Surah al-Falaq elak bencana


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SURAH ini termasuk dalam Surah Makiyyah. Inilah pendapat Ibn Abbas,
al-Hasan, Ata’, Ikrimah dan Jabir. Sedangkan mengikut riwayat yang lain
daripada Ibn Abbas dan Qatadah bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyah.

Ibn al-Jauzi berkata: Pendapat ini lebih kuat daripada yang pertama.
Ia mengandungi lima ayat dan diturunkan selepas surah al-Fil.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh.

Al-Mawardi berkata: Surah ini dimulakan dengan qul yang membawa maksud katakanlah kerana Allah telah perintahkan nabi-Nya berkata demikian.

Ibn al-Jauzi menyebut enam pendapat berkenaan tafsir al-Falaq:

i. Ia adalah waktu Subuh seperti pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Sa’id bin Jubair, Qatadah, al-Qurazi dan Ibn Zaid.

ii. Ia adalah makhluk semuanya.

iii. Ia adalah penjara dalam neraka jahanam seperti pendapat Ibn
Abbas juga dan Wahab serta Suddi yang menafsirkan telaga dalam neraka
jahanam atau lembah dalam neraka jahanam.

iv. Pohon kayu dalam neraka seperti pendapat Abdullah Ibn Umar.

v. Setiap yang terbelah daripada sesuatu seperti cahaya Subuh, benih yang tumbuh daripada bijian. Inilah pendapat al-Hasan.

vi. Satu nama daripada neraka jahanam. Inilah pendapat Abu Abdul Rahman Abdullah bin Yazid al-Habali.

Sayid Qutub berkata: Sama ada dipakai dengan pengertian: Aku pohon
perlindungan pada Tuhan yang menjadi waktu pagi yang memberi keamanan
dengan cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersembunyi
atau dipakai dengan pengertian Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang
memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan
makhluk.

Oleh itu kedua-dua pengertian ini sesuai dengan ayat-ayat yang kemudian.

Firman Allah SWT: Dari kejahatan makhluk-Nya.

Berkenaan dengan ayat ini ada tiga pendapat:

i. Ia adalah umum. Inilah pendapat yang azhar.

ii. Ia adalah semua kejahatan yang diciptakan seperti Iblis dan zuriatnya. Inilah pendapat al-Hasan.

iii. Neraka jahanam. Inilah pendapat al-Mawardi.

Al-Maraghi berkata: Aku berlindung, memohon pelindung kepada zat yang
menjadi Tuhan semua makhluk, pencipta segala yang ada dari segala
penyakit dan keburukan yang menimpaku antara salah satu makhluk daripada
makhluk-makhluk seluruhnya.

Kemudian disebutkan secara khusus sebahagian makhluk yang banyak
mendatangkan bencana, lalu memohon perlindungan kepada Allah SWT
daripada kejahatan mereka dan menolak bencana yang ditimbulkan olehnya.

Firman Allah SWT: Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita.

Maksud ayat ini pada perkataan ghasiq ada empat pendapat:

i. Matahari apabila tenggelam. Inilah pendapat Ibn Shihab.

ii. Bulan apabila ditutupi awan.

iii. Bintang thuraya apabila jatuh.

iv. Malam yang berlabuh kerana pada waktu itu keluarnya binatang buas
dan serangga. Begitu juga penjahat berkeliaran pada waktu itu. Inilah
pendapat Ibn Abbas, al-Dahhak, al-Suddi dan lain-lain.

Al-Maraghi berkata: Iaitu daripada kegelapan malam ketika malam itu datang dan menutup segala sesuatu dengan kegelapannya.

Malam hari gelap-gelita itu mengerikan dan menimbulkan ketakutan
kerana kegelapan malam menjadi tempat berlindung bagi orang jahat ketika
bermaksud jahat dan kegelapan malam menolong bagi musuh.

Firman Allah SWT: Dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul.

Al-Imam Muhammad Abduh berkata: Dalam masalah ini, terdapat banyak
hadis yang menerangkan bahawa baginda pernah disihir oleh Labid Ibn
al-A’sam. Sihir itu telah berjaya mempengaruhi (meresapi) diri baginda,
sehingga mengkhayalkan baginda dan menyebabkan baginda seolah-olah
melakukan sesuatu padahal baginda tidak melakukannya, atau baginda
seperti mendatangi sesuatu, sedangkan Baginda tidak mendatanginya.

Kemudian, Allah SWT menjelaskan kepadanya hal itu, seterusnya bahan
sihir itu dikeluarkan daripada sebuah perigi. Setelah itu barulah
Rasulullah SAW sembuh daripada penderitaannya dan diturunkan surah ini.

Sudah tentu pengaruh sihir terhadap Nabi Muhammad SAW itu menyentuh
akan dan mempengaruhi rohani Baginda. Jika demikian, benarlah kata-kata
kaum Musyrikin tentang Baginda itu sebagaimana firman-Nya yang
bermaksud: Kamu tidak menurut melainkan seorang yang kena sihir. (al-Israk: 47)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: