Seni barangan seramik Islam Iznik


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

KAUM Turki dikatakan berasal dari Asia Tengah dan mempunyai kemahiran dalam penghasilan barangan seramik dan jubin.

Kerja cari gali arkeologi di Asia Tengah telah menemui runtuhan bangunan yang mempunyai jubin-jubin berwarna-warni yang dijadikan hiasan lantai rumah beribadat pada zaman dahulu.

Apabila kaum Turki berhijrah ke Baghdad dan Anatolia pada abad ke-11 Masihi, mereka telah membuka banyak bengkel untuk menghasilkan barangan seramik dan jubin.

Di Anatolia, kaum Turki telah mengasaskan Dinasti Islam Uthmaniyah yang dikenali sebagai kuasa tentera Islam yang kuat dan digeruni selama beberapa abad.

Selain itu, dinasti ini juga memainkan peranan yang penting dalam memperkenalkan satu seni Islam yang amat dikagumi di Barat iaitu seni barangan seramik Iznik.

Terdapat dua tempat yang menjadi pusat penghasilan barangan seramik zaman Uthmaniyah iaitu Iznik dan Kutahya. Barangan seramik yang dihasilkan di Iznik mempunyai kualiti terbaik jika dibandingkan dengan yang dihasilkan di wilayah Islam ain dan juga di Barat.

Walaupun masa pengeluaran barangan Iznik hanya mampu bertahan selama lebih kurang 200 tahun tetapi ia telah banyak mewarnai sejarah seni Islam Dinasti Uthmaniyah terutamanya seni bina yang terkenal kerana keunikan rekaan strukturnya.

Salah seorang arkitek Dinasti Uthmaniyah yang sering menggunakan barangan Iznik ialah Mimar Sinan.

Faktor utama yang menyebabkan perkembangan industri barangan seramik Iznik pada abad ke-15 sehingga abad ke-17 Masihi ialah kerana naungan dan sokongan daripada setiap pemerintah Dinasti Uthmaniyah ketika itu.

Bangunan yang didirikan oleh sultan-sultan Uthmaniyah menggunakan rekaan jubin Iznik sebagai hiasan dalaman dan luaran.

Antara bangunan yang masih mempunyai jubin Iznik zaman Uthmaniyah ialah Kubah as-Sakhrah di Jerusalem, Istana Topkapi di Istanbul dan Masjid Sultan Sulaiman di Edirne.

Permintaan yang tinggi

Selain jubin, barangan seramik Iznik yang dihasilkan adalah seperti set untuk menghidangkan makanan seperti pinggan, mangkuk, jug dan cawan.

Manakala bagi seni bina, barangan yang dihasilkan ialah seperti jubin, lampu hiasan masjid dan kaki lilin.

Barangan seramik ini berada di zaman kegemilangannya sewaktu pemerintahan Sultan Sulaiman (1494 – 1566 Masihi). Sewaktu di bawah pemerintahan baginda barangan seramik Iznik terutamanya jubin mendapat permintaan yang sangat tinggi bagi projek pembinaan dalam empayar tersebut seperti pembinaan istana, masjid dan madrasa (universiti), makam serta kemudahan awam.

Hiasan dalaman berwarna-warni yang terhasil daripada penggunaan barangan seramik Iznik telah menjadi identiti seni bina Dinasti Uthmaniyah.

Permintaan yang tinggi kadangkala menyebabkan pembuat seramik Iznik terpaksa berhijrah sementara ke kawasan pembinaan di Istanbul bagi menghasilkan jubin di sana.

Ini bagi mempercepatkan proses menyiapkan sesebuah bangunan. Para pembuat seramik Iznik juga terikat di bawah peraturan empayar iaitu mereka perlu menyiapkan permintaan projek empayar sebelum mereka boleh mengambil projek orang perseorangan.

Kualiti yang dihasilkan daripada kemahiran penduduk Iznik telah menarik perhatian orang Eropah pada akhir abad ke-16 Masihi.

Ini telah menjadikan pembuat seramik Iznik semakin sibuk dengan permintaan barangan seramik Iznik daripada luar.

Kedudukan wilayah Iznik yang sangat hampir dengan Eropah telah memudahkan lagi industri ini untuk berkembang.

Permintaan khas datang daripada golongan diraja, bangsawan dan juga gereja. Pada tahun 1577 Masihi seorang duta Habsburg ke Turki telah memuji barangan seramik Iznik seperti berikut: “Badannya seputih kapur, dengan hiasan bunga-bungaan yang sangat cantik dilukis di atasnya.”

Beliau amat meminati barangan seramik Iznik dan beliau juga telah membeli dan menghantar barangan seramik Iznik dalam kuantiti yang banyak ke negaranya.

Disebabkan permintaan yang tinggi, kawalan harga dan tekanan yang dialami oleh pembuat seramik Iznik, industri itu mula merundum pada abad ke-17 Masihi.

Permintaan yang tinggi dan masa yang pendek untuk menghasilkannya telah menyebabkan kualiti barangan Iznik semakin menurun.

Kawalan harga dan undang-undang yang ketat dalam pengeluaran telah menyebabkan ramai pembuat barangan seramik menutup bengkel dan berhijrah atau menumpukan kepada bidang yang lain bagi menampung perbelanjaan kehidupan mereka.

Ini telah menjadikan industri barangan seramik Iznik lumpuh dan tidak mampu untuk bangkit semula sehingga ke hari ini. Pengetahuan dan kemahiran yang ada di Iznik dan diwarisi dari Asia Tengah telah terkubur di dalam lipatan sejarah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: