Imam Ya’qub al-Hadrami


Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
TIlawah al-Quran peringkat antarabangsa adalah peluang untuk umat Islam mendengar bacaan qari dengan pelbagai qiraat.
– Gambar hiasan

IMAM yang ke lapan mengikut susunan Qurra ialah Imam Ya’qub al-Hadrami. Nama penuhnya ialah Ya’qub Ibn Ishaq Ibn Zaid Ibn Abdullah Ibn Abi Ishaq.

Beliau adalah guru al-Quran terkemuka di Basrah. Mempunyai keperibadian yang tinggi danseorang yang salih dan dipercayai. Menjadi rujukan utama al-Quran bagi penduduk Basrah selepas meninggal gurunya Imam Abu Amru. Imam Ya’qub juga pernah memegang jawatan Imam di Masjid Basrah selama beberapa tahun.

Sudah menjadi lumrah, syarat utama manjadi alim dalam sesuatu bidang mestilah mempunyai guru yang ramai dan berwibawa. Imam Ya’qub bertalaqqi al-Quran dengan sejumlah guru yang bersambung sanadnya.

Antara mereka ialah Salam al-Tawil, Mahdi Ibn Maimun, Abu al-Asyhub al-‘Ataridiy, Maslamah Ibn Muharib, Ismah Ibn Urwah al-Nuqaimi, Yunus Ibn Ubaid dan lain-lain.

Tempoh perguruanya dengan guru-guru yang tersebut ada yang memakan masa sehingga setahun lebih dan ada dalam beberapa hari sahaja.

Imam Ya’qub menyatakan: “Aku membaca al-Quran di hadapan guruku Salam al-Tawil selama setahun enam bulan. Dan aku membaca al-Quran di hadapan guruku Syihab selama lima hari sahaja dan guruku Syihab membaca al-Quran dihadapan gurunya Maslamah al-Muharibi selama sembilan hari dan Maslamah membaca al-Quran dari gurunya Abu al-Aswad al-Duali dan beliau mengambil dari gurunya Ali Ibn Abi Talib.”

Ramai ulama meriwayatkan Qiraat Ya’qub. Antara mereka ialah Zaid Ibn Ahmad, Kaab Ibn Ibrahim, Umar al-Siraj, Humaid Ibn al-Wazir, Muslim Ibn Sufiyan al-Mufasir, Ruwais dan Rauh Ibn Abdul Mukmin.

Imam Ibn al-Jazari menyatakan berkaitan Imam Ya’qub, tawatur qiraatnya dan menolak tanggapan buruk terhadap Imam Ya’qub. Beliau menyatakan Imam Ya’qub adalah di kalangan yang teralim dalam bidang al-Quran, nahu dan ilmu lain pada zamannya, begitu juga ayah dan datuknya.

Beliau juga menegaskan, amat pelik dan antara kesalahan yang amat berat adalah menjadikan Qiraat Ya’qub sebagai Qiraat Syazah yang tidak harus membacanya dan tidak sah membaca dalam sembahyang.

Sesungguhnya hendaklah diketahui bahawa tidak ada bezanya antara Qiraat Ya’qub dengan Qiraat Tujuh di sisi ulama.

Al-Bukhari menyatakan Imam Ya’qub meninggal dunia pada tahun 205 hijrah dalam usia 88 tahun. Ayah dan datuknya juga meninggal dunia dalam usia yang sama.

Perawi pertamanya ialah Ruwais Ibn Abu Abdillah Muhammad Ibn al-Mutawakkil. Beliau terkenal dengan panggilan Ruwais. Merupakan guru al-Quran yang mahir dan memiliki ingatan yang tajam.

Mempelajari Quran dari Imam Ya’qub. Al-Dani (meninggal 444 Hijrah) menyatakan Ruwais adalah murid Ya’qub yang paling pintar. Beliau meninggal dunia di Basrah pada tahun 238 hijrah.

Perawi kedua ialah Rauh Ibn Abdul Mukmin. Golongan hadis menggelarkannya sebagai Abu al-Hasan al-Huzali al-Basri al-Nahwi.

Beliau adalah guru al-Quran yang terulung pada zamannya, dipercayai dan mempunyai kuat ingatan.

Aal-Bukhari meriwayatkan beberapa hadis daripada Rauh dan memuatkanya dalam kitab sahihnya. Beliau meninggal pada tahun 235 hijrah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: