Misteri tuah dan sial di hujung jari


Suatu masa dahulu, masyarakat Arab jahiliyyah memiliki tradisi gemar melepaskan burung dari sangkarnya sebelum memulakan sebarang perjalanan. Ini dilakukan bagi meramalkan perjalanan yang bakal ditempuh sama ada selamat (baik) atau sebaliknya.

Sekiranya burung yang dilepaskan terbang ke arah kanan, maka perjalanan yang akan ditempuh adalah baik. Sebaliknya jika burung terbang ke arah kiri, mereka dijangka mendapat nasib malang jika perjalanan diteruskan. Ini sama juga dengan apa yang berlaku baru-baru ini ketika demam Piala Dunia 2010, mereka meramalkan kemenangan pasukan bola tertentu dengan menggunakan sotong yang diberi nama Paul.

Begitu juga dengan masyarakat Greek kuno yang mempercayai susunan dan peredaran bulan, bintang dan matahari mampu menterjemahkan karakter serta nasib mereka dalam kehidupan. Tidak terkecuali, sebahagian umat Islam turut terpengaruh lalu mempercayainya. Ini adalah apa yang dikenali ramalan horoskop atau susunan bintang yang dibahagikan menurut kumpulan tarikh tertentu kepada Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, dan seterusnya.

Manakala dalam masyarakat Cina kuno pula, mereka terkenal dengan ramalan tapak tangan dan feng shui. Ia juga masih subur diamalkan kini.

Dalam Islam, amalan seperti ini termasuk perbuatan meramal nasib yang disebut sebagai tathayyur atau thiyarah. Lebih spesifik, tatahayyur atau thiyarah ini merujuk kepada memiliki suatu keyakinan atau perasaan kesialan disebabkan sesuatu. Sama ada berpunca dari apa yang didengari, dilihat, atau yang diketahui. Sebagai contoh apabila mendengar suara burung gagak berhampiran rumah, dipercayai ada orang terdekat tertentu yang akan meninggal dunia. Ini termasuklah amalan mempercayai tarikh atau bulan kelahiran dalam rangkaian kalendar tertentu mampu mendatangkan sial atau rezeki.

Dari aspek aqidah Islam, amalan tathayyur ini termasuk perbuatan dan kepercayaan syirik yang dilarang keras kerana ia bertindak menafikan dan menghancurkan unsur tauhid dari beberapa sisi. Antaranya, ia menghilangkan rasa tawakal kepada Allah SWT. Lalu mengarahkan manusia kepada sebaliknya dengan sentiasa bergantung harap kepada selain Allah. Keduanya, ia mengheret manusia yang mempercayainya kepada sesuatu yang bukan realiti sama ada khurafat, tahayul, atau sesuatu yang tidak pasti. Kemuncaknya, aspek keimanan terhadap qada dan qadak Allah pun dihancur-luluhkan.

Pada hari ini, perkara yang sama terus berlaku. Selain asas amalan mempercayai tuah dan nasib tertentu melalui praktik seperti feng shui, ramalan tapak tangan, horoskop, tuah nombor tertentu, warna-warna, dan bulan kelahiran, ia kini dikembangkan pula dengan pelbagai aplikasi canggih dalam rangkaian maya (internet). Ini termasuklah melalui khidmat SMS, iklan di televisyen, aplikasi Facebook, dan jaringan laman sosial.

Dengan adanya aplikasi moden seperti ini, masyarakat tidak lagi perlu keluar rumah mendatangi dukun atau tukang ramal, sebaliknya aktiviti menilik nasib boleh dicapai semudah menggerakkan hujung jari melalui aplikasi SMS, telefon, komputer, dan internet.

Walaupun demikian, hukumnya tetap sama. Rasulullah SAW menegaskan, “Sesiapa sahaja yang mendatangi tukang ramal, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Fahamilah, apabila bertanya (termasuk untuk suka-suka) sahaja sudah diancam dengan ditolaknya amalan solat, apatah lagi mempercayainya?

Dari itu, berhati-hatilah dengan apa jua konsep ramalan seperti ini. Kerana ia termasuk kategori perbuatan syirik yang mampu meleburkan segala bentuk nilai amalan kebaikan yang pernah kita usahakan. Allah SWT berfirman, “:Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amalan-amalan kebaikan yang telah mereka usahakan:.” (Surah al-An’am, 6: 88)

Perlu lebih waspada apabila sebaran idea ramalan ini kini mula diolah dengan bahasa bombastik dan alasan seakan ilmiah menggunakan nama agama. Kebanyakan mereka yang mempopularkan idea-idea ramalan moden ini pula sering menggunakan alasan dengan data statistik dan kiraan-kiraan matematik menurut formula tertentu kononnya oleh pengkaji bergelar Datuk, Dr., Profesor, dan memiliki Phd.

Peliknya, kenapa ramalan yang dianggap pada mereka ini sebagai berdasarkan kajian tidak pernah dilakukan ke atas sampel haiwan tertentu, sebaliknya hanya ditujukan untuk manusia? Cubalah kepada sampel ayam atau kambing sebagai contoh. Bukankah ianya lebih mudah dalam memahami nasib atau karakter seseekor mahu pun sekumpulan ayam atau kambing tersebut?

Bukankah di sini jelas menunjukkan bahawa metodologi ramalan nasib ini kosong nilai ilmiah, bahkan miskin dari aspek sains dan agama sekali gus!

Maka, jauhilah amalan-amalan seperti ini. Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mendatangi seseorang tukang ramal atau dukun, kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Akhir kata, cukupkanlah diri kita sebagai umat Islam di atas agama-Nya, tulusnya doa, kekuatan usaha, dan buah tawakal sebagaimana anjuran syariat. Sayangilah aqidah, amalan, dan agama kita. Jangan biarkan diri kita diperbodohkan dengan kepercayaan karut.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: