Konsep wasatiyyah dalam ekonomi Islam


Umat islam perlu mengamalkan berbelanja secara sederhana walaupun berhadapan dengan kempen jualan murah.

WASATIYYAH adalah salah satu daripada ciri-ciri keistimewaan Islam dan merupakan satu tanda kebaikan yang ada pada agama itu sendiri.

Wasatiyyah boleh dirujuk sebagai pertengahan, sederhana dan tidak melampau. Islam merupakan agama wahyu yang bersifat wasatiyyah.

Manhaj wasatiyyah yang ada pada Islam menurut Al-Qaradawi merupakan kaedah terbaik yang telah menjadikan dakwah Islam berkembang dan menyinarkan cahayanya ke seantero alam.

Sifat ini jugalah menjadikan Islam satu cara hidup yang sentiasa relevan melangkaui batasan masa mahupun sempadan geografi.

Allah SWT juga menerusi firman-Nya menobatkan umat Islam sebagai umat yang memiliki sifat wasatiyyah.

Firman-Nya yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam) sebagai umat yang pertengahan (umat pilihan dan adil) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad SAW) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (al-Baqarah: 143)

Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk mengatur kehidupan manusia agar mencapai hasanah di dunia dan juga hasanah di akhirat.

Daripada sudut ekonomi yang berpaksikan kepada nilai sejagat, Islam telah membuktikan kepada dunia bahawa Islam mampu membina peradaban yang maju dari sudut kebendaan tetapi terikat dengan akhlak yang mulia.

Islam berjaya menyediakan satu landasan yang sempurna dalam menguruskan sumber alam yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk kebaikan dan keperluan umat manusia.

Islam meletakkan kekayaan itu sebagai satu amanah Allah yang perlu dijaga dengan baik dan digunakan untuk mencapai keredaan Allah.

Untuk lebih memahami maksud sifat wasatiyyah ini maka sudah pasti ia dapat dilihat pada peribadi Rasulullah. Baginda adalah contoh terbaik yang telah menterjemahkan sifat ini secara praktikal tiada siapa pun yang boleh mempertikaikannya.

Sifat sederhananya baginda telah dirakamkan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).… (al-Fath-29)

Para sahabat bersifat tegas terhadap orang-orang kafir dan berlemah-lembut dan berkasih-sayang sesama mereka.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya. (Muntafaq ‘Alaih)

Sederhananya baginda, sekalipun menjadi ketua negara namun Rasulullah adalah orang yang pertama sekali merasakan lapar di saat umat menderita kelaparan dan yang terakhir sekali merasakan kenyang di saat mereka dalam kemakmuran.

Aisyah berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah kenyang sepanjang tiga hari berturut-turut. Kalau seandainya kami mahu, pasti kami kenyang, akan tetapi beliau selalu mengutamakan orang lain daripada dirinya (sendiri). (riwayat Baihaqi).”

Abu Hurairah berkata: Rasulullah keluar dari dunia (wafat) dan beliau belum pernah kenyang dari roti gandum. (riwayat Bukhari dan Tirmidzi)

Rasulullah menolak untuk mengambil alas tidur yang enak (empuk) dan bantal beliau terbuat dari kulit pohon. Baginda juga tidur atas tikar sampai membekas di lambungnya. Baginda wafat dengan mengenakan pakaian yang sudah lusuh dan sarung yang kasar.

Demikian juga Abu Bakar, Umar dan Ali hingga Umar pernah berkata: “Saya dengan harta ini tidak lain kecuali seperti wali anak yatim. Jika saya sudah cukup, maka saya berhati-hati, tetapi jika saya memerlukannya maka saya memakannya dengan makruf (baik).”

Cara hidup Baginda inilah telah dijadikan sebagai asas ciri-ciri sasatiyyah dalam aktiviti ekonomi Islam, sederhana dan seimbang diantara tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Disamping itu, sederhana dalam ekonomi dari kaca mata Islam ialah meletakkan dasarnya kepada Al-Quran dan al-sunah, tidak menghalalkan yang haram dan tidak mengharamkan yang halal.

Allah melarang keras memakan harta dengan cara yang batil. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah ( tipu, judi dan sebagainya ), kecuali dengan (jalan) perniagaan yang di lakukan secara suka sama suka di antara kamu. (al-Nisa’: 29)

Seterusnya, termasuk dalam lingkungan wasatiyyah juga apabila manusia itu menyedari bahawa tugasnya adalah sebagai khalifah untuk membangun dan menguruskan dunia ini dengan acuan yang ditetapkan oleh Allah.

Sentiasa menyedari bahawa seluruh yang ada di alam semesta ini seperti langit, bumi serta sumber alam yang ada padanya, bahkan harta kekayaan yang dikurniakan oleh Allah. Manusia selaku khalifahnya hanya diberi amanah untuk menguruskannya sahaja sedangkan pemilik mutlaknya adalah Allah SWT.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Allah jua lah yang menguasai alam langit dan bumi dan segala yang ada padanya;dan Dialah jua yang amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Maaidah: 120)

Di bawah sifat sasatiyyah ini juga konsep persaudaraan amat penting. Umat Islam itu bersaudara bukan bermusuh. Jika konsep persaudaraan mampu di wujudkan, maka ekonomi umat Islam tidak akan dikuasai oleh orang kafir. Akan tetapi realitinya tidak demikian.

Umat Islam masih rapuh, banyak penyakit terkeji di dalam diri mereka seperti iri hati, menghasut, ingin melihat saudaranya susah, memfitnah dan sebagainya.

Allah SWT menggambarkan mereka ini umpama seorang perempuan yang menguraikan benang yang sudah diikat dengan kuat lalu menjadi cerai-berai kembali.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh, dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya ( untuk mencabuli perjanjian yang telah di meteraikan ) sesama kamu, di sebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu, dan ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya. (an-Nahl: 92)

Islam menjamin kejayaan yang hakiki kepada umatnya. Untuk maju dan berdaya saing ramuan kejayaan generasi awal Islam perlu dihidupkan semula.

Ia seperti yang pernah diungkapkan oleh Imam Malik bahawa tidak akan baik umat akhir zaman melainkan mereka mengambil cara bagaimana generasi awal Islam membina kejayaan mereka.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: