Archive for 20 Julai 2011

Hukum ganti puasa bagi Ibu bersalin

Soalan: SAYA ingin tahu sama ada ibu yang melahirkan anak ketika Ramadan wajib menggantikan puasanya atau tidak. Ada kalanya si ibu yang sama turut melahirkan anak kedua atau seterusnya juga pada Ramadan. Adakah wajib ia menggantikan puasa atau adakah cara membayar puasa yang tertinggal itu?
Nurul Ain,

Jawapan: Mengenai kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan, Allah SWT berfirman dalam ayat 185 yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran.” Pada ayat yang sama Allah SWT menyebut, “Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu…”
Dalam syarat sah puasa iaitu seseorang itu mestilah Islam, berakal, yakin masuknya Ramadan dan suci daripada haid dan nifas. Bagi ibu yang melahirkan anak pada Ramadan, maka wajib menggantikannya. Walaupun ia berlaku lagi pada Ramadan berikutnya kerana ia adalah alasan kukuh untuk tidak berpuasa.

Dalam buku Indahnya Hidup Bersyariat menyebut, antara golongan yang wajib qada puasa adalah orang yang kedatangan haid dan nifas (termasuk wiladah atau kelahiran), orang yang sakit ada harapan untuk sembuh, orang yang musafir bukan kerana maksiat (melebihi dua marhalah), orang yang sengaja melakukan perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. Wallahualam.

Kadar fidyah tinggal puasa berganda jika tertangguh

Soalan:

IBU saya terlantar sakit pada Ramadan lalu. Bagaimanakah cara untuk menggantikan puasa yang tidak ditunaikan? Ada juga yang

tidak dapat mengingati tahun dan bilangan hari puasa yang ditinggalkan, apakah perlu digandakan? Minta pencerahan hukum juga bagi yang mampu menggantikan puasa tertinggal. Terima kasih. Zainab,

Kuala Lumpur.

 

Jawapan:

Fidyah adalah bayaran denda dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasa Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya Ramadan berikutnya. Hukum membayar fidyah adalah wajib.

Membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu mengqada puasa kerana puasa tetap wajib diganti mengikut bilangan hari ditinggalkan. Jika bilangan hari itu sudah melangkau tahun, maka kadar fidyah bagi hari yang ditinggalkan itu akan digandakan jumlahnya.

Allah berfirman bermaksud: “Dan wajib atas mereka yang tidak terdaya untuk berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu dengan memberi makan fakir miskin dan sesiapa yang sukarela memberi kebajikan (bersedekah dan sebagainya) lebih dari yang ditentukan, maka itu adalah suatu kebaikan baginya.” (Surah al-Baqarah: 184).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bagi lelaki ataupun perempuan yang sudah tua dan bagi orang yang tidak mampu berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan setiap hari seorang miskin (mengikut jumlah hari puasa yang ditinggalkannya).” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Bagi mereka yang tidak pasti berapa hari ditinggalkan puasanya kerana terlalu lama masa berlalu, maka hendaklah membuat andaian dan mengambil hari terbanyak.

Contohnya jika 11 tahun, kenalah didarabkan 10 tahun yang berulang tadi. Jadi, bererti anda dikenakan membayar fidyah sebanyak 3,600 cupak makanan sebagai fidyah untuk dibahagikan kepada fakir miskin.

Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) sebanyak 1 cupak (1 mud) bersamaan 175 gram bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kadar itu berubah mengikut harga ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras atau wang hendaklah diberi kepada fakir dan miskin.

Bagi yang meninggalkan puasa kerana uzur seperti ibu saudari, maka hendaklah dibayar fidyah dan mengqada puasanya jika termampu. Begitu juga bagi mereka yang mengandung kerana khuatir akan anak dalam kandungan.

 

Faham makna al-Fatihah bantu khusyuk sembahyang

Jawapan oleh Ustazah Zahazan

Tujuh dasar dalam surah panduan hidup selamat

Soalan: DALAM solat kita wajib membaca al-Fatihah. Saya mendengar seorang ustaz ketika ceramah di masjid menyuruh memahami makna al-Fatihah. Setiap hari saya solat tapi tidak terfikir untuk memahami makna al-Fatihah. Bagaimana hendak menghayatinya ketika solat? Saya tidak faham bahasa Arab. Perlukah saya belajar bahasa Arab sedangkan usia sudah lanjut.

Pak Long, Shah Alam.

Jawapan: Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Untuk menghayati surah al-Fatihah, kita perlu mengetahui terjemahannya. Kemudian memahami penjelasan atau tafsirnya.

Sebenarnya al-Fatihah adalah surah paling istimewa dalam al-Quran. Ia satu-satunya surah yang wajib dibaca pada setiap rakaat solat.

Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Said Rafi al-Mualla berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Mahukah kamu aku beritahu surah paling istimewa dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid? Kemudian Baginda memegang tangan saya. Ketika kami hendak keluar saya berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya tuan tadi berjanji akan mengkhabarkan surah paling istimewa dalam al-Quran kepada saya.” Baginda bersabda: “Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, iaitu tujuh ayat yang sering dibaca dari al-Quranul ‘Azhim yang sudah diturunkan kepadaku.”

Dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman menyebut tujuh dasar yang terkandung dalam surah al-Fatihah yang elok untuk kita fahami iaitu:

Pertama: Menetapkan wujudnya Allah SWT pada ayat ‘alhamdulillahi rabbil alamiin’ (segala puji bagi Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan mentadbir sekalian alam).

Kedua: Menyebut kesimpulan sifat kebesaran (al-Jalaal) dan sifat kesempurnaan (al-kamal) yang terkandung dalam ayat ‘ar-Rahmanir Rahim’ (yang Maha Merahmati lagi Maha Mengasihani).

Ketiga: Menyatakan ada Hari Kiamat yang padanya kelak akan menerima balasan amal. Justeru, manusia tidak harus menumpukan usaha mencari nikmat hidup dunia dan kelazatannya semata-mata. Kenyataan itu pada ayat ‘Maliki Yaumiddin’ (yang menguasai pemerintahan hari pembalasan).

Keempat: Menerangkan tugas manusia yang kerananya ia diciptakan. Tugas manusia adalah ibadat seperti dalam ayat iyya kana’budu (Hanya kepada-Mu yang kami sembah). Sebab segala ibadat diperlukan manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak dan menyucikan jiwa. Dengan iman yang hidup, tubuh sihat, akhlak baik dan jiwa bersih akan berhasil kebahagiaan manusia.

Kelima: Memperkatakan mengenai kelemahan manusia bahawa ia tidak dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah dan izin-Nya. Perkara itu disebut dalam ayat ‘waiyyakanasta’iin’ (dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan).

Keenam: Menerangkan perkara utama yang dihajati kepada Allah ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan dan cara melaluinya seperti disebutkan dalam firman-Nya: ‘Ihdinas shiratal Mustaqim ‘ (Tunjukkan kami jalan yang lurus). Ada pelbagai jalan yang akan ditempuh manusia menerusi pelbagai cara disebabkan berbeza tabiat, adat dan hawa nafsu.

Ketujuh: Mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah manusia terdahulu dan hal ehwal mereka. Dengan itu, mereka memilih apa yang menyebabkan kebahagiaan, sentiasa berwaspada serta menjauhkan diri daripada perkara yang menyebabkan kecelakaan sehingga dapat hidup di dunia dengan selamat di samping mendapat nikmat kekal di akhirat iaitu syurga. Insya-Allah, dengan usaha memahaminya akan menjadikan kita khusyuk dalam solat. Wallahua’lam