Kutahya pewaris seramik Iznik Turki


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Bola Seramik Hiasan Kutahya, Turki. Abad ke 19 Masihi / Abad ke 13 Hijrah

KUALITI barangan seramik Iznik mengalami masalah kemerosotan kualiti
yang teruk pada abad ke 17 Masihi selepas ia dikagumi ramai selama lebih
kurang 200 tahun. Antara sebab utama kemerosotan kualiti barangan Iznik
ialah kerana campur tangan istana, kekurangan bahan mentah, masalah
kawalan harga yang terlalu ketat dan penghijrahan keluar pembuat seramik
dari Iznik.

Pada abad ke 17 Masihi, seorang pegawai kanan empayar Uthmaniyah
telah cuba untuk mengukuhkan kembali industri seramik Iznik dengan
membawa dua orang pakar pembuat seramik Iznik ke Istanbul untuk
memulakan bengkel seramik Iznik semula. Malangnya kesinambungan kraf
seramik ini gagal mencapai keputusan yang dikehendaki kerana terdapat
pelbagai masalah teknikal.

Sewaktu industri seramik Iznik semakin merudum, satu lagi pusat
pembuatan seramik empayar Uthmaniyah mula mendapat perhatian. Kutahya
yang juga merupakan pusat pengeluaran barangan seramik Uthmaniyah
semakin digemari dan semakin popular di kalangan rakyat tempatan dan
juga pendatang asing.

Sewaktu abad ke 17 Masihi, harga barangan seramik Kutahya mula
meningkat dan mengatasi harga barangan seramik Iznik di pasaran. Sebagai
contoh, pada tahun 1623 Masihi, sebiji pinggan Kutahya berharga 500
akne (mata wang Uthmaniyah ketika itu) berbanding harga dua belas biji
pinggan Iznik yang berharga 60 akne keseluruhannya.

Barangan seramik Kutahya mendapat permintaan tinggi kerana motif
hiasan dan jenis produk yang berlainan berbanding barangan seramik yang
dikeluarkan di Iznik. Motif hiasan Kutahya dikatakan lebih digemari
kerana ia sesuai dengan cita rasa golongan pembeli yang bukan daripada
golongan istana. Motif hiasannya memaparkan motif harian dan legenda
yang menepati cita rasa golongan di luar istana berbanding motif hiasan
barangan Iznik yang terlalu kompleks seperti tughra dan rumi hatayi yang
sesuai untuk kegunaan istana.

Seramik keluaran Kutahya juga turut mendapat permintaan daripada
golongan bukan Islam untuk hiasan seni bina rumah ibadat mereka
terutamanya gereja. Pembuat barangan seramik Kutahya juga memenuhi
permintaan masyarakat bukan Islam untuk mendapatkan motif-motif
keagamaan yang mereka perlukan seperti yang terdapat di dalam gereja St
James di Jerusalem.

Antara bangunan empayar Uthmaniyah abad ke 18 Masihi yang menggunakan
seramik Kutahya ialah Masjid Yeni Valide di Istanbul, Balikli Tekkesi
di Kutahya, Masid Nakiboglu di Konya, Masjid Beylerbeyi di Istanbul dan
Masjid Ali Pasha di Kutahya.

Motif yang menunjukkan ilustrasi Ka’abah di Mekah di atas seramik
turut bermula dengan seramik Kutahya. Ia juga turut memperlihatkan
penambahan warna yang digunakan di atas barangan seramik Kutahya seperti
kuning dan biru kundang. Kedua-dua warna ini mendapat permintaan yang
tinggi daripada pembeli.

Seperti Iznik, Kutahya juga mengalami saat-saat kemerosotan pada abad
ke 18 Masihi tetapi industri ini mampu bangkit semula pada abad ke 20
dan terus mewarisi kegemilangan industri seramik Iznik sehingga ke hari
ini dengan menggunakan motif hiasan seramik Iznik seperti bunga tulip,
teluki (carnation), hyacinths dan sebagainya atas permintaan pembeli
yang tinggi. Sokongan daripada kerajaan di awal abad ke 20 Masihi dengan
mewajibkan bangunan baru menggunakan hiasan seramik Kutahya membantu
mengukuhkan industri seramik Kutahya.

Selain pembuat seramik Kutahya, terdapat juga pembuat seramik di
Jerusalem dan di Eropah yang meneruskan penggunaan motif hiasan seramik
Iznik walaupun ia tidak mempunyai kualiti yang setanding dengan barangan
seramik Iznik.

Barangan seramik Iznik dan Kutahya ada dipamerkan di galeri seramik
Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM). MKIM juga akan menerbitkan sebuah
buku mini baru yang berjudul The Essence of Iznik tidak lama
lagi. Buku mini ini sesuai untuk bacaan umum dan para pelajar seni
sebagai pengenalan kepada seni barangan seramik Iznik. Ia boleh didapati
di Kedai Muzium Kesenian Islam Malaysia atau lawati laman sesawang
muzium di http://www.iamm.org.my untuk maklumat lanjut.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: