Koleksi kesenian Islam dunia


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

 

KOLEKSI tembikar China di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur.

 

Tanggal 18 Mei merupakan sambutan Hari Muzium Sedunia yang diraikan oleh semua profesional di dalam bidang pemuziuman.

Ia diselaraskan dan diberi tema berlainan setiap tahun oleh Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM). Tema pada tahun ini ialah Muzium dan Memori.

Muzium menyimpan 1,001 memori yang melibatkan artifak yang disimpan dan dipamerkan. Terdapat berbagai-bagai jenis koleksi artifak dari pelbagai zaman, tamadun, agama, wilayah dan budaya.

Salah satu koleksi yang berjaya menarik perhatian berbagai masyarakat dan dihargai di seluruh dunia kerana keindahan dan keunikan seni pembuatannya ialah koleksi kesenian Islam.

Sebelum abad ke-20 Masihi, kebanyakan artifak dari dunia Islam diklasifikasikan mengikut geografi seperti Afrika, Asia Barat, Timur Jauh dan Asia Tengah. Pada awal abad ke-20 iaitu pada tahun 1925 satu pameran kesenian Islam telah diadakan di Iskandariah, Mesir. Ia dianjurkan oleh seorang penyelidik Perancis, Gaston Migeon.

Antara artifak yang dipamerkan terdiri daripada barangan yang diperbuat daripada kayu, gading, peralatan astronomi, kaca, tembikar Parsi, seramik Iznik, tekstil dan permaidani.

Kesemua artifak yang dipamerkan dipinjam dari pengumpul barangan antik pada waktu itu. Pameran ini telah banyak menarik minat peminat barangan antik dan barangan kesenian Islam mula dikumpulkan di bawah label Islam tanpa mengira lokasi geografi.

Daripada koleksi peribadi, barangan kesenian Islam mula menjadi koleksi muzium. Kebanyakan individu yang menyerahkan koleksi barangan kesenian mereka kepada pihak muzium.

Mereka terdiri daripada kakitangan kerajaan atau peniaga yang mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan hubungan yang rapat dengan rakyat tempatan di wilayah Islam tertentu.

Antara koleksi persendirian barangan kesenian Islam yang diserahkan atau diletakkan di bawah tanggungjawab muzium ialah koleksi Antonis Benaki (1873 – 1954) yang diserahkan kepada muzium yang diberi nama Muzium Benaki.

Benaki ialah seorang peniaga Greek yang tinggal di Iskandariah, Mesir di mana beliau mengumpulkan barangan kesenian Islam. Koleksi beliau terdiri daripada ukiran kayu, kerja logam, kaca, tekstil dan seramik.

Lourve Muzium di Perancis pula mengumpulkan lebih 10,000 barangan kesenian Islam yang terdiri daripada koleksi yang pernah dimiliki oleh golongan diraja, bangsawan dan pihak gereja Perancis.

Kebanyakan koleksi terdiri daripada barangan logam, kaca, seramik yang diperolehi di sekitar Mesir yang terletak di bawah pemerintahan Perancis. Kebanyakan barangan ini dimiliki oleh pemilik awalnya melalui pembelian mengikut tempahan ciri-ciri yang mereka kehendaki.

Terdapat juga koleksi kesenian Islam yang dimiliki oleh sesebuah muzium melalui misi pengumpulan artifak di wilayah yang berada di bawah pemerintahan empayar seperti Britain.

Terdapat pegawai kerajaan yang ditugaskan untuk memilih, mengumpul dan menghantar koleksi ke negara pemerintah.

Keunikan

Sebagai contoh, pada tahun 1876 seorang jurutera diraja, Robert Murdoch Smith yang berkhidmat di Iran direkodkan telah menghantar pulang 2000 artifak ke Britain untuk Muzium Victoria & Albert.

Hadiah antara kerajaan juga merupakan satu cara barangan kesenian Islam menjadi koleksi muzium. Di Muzium Pergamon Berlin terdapat satu seni bina Islam yang dikenali sebagai sebahagian daripada runtuhan Istana Mshatta dari Jordan. Ia merupakan hadiah daripada pemerintah kerajaan Uthmaniyah, Sultan Abdül Hamid II kepada Raja Wilhelm II.

Mshatta adalah nama yang diberikan selepas ia ditemui tetapi nama sebenarnya masih tidak diketahui. Ia dikatakan dibina sewaktu zaman pemerintahan Khalifah al-Walid pada abad kelapan Masihi.

Bagaimanapun, ia terbengkalai selepas kemangkatan khalifah dan seterusnya terbiar dan musnah dalam bencana alam sebelum runtuhannya ditemui pada pertengahan abad ke 19 Masihi.

Berlainan pula dengan koleksi Muzium Topkapi Saray di Turki. Koleksi di istana ini merupakan barangan yang dikumpul oleh pemerintah Empayar Uthmaniyah dari wilayah Islam lain serta barangan yang dihasilkan di bawah pemerintahan Empayar Uthmaniyah di Turki ketika itu.

Keseluruhan konsep muzium ini mempunyai sejarah dan memori yang tersendiri di dalam sejarah Islam.

Ia bukan sahaja mempamer malah pengunjung seakan-akan kembali ke zaman pemerintahan Uthmaniyah dengan melihat sekitar kawasan muzium yang pernah menjadi istana diraja.

Di Malaysia, koleksi kesenian Islam dari serata dunia dikumpulkan di dalam sebuah bangunan yang mempunyai gabungan seni bina moden dan tradisional Islam iaitu Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Muzium yang dinaungi oleh Yayasan alBukhary ini mempamerkan keunikan dari segi susunan koleksi artifak Islam, ia tidak terhad daripada kawasan Arfika, Timur Tengah, Asia Tengah, atau Timur Jauh, malah mengangkat kesenian Islam dari kawasan Timur Asia seperti India, nusantara dan China.

Daripada segi bahan pameran, muzium ini mengumpulkan hampir kesemua jenis barangan kesenian Islam di bawah satu bumbung daripada manuskrip, kerja kayu, kerja logam, tekstil, seramik dan kaca.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: