada tarikh tertentu diberikan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam.

“Malah mereka percaya akan turunnya Al Masih, Nabi Isa, kerosakan yang dilakukan oleh Dajjal, kaum Yakjud dan Makjud dan sebagainya.

“Tetapi jika mereka mempergunakan agama bagi menyatakan tarikh sebenar kiamat, itu sebenarnya berlaku kesesatan dalam agama mereka sendiri.

“Begitu juga kepada umat Islam yang meramalkan tarikh kiamat atas nama Islam, maka itu dikira sesat dalam agama kita,” kata Dr. Danial.

Tambah beliau, atas nama agama, manusia akan mencipta segala macam ramalan yang bukan-bukan yang tidak masuk akal.

Semua itu sebenarnya jika tidak berhati-hati merupakan permainan syaitan dan iblis.

Golongan yang membuat ramalan akan hari khiamat itu sebenarnya ada kepentingan tertentu yang bukan sahaja membawa faedah kepada diri mereka tetapi memberikan kemenangan kepada kuasa-kuasa jahat iblis dan syaitan yang suka menyesatkan manusia.

Sehingga berlaku penyembahan, sanggup melakukan korban supaya terselamat jika berlaku kiamat dan sanggup membunuh diri bagi mengelakkan azab ditimpa kiamat.

Semua itu, kata Dr. Danial adalah kesesatan kesan mempercayai kepada segala macam ramalan tersebut.

Mungkin tarikh kiamat yang kononnya berlaku hujung tahun hadapan sedikit sebanyak akan memberi iktibar dan satu peringatan keras yang membuatkan manusia supaya bersedia menghadapinya.

Ini termasuklah melakukan amal kebaikan, bertaubat, tidak melakukan maksiat, kuat beribadat dan sebagainya lagi.

Namun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Danial, bagaimana jika selepas Disember 2012 itu, tidak berlaku kiamat? Bagaimana keadaan manusia yang telah melakukan pelbagai persediaan untuk menghadapi kiamat itu?

“Manusia pastinya akan gembira, mencampakkan segala amalan kebaikan untuk kembali berfoya-foya, tidak ingat Tuhan kerana kiamat tidak jadi.

“Seperti ada sambutan meriah apabila kiamat tidak berlaku,” tegas beliau.

Sedangkan kata Dr. Danial, agama Islam telah lengkap dalam memperkatakan hari kiamat.

Hikmah tarikh kiamat dirahsiakan supaya manusia sentiasa bersedia secara jujur, ikhlas kerana percaya hidup di dunia hanya sementara kerana yang kekal adalah di akhirat.

“Justeru kehadiran 2012 esok lusa ini hendaklah ‘disambut’ dengan penuh keinsafan terutamanya semakin dekatnya kita kepada tanah perkuburan, persemadian abadi yang memutuskan segala amalan kita di dunia kecuali bekalan yang kita bawa akhirat kelak.

“Sama ada tahun hijri mahupun masihi hendaklah disambut dengan ibadah bukannya dengan keseronokan dan hiburan yang melampau kerana umur semakin meningkat dan kematian akan menjemput kita tanpa mengira masa dan keadaan.

“Bertambahnya tahun untuk kita hidup, bermakna Allah memberikan ‘bonus’, kelebihan masa dan waktu untuk kita menambahkan amalan kebaikan dan kebajikan. Malangnya sekalipun ada peringatan kononnya Kiamat tetapi saya yakin yang bakal di sambut sempena tahun baru 2012 adalah tetap mengikut nafsu,” katanya.

Manusia harus menyedari kini bahawa masa kian dan semakin pantas berlalu.

Setahun 2011 yang berlalu begitu cepat sehinggakan manusia tidak sempat menyempurnakan pelbagai azam dan cita-cita.

“Jadi adakah masanya lagi untuk membuang-buang masa untuk perkara yang tidak berfaedah?

“Sekalipun kita merasakan kita begitu sibuk sehingga menyebabkan masa dirasakan begitu pantas berlalu, namun kebanyakan kita sibuk dengan aktiviti yang tujuannya adalah salah kerana kita mempunyai misi hidup yang salah,” katanya.

Sedangkan manusia hendaklah istiqamah dalam perkara kebaikan dan konsisten dalam ibadah dengan misi hidup adalah mencari kemuliaan dan ketaqwaan di sisi Allah.

Bukan meletakkan sasaran kemuliaan di sisi manusia dengan mengejar pangkat, harta dan sebagainya.

Benarlah manusia itu kerugian dari aspek masa.

Sehinggalah Allah bersumpah sebagaimana dalam surah al-Asr: 1-3: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Garis panduan hiburan yang dibenarkan syarak

Oleh Mohd Hasan Adli Yahya

ISLAM adalah agama yang sempurna dan lengkap merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Islam juga meraikan kepelbagaian fitrah manusia serta menolak sesuatu yang menjauhi fitrah manusia.

Begitu juga halnya apabila berbicara soal hiburan dalam kehidupan kerana hakikatnya fitrah manusia memerlukan hiburan.

 

Sebagai bukti, ia boleh dilihat dalam sebuah hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW tidak menolak hiburan.

Daripada Aisyah RA, katanya: “Rasulullah SAW masuk (menemui saya), ketika itu dua orang jariah (budak perempuan) menyanyi-nyanyi (memperingati perang) Baath. Baginda (mendengar nyanyian) sambil berbaring di tempat baringku dan dipalingkan mukanya.

 

“(Tiba-tiba) masuk Abu Bakar RA serta mengherdik saya dengan katanya ‘serunai (mizmar) syaitan’ di sisi Baginda SAW. Rasulullah SAW mengadap Abu Bakar seraya berkata: ‘Biarkan mereka menyanyi (tidak mengapa)’. Apabila keadaan Rasulullah SAW selesa dan leka, aku mengisyaratkan dengan mataku kepada dua penyanyi tadi, mereka pun berhenti menyanyi dan keluar (meninggalkan kami).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Namun, yang dibimbangkan pada masa kini adalah budaya hiburan melampau yang menjauhkan manusia daripada pencipta-Nya.

 

Ini yang disebutkan sebagai ‘Hedonisme’ — satu keadaan di mana kehidupan manusia dikuasai oleh hiburan yang melalaikan.

Lebih menggusarkan, hedonisme umpama virus atau sel penyakit yang semakin merebak serta merosakkan kehidupan manusia, terutama jiwa anak remaja dari sehari ke sehari.

 

Berbicara mengenai hedonisme, pastinya ia berkait rapat dengan penyakit virus ‘liberalisme’. Segala perkara diputuskan melalui akal manakala garis panduan agama dilihat sebagai ‘pengacau’ yang menghalang kebebasan.

Hedonisme dan liberalisme menghentam budaya Islam di seluruh dunia. Kedua-dua virus ini menyerang secara halus mungkin tanpa kita sedari.

 

Seperti contoh, pendokong ideologi liberalisme menggambarkan penutupan aurat sebagai kolot, merendah diri, dilihat sebagai lemah dan tidak berkarisma, manakala malu digambarkan sebagai ‘tak sporting’.

 

Lebih biadap lagi, mereka memberi pelbagai gelaran sinis kepada individu yang cuba menegur dan memberi nasihat dengan pelbagai gelaran, termasuk ‘serbanitas’, ‘Taliban’ dan ‘ekstremis’.

 

Liberalisme menggariskan prinsip bahawa manusia bebas melakukan apa saja. Secara halusnya, mereka digambarkan sebagai pejuang yang memperjuangkan hak yang sebenarnya mempunyai nas di dalam agama.

 

Semuanya mahu bebas, kononnya tidak mahu dikongkong. Katanya, hidup hanya sekali, kubur masing- masing, dosa pahala ditanggung sendiri.

 

Realiti dunia zaman kini, semuanya berkehendakkan kepada hiburan. Seakan- akan menjadi adat, tidak berseri sesuatu majlis itu kalau tidak diselitkan dengan hiburan.

 

Malah, antara cara paling mudah menarik masyarakat ke majlis atau karnival adalah menyelitkan hiburan sepanjang atau di akhir program.

 

Bersesak-sesaklah muda- mudi memenuhi majlis sambil menari dan melompat mengikut rentak hiburan yang melalaikan.

 

Tiada lagi istilah halal haram apabila di dalam program berkenaan lelaki dan perempuan bebas bergaul.

 

Tidak kurang juga pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan pada hari hujan, siap menyediakan perkhidmatan kepada remaja.

 

Hasilnya, lihatlah pada dada akhbar dan berita setiap hari. Berita seperti kes pembuangan anak, dadah dan bunuh diri di kalangan remaja seakan-akan menjadi santapan tetap kepada kita.

 

Namun, yang menghairankan, apabila keluar berita seperti ini, semua pihak seakan-akan kesal dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini.

 

Saya tertarik dengan ungkapan seorang ustaz di dalam blognya yang mengumpamakan hedonisme sebagai dadah yang meracuni hidup manusia. Hedonisme mencipta mimpi indah penggunanya hingga khayal di dalam dunia mereka sendiri.

 

Penganjurnya pula diibaratkan sebagai pengedarnya yang tidak terjebak dengan ketagihan hedonisme. Mereka hanya memikirkan bagaimana memaksimumkan keuntungan perniagaan.

 

Kerana itu Islam menggariskan panduan untuk berhibur. Bak lirik yang dinyanyikan kumpulan Raihan seketika dulu: “Berhibur tiada salahnya kerana hiburan itu indah. Hanya apabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah…” Matlamat hiburan dalam Islam adalah mencapai ketenangan dan kepuasan dalam acuan sederhana, positif serta tidak melampaui batas. Hiburan dalam Islam juga lebih kepada mendidik hati dan jiwa manusia serta tidak melampaui batas.

 

Seperti kata Imam Ali RA yang mengumpamakan hiburan dalam hidup manusia sebagai garam dalam masakan. Cukup hanya digunakan sekadarnya. Jika berlebihan, rosaklah rasa masakan itu.

 

Hiburan yang berlebihan menggelapkan hati dan membuat kita jauh daripada rahmat Allah. Namun akhir- akhir ini, kita sekurang-kurangnya mendapat sedikit penawar bagi merawat gejala hedonisme.

 

Rancangan TV keagamaan berbentuk program realiti televisyen seperti Imam Muda, Ustazah Pilihan, Akademi Al-Quran, dan Solehah semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

 

Sekurang-kurangnya dewasa ini kita mempunyai pilihan. Cuma pilihan itu terletak di tangan kita sendiri.

 

Saya juga melihat perkembangan baik sejak akhir-akhir ini di mana muda-mudi mula berjinak-jinak mendalami ilmu agama dengan memenuhi kuliah yang dipimpin tokoh agama.

 

Ia seumpama fenomena baru dalam negara kita. Sebagai contoh, pernah berlaku kesesakan lalulintas di lebuh raya sekitar ibu kota akibat tempat meletak kenderaan yang penuh di dalam kawasan masjid.

 

Kerana itu, mereka terpaksa meletakkan kereta di tepi jalan lebuh raya semata-mata untuk menghadiri kuliah agama yang diadakan di masjid.

 

Semua ini adalah perkara luar biasa kerana menggambarkan kesungguhan mereka menghadiri majlis agama.

 

Individu seperti ini yang dicari-cari masyarakat kita pada hari ini. Pendekatan sederhana yang mampu menarik minat muda-mudi untuk memenuhi segenap ruang di masjid, surau dan seumpamanya.

 

Yang jelas, masyarakat kita sebenarnya dahagakan ilmu agama untuk menjawab setiap persoalan yang berlegar dalam kotak pemikiran. Cuma mungkin cara pendekatan yang kurang kreatif menjadikan masyarakat kurang berminat mengikuti kelas atau program agama.

 

Semoga semakin hari, semakin lahir ikon atau contoh ikutan baik yang dapat mendampingi masyarakat kita hari ini.

 

Diharapkan penganjuran program ke-Islaman ini mampu berkembang lebih baik lagi atau seiring dengan perkembangan dunia hiburan pada hari ini.

Hukum ucap dan hadiri raya bukan Islam

Soalan :

Apa hukumnya mengucapkan Selamat Deepavali kepada mereka yang beragama hindu atau agama lain dan menghadiri jemputan rumah terbuka mereka?

Jawapan:

Di sini ustaz menterjemahkan satu kenyataan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi dari laman web Islam-0nline tentang memberi ucapan pada hari-hari kebesaran orang bukan Islam, Maksudnya: Dan dia (al-Qaradawi) berkata tentang mengucap tahniah kepada perayaan Yahudi dan Kristian: “Ini (ucap tahniah) termasuk daripada hak-hak bersama. Jika seorang ahli kitab datang dan mengucapkan tahniah kepada kamu dengan perayaan kamu, dan dia berkongsi kedukaan dan musibah kamu, dan dia mengucapkan takziah kepada kamu dengan kedukaan dan musibah tersebut.

“Maka apakah pula yang melarang kamu memberi tahniah dengan perayaannya dan dalam kegembiraannya dan kamu ucap takziah dalam musibah yang menimpanya.

Allah berfirman: Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa. (al-Nisa’: 86 )

Ini tidaklah bermakna kita menyambut perayaan mereka bersama mereka. Sebaliknya kita hanya mengucapkan tahniah sahaja. Inilah daripada kebaikan dan keadilan yang datang bersama agama ini (Islam)”.

Jelas, bahawa mengucapkan selamat deepavali kepada kenalan dan kawan-kawan kita yang beragama hindu tidak dihalang dalam Islam.

Apa yang mustahak dalam hal ini ialah tujuan kita mengucapkannya bukan untuk menyambutnya bersama. Malah yang demikian adalah demi menghormati budaya dan adat orang lain.

Saya juga yakin dengan menghormati hari-hari kebesaran orang bukan Islam sedikit sebanyak dapat memecahkan tembok salah faham Islam.

Dengan demikian agama Islam akan menambat hati-hati mereka kerana keindahan ajarannya yang sarat dengan ihsan dan kebijaksanaan sekali gus menjadikan Islam agama yang dihormati.

Ada juga suara-suara yang agak lantang dalam hal ini, sehingga menghalang kita mengucapkan apa-apa ucapan, kononnya dengan mengucap selamat deepavali, selamat krismas atau apa-apa ucapan hari kebesaran orang bukan Islam semacam kita mengiktiraf dan menyambutnya.

Alasan ini sangat tidak patut, ini kerana kalau musim deepavali tidak ucap happy deepavali nak ucap apa untuk kenalan dan jiran tetangga?

Bukannya ada ucapan lain yang boleh menggantikan happy deepavali. Kalau ada bolehlah kita mengucap dengannya.

Setahu ustaz, itulah ucapan yang ada untuk kita ucapkan kepada masyarakat india yang beragama hindu.

Teringat saya pada pesanan seorang guru saya, katanya: “Buatlah baik pada manusia wahai Farid nescaya kamu dapat memperhambakan hatinya”.

Hukum solat dalam kapal terbang

Soalan : Saya bekerja di atas kapal terbang. Kemusykilan saya, bolehkah saya melakukan solat di atas kapal terbang.

Jawapan : Ulama berbeza pandangan mengenai masalah ini. Apakah boleh untuk melaksanakan solat dalam penerbangan atau keadaan ini dikiaskan dengan solat di atas perahu? Sebahagian ulama menyamakan hukumnya dengan solat di atas perahu. Dengan ini, kita dapat melaksanakan solat di atas kapal terbang sehingga kita tidak mensia-siakan waktu.

Namun pendapat terkuat dalam Mazhab Syafie adalah kita tidak boleh melaksanakan solat di atas kapal terbang. Apabila kita solat di atas kapal terbang untuk menghargai waktu, maka kita hendaklah mengulanginya kembali ketika mendarat.

Hujah mereka iaitu menetap adalah syarat sah solat. Begitu juga dengan menghadap kiblat. Menghadap kiblat adalah masalah yang diperdebatkan dalam hal ini. Kita tidak akan mungkin menghadap kiblat ketika berada di dalam kapal terbang. Demikianlah, wallahua’lam