Ketokohan Sheikh al-Ghazali


SHEIKH Muhammad Al-Ghazali lahir pada 22 September 1917 di perkampungan Naklal Inab, Itay Al-Barud, Buhairah, Mesir. Beliau dibesarkan di kalangan keluarga agama yang juga terlibat dalam dunia perniagaan.

Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya dan sejak kecil sudah menunjukkan ciri-ciri keilmuan yang unggul dengan kemampuan menghafal al-Quran ketika berumur 10 tahun. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kolej Agama Iskandariah, Mesir.

Semasa memasuki sekolah peringkat rendah usianya baru menjangkau 11 tahun, iaitu pada tahun 1928. Beliau meneruskan pengajian ke Universiti al-Azhar pada tahun 1937 dan lulus daripada Fakulti Usuluddin pada tahun 1941.

Di Fakulti Usuluddin, beliau telah berguru dengan ulama-ulama besar al-Azhar, di antaranya ‘Abd. ‘Azim al-Zarqani, Mahmud Shaltut, Muhammad Yusuf Musa (m. 1963M) dan Muhammad Ghallab.

Pada tahun 1937, beliau berkecimpung dengan gerakan Ikhwan Muslimun pimpinan Hasan al-Banna, dengan menjadi ahli gerakan ini.

Sejak itu, beliau bergiat cergas dalam dakwah dan banyak pemikiran, pengalaman dan didikan yang diambil daripada Hasan al-Banna.

Pada tahun 1943, Muhammad Al-Ghazali menerima Diploma Pendidikan pengkhususan Bahasa Arab dan Kesusasteraan dan ijazah Pengkhususan Dakwah daripada Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar.

Beliau merupakan anak didikan Hasan al-Banna dan ulama besar al-Azhar. Muhammad al-Ghazali begitu terkesan dengan didikan daripada Hasan al-Banna.

Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna sebagai pendorong dan pembimbingnya dalam medan dakwah. Menurut Muhammad al-Ghazali, beliau pertama kali berjumpa dengan Hasan al-Banna ketika menjadi penuntut di Kolej Agama Iskandariah semasa berumur lebih kurang 20 tahun.

Antara kesan terhadap jiwanya itulah beliau telah mengarang kitab Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah li al-Muslimin yang menjelaskan Usul ‘Ishrin (Asas 20 Perkara) yang ditulis oleh Hasan al-Banna.

Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna seorang pejuang yang ikhlas, mempunyai peribadi yang mulia dan pentafsir al-Quran yang baik. Beliau mempunyai kelebihan kerana dapat memahami uslub yang sukar, lalu disampaikan kepada orang ramai dengan uslub yang begitu menarik dan mudah difahami.

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, Muhammad al-Ghazali ketika di dalam penjara Tur selalu meniupkan semangat perjuangan dengan mengatakan bahawa kematian Hasan al-Banna tidak bermakna pertentangan dengan musuh-musuh Allah dan umat Islam telah berakhir. Panji-panji Hasan al-Banna akan diteruskan oleh murid-muridnya dan dakwahnya tidak akan lenyap.

Muhammad al-Ghazali juga terkesan dengan didikan ulama-ulama besar al-Azhar. Beliau mengakui terpengaruh dengan didikan ‘Abd al-‘Azim al-Zarqani r.h., guru tafsir dalam Fakulti Usuluddin.

Di Kolej Agama Iskandariah, beliau terpengaruh daripada gurunya yang bernama Ibrahim al-Gharbawi dan ‘Abd al-‘Azim Bilal, guru pendidikan psikologi.

Beliau juga terpengaruh dengan Mahmud Shaltut, guru dalam bidang Tafsir, dan kemudian menjadi Shaykh al-Azhar. Begitulah tokoh-tokoh ulama yang mempengaruhi jiwa Muhammad al-Ghazali sehingga beliau tidak mengenal erti penat dan lelah, sanggup dipapah di serata dunia semata-mata untuk menyebarkan dakwah serta meninggikan kalimah Allah yang mulia.

Muhammad al-Ghazali merupakan seorang penulis sejak beliau menuntut di Universiti al-Azhar dalam usia yang masih muda. Menurutnya, masa yang paling baik baginya menulis ialah selepas solat Subuh.

Dalam bidang ketamadunan, beliau mengarang buku bagi menjawab tuduhan-tuduhan golongan Barat terhadap Islam. Buku yang berjudul Min Huna Nabda’ ditulisnya bagi menjawab persoalan yang mengatakan istana untuk istana, Allah untuk Allah dalam buku karangan Khalid Muhammad Khalid yang berjudul Min Huna Na’lam.

Beliau juga menulis buku yang menerangkan sosialisme, iaitu Haqiqat al-Qawmiyyah al-‘Arabiyyah (Hakikat Nasionalisme Arab) bagi menjawab pandangan Barat terhadap nasionalisme.

Antara bukunya yang membicarakan perkara pertembungan tamadun ini adalah Mustaqbal al-Islam Kharij al-Ardih wa Kayfa Nufakkir fih (Masa Depan Islam di Luar Tanah Airnya dan Bagaimana Kita Berfikir Untuknya).

Beliau meninggal dunia di Riyadh pada 9 Mac 1996 selepas diserang sakit jantung. Beliau dimakamkan di perkuburan al-Baqi’, Madinah al-Munawarah berdekatan dengan makam putera Nabi SAW- Ibrahim, dan Malik bin Anas, iaitu lebih kurang 15 meter dari Masjid Nabawi. Jenazahnya telah disembahyangkan oleh Huzayfi di Masjid Nabawi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: