DOSA BESAR DAN KEAMPUNAN


Soalan 29 : Jika seseorang telah menunaikan taubat nasuha tetapi dia mengulangi semula dosa besar maka adakah taubatnya akan diterima oleh Allah atau sebaliknya

        Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani kepada semua hambaNya. Dia akan mengampuni segala dosa samada besar atau kecil kecuali mereka yang syirik kepadaNya. Bagi mereka yang sentiasa melakukan dosa kecil boleh terjebak kepada dosa besar disebabkan dia sentiasa melakukannya dalam keadaan sedar dan tahu tentang dosa tersebut yang menyebabkan dia tergolong dalam golongan fasik. Manakala mereka yag telah insaf dan bertaubat dengan taubat nasuha daripada sebarang dosa besar kecuali syirik maka dia mestilah sentiasa menaruh harapan agar Allah mengampuninya disamping sentiasa berasa takut dan gerun kepada kemurkaan Allah yang akan menimpanya sehingga dia sentiasa bersungguh dalam menghindari segala cabang-cabang atau percikan maksiat yang boleh menjerumuskannya sekali lagi kepada dosa yang besar.

Masalah mereka yang pernah berbuat dosa besar kemudian bertaubat dengan taubat nasuha atau bersungguh-sungguh dengan memenuhi segala syaratnya terutama bertaubat kepada Allah dalam keadaan tahu bahawa dia melakukan dosa besar, sesal di atas perbuatan dengan bersungguh-sungguh, berazam tidak akan melakukannya lagi serta sentiasa menjauhi sebarang perkara yang boleh menyebabkannya melakukan dosa besar buat kali seterusnya.

        Jika dia melakukan sekali lagi dosa besar selepas bertaubat dengan taubat nasuha maka tanyalah dirinya sendiri samada dia betul-betul bertaubat sebelum ini atau tidak dan adakah dia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhi segala perkara yang boleh membawa kepada melakukan dosa yang sama atau pun sebaliknya. Dalam masalah ini ingatlah kepada kisah seorang ulama’ yang memberi nasihat kepada orang yang membunuh 99 orang yang tidak berdosa dan mahu bertaubat lalu antara cara untuk dia bertaubat ialah dengan meninggalkan tempatnya berhijrah ke suatu tempat yang lebih baik keadaannya yang membolehkannya menjauhi sebarang perkara yang boleh menjatuhkannya ke dalam dosa besar.Tanyalah diri sendiri samada tempat yang kita tinggal sekarang mampu mengawal akhlak kita atau sebaliknya. Jika tidak lakukanlah penghijrahan sementara sehingga kita mampu menjauhi sebarang perkara yang boleh membawa kita untuk melakukan dosa yang sama.Dia juga mesti bertanya kepada dirinya tentang sebab dia boleh terjebak kembali dengan dosa yang sama selepas bertaubat nasuha iaitu samada dia dia sendiri yang membuka ruang itu kerana terlalu mengikut nafsu atau pun dia telah sedaya upaya mungkin menghindarinya tetapi godaan yang datang gagal dihadapinya.

        Dalam masalah ini juga dia mesti mempunyai perasaan khauf iaitu terlalu takut kepada kemurkaan Allah di atas perbuatan yang dilakukan sehingga dia bersungguh-sungguh untuk bertaubat dan bersungguh pula untuk menghindari segala perkara yang boleh membawa kepada dosa besar. Perasaan khauf atau terlalu gerun dengan kemurkaan Allah ini penting agar tidak timbul dalam hatinya perasaan terlalu memudahkan sesuatu seperti menganggap bahawa Allah sentiasa mengampuni dosanya walau pun dia kerap kali melakukannya sehingga dia tidak bersungguh dalam bertaubat malah sentiasa membuka ruang untuk melakukan dosayang sama.  Ingatlah bahawa mukmin yang sejati apabila melihat dosa maka merasakan bahawa ia begitu berat sebagaimana merasakan bahawa sebuah bukit yang besar ingin menghempapnya manakala seorang fasik dan munafik apabila melihat maksiat maka dianggap seperti seekor lalat yang hinggap dihidungnya di mana ia boleh dihalau bila-bila masa sahaja. Disamping dia juga mesti mempunyai rasa raja’ iaitu terlalu mengharap agar Allah sentiasa membuka pintu keampunanNya agar dia tidak akan merasa kecewa dan putus asa sehingga menganggap dirinya tidak akan diampuni lagi yg menyebabkan dia tidak lagi bertaubat malah terus bergelumang dengan dosa kerana kekecewaan dan perasaan bahawa Allah tidak lagi akan mengampuni dosanya. Dia juga mesti menghitungkan diri sendiri tentang ilmu dan keyakinan terhadap Allah yang boleh mendatangkan perasaan bahawa Allah sentiasa memerhatikan setiap gerak-gerinya disamping Raqib dan ‘Atid sentiasa menulis segala kelakuannya.Wallahu a’lam…

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: