Archive for 18 Julai 2011

Wasiat bantu anak angkat terima harta

Soalan: Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanyakan soalan mengenai anak angkat. Saya ada bela seorang anak angkat. Saya faham nama anak mesti dibinkan dengan nama bapa kandungnya (kiranya salah harap betulkan). Cuma kalau kiranya ibu bapa angkat meninggal, apakah hak yang ada pada anak angkat? Saya sayang dengan anak angkat saya sebagaimana saya sayang dengan anak-anak kandung saya. Harap ustaz memahaminya.

Rahmat,

Melaka. Jawapan: Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Seseorang yang mengambil anak angkat, maka dia berkewajipan mendidik dan memelihara dengan baik. Sekiranya dia melayan anak angkat berkenaan seperti melayan anak kandung, itu adalah perkara terpuji. Islam tidak membenarkan mengakuinya anak kandung. Umpamanya menisbahkan nama anak itu berbinkan namanya, memberi warisan (pusaka) sama seperti anak kandung dan seumpamanya.

Pada masa Nabi SAW, ada seorang budak bernama Zaid yang diculik perompak dan dijual, akhirnya jatuh ke tangan Nabi Muhammad SAW.

Baginda memperlakukan atau melayannya dengan baik. Sehingga ketika dia ditemukan orang tuanya yang bermaksud untuk menebusnya. Nabi bersedia mengembalikan remaja itu tanpa tebusan asalkan anak itu sendiri (Zaid) bersedia kembali ke pangkuan ibu ayahnya. Ternyata si anak lebih senang hidup bersama nabi. Melihat sikap si anak, Baginda memutuskan untuk menjadikannya sebagai anak, lalu menamakannya Zaid putra Muhammad serta memperlakukannya seperti adat kebiasaan masyarakat ketika itu iaitu memberikan hak-hak waris.

Ketetapan Nabi SAW itu dibatalkan al-Quran, antara lain dengan turunnya firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 8 yang bermaksud: “Orang yang mempunyai hubungan kerabat, sebahagian mereka lebih berhak terhadap sebahagian yang lainnya (untuk memperoleh warisan) daripada yang bukan kerabat.”

Dalam ayat yang lain ditegaskan lagi seperti yang disebut dalam surah al-Ahzab ayat 4 hingga 5 iaitu: “Dia (Allah) tidak menjadikan anak angkatmu (sama hak dan statusnya dengan) anak kandungmu. Yang demikian itu hanya ucapanmu di mulut saja. Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan yang benar. Panggil mereka dengan (memakai) nama bapa mereka. Itu lebih adil di sisi Allah.”

Pembatalan ini bahkan ditegaskan Allah SWT dengan turunnya perintah kepada Nabi SAW untuk mengahwini bekas isteri Zaid (anak angkatnya itu) seperti yang dijelaskan dalam surah al-Ahzab ayat 37 iaitu: “Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang dikurniakan Allah (dengan nikmat Islam) dan engkau juga telah berbuat baik kepadanya (iaitu memerdekakannya dan menjadikannya anak angkat): “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah sudah nyatakan dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia. Padahal Allah saja yang berhak untuk engkau takuti (dari melanggar perintah-Nya) Kemudian selepas Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (iaitu menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan orang beriman berkahwin dengan isteri anak angkat mereka, apabila anak angkat itu sudah selesai kemahuannya terhadap isterinya (menceraikannya). Dan sesungguhnya perkara dikehendaki Allah itu tetap berlaku.”

Begitu adat jahiliah yang sudah dibatalkan Islam. Justeru, anak angkat tidak boleh mendapat hak waris menurut ketetapan agama. Tidak bermakna ibu bapa mensia-siakan anak angkatnya kerana Islam sudah membuka kesempatan kepada ibu bapa angkatnya memberikan anak angkatnya harta melalui pintu ‘wasiat’.

Hal ini dengan syarat jumlah harta diwasiatkan itu tidak melebihi sepertiga dari harta ditinggalkannya. Demikianlah, wallahua’lam.