Hiasan kulit buku manuskrip Islam


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

TERDAPAT pelbagai jenis kulit buku yang dihasilkan di seluruh dunia. Ada yang diperbuat daripada kulit haiwan, kertas, kayu dan juga tekstil. Kulit buku manuskrip Islam mempunyai sedikit kelainan berbanding kulit buku yang dihasilkan di Barat.

Kulit buku manuskrip Islam terutamanya al-Quran mempunyai satu bahagian tambahan yang dikenali sebagai penutup bahagian sisi manuskrip atau ‘flap‘ dalam bahasa Inggeris. Ini sesuai dengan fungsi kulit buku sebagai pelindung kepada manuskrip.

Kebiasaannya manuskrip Islam mempunyai kulit yang diperbuat daripada kulit haiwan akan diberi sentuhan hiasan. Kebanyakan hiasan yang digunakan di atas manuskrip Islam adalah minimum dan ia tidak mempunyai tajuk atau judul.

Teknik hiasan yang sering digunakan ialah teknik cap. Hiasan kulit buku disiapkan terlebih dahulu sebelum ia dicantumkan dengan helaian manuskrip yang telah siap dijahit.

Acuan logam yang mempunyai ukiran seperti yang digunakan dalam proses menghias kain batik di Kelantan, akan dicap di atas kulit buku bagi mendapatkan corak yang dikehendaki. Bentuk yang selalu menjadi pilihan ialah medalion sama ada bulat ataupun bujur.

Kerangka hiasan terdiri daripada bingkai dan hiasan tengah. Hiasan yang minimum kadangkala hanya menggunakan satu corak medalion di bahagian tengah tanpa sebarang bingkai hiasan.

Bagi manuskrip yang dimiliki oleh golongan berada seperti keluarga diraja ataupun bangsawan, hiasan yang telah dicap akan diwarnakan dengan cat ataupun air emas.

Ia akan menyerlahkan lagi corak yang terdapat di atas kulit buku manuskrip tersebut dan melambangkan status pemilik manuskrip. Motif yang menjadi pilihan ialah motif bunga ataupun arabesque.

Berlainan dengan kulit buku wilayah Islam lain yang sering menggunakan warna asal kulit haiwan seperti coklat ataupun hitam, kulit manuskrip terutamanya al-Quran yang dihasilkan di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, diwarnakan dengan warna merah tua dan dihias serta diserlahkan dengan penggunaan kerajang emas yang dicap di atas kulit buku.

Tekstil atau kain

Di Turki, selain kulit haiwan, terdapat juga buku yang menggunakan kertas sebagai kulit buku. Ia diperkukuhkan dengan penggunaan papan kertas. Dari segi hiasan ia menggunakan teknik lukisan dan motif hiasan yang dipilih ialah motif bunga-bungaan atau buah-buahan.

Di Iran, lukisan bunga yang berwarna-warni di atas kulit buku dikemaskan lagi dengan penggunaan lakuer. Ia juga memberikan kesan kilat di atas permukaan kulit buku dan melindungi lukisan daripada rosak.

Satu lagi jenis bahan yang digunakan untuk menghias manuskrip ialah tekstil atau kain. Di dunia Melayu kain tenun sering menjadi pilihan bagi menghias kulit buku. Tekstil ini dipotong mengikut saiz buku dan ia dilekatkan pada kulitnya secara kekal. Warna kain tenun yang sering digunakan terdiri daripada warna-warna terang seperti merah dan kuning.

Selain daripada papan kertas yang sering digunakan bagi mengukuhkan kulit buku kerana ketebalan dan kekerasannya, terdapat juga kulit buku yang dihasilkan daripada helaian kertas manuskrip rosak yang ditampal dalam beberapa lapisan sehingga menjadi tebal dan keras. Ia kemudiannya di balut dengan kain bagi memperindahkan lagi kulit buku tersebut.

Sesetengah manuskrip mempunyai bekas khas untuk menyimpannya. Bekas ini terdiri daripada kotak ataupun beg yang dihasilkan khusus untuk sesebuah manuskrip.

Ia diperbuat daripada pelbagai jenis bahan seperti kayu, kulit haiwan, tekstil dan juga logam.

Selain digunakan sebagai tempat untuk menyimpan ia juga digunakan untuk membawa manuskrip ketika bermusafir.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: