Kewajipan pilih kewangan Islam


Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

KRISIS ekonomi 2008 menyaksikan masyarakat dunia mula membuka mata kepada sistem kewangan Islam.

Ini kerana, sistem kewangan Islam, walaupun turut menerima kesan
sedikit dengan badai krisis ekonomi tersebut, tetapi ia jauh lebih
rendah berbanding dengan sistem ekonomi konvensional.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengeluarkan artikel bertajuk The Effects of the Global Crisis on Islamic and Conventional Banks: A Comparative Study dengan
penulisnya Maher Hasan dan Jemma Dridi membuat perbandingan kesan
krisis ekonomi kepada sistem kewangan konvensional dan Islam.

Hasilnya, mereka membuat kesimpulan bahawa prestasi ekonomi Islam lebih baik daripada sistem konvensional.

Kesedaran tentang bahaya dan bahana sistem kewangan yang berasaskan ribawi semakin hari semakin meningkat.

Kesedaran ini berpunca dari usaha gigih para ulama, cendekiawan dan
pakar-pakar syariah yang menyampaikan maklumat kepada masyarakat melalui
media-media.

Ruang-ruang yang disediakan dalam televisyen, radio, akhbar dan
media-media baru seperti laman sosial digunakan sebaik mungkin untuk
menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Sokongan pihak kerajaan dari segi perundangan dan bantuan kewangan
juga turut membantu perkembangan ini. Ini menyebabkan
institusi-institusi kewangan berminat menawarkan produk-produk kewangan
Islam kepada prospek dengan tawaran pakej, perkhidmatan serta harga yang
cukup menarik.

Kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi-institusi
kewangan Islam yang setanding dengan pesaing juga menyebabkan masyarakat
sudah mula berminat dengan sistem kewangan Islam.

Harga produk-produk kewangan Islam juga semakin kompetitif dan mampu menarik minat para pengguna.

Kecekapan kakitangan di samping kontrak-kontrak yang lengkap dan
jelas juga menyebabkan masyarakat lebih yakin dengan produk-produk yang
ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan Islam.

Beberapa fenomena dan suasana di atas sengaja disebutkan sebagai pendahuluan kepada artikel kali ini.

Ia bagi menggambarkan bahawa tiada alasan untuk masyarakat tidak
memilih sistem kewangan Islam termasuklah perbankan Islam dan Takaful.

Sebenarnya, kebaikan-kebaikan yang ada kepada sistem kewangan Islam
sebagaimana yang dipaparkan di atas bukanlah sebab utama untuk kita
memilih sistem kewangan Islam.

Umat Islam perlu menyedari bahawa memilih sistem kewangan Islam adalah suatu kewajipan dan kemestian.

Ini bermakna, sama ada bersetuju atau tidak, kita sebagai umat Islam
mesti menggunakan perkhidmatan yang selari dengan syariah Islam
sebagaimana yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan Islam.

Dengan kata lain, ia adalah merupakan salah satu manifestasi pengabdian diri kepada Allah SWT.

Mereka yang mengaku sebagai hamba Allah tidak akan sanggup melakukan perbuatan yang akan mengundang kemurkaan Allah.

Mereka akan tetap bersama syariah Allah dengan penuh konsisten
walaupun kadang-kadang ia mendatangkan sedikit bebanan kepadanya.

Namun, seorang hamba Allah yakin bahawa setiap kesusahan dan
kesulitan yang dihadapinya demi untuk tetap di atas jalan-jalan yang
benar akan mendatangkan ganjaran pahala dan kasih-sayang Allah yang
didambakan olehnya.

Inilah sikap hamba yang beriman kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan melalui firman Allah: Maka
demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga
mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul
di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka
sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka
menerima keputusan itu
dengan sepenuhnya. (al-Nisa’: 65)

Allah juga berfirman: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang
beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan
keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak
memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang
tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah
sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
(al-Ahzab: 36)

Dalam proses membuat keputusan, institusi-institusi kewangan Islam
seperti perbankan Islam dan Takaful mempunyai Jawatankuasa Syariah yang
bertindak sebagai badan induk yang mengawalselia operasi dan pengurusan
syarikat termasuklah dalam proses kelulusan produk.

Rujukan utama kepada Jawatankuasa Syariah ini adalah al-Quran dan
sunnah dalam membuat keputusan. Bukan itu sahaja, resolusi Jawatankuasa
Syariah institusi kewangan Islam pula akan disemak oleh Majlis
Pengawasan Syariah, Bank Negara Malaysia.

Ini menunjukkan betapa ketatnya proses mengeluarkan keputusan yang perlu dilalui oleh institusi-institusi kewangan Islam.

Walaupun masih terdapat sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki,
namun kita tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk memilih
produkproduk konvensional yang mempunyai elemen-elemen yang diharamkan
dalam Islam.

Orang yang benar-benar beriman tidak akan sanggup untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Namun, sedarlah bahawa dosa riba boleh memasukkan kita ke dalam neraka. Bahkan, kekal dalam neraka buat selama-lamanya.

Firman Allah: Dan Allah telah menghalalkan berjual beli dan
mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya
peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil
riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu)
adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan
sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka
itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
(al-Baqarah : 275)

Orang yang beriman juga tidak sanggup untuk dianggap sebagai kufur
kepada Allah. Namun, adakah kita sedar bahawa terlibat secara berterusan
dengan riba seolah-olah menghalalkannya boleh menyebabkan kufur kepada
Allah.

Ia sebagaimana yang diulas oleh Imam Fakhruddin Ar-Razi apabila
beliau menghuraikan maksud sesiapa yang mengulangi lagi dalam ayat di
atas sebagai mereka kembali menghalalkan riba sehingga mereka itu jadi
kafir. (Tafsir Al-Kabir, 7/82).

Banyak lagi dosa yang tidak sempat untuk dirakamkan di sini. Namun,
sedarlah para pembaca sekelian, jangan kita mencipta alasan untuk tidak
mengikut syariat Allah.

Sewaktu kita ingin beralasan, fikirkanlah adakah alasan itu akan diterima di mahkamah Allah di padang Mahsyar kelak.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: