Archive for November 2011

Hukum sedekah guna duit haram

Sedekah secara senyap lebih baik daripada pemberian dihebah

Bersama Ustaz Zahazan

 

2011/11/27

SAYA ingin bertanya, kawan saya menang judi, bolehkah dia bersedekah dengan wang hasil judi? Apakah kelebihan bersedekah? Harap ustaz dapat beri penjelasan.

 

MAN,

Seremban.

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d.

Pertamanya, saya ingin menyentuh berhubung dosa judi. Allah SWT berfirman bermaksud: Wahai orang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu beruntung. ( Surah surah al-Maidah ayat 91)

 

Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesungguhnya ada orang berusaha mendapatkan harta dengan cara tidak benar. Maka nerakalah bagi mereka pada hari kiamat.

 

Kepada saudara yang bertanya, Allah tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. Justeru, orang bersedekah dengan barang haram tidak akan diterima amalannya.

 

Dalam hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah Maha Baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik. Dan Allah memerintahkan kepada Mukmin sebagaimana Dia memerintahkan kepada para rasul.

Allah SWT berfirman: Hai para Rasul, makanlah sesuatu yang baik dan kerjakanlah amalan salih. (Surah al-Mukminun, ayat 51)

 

Allah juga berfirman bermaksud: “Hai orang beriman, makanlah apa-apa yang baik daripada yang Kami rezekikan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

 

Kemudian Rasulullah SAW menceritakan perihal seseorang yang menempuh perjalanan jauh, rambutnya kusut masai dan penuh debu. Dia menadahkan kedua-dua tangannya ke langit dan berkata, “Wahai Tuhan! Wahai Tuhan!, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan perutnya dikenyangkan dengan makanan haram, maka bagaimana diterima permohonannya (doanya).

 

Sesuatu yang baik itu adalah dinilai baik di sisi Allah. Seseorang hanya memakan makanan halal, doanya mudah dimakbulkan. Begitu juga seseorang menjauhkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah.

 

Orang melakukan maksiat tidak dimakbulkan doanya kecuali mereka yang Allah SWT kehendaki. Antara sebab dimakbulkan doa iaitu ketika musafir, hati yang sentiasa mengharap, mengangkat kedua-dua tangan ke langit, merayu dalam berdoa, keinginan kuat dalam permintaan, memakan makanan dan minuman halal.

 

Jika dinyatakan kelebihan sedekah ada banyak tetapi barang yang hendak disedekahkan itu mestilah elok. Jika kita sedekahkan sesuatu yang kita tidak tergamak menggunakannya, maka tak perlu sedekahkan barang itu.

 

Kedua, jika hendak bersedekah pastikan juga daripada hasil halal. Orang bersedekah dengan perkara halal mendatangkan pahala dan menggugurkan dosa. Namun sekiranya ia bersedekah daripada hasil haram, dibimbangi membawa kepada azab neraka.

 

Ketiga, sedekah terbaik adalah memberi barang disayangi. Allah SWT berfirman bermaksud: Kamu tidak akan memperoleh kebajikan sehingga kamu membelanjakan (infak) sebahagian harta kamu cintai. Dan apa saja kamu infakkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. ( Surah Ali Imran ayat 92)

 

Keempat, sedekah tidak dihebahkan lebih baik berbanding sedekah dihebahkan. Allah SWT berfirman bermaksud: “Jika kamu menampakkan sedekahmu (bertujuan menunjukkan contoh), maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada fakir, maka itu lebih baik bagimu dan Allah akan menghapuskan sebahagian kesalahanmu.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)

 

Kelima, bersedekah dapat menghilangkan sifat bakhil dan menyucikan jiwa. Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah para hamba pada waktu pagi, melainkan ada dua malaikat turun. Satu daripada mereka berdoa, “Ya, Allah. Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan lebih baik,” sedangkan malaikat lain berdoa,”Ya, Allah. Berikanlah kebinasaan kepada orang menahan hartanya (tidak mau menafkahkannya).

Demikianlah, wallahua’lam.

Hukum tidak taat ibubapa pada perkara maksiat

Bersama Ustaz Zahazan

 

USTAZ, apakah hukum jika anak tidak mentaati ibunya. Jika ibu melarang saya bertudung, tapi ustazah di sekolah pula menyuruh saya bertudung. Adakah saya dikira derhaka sekiranya tidak patuh kepada ibu? Seterusnya, rakan saya kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan. Apa patut dilakukan oleh anak yang baik.

 

REMAJA KELIRU

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d.

ALLAH memerintahkan seorang anak mentaati ibu bapa dan bersyukur dengannya. Ketaatan dan syukur itu digandingkan dengan ketaatan dan syukur kepada Allah.

 

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya dan ucapkan kepada keduanya perkataan yang baik”. (Surah al-Isra’, ayat 23)

 

Mensyukuri kedua-dua orang tua wajib kerana melalui mereka anak lahir, terpelihara dan terdidik. Daripada ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, ketaatan kepada Allah tanpa ketaatan kedua-dua ibu bapa belum cukup meraih keredaan Allah SWT.

 

Kerana itu, dengan tegas Allah SWT menyatakan kewajipan taat dan syukur kepada ibu bapa berganding dengan kewajipan taat dan syukur kepada-Nya. Dengan kata lain, ketaatan kepada Allah dikaitkan dengan ketaatan kepada kedua-dua ibu bapa.

Justeru, Nabi SAW bersabda bermaksud: Reda Allah diperoleh melalui reda ibu bapa. Dan kemurkaan Allah ada dalam kemurkaan orang tua. Hadis ini diriwayatkan Imam at-Tirmizi daripada Ibnu ‘Amr al-‘Ash.

 

Tentu saja dimaksudkan ini sama dengan petunjuk Allah. Jika bertentangan dengan petunjuk Allah, maka anak tidak boleh mentaati orang tuanya. Meskipun demikian, ia wajib menghormati dan tidak melukai perasaan sekalipun mereka bukan Islam.

 

Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud daripada Abu Usaid al-Sa’idi, disebutkan ada seseorang datang kepada Nabi dan bertanya, “Apakah masih ada kewajipan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya sesudah mereka meninggal?” Nabi SAW menjawab, “Ya, berdoa dan memohon ampun kepada keduanya, melaksanakan pesannya, dan menghubungkan tali silaturahim kepada mereka yang tidak terjadi hubungan kekeluargaan tanpa kedua-duanya, dan berbuat baik atau menghormati temannya.”

 

Ibu bapa yang meninggal dunia mendambakan pelbagai perkara daripada anaknya. Kerana itu, sekali lagi dikatakan belum lagi dianggap berbakti kepada orang tua kecuali apabila ia mendoakan mereka yang sudah mendahuluinya.

 

Doa ini sangat penting, sehingga al-Quran meletakkan pujian kepada mereka yang mendoakan saudara seiman yang meninggal dunia. Allah SWT berfirman bermaksud: Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara kami yang beriman lebih dulu daripada kami. (Surah al-Hasyr, ayat 10)

 

Demikianlah, wallahua’lam.

Tanda dapat haji Mabrur

Kawan saya baru balik menunaikan haji. Tetapi saya dapati ada perubahan pada dirinya. Dulu dia solat tepat pada waktunya tetapi sekarang tidak begitu.

Dia juga hanya menyahut panggilan bila dipanggil “Haji”. Dia lebih gemar bercerita tentang bagaimana dia dapat buat haji dengan mudah dan banyaknya dia buat umrah sunat. Adakah ini yang dikatakan tanda-tanda haji mardud (ditolak).

JAWAPAN:

Sepatutnya setiap orang yang kembali daripada menunaikan ibadat haji bermuhasabah dengan sepenuh hati. Dengan mempersoalkan beberapa soalan yang boleh menilai ibadat yang baru dilakukan.

Soalannya seperti adakah dilakukan ibadah haji dengan rezeki yang halal, adakah dilakukan dengan memelihara wajib haji dan rukun haji dengan teliti, adakah dipelihara mata dan hatinya dan keikhlasannya selama melakukan ibadah haji.

Adakah kita berjaya menghindarkan tiga perkara penting yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah di awal-awal perbicaraan mengenai haji, iaitu ibadah haji dilakukan dengan tidak tidak melakukan maksiat, tidak berbantah-bantah yang boleh membawa kepada pergaduhan dan tidak berkata kesat.

Hal ini jelas dalam firman Allah swt yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu adalah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197)

Sesungguhnya ibadah haji hanya sekali sahaja difardukan ke atas orang Islam, tetapi ia mesti dilakukan dengan sepenuh hati yang ikhlas. Pernah diriwayatkan bahawa setelah Rasulullah SAW selesai menunaikan haji, baginda bersandar di Kaabah sambil mengalir air mata baginda.

Abu Bakar yang menyedari keadaan baginda itu terus bergegas ke arah baginda dengan bertanya: “Apa yang menyebabkan tuan menangis wahai Rasulullah? Baginda menjawab aku boleh kira jumlah orang yang mendapat haji yang mabrur“. Walhal yang menunaikan haji bersama baginda adalah sahabat, kesemua mereka yang bertemu dengan baginda dalam hajjatul wada’ dikategorikan sebagai sahabat oleh sekumpulan ulama.

Jadinya kesemua mereka adalah sahabat, adakah mereka juga terlepas mendapat haji yang mabrur?

Jawapannya tidak, kata-kata baginda Rasulullah SAW adalah bagi menggambarkan betapa tidak ramai yang dapat haji yang mabrur.

Maksudnya tidak semudah yang disangka untuk beroleh haji mabrur.

Jadi lebih baik

Sepatutnya orang yang balik dari Mekah, akhlak dan imannya lebih baik daripada sebelumnya. Sebabnya rukun Islamnya yang kelima telah sempurna, bermakna tiang-tiang agama dalam dirinya telah sempurna.

Kesempurnaan itu sepatutnya menggambarkan kesempurnaan iman dengan dizahirkan melalui amal ibadat. Ketahuilah sesungguhnya, apabila sesuatu ibadah itu tidak mendekatkan kita kepada Allah SWT malah bertambah jauh maka ia bermaksud semakin jauh kita daripada Allah SWT.

Budaya memanggil tuan haji atau haji hanya di Malaysia dan mungkin juga di negara-negara jiran yang lain tetapi ia sangat ketara di Malaysia. Ada yang sampai tidak mahu menyahut bila tidak dipanggil tuan haji.

Nampaknya tujuan menunaikan haji tidak ikhlas, rupa-rupanya untuk mendapat panggilan tuan haji atau hajah. Tidak ada dalam mana-mana kitab muktabar, fiqh mahupun hadis dan tafsir yang menggelar sahabat atau tabien dengan gelaran haji.

Ini kerana ibadat haji dilakukan kerana Allah. Jika ibadah haji diterima Allah SWT itulah sebesar-besar hadiah sebagai balasan selepas kembali daripada mengerjakan haji.

Kata-kata Al-Hasan al-Basri yang bermaksud: “Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat”. Beliau juga mengatakan: “Tandanya adalah meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan sebelum haji”.

Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan: “Dikatakan bahawa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, mengganti teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik dan mengganti majlis kelalaian menjadi majlis zikir dan kesedaran”.

Ringkasnya, ibadah haji yang dilakukannya itu berjaya mengubahnya menjadi hamba yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaiki segala amalan yang lalu dengan mengqadanya.

Lalu berusaha pula memperbaiki ahwal ahlu keluarganya iaitu menasihati mereka agar mentaati perintah Allah SWT dan mencontohi Rasulullah SAW.

Masakan tidak, mereka yang balik daripada ibadat haji, kembali daripada menziarahi tempat-tempat yang agung dalam Islam.

Mereka menyaksikan sendiri bumi di mana Allah SWT turunkan wahyu dan mereka ziarah makam nabi SAW yang menyampaikan ajaran Islam dengan sempurna.

Cermin dalam kesenian Islam

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator, Muzium Kesenian Islam Malaysia

Bilik Uthmaniyah, abad ke-19 Masihi, Kerajaan Uthmmaniyah, Syria.

CERMIN adalah alat yang tidak asing lagi dalam kehidupan manusia terutamanya dalam kehidupan dunia yang serba moden kini. Cermin seringkali dikaitkan dengan wanita dan penampilan.

Cermin juga merupakan satu bahan yang seringkali digunakan dalam penghasilan barangan seni, seni bina dan alat untuk kajian sains seperti teleskop.

Di dalam sejarah, cermin yang terawal berasal daripada lava gunung berapi yang telah keras dan licin. Batu lava ini kemudiannya dipotong dan dalam saiz yang kecil dan dikilatkan lagi untuk digunakan sebagai cermin.

Sebelum daripada itu, manusia menggunakan air untuk melihat penampilan mereka. Selain batu lava gunung berapi, cermin juga dihasilkan daripada logam.

Di China, logam yang dikenali sebagai speculum dihasilkan untuk dijadikan cermin. Logam speculum adalah campuran logam tembaga dan timah yang menghasilkan permukaan yang licin dan berkilat sehingga boleh dijadikan cermin.

Cermin logam ini dihasilkan di China kira-kira pada tahun 2000 sebelum Masihi dan ia turut ditemui di India.

Cermin logam speculum adalah amat berharga dan mahal harga. Ia hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya.

Dalam tamadun Islam, beberapa orang ilmuwan Islam yang mengkaji tentang kegunaan cermin ialah seperti Ibn Sahl dan Ibn al-Haytham pada abad ke-10 Masihi. Mereka mengkaji kegunaan cermin sebagai alat ciptaan teknologi seperti kamera.

Daripada segi penghasilan kaca atau cermin, Kerajaan Islam di Sepanyol telah menghasilkan cermin atau kaca pada abad ke-11 Masihi. Kemudian pada abad ke-16 Masihi, pusat perdagangan dunia pada waktu itu iaitu Venice telah menjadi pusat pengeluaran cermin yang terkenal.

Venice mengeluarkan cermin kaca yang menjadi asas kepada cermin yang digunakan pada hari ini.

Kebanyakan cermin yang digunakan dalam kesenian Islam merupakan cermin kaca. Ini kerana ia mempunyai kesan biasan yang tinggi berbanding cermin batu dan cermin logam.

Cermin kaca digunakan dengan meluas dalam seni bina seperti di Syria. Ia tidak digunakan sebagai panel tingkap atau dinding seperti yang kita sering lihat pada hari ini.

Sebaliknya, cermin digunakan sebagai hiasan dalaman yang membantu dari segi pencahayaan apabila permukaannya membiaskan cahaya lilin atau lampu chandelier yang digunakan di dalam sesebuah ruang kediaman.

Di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) terdapat sebuah artifak yang merupakan bilik kediaman zaman Uthmaniyah yang dihias dengan cermin bagi tujuan pencahayaan dan hiasan.

Untuk tujuan ini, cermin biasanya akan dipotong dalam saiz yang kecil dan di susun dengan teliti di bahagian dinding dan syiling bagi menghasilkan kesan cahaya yang dikehendaki.

Susunan yang betul bukan sahaja membantu pencahayaan malah ia turut mencantikkan lagi hiasan sesebuah ruang kediaman tersebut.

Di India, cermin atau kaca dipotong dalam saiz yang lebih kecil dan digunakan sebagai hiasan tatahan barangan seni yang lain seperti kotak barangan kemas, kasut dan juga pakaian.

Antara potongan cermin yang sering digunakan adalah potongan berbentuk bulat dan bentuk berlian.

Bagi cermin yang digunakan untuk melihat penampilan, ia tidak dihasilkan begitu sahaja. Ia turut mendapat perhatian dan sentuhan seniman terutamanya untuk barangan yang digunakan bagi golongan bangsawan dan golongan kaya.

Di MKIM, terdapat satu keping cermin yang diletakkan di atas batu jed dan ditatah dengan batu berharga yang dipamerkan di Galeri India. Cermin ini dipotong dalam bentuk oval dan bahagian belakangnya dihias teliti dengan susunan batu berharga seperti delima dan zamrud serta air emas.

Wang Kertas : Penipuan Terbesar Dalam Sejarah Manusia

 Oleh: zharifjenn

Hari ini kalau ada yang berazam untuk tidak mahu menggunakan wang kertas, orang berkenaan ‘wajib’ berpindah ke dalam hutan. Begitu sekali sekeping wang kertas bergelar ‘not’ menguasai seluruh kehidupan manusia.

“Apa itu wang kertas?” wacana tentang riba dan wang emas tidak mungkin lengkap kalau tidak menyentuh soal wang kertas kerana kedua-dua matawang ini dan riba ada hubung kaitnya dari segi sejarah.
 
Sejarah mencatatkan bahawa antara wang yang paling awal muncul di dunia ini adalah wang emas yang digunakan pada empayar Rom di Eropah, berkurun lama sebelum kedatangan Islam di bumi Arab. Wang emas terus digunakan oleh dunia Islam dan bahagian-bahagian dunia yang lain setelah keadatangan Nabi Muhammad s.a.w. Kearajaan Melayu Melaka pada kurun ke-14 Masehi juga menggunakan wang emas.
 
Duit emas yang digunakan 560 sebelum masihi di Turki
 
Namun, penggunaannya berakhir pada 1924 berikut runtuhnya kerajaan Khilafah Islamiah terakhir iaitu Khalifah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki. Selepas itu, dunia beralih kepada wang kertas yang bersandarkan emas.
 
Namun, sejarah wang kertas diwarnai misteri, tipu daya dan pembelitan yang dahsyat. Warga Amerika Syarikat, G Edward Griffindalam buku The Creature From Jekyll Island berkata bahawa titik bermulanya penipuan wang kertas adalah pada 1910. Mesyuarat misteri di Pulau Jekyll, Amerika Syarikat pada tahun itu membawa kepada penubuhan the Federal Reserve Department (FRD) pada tahun 1913 yang keahliannya bukan di kalangan rakyat atau institusi kerajaan Amerika Syarikat. Sebaliknya dianggotai oleh syarikat milik persendirian asing. Penggunaan perkataan ‘federal’ (persekutuan) ke atas sesuatu yang berbentuk persendirian adalah pembohongan yang nyata. Kongres Amerika Syarikat pula terpaksa meluluskannya secara curi-curi.
 
The Creature From Jekyll Island
 
Jabatan ini kemudiannya mentadbir segala urusan kewangan Negara Amerika Syarikat., antaranya mencetak wang kertas Dolar Amerika dan memperkenalkan Fractional Reserve Bangking (FRB) atauFractional Reserve Requirement (FRR) yang menjadi asas perjalanan sesebuah bank. Sehingga hari ini, FRB digunakakn oleh industri perbankan di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mencipta wang sesuka hati dalam jumlah yang berlipat kali ganda melebihi kekayaan sebenar.
 
Berikutan penubuhan FRD, banyak peristiwa besar berlaku sehingga membolehkan British mengusai Bandar Jerusalem pada 1919. Penguasaan itu menandakan berakhirnya era Perang Salib yang berlangsung selama 250 tahun antara umat Islam dan Kristian. Dinia pun berubah dengan mendadak. Kemuncaknya ialah kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniah.
 
Peristiwa demi peristiwa terus mengejutkan dunia, antaranya Perang Dunia Pertama dan krisis ekonomi dunia besar-besaran pada 1929. Pada 1944, muncul pula perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns emas.
 
Krisis yang sengaja dicipta untuk memberikan kekayaan kepada bank
 
Negara-negara dunia tidak lagi menyandarkan mata wang kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum ini. Setahun selepas Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International Monetory Fund (IMF) pun ditubuhkan. Pada 1948, Negara Israel mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Negara berdaulat di tengah-tengah Negara Palestin yang sah.
 
Seterusnya pada 1971, kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Ricard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang Vietnam dan masalah deficit imbangan pembayaran yang berterusan. Tuntutan rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat melambung kepada USD32 bilion sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Keyakinan terhadap Dolar Amerika punah. Berduyun-duyun bank pusat negara lain memeras ugut Amerika Syarikat dengan cara menebus pegangan Dolar Amerika masing-masing. Emas mengalir keluar dari Amerika Syarikat lalu dengan sendirinya meruntuhkan nilai Dolar Amerika.
 
Namun Amerika licik bertindak dengan memutuskan ikatan antara Dolar Amerika dan emas. Ini bermakna Amerika Syarikat memungkiri perjanjian Bretton Woods dan bertindak secara unilateral untuk menguburkan sistem piawaian emas.
 
Selepas 15 ogos 1971, dolar tidak lagi bersandarkan kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. Kesannya, semua matawang dunia berubah menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai sifar. Ini bermakna setiap Negara bebas mencetak wang kertas tanpa perlu bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada pun, ia dalam jumlah yang kecil seperti yang ditetapkan olehSpecial Drawing Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.
 
Pun begitu apa jua tipu daya tetap ada kelemahannya seperti mana yang disebut oleh Allah dalam al-Quran,Firmannya :

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ
فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفً
 
“Orang-orang yang beriman dan berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berjalan di jalan thaghut, sebab itu perangi lah kawan-kawan syaitan itu kerana tipu daya syaitan itu adalah lemah.” 
[surah an-Nisa’, ayat 76]
 
Sekarang, ‘tabir’ yang melindungi wajah sebenar wang kertas semakin terungkai. Dunia mula mengetahui apa ada di sebalik wang kertas. Wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik seperti mana wang sebenar (contohnya emas, perak, sebakul barangan dan lain-lain).
 
Nilai yang dicetak di atas wang kertas kini ditentukan oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan kuasa pasaran (market forces). Ini bermakna nilainya bergantung kepada permintaan dan manipulasi pihak yang mengeluarkannya. Ia hanya lah ‘janji’ untuk membayar dan pihak yang mengeluarkannya tidak semesti menunaikan ‘janji’ itu. Atas inilah, sebagai contoh, pada wang kertas Ringgit Malaysia yang kita gunakan sekarang, tercetak ayat, “wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai….”.
 
Wang kertas digelar fiat kerana ia bukan berbentuk komoditi tetapi dikeluarkan oleh pihak tertentu dan dijamin nilainya oleh pihak yang mengeluarkan. Pengertian sebenar disebalik wang kertas ialah sekadar ‘sekeping kertas’ yang diterima pakai untuk semua urusan jual beli. Asas penerimaan kertas ini hanya atas dasar kepercayaan terhadapnya. Kepercayaan semata-mata. Itu sahaja. Sekiranya di suatu masa kelak, semua orang hilang kepercayaan terhadap ‘kertas ini’ lalu ia tidak lagi berguna, sekalipun jumlahnya berguni.
 
 




Zimbabwe menjadi bukti kerapuhan wang fiat
 
Sejarah membuktikan bahawa dalam peperangan, mata wang sesebuah Negara dilanda krisis akan hancur lalu wang kertas dilambakkan seperti bukit di satu tempat dan dimansuhkan dengan cara membakarnya hingga hangus. Di Malaysia, sebahagian besar generasi sebelum merdeka masih lagi mengingati istilah ‘duit pisang’ atau ‘duit Jepun’ yang menyaksikan berguni duit kertas tidak mampu untuk membeli secawan beras. Ungkapan ‘duit tak laku’ bukan lah sesuatu yang asing buat orang lama yang pernah melalui pengalaman buruk itu.
 
Duit dibakar di Jerman kerana sudah tidak bernilai
 
Selain wang kertas, wang fiat juga merujuk kepada wang dalam bentuk angka dalam akaun, hutang-hutang yang dikeluarkan oleh bank atau institusi kewangan dan kad plastic digital. Wang ini tidak disokong oleh apa-apa aset yang nyata. Nilainya mudah dimainkan oleh speculator matawang yang berniat jahat, tamak dan tidak berperikemanusian.
 
Krisis ekonomi Asia pada 1997 adalah contoh yang paling dekat dengan kita. Spekulasi dan manipulasi menyebabkan berlaku susut nilai matawang atau lebih buruk, matawang itu langsung tidak bernilai. Keadaan yang dinamakan ‘money meltdown’ ini sudah pun berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan (kejatuhan Dolar Amerika pada 1973 dan 1980). Keadaan ini pasti akan berulang. Krisis ekonomi dunia diramal menjadi lebih teruk berbanding pada tahun 1929.
 
Sistem ekonomi kapitalis, bank dan institusi kewangan dengan cara tidak bertanggungjawab telah mencipta wang fiat dengan banyak di pasaran sehingga menyebabkan inflasi. Wang itu dicipta melalui kepelbagaian deposit, memberi hutang dan mengenakan faedah. Setiap wang fiat yang didepositkan ke dalam bank akan mencambahkan tiga wang fiat lagi yang boleh diberikan kepada individu dan syarikat perniagaan. Ekonomi ini adalah ekonomi palsu yang tidak berasaskan kepada pengeluaran sebenar.
 
Sesetengah kerajaan mencetak wang sewenang-wenang tanpa bersandarkan kepada pengeluaran sebenar dalam Negara bagi kepentingan pemerintah dan pengekalan kuasa.
 
Apabila semakin banyak wang dicetak, nilai wang fiat akan berkurangan dan menyebabkan inflasi. Kuasa beli rakyat pula akan berkurangan. Satu wang fiat tidak memungkinkan kita membeli barangan yang sama kita beli seperti sepuluh tahun yang lalu. Ini menjadikan nilai wang kertas fiat hanya terletak pada barangan yang kita beli hari ini. Sebagai contoh, tiga puluh tahun lalu, seseorang yang bergaji RM 1000 sebulan mampu memiliki kereta import berjenama dan sebuah banglo. Hari ini, gaji sebanyak RM 20 000 sebulan belum tentu menjanjikan kereta import dan banglo. Harga barangan menjadi terlalu tinggi iaitu meningkat berkali ganda berbanding peningkatan dalam pendapatan.
 
Orang sekarang berkerja siang dan malam serta melakukan bermacam-macam jenis pekerjaan, tetapi masih berada di dalam keadaan kekurangan. Harta pada hakikatnya dimiliki oleh bank atau institusi kewangan. Hampir semua orang berhutang dengan bank atau institusi keewangan dan pada bila-bila masa boleh menjadi papa kedana kerana hutang itu. Malah hutang bank juga boleh diwarisi sehingga ke anak cucu.
 


Kadar pengangguran dan kegagalan syarikat perniagaan pula semakin meningkat dari hari ke hari. Semua ini angkara sistem kewangan fiat yang menyebabkan ekonomi berkembang secara tidak stabil serta mewujudkan jurang besar antara golongan berada dengan golongan tidak berada.

 
Jelas wang kertas adalah wang yang tidak adil dan tidak jujur. Apabila Amerika Syarikat meluluskan penubuhan FRD dan Amerika Syarikat mengadakan perjanjian Bretton Woods pada 1944, seluruh ummah sebenarnya sudah ditipu ‘hidup-hidup’. Inilah penipuan terbesar dalam sejarah manusia.
 

Artikel-artikel terhangat – Fakta yang tidak dapat disangkal

Cerita Wang (Rahsia Sebenar) – Bahagian 1

Cerita Wang (Sifat Zahir Dan Batin) – Bahagian 2

Baghdad bekas pusat ilmu Islam

Disediakan oleh BAHAGIAN ANALISA dan PENYELIDIKAN, YAYASAN DAKWAH ISLAM MALAYSIA

Istana Al-Faw iaitu tempat tinggal Presiden Iraq, Saddam Hussein sebelum ini dijadikan kem tentera sementara Amerika Syarikat sebelum diserahkan kepada kerajaan Iraq, akhir tahun ini.

DAHULU, wilayah Iraq disebut Mesopotamia, salah satu tempat lahirnya peradaban paling tua. Nama Mesopotamia berasal daripada sebutan orang Yunani bagi wilayah itu.

Di negara itu pernah bertapak kerajaan besar seperti Assyria, Babylon dan Parsi. Setelah ditakluki oleh orang Islam, kawasan itu menjadi tempat pendudukan kekhalifahan Abbasiah (750-1258) sebelum jatuh ke tangan orang Mongol, Turki dan Inggeris.

Ketika Iraq di bawah kekuasaan Abbasiah, ia mengalami kemajuan yang cukup pesat seperti dalam bidang ekonomi, ilmu pengetahuan, pembinaan dan teknologi, kesenian, sastera serta politik.

Kemajuan dalam bidang ekonomi dan perdagangan membawa kesan kepada kemajuan ilmu pengetahuan, falsafah dan kebudayaan Islam.

Arab dan Kurdis

Penduduk Iraq terdiri daripada beberapa kumpulan etnik. Antara kumpulan etnik terbesar termasuklah Arab (75 peratus-80 peratus) dan Kurdis (15 peratus-20 peratus). Kumpulan etnik kecil lain seperti Tukorman dan Assyria.

Selain bahasa Arab (bahasa rasmi), penduduk Iraq juga menggunakan bahasa Turki Kurdis, Parsi, Assyria dan Armenia. Kira-kira 25 peratus daripada penduduk Iraq tinggal di kawasan perkampungan sebagai petani.

Syiah dan ahli sunnah

Sebanyak 97 peratus rakyat Iraq menganut agama Islam, 60-65 peratus daripadanya berfahaman Syiah, 32-37 peratus lagi ahli sunnah, tiga peratus menganut agama Kristian dan lain-lainnya.

Dahulu, agama menjadi punca keretakan hubungan. Konflik sering terjadi antara aliran Ahli Sunnah dengan Syiah. Laungan yang mengungkap luapan perasaan dalam upacara keagamaan boleh memanaskan suasana, bahkan perarakan dapat mencetuskan rusuhan.

Namun pada masa ini, permusuhan antara golongan Syiah dengan ahli sunnah telah berkurangan. Hubungan persahabatan antara kedua-dua kumpulan semakin baik.

Pemerintahan

Iraq adalah sebuah negara republik. Pemerintahannya diketuai oleh seorang presiden. Presiden menjadi panglima tertinggi angkatan bersenjata dan ketua Majlis Revolusi.

Dewan itu terdiri daripada para pimpinan dewan. Setiap wilayah dipimpin oleh gabenor yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri.

Di samping kehakiman umum, terdapat juga kehakiman agama yang menangani masalah status perseorangan dan masalah agama berdasarkan hukum Islam tradisional.

Selain itu, terdapat kehakiman agama bagi penganut Kristian dan Yahudi.

Pada zaman Bani Abbasiyah, Baghdad merupakan salah satu pusat ilmu yang banyak melahirkan ulama. Wilayah Iraq ditakluki tentera Arab Islam pada 633-637. Mereka membawa ajaran Islam dan bahasa Arab.

Musanna bin Harithah

Penaklukan Iraq pertama kali berlaku pada zaman Khalifah Abu Bakar al- Siddiq melalui angkatan yang dipimpin oleh Musanna bin Harithah. Tentera Islam di bawah kepimpinannya menakluki wilayah barat Sungai Furat.

Kemudian Abu Bakar sekali lagi mengirim tentera yang jumlahnya lebih besar di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid. Khalid yang menyerang dari arah utara dan menguasai kota Hirah dan pelabuhan al-Ubullah di Teluk Arab.

Sa’ad bin Abi Waqqas

Penaklukan kedua dan ketiga ke wilayah Iraq berlaku pada zaman Khalifah Umar bin al- Khattab. Semasa penaklukan kedua, serangan diarahkan ke utara Baghdad yang disebut Ard al-Sawad. Pertempuran itu disertai banyak panglima tentera Islam terbaik, antara lain Sa’ad bin Abi Waqqas (panglima paling berjaya dan paling luas taklukannya).

Semasa penaklukan ketiga, tentera Islam dipimpin oleh Iyad bin Ganam yang menyerang daerah yang dikuasai oleh bangsa Rom, yang disebut Ard al-Jazirah (tempat pertempuran antara tentera Parsi dengan Rom).

Ketika itu, tentera Islam menguasai kota-kota penting, seperti al-Raqqahdan al-Ruha. Setelah itu, mereka menyerang wilayah Armenia dan sekitarnya.

Pengembangan ilmu pengetahuan

Ketika Bani Abbasiah memerintah Iraq, wilayah itu mengalami kemajuan dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Hal itu memberikan kesan kepada pengembangan ilmu pengetahuan.

Pengembangan ilmu pengetahuan di Iraq dilakukan dengan beberapa cara. Cara pertama adalah penterjemahan buku-buku Yunani, Parsi, Syria, India dan Qibti ke bahasa Arab.

Selepas itu, para sarjana Islam membuat ulasan terhadap buku-buku yang diterjemahkan itu. Cara selanjutnya adalah menubuhkan pusat pendidikan dari peringkat dasar hingga peringkat tinggi, seperti Madrasah Nizamiyah.

Konflik berterusan boleh halang kecemerlangan kerja

Oleh Sharifah Hayaati

Perselisihan faham cetus perdebatan perlu dikawal

KITA sering berdepan pelbagai cabaran serta konflik dalam usaha mencapai kepuasan dan kecemerlangan kerja. Ibarat menuju satu destinasi, jalan dilalui ada yang lebar dan sempit, ada yang lurus dan berliku, menaiki dan menuruni bukit serta curam, indah pemandangan dan sebaliknya.

Begitu persekitaran kerja dalam mencapai destinasi kecemerlangan. Malah, salah satu faktor yang boleh menghalang kecemerlangan organisasi adalah konflik berterusan yang tidak diurus atau ditangani dengan baik.

Konflik daripada bahasa Latin ‘confligere’, bermaksud perselisihan atau pertentangan antara individu. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor perbezaan sama ada pemikiran, peranan, tanggungjawab, akhlak atau cara bertindak dan hasrat yang ingin dicapai.

Termasuk perbezaan pandangan, persepsi, pemahaman, pengetahuan, pendirian, pengalaman, ideologi, keinginan, matlamat, sifat atau sikap yang membentuk perbezaan peribadi dan tabiat. Dalam organisasi, konflik boleh berlaku sesama staf, dengan subordinat atau pengurusan atasan.

Konflik berlaku disebabkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan, arahan kerja, gaya komunikasi, agihan tugas, sempadan tanggungjawab atau bidang kuasa, perubahan matlamat, peraturan, pertindihan tugas dan perebutan ganjaran yang terhad.

Kepelbagaian ini dengan mudah menjuruskan individu kepada konflik yang jika berlarutan mampu mengundang perbalahan, permusuhan dan mengakibatkan pelbagai salah laku pentadbiran seperti ketidakcekapan, ketidaktelusan yang merugikan seluruh organisasi.
Islam mengakui perbezaan suatu tabii dan mempunyai hikmah dari rahmat Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Kalau Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itu mereka terus menerus berselisihan. Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, untuk itu Allah menjadikan manusia dan dengan demikian sempurna janji Tuhanmu.” (Surah Hud, ayat 118-119)

Menurut Dr Taha Jabir al-Alwani, perbezaan yang membawa kepada perselisihan terkandung dalam pelbagai istilah seperti al-khilaf (perbezaan pendapat), al-Khusumah (permusuhan atau perbalahan) dan al-Jidal (perdebatan).

Prinsip akhlak membenci perbezaan membawa kepada konflik permusuhan dan perbalahan berpanjangan yang melemahkan serta meragut kekuatan dinamakan Profesor Dr Yusof al-Qaradhawi sebagai perbezaan atau kepelbagaian pertentangan.

Khususnya dalam masalah kecil dan sampingan atau hukum furu’ kerana Islam menganjurkan sifat saling menghormati serta menghargai.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan taat kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan dan bersabar (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati).
Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Apabila perbezaan dapat diurus dengan baik dan berkesan, ia akan memberi banyak manfaat. Menurut Profesor al-Qaradhawi, perselisihan memberi kesempatan dan ruang untuk memilih pandangan yang baik, tepat serta berijtihad.

Konflik sifatnya provokatif dan menarik tindak balas orang ramai untuk memberi pandangan. Kehangatan konflik merangsang individu berfikir dan mencari idea alternatif. Tetapi perlu dikawal dan dikendalikan dengan berhemah supaya tidak mencetuskan perdebatan tidak sihat serta menjejaskan integriti staf.

Menghadapi konflik, kita perlulah terlebih dulu mengesan puncanya. Dari situlah beberapa langkah penyelesaian diusahakan. Antara panduan menguruskan konflik di tempat kerja ialah menyemarakkan kesedaran dan sistem bekerja secara berpasukan berpandukan matlamat organisasi.

Kedua, bagi konflik yang dicetuskan faktor peribadi seperti ego, bangga diri, salah sangka terhadap staf lain, tuduhan atau kenyataan tanpa asas dan bukti, berfikiran sempit serta fanatik, maka perlu diingatkan untuk kembali kepada asas akhlak.

Langkah mengukuhkan penerapan nilai teras seperti ikhlas, jujur, amanah, toleransi, hormat menghormati, mengamalkan kesederhanaan, muafakat, keterbukaan dan positif minda dalam organisasi perlu diberi keutamaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jauhilah kamu dari prasangka kerana ia kata-kata dusta. Jangan saling mencurigai, menghasut, iri hati dan saling membenci. Dan jadi kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ketiga, membina semangat setia kawan bertujuan mengeratkan silaturahim dalam organisasi.

Keempat, menyediakan ruang atau sistem maklum balas kualiti menyampaikan pandangan atau ketidakpuasan hati secara berhemah serta merapatkan jurang komunikasi.

Kelima, menyediakan khidmat pakar atau kaunseling dan keenam, tindakan disiplin bersesuaian dengan peraturan seperti memberi amaran, mengeluarkan surat peringatan, menggantung kenaikan dan sebagainya.

Tujuannya adalah menjaga kepentingan umum dan menolak kemudaratan supaya matlamat organisasi tercapai dalam suasana harmoni.

Kaedah masyhur Sheikh Muhammad Rasyid Ridha yang turut dipersetujui Imam Hassan al-Banna boleh dijadikan panduan berorganisasi iaitu, bekerjasama dalam masalah yang sudah disepakati dan saling bertolak ansur dalam masalah yang diperselisihkan.