Archive for 21 Julai 2011

Ganti puasa waris yang mati

mereka yang keuzuran dan bermusafir pada bulan Ramadan dibolehkan berbuka puasa tetapi perlu menggantikannya pada hari yang lain. – Gambar hiasan

 

Soalan
Apakah hukum menggantikan puasa bagi waris yang telah meninggal dunia?

Jawapan

Firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Jelas dalam ayat ini, Allah SWT mewajibkan puasa ke atas orang beriman, yang pastinya mereka yang beriman akan langsung menyahut seruan Allah yang berisi perintah melakukan puasa sepanjang Ramadan.

Dalam ayat-ayat yang berikutnya Allah memberikan rukhsah (kelonggaran) bagi mereka yang yang bermusafir atau yang uzur boleh meninggalkan puasa pada bulan Ramadan dan digantikan puasa yang tertinggal pada bulan-bulan yang mendatang.

Apa yang pasti, berpuasa Ramadan akan menjadikan kita ummah yang bertakwa kepada Allah SWT. Takwa sahaja yang dapat melahirkan masyarakat yang berwibawa yang ada nilai-nilai positif dan etika yang beranjakkan paradigma.

Umat yang hidupnya ada motif yang jelas, iaitu apa sahaja yang dilakukan pasti ada kesannya sama ada di dunia mahupun di akhirat. Allah SWT telah berjanji bahawa dengan menghayati ibadah puasa dengan penuh keinsafan dan kesabaran pasti mengundang kepada kekuatan dalam (spiritual) dan kekuatan luaran (fizikal).

Oleh yang demikian pastikan puasa tidak ditinggalkan, kerana biarpun ada kelonggaran diberi oleh syarak tetapi pastinya berpuasa itu lebih baik daripada berbuka.

Kalau umat ini menyedari dan mengetahui akan kelebihan dan kehebatan zahir dan batin Ramadan pasti akan mengharapkan supaya sepanjang tahun menjadi Ramadan.

Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya, “cepatnya Ramadan”, “bila nak habis Ramadan” dan pelbagai keluhan yang lain.

Justeru, janganlah mencari alasan untuk tidak berpuasa, kerana belum tentu tahun depan kita berpeluang menikmati keindahan Ramadan dan merebut rahmat dan maghfirah-Nya.

Adapun puasa ganti bagi orang yang telah meninggal dunia oleh waris menjadi perselisihan di kalangan ulama fiqh.

l Pendapat al-Syafieyyah dalam pendapat yang kuat. Sekiranya ada yang meninggal dunia maka terpulang kepada diri wali sama ada mahu dibayar puasanya dengan berpuasa untuknya ataupun membayar fidyah.

Hal ini termasuklah puasa nazar. Pendapat ini disokong oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah.

1.  Ibn Hazim al-Zakiri berpendapat, tidak dibayar fidyah untuk puasa daripada orang yang meninggal dunia, akan tetapi ambil sebahagian hartanya untuk mengupah orang untuk berpuasa bagi hari-hari yang dia tidak berpuasa.

Pandangan ini juga merupakan pandangan Ali Thal, Said bin al- Musayyub dan al-Awzarie, Thaus, Hammad bin Sulaiman, al-Zuhli dan al- Hasan al-Bakri dan Qatadah.

2. Pendapat al-Hanabilah pula, sekiranya puasa yang ditinggalkan puasa nazar maka harus bagi ahli keluarga (waris) mengqadakan (menggantikan ) puasa yang tertinggal disebabkan oleh uzur syarie. Sekiranya puasa yang ditinggalkan itu puasa wajib maka tidak diharuskan mengqadanya oleh ahli warisnya.

3. Mazhab al-Malikiyah dan al-Hanafiah tidak dipuasakan bagi yang telah meninggal akan tetapi dibayar fidyah bagi hari-hari yang ditinggalkan dengan syarat diwasiatkan terlebih dahulu.

Sekiranya tidak diwasiatkan ‘wali’ boleh melakukan tebusan dengan memberi makan sebagai ganti fidyah.

Memandangkan puasa yang ditinggalkan oleh seseorang yang meninggal tidak boleh digantikan dengan berpuasa bagi pihaknya, maka lebih awla tidak dipuasakan oleh orang lain ketika masih hidup.

Pendapat mazhab al-Syafieyyah yang disokong oleh Imam al-Nawawi merupakan pendapat dan pandangan yang menghimpunkan dua keadaan, iaitu, sama ada digantikan puasa ahli keluarga yang meninggal dunia atau membayar fidyah.

Maksudnya, ahli waris masih berpeluang untuk melakukan kebajikan kepada arwah dari kalangan ahli keluarga. Kalau tidak mampu menggantikan puasa ahli keluarga yang telah meninggal bolehlah dibayar fidyah sahaja.

Mungkin pada masa sekarang membayar fidyah tidak menjadi masalah. Apa pun, puasa yang ditinggalkan oleh ahli keluarga masih ada peluang untuk ditunaikan berdasarkan pandangan mazhab al-Syafieyyah.

Fidyah ikut hari tinggal puasa

Soalan:

Mohon penjelasan lanjut mengenai fidyah, antaranya, kewajipan membayar fidyah, siapakah yang wajib membayar fidyah?

Jawapan:

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: …dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin...(al-Baqarah: 184).

Berdasarkan dalil di atas, fidyah puasa hukumnya wajib disempurnakan mengikut bilangan hari.

Fidyah puasa (tebusan) adalah denda ke atas orang yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu ataupun kerana sengaja melewatkan puasa qada bulan Ramadan.

Ia merupakan satu kadar tertentu yang wajib dikeluarkan sebagai suatu pemberian iaitu sebahagian daripada harta (makanan) kepada fakir miskin.

Sabda Rasulullah SAW, “Bagi orang yang meninggal dunia dan tidak berpuasa selama sebulan hendaklah dikeluarkan fidyah dan berikan kepada fakir dan miskin”. (riwayat Al-Tirmizi)

Sebab seseorang dikenakan fidyah adalah seperti berikut;

  • Tidak mampu berpuasa, kebiasaannya keadaan ini berlaku ke atas orang yang telah lanjut usia. Tidak semua yang mereka yang berumur mampu berpuasa. Ini kerana tua juga merupakan satu penyakit.Ibn Abbas berpendapat bahawa ayat 184 daripada surah al-Baqarah itu adalah rukhsah (kelonggaran) kepada mereka yang telah berumur (tua).Walaupun puasa adalah wajib, namun bagi mereka yang telah lanjut usianya yang tidak mampu berpuasa maka boleh berbuka dengan membayar fidyah setiap hari satu cupak (567 gram).Sekiranya seseorang yang telah lanjut usianya tidak mampu berpuasa dan juga tidak mampu mengeluarkan fidyah atau membayar fidyah maka mengikut pandangan ulama tidak berdosa. Mazhab al-Hanafiyyah menyuruh orang yang tidak membayar fidyah supaya beristighfar serta memohon keampunan Allah SWT atas ketidakmampuannya membayar fidyah, sedang Allah swt berfirman yang bermaksud: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…“(al-Baqarah: 286)
  • Sakit yang tidak mungkin sembuh. Mereka yang disahkan sakit dan tidak akan sembuh tidak diwajibkan puasa. Firman Allah SWT yang bermaksud: …dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…(al-Haj: 78)

 

  • Perempuan yang hamil dengan syarat dibimbangi keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan fidyah dan juga wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan.

 

  • Ibu yang menyusukan anak dengan syarat dia berasa bimbang puasa akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya. Maka wajib baginya mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu serta membayar fidyah.

 

  • Orang yang telah meninggal dunia. Hutang puasa bagi mereka yang meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Asal perkataan Allah dan maksudnya

Al-ALUSI dalam Ruh al-Ma’ani berkata: “Asalnya dari I’lali ialah ilah seperti dalam al-Sihah atau al-Ilalah seperti dalam al-Kasyaf yang kedua-duanya mempunyai hujah.”

Al-‘Allamah al-Sa’d berkata: “Sesungguhnya Tuhan atau ilah adalah nama yang difahami secara kulli yang disembah dengan sebenarnya sedangkan Allah adalah ism alam bagi zat-Nya.”

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Usul al-Iman wa al-Islam berkata: “Allah bermaksud bahawa Dia Maha Berkuasa atas segala makhluk-Nya dan bahawa dia tidak berlaku kecuali mengikut kehendak-Nya. Dan bahawa Dia Maha Menguasai dan Maha Perkasa yang tidak boleh dikalahkan dan bahawa Dia Maha Berkuasa yang tidak boleh dilawan dan di atasi dan tidak sah taklif kecuali daripadanya.”

Ulama tauhid berkata: “Allah adalah ism alam (nama khas) kepada zat yang Maha Sempurna iaitu Allah SWT sedangkan makhluk ialah sifat yang mungkin ada dan dia adalah selain daripada Allah SWT.”

Allah adalah ism alam yang menunjukkan atas zat di mana semua nama Allah yang mulia terhimpun pada Allah. Allah ialah nama-Nya Yang Maha Agung.

Al-Khazin dalam tafsirnya berkata: “Allah adalah nama khas bagi Allah yang bersifat Tunggal dan Esa, tiada musytaq (terbitan) dan tidak disekutukan oleh sesuatu.”

Dalam Tafsir Hadaiq al-Rauh al-Raihan menyebut: “Allah maknanya yang berhak diibadat, tidak kepada yang lain.”

Konteks Bahasa Melayu

Prof. Syed Mohd Naquib al-Attas menyebut: “Bahasa membayangkan hakikat kewujudan. Menyeludupkan faham-faham kunci yang asing pada sesuatu bahasa melibatkan bukan semata-mata menterjemahkan kata-kata, bahkan lebih mendalam kesannya, ia juga melibatkan penterjemahan rupa cipta perlambangan yang dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tiada bersesuaian dengan pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang ke dalamnya faham-faham itu diseludupkan.”

Bahasa Melayu merujuk kepada bangsa Melayu. Rumpun bangsa Melayu adalah sinonim dengan agama Islam. Berdasarkan kepada bukti sejarah dan artifak jelas menunjukkan bahawa Tanah Melayu telah menerima Islam sejak abad ke-7, 8 dan 9. Ini terbukti dengan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 22 Februari 1303M.

Pemerintahan Islam bermula di Tanah Melayu dengan tertegaknya Kesultanan Melayu Melaka pada 1414M yang menjadikan Islam sebagai agama negara.

Begitu juga seperti yang diketahui umum berdasarkan fakta sejarah bahawa perundangan di Tanah Melayu sebelum kolonial juga berasaskan Islam seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang 99.

Pengaruh Islam di Tanah Melayu juga membawa masuk kalimah-kalimah Arab ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah Arab digunakan dengan meluas dalam bahasa Melayu seperti nama-nama hari dan lain-lain. Tulisan jawi juga sebagai lambang pengaruh Islam yang kuat kepada umat Melayu.

Bahasa Melayu itu juga lahir daripada rahim agama Islam. Perlembagaan dalam perkara 160 (2) menetapkan orang Melayu mestilah beragama Islam. Oleh itu, kerana kalimah Allah adalah istilah yang telah diserap dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.

Dengan sebab itu ia membuka ruang agama lain menggunakan kalimah ‘Allah’ akan mengubah maksud asal kalimah ‘Allah’ menurut bahasa Melayu.

Justeru, jika dibenarkan Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ maka makna asal ‘Allah’ dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (iaitu Tuhan Yang Maha Esa) terpaksa ditukar kepada Tuhan Yesus/ Tuhan Berhala/ Tuhan Bapa/ Tiga Tuhan Bersatu (Triniti). Tidakkah ini mencelarukan?

Perkataan ahad adalah sama dengan wahid yang memberi maksud ke-Esaan. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Abu Ubaidah, sedangkan sebahagian ulama membezakannya.

Abu Sulaiman al-Khattabi berkata: “Wahid menunjukkan ke-Esaan pada zat tanpa sebarang tandingan, sedangkan ahad pula bersifat tunggal dengan maknanya tanpa disekutukan oleh seseorang.”

Sayid Qutub berkata: “Itulah hakikat ke-Esaan kewujudan Allah SWT. Di sana tiada hakikat melainkan hakikat Allah SWT. Tiada kewujudan hakiki melainkan kewujudan Allah SWT. Segala maujud yang lain adalah mengambil kewujudan mereka dan kewujudan Allah SWT yang hakiki.”

Ia juga merupakan hakikat ke-Esaan Pencipta yang tiada tandingannya. Itulah akidah hati nurani dan itulah juga pentafsiran bagi kewujudan alam. Apabila pentafsiran ini mantap dalam hati dan kefahaman ini jelas dan terang maka bersihlah hati dari segala kepercayaan yang karut dan dari segala pergantungan dengan yang lain dari zat Allah SWT.

Iaitu hati bersih daripada pergantungan dengan sesuatu yang lain. Justeru, tiada hakikat bagi sesuatu kewujudan kecuali kewujudan Ilahi dan tiada hakikat bagi sesuatu kuasa pencipta kecuali iradat ilahiah sahaja. Tiada ertinya bergantung dengan sesuatu yang tidak mempunyai sebarang hakikat bagi kewujudannya dan sebarang hakikat bagi kuasa pencipta-Nya.

Bagi siapa yang ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut, sila rujuk buku Keabsahan Penggunaan Nama Allah SWT Hanya Untuk Orang Islam terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Apabila hati telah bersih dari segala perasaan terhadap yang lain dari hakikat Allah yang tunggal dan bersih dari pergantungan kepada yang lain dan hakikat Allah, maka ketika itu ia akan bebas dari segala belenggu dan ikatan, keinginan nafsu yang menjadi punca segala perkara buruk.

Apabila mantapnya kefahaman ini maka di tahap inilah hati seseorang akan melihat kudrat Allah SWT menguasai segala sesuatu yang dilihatnya.