Jaminan modal dan untung mengikut syarak


 

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMANdan AHMAD TERMIZI MOHAMED
Mana-mana pelaburan yang menjamin keuntungan tetap adalah haram dalam Islam kerana ia mengandungi unsur-unsur gharar. – Gambar hiasan

 

Sebuah syarikat yang kukuh bukan sahaja perlu mempunyai strategi yang tepat dan komitmen yang jitu, tetapi ia juga memerlukan dana yang tinggi.

Ini kerana, kos operasi sesebuah syarikat dewasa ini menjadi semakin tinggi. Ditambah pula dengan persaingan yang agak sengit kerana biasanya terdapat banyak syarikat yang melakukan urusniaga yang sama.

Justeru, syarikat-syarikat ini perlu bersaing untuk menarik pengguna supaya berminat menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Mereka juga perlu bersaing mendapatkan modal bagi menggerakkan operasi dan pengurusan syarikat.

Terdapat pelbagai kaedah dan strategi yang digunakan oleh para peniaga atau syarikat dalam menarik dana pelaburan atau modal untuk menggerakkan operasi perniagaan mereka. Antaranya ialah dengan menjamin modal dan keuntungan (capital and profit guaranteed) kepada modal yang disumbangkan oleh pelabur.

Ini bermakna, apabila pemodal menyumbangkan modal untuk tujuan pelaburan, maka pemodal tersebut tidak perlu berhadapan dengan risiko rugi atau untung kerana pihak syarikat menjamin modal dan memberi pulangan keuntungan dalam jangkamasa yang telah dipersetujui bersama.

Jaminan ini mungkin dalam bentuk peratusan tertentu seperti keuntungan sebanyak 10% dari modal setiap tahun atau dalam bentuk jumlah yang spesifik seperti RM5,000 setahun.

Sebagai pelabur, tentunya kita akan tertarik dengan tawaran ini. Bukan sahaja wang modal yang kita sumbangkan itu tidak lupus, bahkan kita akan mendapat keuntungan yang dijamin tanpa berhadapan dengan risiko rugi dan untung.

Namun, sebagai pelabur, di samping kita perlu melihat sejauhmana pelaburan itu dapat mencapai keuntungan, kita juga perlu melihat adakah operasinya juga mematuhi syariah.

Lebih-lebih lagi apabila syarikat tersebut menawarkan keistimewaan-keistimewaan tertentu. Ini memerlukan pemerhatian dan sikap berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk memberikan modal.

Dalam kontrak mudharabah, apabila pemodal menyumbangkan modal untuk dilaburkan di sesebuah syarikat, sebenarnya dia telah dianggap sebagai pemodal (rabbul mal). Manakala syarikat yang menguruskan modal tersebut untuk perniagaan mereka dianggap sebagai pekerja (mudharib).

Oleh sebab itu, setiap operasi perniagaan tersebut perlu mengikut disiplin yang telah ditetapkan iaitu dengan menjaga rukun dan syarat-syarat kontrak mudharabah.

Jaminan modal dan keuntungan dalam pelaburan sebenarnya telah dibahaskan oleh para ulama yang muktabar. Keempat-empat mazhab yang utama berpandangan unsur jaminan boleh membatalkan aqad pelaburan sama ada menggunakan konsep mudharabah atau musyarakah.

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menjawab persoalan ini dengan menyatakan: “Kata Ibn Munzir, ahli-ahli ilmu sebagaimana yang kami ketahui telah bersepakat menyatakan bahawa terbatal qirad (mudharabah) apabila salah satu pihak atau kedua-duanya menetapkan sejumlah dirham yang dimaklumi,” (rujuk al-Mughni, jil. 5, ms 648).

Ibn Abidin pula berkata: “Bahawa keuntungan antara kedua-dua pihak hendaklah meluas (flexible). Kalau ditetapkan satu kadar, maka rosaklah (aqad mudharabah itu). (rujuk Hasyiah Ibn Abidin ‘ala al-Dur al-Mukhtar, jil 5, ms 648).

Maka, para ulama bersetuju mengemukakan sebuah kaedah fiqh yang diambil daripada hadis yang berbunyi: Al-ghunm bi al-ghurm (profit is by taking risk).

Ia bermaksud, bagi mendapat sesuatu keuntungan, pelaburan tersebut mestilah mempunyai risiko rugi dan untung. Dengan risiko inilah yang menyebabkan kedua-dua belah pihak iaitu pemodal dan syarikat berhak memperolehi keuntungan sekiranya ada.

Melalui kaedah ini, kita dapat fahami bahawa sebenarnya jaminan modal dan untung adalah bercanggah dengan syariah Islam.

Advertisements

One response to this post.

  1. Posted by hishamdesa on 30 Disember 2011 at 8:17 am

    Terima kasih dengan penjelasan yang agak mudah. Walaubagaimanapun agak jarang ustaz membahaskan ciri-ciri atau contoh-contoh pelaburan atau cara yang betul dalam membuat perjanjian pelaburan yang HALAL. Harap, saudara dapat memberi link untuk info yang saya perlukan. Terima kasih.

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: