Archive for April 2011

Ketokohan Ismail al-Faruqi

Ismail Raji al-Faruqi

 

Pada 27 Mei 1986, umat Islam, khususnya umat Islam di Amerika Syarikat (AS) berkabung. Pada tarikh itu mereka kehilangan seorang ilmuwan Islam terkemuka dan aktivis dakwah Islam yang tidak kenal penat lelah.

Beliau adalah Ismail Raji al-Faruqi yang dibunuh dengan kejam di kediamannya di Philidelphia.

Sejak tanah airnya, Palestin, diduduki Israel pada 1984, Faruqi berhijrah ke AS.

Di sana beliau bergelut dalam dunia akademik dengan mengajar dan mengembangkan dakwah Islam.

Beliau juga tidak henti-henti mengutuk gerakan Zionisme yang dianggap merampas tanah airnya.

Berkat jasanya yang amat besar dalam perkembangan Islam di AS dan dunia, al-Faruqi dianggap sebagai salah seorang tokoh penting Islam abad ke-20.

Ismail Raji al-Faruqi dikenal sebagai seorang pembaharu yang ingin merealisasikan Islam. Beliau kerap kali terlibat dalam program pengajian Islam di banyak negara di dunia.

Mengenai Zionisme, al-Faruqi pernah menulis: “Ketidakadilan Zionisme begitu kompleks, terlalu banyak dan mengerikan, hingga tidak ada cara lain untuk menghentikannya kecuali melalui kekerasan perang dengan menghancurkan tentera, negara dan seluruh institusi awam Zionis.”

Al-Faruqi memberi perhatian besar terhadap kemajuan ilmu pengetahuan. Beliau mengusulkan semua cabang ilmu pengetahuan moden dari Barat dengan tradisi ilmiah Islam digabungkan menjadi satu.

Melalui institut yang ditubuhkannya pada 1981, Institut Antarabangsa bagi Pemikiran Islan (IIIT) beliau merancang program islamisasi ilmu pengetahuan.

Nama Ismail Raji al- Faruqi sukar dipisahkan daripada nama isterinya, Lois Lamya al- Faruqi, yang dikahwininya semasa di Kanada.

Seperti suaminya, Lois adalah sarjana terkemuka. Beliau mendapat ijazah doktor falsafah dari Universiti Syacruse, AS pada 1974 dengan disertasi tentang muzik dalam peradaban Islam.

Beliau menjadi tenaga pengajar di banyak universiti di AS, Pakistan dan Filipina, serta aktif menganjurkan pelbagai pameran dan persidangan tentang kesenian dan kaligrafi Islam.

Hingga akhir hayatnya, beliau tercatat sebagai anggota dewan penyunting di jurnal Arts in the Islamic World yang beribu pejabat di London.

Sebagai anak Palestin, al- Faruqi mengecam keras Zionisme yang menurutnya menjadi dalang kolonisasi Israel terhadap Palestin.

Namun beliau dengan tegas membezakan antara agama Yahudi dengan Zionisme. Dalam Islam and Zionisme (1983), beliau menulis, “Islam tidak menentang agama Yahudi dan memandangnya sebagai agama Tuhan. Islam menentang politik Zionisme dan tindakan Zionis.”

Pembunuhnya dan juga isterinya dikatakan berkait rapat dengan retorik al-Faruqi yang sangat keras menentang gerakan Zionisme.

Di mata umat Islam AS, al-Faruqi dikenal sebagai Pengasas Kerohanian. Beliau mempelopori penubuhan banyak institusi dan pertubuhan Islam di AS.

Dalam bidang pendidikan Islam misalnya, beliau turut menubuhkan American Islamic College di Chicago dan Sister Clara Mohammad School di Philidelphia.

Al-Faruqi juga turut mendorong mahasiswa Islam menubuhkan pertubuhan mahasiswa, misalnya Moslem Student Association dan Islamic Society of North America.

Salah satu karya Ismail Raji al- Faruqi yang terkenal adalah buku The Cultral Atlas of Islam. Buku ini ditulis bersama-sama isterinya Lois Lamya al- Faruqi.

3 darjat sembahyang sunat Rasulullah SAW untuk ikutan mukmin

 

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz . Saya ingin mengetahui solat sunat yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada kita. Bolehkah ustaz jelaskan supaya saya boleh mengamalkannya.

HAJJAH AMINAH IBRAHIM, Bandar Baru Sri Petaling,

Kuala Lumpur.

Jawapan:

Alhamdulillah, wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d. Solat sunat (nawafil) ada yang mempunyai sebab dan ada yang tidak mempunyai sebab.

Solat sunat yang tidak ada sebab terbahagi kepada tiga darjat; pertama, solat sunat rawatib yang lebih muakkadah lebih dikuatkan) iaitu dikerjakan oleh Rasulullah SAW di dalam safar (semasa musafir) dan juga hadhar (tidak musafir) iaitu solat sunat witir dan solat sunat dua rakaat fajar (Subuh).

Kedua, solat sunat rawatib yang muakkadah (yang dikuatkan) yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadhar (tidak musafir) iaitu solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu dan solat malam (sunat tahajjud). Solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu ialah dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah solat Zuhur, dua rakaat sesudah solat Maghrib, dua rakaat sesudah Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.

Solat sunat tahajjud (solat malam) terbahagi kepada: dua rakaat iftitah (pembukaan), lapan atau 10 rakaat solat tahajjud dan kemudian disudahi dengan solat sunat witir. Semua ini dinamakan solat sunat rawaatib muakkadah (yang dikuatkan).

Ketiga, solat sunat rawatib ghairu muakkadah (tidak dikuatkan) yang mengiringi fardu yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah dua rakaat sebelum Zuhur (selain dua rakaat sebelum Zuhur yang muakkadah), dua rakaat sesudah Zuhur (selain dua rakaat sesudah Zuhur yang muakkadah), empat rakaat sebelum Asar, dua rakaat sebelum Maghrib, dua rakaat sebelum Isyak dan dua rakaat solat sunat Duha.

Ulama meletakkan yang ketiga ini sebagai solat sunat ghairu muakkadah (yang tidak dikuatkan). Solat sunat yang dituntut kerana ada sebab pula ialah: Pertama, solat sunat taubat. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Bakar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada lelaki yang berdosa dengan sesuatu dosa, kemudian berdiri lalu bersuci (berwuduk) kemudian mengerjakan dua rakaat solat, kemudian memohon ampun kepada Allah melainkan Allah mengampunkan dosanya.” Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang bertaubat sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud: “Dan orang yang apabila mengerjakan sesuatu kejahatan atau menganiaya diri, mereka segera mengingati Allah (meminta ampun terhadap dosanya).”

Kedua, solat sunat istikharah. Jabir bin Abdullah berkata: “Rasulullah SAW mengajarkan kami beristikharah pada segala rupa urusan kami seperti Baginda mengajarkan kami al-Quran.” Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu ingin melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat selain daripada solat fardu.” Sesudah solat, hendaklah memuji Allah, berselawat dan kemudian membaca doa ini: Allahumma astakhiruka hingga akhir doa (doa solat istikharah, sila dapatkannya dalam buku Solat Sunat terbitan Telaga Biru).

Hendaklah membaca pada rakaat pertama surah al-Kafirun dan rakaat kedua surah al-Ikhlas. Solat istikharah tidak hanya dilakukan di waktu menghadapi urusan berat, bahkan sebaliknya kita lakukan ketika menghadapi sesuatu urusan walaupun kecil.

Begitu juga dalam mencari jodoh, Rasulullah SAW juga mengajar untuk melakukan solat istikharah dengan doa yang khusus. Ketiga, solat sunat hajat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, daripada Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berhajat kepada Allah atau kepada seseorang anak Adam, hendaklah dia berwuduk dengan membaikkan wuduknya, kemudian hendaklah dia bersolat dua rakaat, kemudian dia memuji Allah dan berselawat kepada Rasulullah. Kemudian hendaklah dia membaca: La ilaha illallahu haliimul Karim hingga selesai.” Sebenarnya banyak lagi untuk dijelaskan mengenai solat sunat kerana ada sebab seperti solat sunat sesudah wuduk, solat sunat ketika hendak musafir dan kembali dari musafir dan sebagainya. Wallahua’lam.

Jaminan modal dan untung mengikut syarak

 

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMANdan AHMAD TERMIZI MOHAMED
Mana-mana pelaburan yang menjamin keuntungan tetap adalah haram dalam Islam kerana ia mengandungi unsur-unsur gharar. – Gambar hiasan

 

Sebuah syarikat yang kukuh bukan sahaja perlu mempunyai strategi yang tepat dan komitmen yang jitu, tetapi ia juga memerlukan dana yang tinggi.

Ini kerana, kos operasi sesebuah syarikat dewasa ini menjadi semakin tinggi. Ditambah pula dengan persaingan yang agak sengit kerana biasanya terdapat banyak syarikat yang melakukan urusniaga yang sama.

Justeru, syarikat-syarikat ini perlu bersaing untuk menarik pengguna supaya berminat menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Mereka juga perlu bersaing mendapatkan modal bagi menggerakkan operasi dan pengurusan syarikat.

Terdapat pelbagai kaedah dan strategi yang digunakan oleh para peniaga atau syarikat dalam menarik dana pelaburan atau modal untuk menggerakkan operasi perniagaan mereka. Antaranya ialah dengan menjamin modal dan keuntungan (capital and profit guaranteed) kepada modal yang disumbangkan oleh pelabur.

Ini bermakna, apabila pemodal menyumbangkan modal untuk tujuan pelaburan, maka pemodal tersebut tidak perlu berhadapan dengan risiko rugi atau untung kerana pihak syarikat menjamin modal dan memberi pulangan keuntungan dalam jangkamasa yang telah dipersetujui bersama.

Jaminan ini mungkin dalam bentuk peratusan tertentu seperti keuntungan sebanyak 10% dari modal setiap tahun atau dalam bentuk jumlah yang spesifik seperti RM5,000 setahun.

Sebagai pelabur, tentunya kita akan tertarik dengan tawaran ini. Bukan sahaja wang modal yang kita sumbangkan itu tidak lupus, bahkan kita akan mendapat keuntungan yang dijamin tanpa berhadapan dengan risiko rugi dan untung.

Namun, sebagai pelabur, di samping kita perlu melihat sejauhmana pelaburan itu dapat mencapai keuntungan, kita juga perlu melihat adakah operasinya juga mematuhi syariah.

Lebih-lebih lagi apabila syarikat tersebut menawarkan keistimewaan-keistimewaan tertentu. Ini memerlukan pemerhatian dan sikap berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk memberikan modal.

Dalam kontrak mudharabah, apabila pemodal menyumbangkan modal untuk dilaburkan di sesebuah syarikat, sebenarnya dia telah dianggap sebagai pemodal (rabbul mal). Manakala syarikat yang menguruskan modal tersebut untuk perniagaan mereka dianggap sebagai pekerja (mudharib).

Oleh sebab itu, setiap operasi perniagaan tersebut perlu mengikut disiplin yang telah ditetapkan iaitu dengan menjaga rukun dan syarat-syarat kontrak mudharabah.

Jaminan modal dan keuntungan dalam pelaburan sebenarnya telah dibahaskan oleh para ulama yang muktabar. Keempat-empat mazhab yang utama berpandangan unsur jaminan boleh membatalkan aqad pelaburan sama ada menggunakan konsep mudharabah atau musyarakah.

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menjawab persoalan ini dengan menyatakan: “Kata Ibn Munzir, ahli-ahli ilmu sebagaimana yang kami ketahui telah bersepakat menyatakan bahawa terbatal qirad (mudharabah) apabila salah satu pihak atau kedua-duanya menetapkan sejumlah dirham yang dimaklumi,” (rujuk al-Mughni, jil. 5, ms 648).

Ibn Abidin pula berkata: “Bahawa keuntungan antara kedua-dua pihak hendaklah meluas (flexible). Kalau ditetapkan satu kadar, maka rosaklah (aqad mudharabah itu). (rujuk Hasyiah Ibn Abidin ‘ala al-Dur al-Mukhtar, jil 5, ms 648).

Maka, para ulama bersetuju mengemukakan sebuah kaedah fiqh yang diambil daripada hadis yang berbunyi: Al-ghunm bi al-ghurm (profit is by taking risk).

Ia bermaksud, bagi mendapat sesuatu keuntungan, pelaburan tersebut mestilah mempunyai risiko rugi dan untung. Dengan risiko inilah yang menyebabkan kedua-dua belah pihak iaitu pemodal dan syarikat berhak memperolehi keuntungan sekiranya ada.

Melalui kaedah ini, kita dapat fahami bahawa sebenarnya jaminan modal dan untung adalah bercanggah dengan syariah Islam.

Hukum simpanan di bank

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMANdan AHMAD TERMIZI MOHAMED

HAMPIR semua rakyat di Malaysia mempunyai akaun simpanan di bank. Akaun simpanan telah menjadi satu keperluan yang mesti dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Antara kelebihan membuat simpanan di bank ialah ia memberi keselamatan kepada wang yang dimiliki dan memudahkan urusan transaksi pemindahan wang, pembelian atau pembayaran yang melibatkan jumlah wang yang besar.

Simpanan di akaun bank juga dapat menggalakkan pelaburan dan aktiviti urusniaga apabila pihak bank boleh menggunakan deposit yang disimpan itu untuk tujuan kegiatan ekonomi. Ini seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memperbanyakkan lagi peluang-peluang pekerjaan dalam sektor yang pelbagai.

Untuk menarik minat para pelanggan meletakkan deposit mereka, pihak bank biasanya akan menawarkan hadiah, insentif atau manfaat tertentu. Di samping perkhidmatan yang cekap, pantas dan berkesan, pihak bank juga akan mempromosikan akaun simpanan di bank dengan pelbagai manfaat yang menarik seperti dividen, pakej pelancongan, wang tunai dan sebagainya.

Namun, kita sebagai pelanggan kepada bank perlu sedar bahawa manfaat-manfaat ini boleh menjurus kepada perkara yang haram sekiranya tidak dikendalikan mengikut Syariah.

Dalam dunia perbankan Islam, simpanan disebut sebagai wadiah. Konsep ini lazimnya diguna pakai di dalam aktiviti penyimpanan deposit, khidmat pemegang amanah dan peti simpanan deposit. Di antara produk yang popular ialah Wadiah Saving Account. Pelanggan atau pendeposit akan membuat simpanan ke dalam akaun ini yang berasaskan kontrak Wadi’ah.

Pendeposit akan bertindak sebagai Muwaddi’ (orang yang mengamanahkan) dan bank akan dilantik sebagai Wadi’ (orang yang diamanahkan). Pihak bank biasanya akan menggunakan duit yang disimpan oleh pendeposit-pendeposit dengan kebenaran mereka.

Bank akan menggunakannya untuk membuat pelaburan yang mempunyai risiko yang agak rendah (low risk investment) atau pihak bank akan menggunakannya untuk menyediakan pembiayaan kepada pelanggan-pelanggan yang memerlukan pembiayaan.

Oleh kerana bank telah menggunakan deposit pelanggan tersebut, maka bank perlu menjamin deposit tersebut. Ini bermakna, walaupun bank menggunakan duit tersebut, pelanggan tetap dapat mengeluarkan simpanannya pada bila-bila masa.

Bagi menghargai pihak pelanggan, bank akan memberikan hibah sekiranya pihak bank mendapat keuntungan. Namun, ia tidak boleh dijanji atau ditetapkan dalam kontrak kerana ia adalah riba. Hibah tersebut hanya boleh ditentukan mengikut budi bicara bank berdasarkan pertimbangan prestasi keuntungan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS) pada mesyuarat ke-35 bertarikh 22 Mei 2003 telah memutuskan bahawa amalan pemberian hibah oleh institusi perbankan Islam kepada pendeposit wadiah adalah dibenarkan.

Walau bagaimanapun, pemberian hibah tersebut tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai ‘urf yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadiah.

Hulur bantuan sesama insan amalan mulia

Sifat prihatin, bekerjasama tangani musibah eratkan silaturahim antara masyarakat
KESUKARAN dilalui rakyat Mesir sudah lama berlaku. Kesempitan hidup dan tekanan kewangan bukan saja memberi kesan kepada ekonomi, tetapi sosial, budaya dan taraf hidup rakyat negara itu.

Kesabaran rakyat berakhir apabila mendesak pemerintah mengikut telunjuk mereka. Ia menyebabkan kesusahan kepada rakyat yang tidak terbabit secara langsung.

Situasi ini turut menyukarkan hidup rakyat Malaysia di sana. Namun, tiada kemudaratan besar menimpa mereka. Bantuan pelbagai pihak dalam urusan menyelamat patut disyukuri.

Begitu juga musibah banjir yang berlaku di negara ini. Ia menguji keimanan mereka yang ditimpa kesusahan, betapa waktu senang sering membuatkan manusia lupa akan kesusahan.

Waktu senang membuatkan manusia angkuh dengan Tuhan. Justeru bencana yang berlaku patut dijadikan peringatan, betapa nikmat-Nya bukan milik kita. Manusia memerlukan antara satu sama lain, baik waktu senang mahupun susah.

Sifat prihatin, bekerjasama, bertolak ansur dan berkorban mampu mengekalkan keharmonian, sekali gus mengeratkan silaturahim sesama insan dan menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksanya bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya.” (Surah Al-Maaidah, ayat 2)

Apa pun bentuk bantuan, ia tidak menjadi perhitungan kerana yang penting ialah membantu meringankan beban.

Ibu bapa yang kehilangan kasih anak tentunya mengharapkan perhatian, bukan wang ringgit. Begitu juga mereka yang tandus akal dan fikiran, mereka mengharapkan bantuan nasihat dan panduan supaya keputusan diambil menjadi penunjuk jalan.

Setiap bantuan yang dinafkahkan pada jalan Allah bukan saja akan dikenang, malah mendapat ganjaran Allah.

Firman Allah bermaksud: “Perumpamaan nafkah dikeluarkan orang yang menafkahkan pada jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah maha luas kurnia-Nya lagi maha mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 261)

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik sebagai insan banyak membantu golongan yang memerlukan. Baginda tidak pernah membiarkan orang yang menemuinya pulang tanpa dibantu, bahkan akan berusaha mengurangkan beban mereka tanpa mengira pangkat, kedudukan, warna kulit, agama mahupun jantina.

Rasulullah SAW juga tidak takut menjadi miskin disebabkan pertolongan diberikan kepada orang lain kerana Baginda yakin pemilik rezeki adalah Allah yang berkuasa memberi dan menarik setiap apa yang dianugerahkan.

Diriwayatkan daripada Anas, “Sesungguhnya seorang lelaki meminta kepada Nabi SAW kambing kepunyaan Baginda yang di gembala di antara dua gunung. Lalu Baginda pun memberikan kambing itu kepadanya. Selepas pulang ke negerinya, dia berkata kepada kaumnya: hendaklah kamu mengikut Islam kerana sesungguhnya Muhammad memberi bantuan yang tidak sedikit sebagai orang yang tidak takut kepapaan.” (Hadis riwayat Al-Imam Muslim)

Kesediaan untuk saling membantu sesama insan tanpa mengira pegangan agamanya adalah amalan mulia yang turut membantu menyebarkan syiar Islam ke seluruh alam.

Akhlak mulia yang ditonjolkan atas dasar kemanusiaan akan sentiasa memberi pulangan lumayan kepada agama serta penganutnya, sekali gus menolak dakwaan Islam adalah agama yang menganjurkan kezaliman dan menafikan kasih sayang sesama manusia.

Hukum pamer gambar dalam Facebook

Jaga batas bergaul dalam FB

Kita mestilah menjaga batas dalam pergaulan waima menerusi laman sosial seperti facebook.

 


 

SOALAN
KEBELAKANGAN ini ramai yang melayari facebook (FB). Apa hukumnya wanita yang telah berumahtangga mempamerkan gambar termasuk yang tidak menutup aurat untuk dikenali dalam profilnya tanpa pengetahuan suami.

JAWAPAN

Perbuatan wanita mempamerkan gambar peribadi yang tidak menutup aurat adalah haram dalam Islam.

Bagi seorang isteri kecantikan dan kejelitaannya hanya berhak ditatap oleh si suami sahaja. Mendedahkan aurat kepada orang bukan mahram adalah ditegah oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi melalui laman sosial yang mungkin ditonton oleh jutaan manusia.

Malahan gambar-gambar ini juga boleh dicetak dan boleh disalahguna oleh pihak tertentu. Maksudnya, janganlah hendaknya orang wanita mendedahkan diri mereka kepada sebarang kemudaratan melalui FB.

Mempamerkan gambar peribadi dalam FB dengan pelbagai gaya dan watak dalam keadaan tidak menutup aurat sangat tidak bermoral. Biarpun dengan izin suami mahupun ahli keluarganya, ia tetap haram.

Wanita adalah perhiasan dunia ini, namun sebaik-baik perhiasan ini hendaklah benar-benar beriman dan bertakwa bukan yang tanpa segan silu mendedahkan apa yang disuruh disembunyikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripadanya memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau baba mereka atau baba mertua mereka atau anak-anak mereka….(al-Nur: 31)

Berdasarkan ayat ini jelas bahawa Allah SWT memerintahkan kaum hawa menjaga batasan aurat yang menjadi maruah mereka. Mendedahkan aurat kepada mereka yang bukan mahram adalah haram.

Allah SWT hanya membenarkan kelonggaran aurat dalam batasan ahli keluarga. Ayah yang beriman serta adik beradik yang beriman tidak akan terangsang dengan melihat aurat darah daging sendiri, melainkan yang bernafsu binatang.

Segolongan ulama masih menyarankan agar para wanita itu menjaga batasan aurat mereka biarpun di hadapan ayah, abang dan mahram yang lain. Sebabnya yang demikian demi menjaga kemuliaan dan kesucian seseorang wanita.

Sebab itulah Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah), dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita), golongan yang telah lalu sebelum kamu serta nasihat pengajaran bagi orang yang mahu bertakwa. (al-Nur: 34)

Sebab itulah di dalam al-Quran, ada suruhan dan tegahan, bagi mereka yang beriman pasti akan bersegera meninggalkan yang ditegah. Bagi mereka yang berkarat hati amat sukar mendapat petunjuk.

Ini kerana al-Quran adalah nur iaitu cahaya, bukan cahaya yang bias dilihat dan dirasa oleh pancaindera manusia, cahaya ini adalah cahaya penyuluh menuju kepada Allah SWT, mendamba keredaan dan tamak kepada cintanya.

Justeru, mendedahkan aurat kepada yang bukan mahram adalah secara tidak langsung tidak patuh kepada perintah Allah SWT yang menyuruh menutupnya.

Suami yang menyedari bahawa isterinya mendedahkan gambar-gambarnya dalam FB wajib menasihati dan menegur isterinya serta menyuruhnya mengeluarkan gambar yang tidak sewajarnya daripada FB. Seterusnya, bertaubat kepada Allah SWT.

Batasan berinteraksi di dalam FB juga perlu diawasi. Jangan sampai mendedahkan hal-hal rumahtangga di dalamnya. Apatah lagi menceritakan keaiban rumahtangga termasuklah menceritakan keaiban suami atau isteri.

Ada kajian yang dijalankan bagi mendapatkan peratus perceraian yang berpunca daripada FB, jumlahnya agak banyak dan sangat mendukacitakan.

Nampaknya sudah ada yang sengaja mendedahkan hal rumahtangga dalam FB sehingga mengecilkan hati pasangan dan berakhir dengan perceraian.

Tabiat atau perbuatan mendedahkan keaiban suami di dalam FB atau di mana-mana hukumnya sama iaitu haram dan berdosa.

Sekiranya si isteri tidak berpuas hati dengan suami, sedangkan berhak untuk mendapat apa yang diperuntukkan oleh syarak maka dia boleh berunding dengan suami atau minta ahli keluarga lelaki dan ahli keluarga perempuan berunding mencari titik pertemuan serta mencari perdamaian.

Setiap insan yang bergelar suami dan isteri adalah haram dan berdosa mendedahkan keaiban pasangan di khalayak ramai. Jika berlaku sedemikian, maka hendaklah dipadam dalam FB dan mintalah maaf pada pasangan masing-masing.

Sinan arkitek unggul Empayar Uthmaniah

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

ISTANA Topkapi di Istanbul menjadi mercu tanda kejayaan Empayar Uthmaniyah di Turki dan secara tidak langsung ia juga menjadi bukti kecemerlangan empayar Islam ini dalam bidang seni bina.

Kerja-kerja pembinaan dalam kawasan Empayar Uthmaniah terletak di bawah bidang kuasa ketua arkitek yang berkhidmat dan melaporkan semua perkara secara terus kepada sultan. Salah seorang ketua arkitek Uthmaniyah yang mempunyai bakat dan kemahiran luar biasa dalam bidang seni bina ialah Sinan.

Sinan dilahirkan pada tahun 1490 Masihi di sebuah wilayah kecil di luar Anatolia. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga seniman yang mahir dalam kerja-kerja pembinaan melibatkan batu dan kayu. Setelah dewasa, Sinan membantu keluarganya dalam perniagaan ini sebelum berhijrah ke Istanbul.

Setelah sampai di Istanbul, beliau mendapat pendidikan dalam bidang pertukangan di sebuah sekolah persediaan yang ditubuhkan oleh Empayar Uthmaniah. Selepas itu, Sinan berkhidmat sebagai tentera yang dikenali sebagai Janissari ketika pemerintahan Uthmaniah.

Bakat dan kesungguhan beliau ketika berkhidmat di dalam pasukan tentera Uthmaniah dihargai dengan dianugerahkan beberapa kenaikan pangkat seperti kapten pasukan tentera pejalan kaki, kemudian komander pasukan pemanah dan seterusnya sebagai sarjan pasukan tentera elit yang menjaga keselamatan Sultan.

Sewaktu berkhidmat sebagai tentera elit, bakat beliau dalam seni bina telah diketengahkan oleh seorang arkitek diraja yang bernama Lutfi Pasha.

Ia bermula dalam satu kempen ketenteraan dalam kemaraan tentera Uthmaniah di Vienna di bawah pimpinan Sultan Sulaiman pada awal abad ke 16 Masihi. Ketika tiba di tempat bernama Moldavia, pasukan tentera Uthmaniah menghadapi masalah untuk menyeberangi sungai.

Oleh itu, pasukan tentera berusaha beberapa hari untuk membina jambatan tetapi usaha mereka gagal kerana jambatan tersebut tenggelam di dalam lumpur dan hanyut dibawa arus.

Arkitek diraja yang mengikuti kempen tersebut telah mengarahkan Sinan untuk mengetuai pasukan yang baru dalam membina jambatan yang diperlukan dan beliau berjaya melakukannya.

Dalam satu lagi kempen ketenteraan, Sinan telah diarahkan membaikpulih dua buah makam ulama Islam di Baghdad selepas tentera Uthmaniah berjaya memasuki Baghdad. Makam dua orang ulama Islam yang dibaik pulih oleh Sinan ialah makam Abu Hanifa dan makam Abd. al-Qadir al-Gilani.

Beliau menggunakan teknik binaan yang hampir sama dengan binaan kompleks Masjid Sulaiman yang dibina kemudiannya iaitu menggunakan batu bata sebagai struktur.

Setelah banyak kali menyertai kempen ketenteraan, beliau dilantik sebagai arkitek diraja pada tahun 1537.

Beliau telah berjaya mengekalkan kedudukan di dalam jabatan arkitek diraja di bawah pemerintahan beberapa orang Sultan Uthmaniah seperti Suleiman I, Selim II dan Murad III. Kejayaan yang paling ulung ialah dilantik Ketua Arkitek Diraja dan diberi gelaran Mimar Sinan Pasha.

Beliau membina lebih 300 binaan terdiri daripada kompleks masjid, makam, sekolah dan tempat mandian awam. Antara seni binanya yang dikagumi sehingga ke hari ini adalah Kompleks Masjid Sultan Sulaiman dan Kompleks Masjid Sultan Selim.

Kedua-dua seni bina ini dikatakan mempunyai saiz kubah terbesar pada abad ke 16 dan 17 Masihi. Selain kubah, beliau juga mempunyai gaya tersendiri dalam mencipta bentuk tangga di empat menara yang tinggi di setiap kompleks masjid yang dibina. Tangga yang dicipta kelihatan seakan-akan terjalin.

Selain membina bangunan yang besar dan indah untuk kegunaan empayar, Sinan juga ditugaskan memantau dan membaiki sistem pengairan di dalam empayar.

Beliau perlu mengenalpasti masalah yang dihadapi penduduk dan menyelesaikan masalah bekalan air terutamanya ke kawasan bandar.

Sumber air sering terletak di kawasan luar bandar dan beliau telah mencipta sistem pengairan yang baik bagi bandar Istanbul yang melibatkan sistem pengairan bawah tanah.

Sistem ini membantu penyaluran bekalan air bersih ke kawasan masjid, istana dan rumah mandi awam.

Kejayaan Sinan dalam seni bina juga disokong oleh faktor penaung iaitu Sultan Sulaiman yang amat mengambil berat tentang seni bina di dalam zaman pemerintahan baginda.

Antara ciri seni bina yang digemari oleh Sultan Sulaiman dan Sinan adalah penggunaan jubin Iznik dalam hiasan dalaman seni binanya.

Bahan ciptaan seni bina Mimar Sinan ada dalam pameran Al-‘ilm: Sains dan Innovasi Dunia Islam yang sedang berlangsung dari 24 Februari – 29 Mei 2011 di Galeri Khas 2 Muzium Kesenian Islam Malaysia.