Archive for 14 Julai 2011

PERGAULAN DENGAN NON-MUSLIM

Soalan 34 . Saya ingin bertanya tentang “pergaulan dengan non-muslim”?

 Secara umumnya Islam telah menggariskan beberapa adab tertentu dalam masalah pergaulan dengan non-muslim terutama sesama jantina bagi menjamin kehormatan dan rahsia diri serta agama terjaga dengan baik. Islam membenarkan umatnya bergaul dengan non-muslim atas dasar tanggungjawab kemanusiaan dan dakwah. Cuma hubungan itu ada had yang lebih khusus berbanding hubungan dengan saudara seagama. Umat Islam mesti faham perbezaan agama agar tidak terikut-ikut dengan kepercayaan dan kebudayaan yang bercanggah dengan Islam. Umat Islam tidak ditegah untuk menuntut ilmu daripada non-muslim apatah lagi untuk bergaul dengan mereka asalkan kita dapat menghindar diri daripada dikhianati di mana yang paling penting ialah ilmu agama agar setiap diri kita dapat memberi faham kepada non-muslim tentang ajaran Islam yang sebenar. Kita dibenarkan memberi dan menerima hadiah daripada mereka apatah lagi memberi bantuan kemanusiaan yang diperlukan agar keindahan Islam dapat digambarkan kepada mereka dengan mudah.

Soalan 35 : Saya juga ingin tahu tentang aurat wanita islam dengan wanita bukan islam.

Batas aurat antara wanita Islam dengan wanita bukan Islam menurut kebanyakan ulama’ adalah seperti aurat wanita dengan lelaki yang halal kahwin (ajnabi) iaitu keseluruhan tubuh kecuali tangan dan muka. Ini bukan untuk membezakan agama tetapi bagi menjaga kehormatan dan rahsia diri. Kita bimbang maruah diri kita akan tercemar atau diaibkan jika didedahkan di hadapan wanita bukan Islam akibat perbezaan agama. Ada juga ulama’ yang berpendapat aurat wanita dengan wanita bukan Islam ialah apa yang boleh nampak pada zahir seperti pakaian orang yang sedang berkerja bila berhadapan dengan perempuan bukan Islam.

Soalan 34 : Bagaimana pula hubungan seseorang yang telah masuk islam dengan keluarganya yang bukan islam?

 Islam tidak membatalkan hubungan kekeluargaan seperti seorang lelaki yang masuk Islam tidak batal wudhu’nya jika bersentuh dengan adik perempuannya yang belum Islam kerana mereka terus haram nikah. Seseorang yang telah masuk Islam mesti menghormati keluarganya dan menjaga maruah mereka walau pun berlainan agama. Taatilah segala perintah yang tidak bercanggah dengan Islam