Mengkomersialkan zakat


Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

ZAKAT sinonimnya dilabelkan sebagai bantuan kepada orang susah. Dalam bahasa lebih santun, zakat dimanfaatkan untuk membantu golongan fakir dan miskin. Ia terlalu menjurus, walhal zakat tidak bersifat demikian.

Zakat hakikatnya adalah mekanisme ekonomi yang global tetapi bersifat manusiawi. Memperkasakan zakat bermakna memperkasakan manusia. Itulah falsafah zakat yang indah di sisi Islam.

Namun jika kita hanya menyandarkan zakat dalam makna lazim yang biasa difahami, maka kita gagal mencernakan kehendak sebenar zakat. Zakat perlu diberikan nafas baharu, sesuai dengan aspirasi yang digagaskan oleh Nabi Muhammad SAW lewat 1,400 tahun dahulu.

Memberikan nafas baru ini bukan bermakna mengubah hukum-hakam zakat yang sudah qatie (mutlak) sifatnya tetapi memberikan nilai tambah tertentu agar zakat benar-benar mampu berperanan dalam dasawarsa yang serba mencabar ini.

Nilai Komersial

Dunia kini serba-serbi perlu diberikan nilai tambah. Semangkuk cendol yang dijual oleh mamak di tepi jalan namun apabila diberikan nama dan dipatenkan, kemudian ditokok dengan elemen tertentu, maka harganya boleh meningkat daripada RM2 kepada RM5 semangkuk. Apatah lagi jika dijual di hotel berbintang, ia lebih mahal walaupun resipi yang sama dijual di kaki lima.

Demikianlah zakat, ia perlu diberikan nilai tambah. Nilai tambah inilah yang akan menaikkan nama, sekali gus imej zakat. Dalam aspek perniagaan, nilai tambah inilah yang akan mencanakkan saham dan nilai komersial kepada sesuatu barangan. Justeru, zakat perlu dikomersialkan agar ia merasa dekat dengan masyarakat. Imej zakat perlu ditingkatkan agar ia mencerminkan kehebatan kepada umat Islam.

Lantas, salah satu nilai komersial yang perlu dipadankan dengan zakat, ialah aspek penjenamaan. Penjenamaan itu pula meliputi tiga aspek. Pertama penjenamaan institusi, kedua penjenamaan produk zakat dan ketiga penjenamaan segmen zakat.

Penjenamaan Institusi

Sekian lama, sejak era penjajahan sehingga kini, institusi zakat atau umumnya institusi agama dipandang sebagai institusi kelas kedua yang tidak bergerak seiring dengan keperluan zamannya. Misalnya, institusi agama hanya berperanan dalam aspek nikah, kahwin, cerai, rujuk dan pembahagian harta. Ia langsung tidak boleh menyentuh aspek lain, misalnya undang-undang jenayah harta yang tertakluk kepada undang-undang sivil.

Mungkin kita cuba menafikan hakikat ini, namun kewujudan dualisme dalam sistem kehakiman misalnya, menjadi dilema berpanjangan kepada umat Islam.

Bahkan undang-undang Islam sendiri terletak di bawah enakmen negeri, berbanding undang-undang sivil yang termaktub di bawah akta di peringkat persekutuan.

Walau apa pun inisiatif serius daripada pihak kerajaan untuk memperkemas dan memperkasakan institusi agama wajar diberikan pujian. Semuanya masih berjalan walau kelihatannya tidaklah selaju sebagaimana diharapkan.

Namun, artikel ini tidaklah bermaksud untuk membahaskan semua itu. Dalam dunia kewangan umumnya, institusi zakat sekian lama tidak dilihat sebagai organisasi yang berperanan secara berkesan dan pro-aktif sebagai ‘nadi kewangan’ yang mampu menaungi umat Islam sebagaimana peranan ‘baitul mal’ zaman silam.

Bahkan institusi zakat kelihatan kurang bermaya, tidak cekap dan sering kali masih bermain dengan segala macam kerenah birokrasi dalam memberikan khidmatnya. Semua ini adalah liabiliti yang ditanggung sekian lama oleh institusi zakat.

Maka, suatu anjakan perlu dirangka. Anjakan itu pula hendaklah memberikan kesan segera kepada institusi zakat. Ibarat ubat bius yang segera menghilangkan kesakitan, maka begitulah pantasnya sesebuah institusi zakat yang baharu perlu dijelmakan.

Jika institusi zakat masih asyik dan leka, maka ia akan ketinggalan. Kesannya pasti amat buruk, kerana ia akan menimpa kepada ummah keseluruhannya.

Dalam hal ini, penjenamaan semula institusi zakat perlu dilihat sebagai suatu usaha mengkomersialkan zakat. Andai satu masa dahulu zakat hanyalah satu unit kecil di bawah pentadbiran agama, kini zakat sudah ditransformasikan kepada sebuah entiti korporat yang hebat.

Jika satu masa silam, institusi zakat hanya diketuai oleh seorang ketua jabatan, kini ia perlu diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang serba boleh dan berpengalaman.

Inilah yang dimaksudkan dengan penjenamaan semula institusi zakat agar ia mampu memberikan nilai komersial kepada institusi zakat. Ia tidak bersalahan langsung dengan ajaran agama, bahkan menepati apa yang pernah disarankan oleh Allah SWT, iaitu: Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (ar-Ra’du: 11)

Di samping itu, penjenamaan semula institusi zakat juga bermakna memberikan nilai tambah baharu kepada keseluruhan organisasi. Misalnya, daripada aspek pembudayaan kerja baharu, penggunaan peralatan canggih, penerokaan dunia informasi dan teknologi maklumat serta pelbagai inovasi lain, sehingga memungkinkan sebuah transformasi yang menyeluruh dapat dijelmakan. Maka, barulah terjadinya suatu penjenamaan semula institusi zakat yang komprehensif dan konstruktif, bukan sekadar pertukaran nama sahaja.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: