Bolehkah undang-undang lindungi mangsa sihir?


Oleh Mariatul Qatiah Zakaria

SIHIR atau ilmu hitam antara isu menarik apabila dibincangkan dan tidak ketinggalan menjadi perhatian masyarakat setempat.

Sama ada percaya atau tidak, hari ini penggunaannya masih berleluasa
berikutan tiada undang-undang khusus yang boleh dikuatkuasakan untuk
menanganinya.

Menurut penulis buku Ahli Sihir ke Tali Gantung, Dr. Mahyuddin
Ismail, fakta undang-undang jenayah sihir sebenarnya telah wujud seawal
tamadun Mesopotamia melalui peruntukan no. 2 Kod Hamurabbi. Begitu juga
pada zaman kegemilangan Rom di mana Julius Caesar telah memperkenalkan
undang-undang sedemikian dalam The Twelve Tables.

Tambahnya, semasa pemerintahan Dinasti Yuan di China, hukuman ke atas
ahli sihir ialah dikelar hidup-hidup manakala pemerintah Islam dan
pihak gereja Kristian di Barat turut memerangi amalan sihir berpandukan
kitab-kitab suci dan undang-undang yang diwujudkan.

“Dalam Muzakarah Pakar, Jabatan Mufti Selangor yang diadakan pada 21
Julai tahun lalu, panel bercadang untuk memasukkan peruntukan tentang
jenayah sihir sebagai kesalahan Ta’zir dalam Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah di Selangor.

“Ia adalah satu langkah yang wajar dan perlu dicontohi. Bagaimanapun,
saya berpendapat beberapa isu akan timbul. Antaranya ialah isu bidang
kuasa Mahkamah Syariah ke atas penyihir bukan Islam. Contohnya bomoh
Siam yang diupah melakukan sihir.

“Selain itu, kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman juga
sangat terhad. Saya berpendapat isu jenayah sihir ini seharusnya
diletakkan di dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana bidang kuasanya
yang luas serta bentuk hukuman yang boleh dijatuhkan olehnya lebih
sesuai,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Mahyuddin yang juga merupakan Pensyarah di Kolej Antarabangsa
IKIP, Kuantan, Pahang, menyatakan, melalui penelitian dan perbandingan
yang dilakukannya didapati ada banyak persamaan antara jenis jenayah
yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan dengan jenayah yang boleh
dilakukan melalui ilmu sihir, malah ia lebih kejam.

Berbicara lebih lanjut mengenai perkara tersebut, beliau memberitahu
terdapat beberapa kes melibatkan penggunaan ilmu sihir yang pernah
dibicarakan di Mahkamah Sivil di Malaysia.

Tetapi malangnya isu sihir tidak diberi perhatian sewajarnya. Sebagai
contoh Dr. Mahyuddin memberikan kes cubaan bunuh dengan menggunakan
ilmu sihir di mana ia tidak akan dibawa ke mahkamah melainkan setelah
berlaku kematian atau pembunuhan secara fizikal.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai kaedah pembuktian jenayah
sihir dalam mahkamah, dia berkata: “Saya berkeyakinan penuh bahawa
jenayah sihir boleh dibuktikan di mahkamah.

“Malah dalam kajian yang saya lakukan lebih lima tahun, saya dapati
perkara asas yang mesti difahami ialah metodologi penghasilan sihir
serta selok beloknya.

“Jika kita gagal memahaminya, maka ia boleh mengundang kepada
kezaliman kepada tertuduh. Sebagai contoh, di Eropah suatu ketika
dahulu, mereka mempunyai Witchcraft Act 1736.

“Tetapi, pemakaian keterangan spectral evidence dalam proses pembuktian di mahkamah menyebabkan ramai mangsa yang tidak bersalah dihukum bakar hidup-hidup dan digantung.”

Jelasnya lagi, melalui perbandingan antara jenayah biasa dengan
jenayah sihir sebenarnya terdapat banyak persamaan daripada aspek
unsur-unsur actus reus (perbuatan jenayah) dan mens rea (niat jahat) di mana ia diperlukan dalam proses pembuktian jenayah biasa yang sebenarnya terdapat dalam jenayah sihir.

Kajian beliau turut membuktikan bahawa kemajuan dalam teknologi penyiasatan terutama bidang forensik dan Crime Scene Investigation
(CSI) boleh digunakan sebagai keterangan dalam pembuktian jenayah
sihir. Malah ia boleh juga digunakan untuk mengesan penjenayah sihir.

Ini dapat dibuktikan melalui kesan-kesan yang terdapat pada
bahan-bahan tersebut seperti cap jari pada alatan sihir, DNA yang
diambil daripada darah, air liur, kuku, rambut atau gambar.

Pihak forensik juga boleh siasat untuk menentukan jenis sihir yang digunakan serta siapa dalangnya.

Ia bagi tujuan pembuktian di mana mahkamah memerlukan pendapat pakar yang memahami selok belok amalan sihir.

Ini adalah selari dengan seksyen 45 Akta Keterangan 1950.

Tambah Dr. Mahyuddin, Malaysia mempunyai individu-individu yang boleh
dijadikan rujukan dalam pengendalian kes-kes jenayah sihir.

Cuma yang menjadi penghalang ialah ketiadaan satu institusi yang
boleh menyenaraikan kriteria yang perlu dipenuhi oleh seseorang untuk
diiktiraf sebagai pakar dalam jenayah itu.

“Sekiranya pihak berkuasa serius untuk melaksanakan undang-undang
jenayah sihir, dua langkah yang menjadi asas kepada kewujudan
undang-undang sihir perlu diambil kira.

“Yang pertama ialah menggubal satu akta khusus yang mengandungi
peruntukan-peruntukan tentang kesalahan jenayah sihir dan
prosedur-prosedur untuk mengendalikannya.

“Manakala yang kedua ialah menubuhkan sebuah jabatan khas yang
mempunyai kuasa untuk menjalankan segala prosedur yang dinyatakan dalam
akta tersebut.

“Dalam buku tulisan saya, ia ada dibincangkan secara khusus tentang
prosedur tersebut dan saya lampirkan juga deraf cadangan akta tersebut
yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk pihak penggubal,” katanya.

Sebelum mengakhiri bualan, dia berharap agar pihak berkuasa dapat
mengambil langkah yang perlu bagi membela mangsa-mangsa sihir yang
teraniaya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: