Penjenamaan produk zakat


Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

SEBUAH institusi zakat mestilah beraksi sebagai entiti yang bersaing dalam pasaran. Sungguh pun pesaing langsungnya mungkin tiada, kerana institusi zakat bermain di padangnya sendiri (dalam konteks Malaysia, mengikut wilayah dan negeri masing-masing), namun ia masih bersaing dengan pelbagai pesaing tidak langsung yang sentiasa menarik prospek zakat daripada mendekati institusi zakat.

Apa yang dimaksudkan dengan pesaing tidak langsung ini ialah segala sesuatu yang mampu menyebabkan seseorang yang sudah layak berzakat tetapi gagal melunaskannya kerana halangan tertentu.

Sebagai contoh, mungkin kerana dia membuat terlalu banyak komitmen kewangan, hutang peribadi dan pelbagai pembiayaan lain sehingga gagal menjadi seorang muslim yang baik dan sentiasa mengutamakan zakat dalam kalendar tahunan hidupnya.

Maka, dalam konteks ini kita boleh menganggap institusi kewangan lain, bank misalnya dan juga segala jenis perniagaan yang menawarkan kredit kepada pengguna adalah pesaing tidak langsung kepada institusi zakat.

Seandainya institusi zakat gagal menarik perhatian prospek, maka pesaing-pesaing inilah yang berjaya mencuri perhatian dan seterusnya ‘wang’ mereka.

Oleh itu, produk zakat perlu dijenamakan semula agar ia menjadi lebih catchy dan menarik untuk ‘dibeli’. Ayam goreng biasa jika ditukar kepada ‘ayam goreng madu bersalut rempah’, bukankah lain bunyinya.

Demikianlah keadaannya, zakat. Al-mal al-mustafad mungkin tidak mampu menarik orang untuk mengenalinya; berbanding ditukar kepada ‘zakat pendapatan’. Ini kerana, manusia hari ini majoritinya berkerja dan memperoleh pendapatan. Maka ia lebih dekat dengan mereka.

Penjenamaan juga boleh dibuat ke atas kaedah pembayaran zakat. Zakat melalui potongan gaji, boleh sahaja dijenamakan sebagai ‘Skim Berkat’.

Di samping lebih mudah diingat apatah lagi disebut, ia juga meninggalkan satu kesan pada kalbu manusia, iaitu ‘berkat.’ Ia lebih melunakkan manusia untuk mendekatinya berbanding hanya disebut ‘zakat potong gaji’ sahaja.

Masih banyak contoh lain, misalnya ‘zakat online’ yang memudahkan pembayaran menerusi Internet walau di mana sahaja dan bila-bila masa, juga ‘K-zakat’, yakni kaedah pembelajaran zakat secara ‘online’ sehingga ke peringkat memberikan seseorang itu menaksir sendiri zakat dirinya.

Segmentasi jenama

Dalam pada itu, satu perkara lain yang perlu diberikan perhatian ialah aspek segmentasi penjenamaan zakat. Ini kerana, perubahan zaman menyaksikan perubahan dalam aspek sumber perolehan harta kekayaan manusia.

Satu masa dahulu, penternak mungkin kaya, namun tidak lagi kini. Begitu juga, satu masa dahulu pemilik pertanian mungkin dianggap kaya, tetapi mungkin tidak lagi sekarang.

Hari ini, sumber kekayaan diperolehi daripada pelbagai jalan lain. Misalnya, seorang doktor pakar memperolehi kekayaan hasil kepakarannya. Seorang penulis mungkin mendapat kekayaan hasil honorarium penulisannya.

Penggubah lagu dan penyanyi, mungkin menjadi kaya-raya dengan bayaran royaltinya. Seseorang yang pandai membaca senario ekonomi semasa, mungkin mencipta kekayaan dengan permainan saham di Bursa Malaysia. Maknanya, hari ini kekayaan lebih disebabkan oleh kerjaya.

Maka, institusi zakat perlu merangka strategi yang paling sesuai agar mengena dengan sasarannya. Jika mahu memancing haruan, apakah umpannya? Pasti tidak sama dengan memancing ikan tilapia.

Maka, institusi zakat perlu memfokuskan kepada segmentasi yang sesuai. Misalnya lebih memfokuskan kepada zakat pendapatan berbanding zakat ternakan. Sesuai dengan ramainya orang yang terlibat dalam dunia ‘pendapatan’ ini.

Di samping itu, seiring dengan pemilihan segmentasi penjenamaan produk zakat yang tepat, maka institusi zakat perlulah merangka apakah strategi yang mampu mencipta daya tarikan kepada umat Islam, khususnya dalam menghadapi persaingan yang telah disebutkan di atas tadi.

Misalnya, institusi zakat perlu merangka suatu sistem pembayaran yang berkesan, tanpa tunai misalnya dan hanya dengan menekan butang telefon bimbit atau dengan sekadar satu panggilan, segalanya selesai.

Kemudahan ini akan memberikan keselesaan berganda kepada masyarakat dan membolehkan mereka melunaskan tanggung jawab sebagai seorang muslim dengan mudah dan cepat tanpa perlu menunggu nombor giliran di kaunter bayaran.

Tidak dinafikan, pembayar zakat juga akan menjadi lebih tertarik jika dijenamakan juga di dalamnya dengan suatu pakej, contohnya dua dalam satu.

Ini biasa dilakukan oleh pelbagai pesaing. Misalnya produk ‘A’ membolehkan seseorang itu menyimpan sambil melabur – institusi takaful sering menawarkan pakej ini. Maka, kenapa tidak institusi zakat?

Dalam hal ini, institusi zakat boleh bersinergi dengan mana-mana institusi bagi menawarkan perkara yang sama. Setakat ini, antara contoh paling ideal ialah rebat cukai pendapatan yang diperolehi daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Rebat cukai ini adalah senjata paling ampuh dalam menarik prospek untuk melunaskan zakat mereka. Ini kerana, semakin banyak mereka menunaikan zakat, maka semakin banyaklah mereka mendapat rebat ke atas cukai pendapatan mereka.

Namun begitu, institusi zakat tidak sewajar hanya berasa cukup dengan pakej itu sahaja. Mungkin pakej dengan Lembaga Tabung Haji boleh diterokai. Misalnya pembayar zakat bertuah berpeluang mengerjakan haji dengan pembiayaan ditanggung oleh institusi zakat berkenaan dan sebahagiannya lagi oleh pihak tabung haji.

Begitu juga pakej dengan institusi takaful, misalnya mereka yang berzakat boleh mendapat pelan perlindungan diri untuk setahun dan sebagainya lagi. Inilah pakej dua dalam satu yang mampu menarik lebih ramai prospek zakat, insya-Allah.

Aspek penjenamaan semula adalah penting dalam dunia perniagaan. Kendatipun zakat adalah satu ibadah yang rukun sifatnya. Namun kemampuan sesebuah institusi zakat mentransformasinya kepada suatu imej baharu adalah suatu nilai tambah yang baik dan memberikan keuntungan kepada agama Islam dan seluruh umatnya.

Oleh itu, inisiatif mengkomersialkan zakat hendaklah ditinjau daripada kaca mata positif. Bahkan usaha itu perlu dimulai dari sekarang, disertai dengan impian dan keazaman yang kukuh merealisasikannya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: