Seni hiasan tikar sembahyang


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

“Dan dari mana saja kamu keluar, maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram; sesungguhnya ketentuan itu benar-benar sesuatu yang hak dari Tuhanmu…” . (al-Baqarah: 149)

Sembahyang merupakan salah satu tiang dalam menegakkan agama Islam. Umat Islam mengerjakan sembahyang lima kali sehari pada waktu-waktu yang telah ditetapkan. Perkara utama yang dititikberatkan ketika mengerjakan sembahyang ialah kebersihan. Kebersihan daripada segi tubuh badan, pakaian dan tempat untuk mengerjakan sembahyang termasuk masjid.

Kebanyakan masjid hari ini dilengkapi dengan permaidani yang indah sebagai tempat sujud. Jika umat Islam bersembahyang di rumah ataupun di luar rumah ketika bermusafir, kebanyakan daripada mereka menggunakan sehelai kain sebagai alas.

Kain alas ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Janamaz (dalam bahasa Parsi), sajjada ( dalam bahasa Arab) dan seccade atau namazlik (dalam bahasa Turki).

Dalam masyarakat Melayu ia dikenali sebagai tikar sembahyang. Walaupun tikar sembahyang bukan merupakan satu peralatan yang wajib ada bagi menunaikan sembahyang tetapi ia tetap mendapat perhatian masyarakat Islam.

Tikar sembahyang sering didapati dalam bentuk segi empat tepat. Ia terbahagi kepada dua bahagian kerana bahagian atas merupakan tempat sujud dan bahagian bawah merupakan tempat berdiri. Terdapat pelbagai warna dan motif digunakan bagi menghias tikar sembahyang. Pilihan warna terang seperti merah, hijau, dan biru dan ada juga yang menggunakan pilihan warna salju ataupun putih. Ada di kalangan masyarakat Islam yang memilih tikar sembahyang mereka tanpa sebarang hiasan.

Motif hiasan utama yang sering digunakan pada hari ini oleh pembuat tikar sembahyang dan menjadi pilihan masyarakat Islam ialah ilustrasi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Bagi pilihan Masjidil Haram, terdapat juga pilihan motif Kaabah sahaja atau pemandangan keseluruhan masjid.

Kebanyakan tenunan tikar sembahyang pada hari ini dihasilkan menggunakan mesin. Ini berlainan dengan penghasilan tikar sembahyang di beberapa wilayah Islam sebelum abad ke 20 Masihi atau 14 Hijrah seperti di Tuki, India dan Iran. Tikar sembahyang pada masa itu dihasilkan menggunakan tangan.

Pilihan motif abstrak dan bunga-bungaan merupakan pilihan utama dari segi hiasan. Ilustrasi gantungan lampu masjid di bahagian tengah gerbang turut digunakan.

Pilihan motif hiasan penting kerana ia bukan sekadar hiasan tetapi mempunyai maksud dan kegunaan untuk Islam mengerjakan sembahyang.

Contohnya jika gambar Kaabah ia memberi suntikan perasaan kepada orang yang sedang bersembahyang bahawa mereka berada berada di hadapan Kaabah yang menjadi kiblat bagi umat nabi Muhammad SAW.

Sebelum kemudahan Internet berkembang dengan luas seperti hari ini, tidak semua umat Islam berpeluang melihat rupa bentuk Masjidil Haram apatah lagi bagi saudara baru yang baru mengenali Islam. Kehadiran ilustrasi di atas tikar sembahyang mungkin digunakan sebagai pengenalan mengenai kiblat yang menjadi arah dalam sembahyang.

Kehadiran hiasan sebegini juga membezakan tikar sembahyang dengan permaidani yang lain dan ia perlu mendapat perhatian terutamanya dari segi kebersihan.

Satu lagi motif yang mungkin asing bagi umat Islam di sini ialah motif tapak tangan. Terdapat tikar sembahyang yang dihiasi motif kedua-dua belah tapak tangan.

Motif ini digunakan bagi memudahkan kanak-kanak atau saudara baru yang mengerjakan sembahyang supaya meletakkan tangan mereka di tempat motif tersebut ketika sujud.

Terdapat beberapa teknik penghasilan tikar sembahyang seperti tenunan, simpulan, sulaman dan anyaman.

Bagi tikar sembahyang yang dihiasi sulaman, ia selalunya mempunyai lapisan kain di bahagian belakang bagi menyokong berat kain yang telah disulam. Ia juga bagi memelihara simpulan sulaman di bahagian belakang daripada rosak.

Di dunia Melayu terdapat tikar sembahyang yang diperbuat daripada anyaman mengkuang. Kadangkala ia mempunyai lapisan kain di bahagian permukaannya yang juga dihiasi dengan sulaman seperti tekat.

Para pengunjung boleh melihat koleksi tikar sembahyang dari beberapa negara Islam di dalam galeri tekstil Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: