Ibnu Abbas profesor ulung dunia Islam


Masjid Abdullah bin Abbas yang terletak di Taif.

ABDULLAH bin Abbas atau Ibnu Abbas adalah antara beberapa orang tokoh
Islam yang belum menjangkau usia dewasa ketika wafatnya Rasulullah SAW.
Namun, ketika mencapai umur dewasa, beliau telah menjadikan dirinya
sebagai ilmuwan terbilang, setaraf dengan ilmuwan Islam lain seperti
Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan sebagainya. Salah satu keistimewaan
Abdullah berbanding para sahabat Rasulullah yang lain ialah tentang
keluasan ilmu yang dimiliki oleh beliau.

Beliau terkenal sebagai tokoh yang menguasai pelbagai bidang ilmu
pengetahuan, antaranya ilmu sastera dan bahasa Arab, ilmu tafsir, ilmu
matematik, dan ilmu faraid. Justeru, keluasan ilmunya itu membolehkan
beliau mendapat gelaran pendeta Islam atau ‘profesor’ dalam konteks
bahasa moden pada hari ini. Maka, Abdullah merupakan profesor ulung
dalam dunia Islam. Kejayaan yang beliau peroleh salah satu puncanya
adalah doa Rasulullah.

Doa Rasulullah ternyata dimakbulkan oleh Allah SWT apabila Abdullah
berjaya memiliki sifat-sifat tersebut tatkala beliau mencapai umur
dewasa. Abdullah tergolong dalam keluarga Rasulullah dan beliau adalah
sepupu baginda kerana ayah Abdullah, iaitu Abbas bin Muttalib adalah
bapa saudara Rasulullah.

Apabila Rasulullah wafat, Abdullah masih kecil lagi dan adalah
diriwayatkan bahawa beliau telah melakukan solat di belakang baginda
semasa umurnya tidak kurang daripada lapan tahun. Sedari kecil Abdullah
gemar bermain di rumah baginda dan pada suatu hari ketika Abdullah
berlari menuju ke rumah baginda, beliau ternampak baginda Rasulullah
sedang berwuduk, maka dengan segera Abdullah menghulurkan air wuduk
untuk Rasulullah. Perbuatan Abdullah amat menggembirakan baginda
Rasulullah dan setelah baginda selesai menunaikan solat, lantas Baginda
memangku Abdullah sambil mengusap kepala Abdullah lalu baginda berdoa:
“Ya Allah berikanlah keberakahan kepadanya dan berikanlah ilmu
daripadanya.”

Satu lagi peristiwa yang diriwayatkan mengenai Abdullah ialah kisah
beliau terpandang Malaikat Jibril. Menurutnya, pada suatu hari ketika
beliau memasuki rumah Rasulullah, Abdullah telah ternampak ada seorang
lelaki yang tidak dikenalinya sedang bersama Rasulullah. Lantas Abdullah
segera pulang akibat terlalu gementar dan terus memberitahu ayahnya
Abbas bin Muttalib. Kemudian ayahnya berkata, “Wahai anakku, kau telah
melihat Jibril yang kebetulan sedang bertemu dengan Rasulullah SAW.”

Mencapai pelbagai kejayaan

Ketika Abdullah bin Abbas meningkat dewasa, beliau telah mencapai
kedudukan yang terkemuka di kalangan para sahabat Rasulullah. Beliau
telah bekerja keras mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah dan memahami
al-Quran sedalam mungkin serta memberikan fatwa-fatwa kepada masyarakat
berhubung dengan hukum agama.

Menjelang zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, Abdullah telah
mencapai berbagai-bagai kejayaan, antaranya sebagai ahli tafsir dan
hadis yang terkemuka sehingga orang ramai dari seluruh pelosok negeri
berminat untuk menuntut ilmu dengannya.

Khalifah Umar bukan sahaja sentiasa berada di sisi Abdullah bahkan
sentiasa bertukar pandangan dengannya sepertimana yang selalu Rasulullah
lakukan dengan para sahabat. Sebagai tanda penghargaan kepada Abdullah,
Saiidina Umar telah mengelarkan Abdullah sebagai: “Ibnu Abbas adalah
seorang pemuda yang telah tua ilmunya, mempunyai lidah yang amat
berharga dan mempunyai hati yang bersih.”

Selain itu, Saidina Umar pernah berkata: “Sebaik-baik tafsir al-Quran
adalah daripada Ibnu Abbas. Jika umurku masih panjang, nescaya aku akan
selalu berdampingan dengan Abdullah bin Abbas.”

Di samping itu, Umar al-Khattab juga pernah berkata bahawa: “Tidak
ada fatwa yang lebih baik yang pernah aku dengar melainkan daripada
fatwa Ibnu Abbas.” Demikianlah kebesaran Ibnu Abbas sebagai tokoh tafsir
yang tiada tolok bandingnya. Segala puji bagi Allah yang telah
memperkenankan doa Rasulullah terhadap diri Abdullah.

Pada zaman pemerintah Saidina Uthman bin Affan pula, Abdullah juga
memperoleh keutamaan sama seperti pada zaman pemerintahan Saidina Umar .
Semasa zaman pemerintahan Saidina Uthman, Abdullah telah dilantik pada
tahun terakhir pemerintahan Uthman sebagai Khalifah.

Namun, Abdullah tetap tegas dengan pendiriannya bahawa jika sesuatu
perkara itu adalah hak mahupun benar beliau akan memberitahu Uthman
walaupun khalifah amat sayang kepada beliau.

Menurut satu riwayat, bahawa pada suatu hari ada serombongan sahabat
telah datang mengadap Khalifah Uthman untuk membicarakan sesuatu
masalah. Antara yang terlibat dalam rombongan tersebut ialah Abdullah.
Semua anggota rombongan tersebut telah kembali tanpa memperoleh manfaat
daripada kunjungan tersebut melainkan Abdullah di mana beliau meneruskan
perbincangannya dengan Khalifah secara mendalam dengan menggunakan
bahasa yang lebih lembut serta sindiran-sindiran yang halus dan dalam
sehingga Khalifah Uthman bin Affan memperkenankan apa yang diminta oleh
Abdullah serta para sahabat yang terlibat dalam rombongan tersebut.

Ketika meletusnya ketegangan pendapat antara pihak Saidina Ali bin
Abu Talib dengan pihak Muawiyah bin Abu Sufyan berkaitan dengan
pembunuhan Khalifah Uthman, Abdullah dengan tegas telah memberikan
sokongannya kepada Saidina Ali sebagai Khalifah yang seterusnya dan
Saidina Ali amat menyenangi dan menyayangi Abdullah dan mengangkatnya
sebagai Gabenor di kota Basrah.

Sungguh Allah telah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada Abdullah
hingga beliau memiliki otak yang cerdas dan telah berjaya menjadikan
dirinya sebagai sumber utama ilmu tafsir pada abad pertama. Justeru,
beliau telah digolongkan sebagai ulama besar, pendeta mahupun profesor
ulung dalam dunia Islam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: