Sah haji kanak-kanak, wajib laksana semula bila dewasa


Bersama Ustaz Zahazan

Saya ada tiga soalan, harap ustaz dapat jelaskan. Apakah hukum kanak-kanak mengerjakan haji sekiranya dia dapat mengerjakan dengan sempurna seperti orang dewasa? Bolehkah sekiranya seseorang itu hendak melakukan korban untuk dua orang tuanya tetapi dia belum mengerjakan korban untuk dirinya? Saya keliru mengenai takbir bagi Aidilfitri dan Aidiladha?

ZAHABI,

Langkawi,

Kedah.

AL-HAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Anak yang belum baligh bila melakukan haji, adalah sah hajinya tetapi tidak wajib. Haji anak kecil atau orang yang belum baligh tidak tergolong wajib. Ini disebabkan syarat-syarat wajibnya haji iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkuasa (mampu).

Oleh itu apabila dia dewasa, wajib baginya mengerjakan haji sekali lagi sekiranya dia berkemampuan. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Ibnu ‘Abbas bahawa Nabi Muhammad SAW bertemu dengan kafilah di Rauha, iaitu suatu tempat dekat dengan Madinah. Baginda bertanya: “Siapakah kaum ini? Mereka menjawab: Muslimin. Mereka bertanya lagi: Siapakah kamu? Baginda menjawab: Rasulullah. Maka seorang wanita memperlihatkan seorang anak kepada Rasulullah SAW dan berkata: Apakah bagi anak ini ada haji? Baginda menjawab: Ya dan bagimu ada ganjarannya.”

Justeru, anak kecil boleh (sah) melakukan ibadat haji, namun tidak tergolong wajib. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis riwayat Abu Syaibah dan al-Baihaqi yang bermaksud: “Apabila anak-anak mengerjakan haji, maka ia hendaklah mengerjakannya sekali lagi selepas ia baligh. Apabila hamba sahaya mengerjakan haji, kemudian dia dimerdekakan, maka dia hendaklah mengerjakannya sekali lagi.”

Bagi soalan kedua, berkorban adalah amalan sunnah yang sangat dituntut. Hukumnya adalah sunat muakad. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah memberi kepadamu (wahai Muhammad) nikmat yang banyak. Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah).” (Surah al-Kauthar ayat 1 dan 2)

Dalam sebuah hadis riwayat Tirmizi disebutkan bahawa: “Tidak ada amalan yang lebih dicintai oleh Allah SWT pada Aidiladha melebihi daripada penumpahan darah (menyembelih). Pada Hari Kiamat, haiwan itu akan datang dengan tanduknya, bulu-bulunya dan kukunya.”

Merujuk masalah saudara, sebenarnya ada cara yang lebih baik. Caranya iaitu saudara berkorban untuk diri sendiri dan kedua ibu bapa saudara dengan satu sembelihan. Perkara ini pernah dibuat oleh kalangan sahabat. Abu Ayyub al-Ansari meriwayatkan seorang sahabat Nabi Muhammad SAW pernah menyembelih kambing sebagai korban untuk dirinya dan keluarganya. (Hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmizi)

Jika sembelihan berupa lembu atau unta, maka orang lain yang tidak mempunyai hubungan keluarga boleh berkongsi dalam satu sembelihan dengan syarat tidak lebih daripada tujuh orang.

Jabir meriwayatkan: “Kami pernah menyembelih bersama Rasulullah SAW di Hudaibiyah seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Untuk soalan akhir, sebenarnya takbir ada dua jenis. Pertama, takbir mursal dan kedua, takbir muqayyad. Takbir mursal iaitu takbir yang dibuat pada Aidilfitri.

Ia dinamakan juga dengan takbir mutlaq iaitu takbir yang tidak terikat waktunya selepas solat, bahkan disunatkan untuk dilaungkan pada bila-bila masa sehinggalah imam mengangkat takbiratulihram solat Aidilfitri.

Takbir muqayyad pula takbir yang dilaungkan pada Aidiladha. Disebut takbir muqayyad kerana ia sunat dilaungkan setiap kali selepas solat bermula Subuh 10 Zulhijjah dan berakhir selepas menunaikan solat Fardhu Asar pada Hari Tasyriq yang terakhir iaitu 13 Zulhijjah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: