185 Masjid sekitar Bangkok


Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
(Yang menyertai Lawatan Khas Masyarakat Pelbagai Budaya di Thailand anjuran Kedutaan Diraja Thailand, Kuala Lumpur, baru-baru ini)

Keunikan dan ketinggian seni pertukangan masyarakat Thailand terpampang pada mihrab dan mimbar Masjid Bangluang, Bangkok.

ISLAM itu indah. Justeru ia turut menghargai nilai estetika terutama dalam senibina masjid. Sememangnya, kita tidak boleh menafikan pengaruh budaya dalam senibina masjid. Ini dapat diperhatikan pada masjid-masjid di sekitar Bangkok, Thailand.

Sebagaimana yang kita maklum, Thailand adalah negara yang majoriti rakyatnya beragama Buddha. Namun begitu, terdapat 4,000 masjid di seluruh negara tersebut.

Malah, di Bangkok sahaja terdapat 185 masjid. Daripada jumlah tersebut, 110 daripadanya mengendalikan sekolah untuk para pelajar yang dioperasi sepenuhnya oleh pihak masjid.

Ini antara lain menjadi petunjuk kepada keterbukaan kerajaan Thailand terhadap kebebasan beragama di negara gajah putih ini.

Seorang pakar perkembangan Islam Thailand di Universiti Thammasat, Prof. Madya Dr. Jaran Maluleem menganggarkan umat Islam di Thailand kini mencecah 6.5 juta iaitu 10 peratus daripada populasi penduduk negara itu.

Untuk itu, masjid-masjidnya tidak dapat lari daripada pengaruh ciri-ciri masyarakat majoriti Buddha iaitu pagoda. Selain itu, ketinggian hasil kerja tangan pengukirnya turut terserlah pada mimbar dan mihrabnya.

Masjid Bangluang yang terletak di barat tebing Sungai Chao Phraya misalnya menggabungkan ketiga-tiga ciri senibina iaitu tradisional Thai, Eropah dan China.

Ia dibina pada zaman pemerintahan King Rama I (tahun 1782-1809. Bagaimanapun, ia masih mempunyai ciri-ciri Islam iaitu 30 tiang dan 12 tingkap iaitu menggambarkan jumlah 30 juzuk al-Quran dan 13 rukun sembahyang.

Ruang solatnya tidak banyak berbeza dengan masjid-masjid di Malaysia. Cuma, mimbarnya agak unik (lihat gambar).

Imamnya, Ramadan berkata, ada kira-kira 1,500 penduduk Islam di kawasan tersebut yang kebanyakannya berhijrah dari Ayuthayya.

Katanya, selain masjid, turut dibina sekolah agama yang digunakan oleh 100 pelajar setiap hari untuk mendalami ilmu agama.

“Alhamdulillah, masjid kita sentiasa diimarahkan oleh para jemaah setiap kali solat lima waktu. Keadaan bertambah meriah apabila tiba bulan Ramadan,” katanya.

Ramadan turut menunjukkan koleksi al-Quran tulisan tangan 30 juzuk yang disimpan dengan elok di masjid tersebut.

Ia adalah hasil tulisan ulama menggunakan biji padi di Ayuthayya.

Sementara itu, Masjid Tonson pula adalah satu lagi masjid tumpuan umat Islam di Bangkok. Sebabnya, selain solat jemaah ia diimarahkan dengan pelbagai majlis ilmu.

Imamnya, Datuk Paduka Dr. Fauzan Faizal berkata, masjid itu kini sedang dalam fasa akhir kerja-kerja pengubahsuaian.

Ia bagi memberi lebih keselesaan kepada para jemaah terutama menjelang bulan Ramadan tidak berapa lama lagi.

Malah, katanya, sembilan Sheikhul Islam di Thailand semuanya ‘anak didik’ masjid tersebut yang dikatakan dibina sebelum pemerintahan Kong Song Tham pada tahun 1610-1628.

Oleh itu, masjid yang terletak di Jalan Wang Doem ini dianggap masjid tertua di Bangkok. Ia pernah diubah suai kali pertama pada tahun 1954.

Di luarnya terdapat tanah perkuburan Islam yang turut menempatkan jenazah ibu King Rama II serta jenazah orang kenamaan Thailand.

Selain itu, terdapat masjid Jamiul Khoiriyah dan Sulukul Mustaqim di bawah Yayasan Muslim Ban Khrua.

Masjid Jamiul Khoiriah yang dibina sejak 200 tahun lalu boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah pada sesuatu masa. Ia turut dilengkapi dengan sekolah agama.

Sementara itu, Imam Masjid Sulukul Mustakim, Yaakob Nakshom berkata, terdapat kira-kira 500 keluarga Islam di sekitar kawasan tersebut.

“Masjid ini asalnya dibuat daripada kayu tetapi diubahsuai kepada keadaan sekarang iaitu bangunan tiga tingkat kira-kira 24 tahun lalu,” katanya.

Tingkat bawahnya adalah ruang lapang yang digunakan sebagai dewan dan juga lokasi indoor games seperti karom serta dilengkapi televisyen.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: