Archive for 11 Mac 2011

Hukum jual-beli semasa azan Jumaat

APABILA sesuatu itu diharamkan dalam Islam, ia juga akan menyebabkan pengharaman perkara-perkara yang boleh mendorong terjadinya perkara haram itu. Maka, Islam menutup pintu-pintu atau perkara yang boleh membawa kepada haram.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Al-Halal Wal Haram Fil Islam menegaskan perkara ini dengan mengemukakan kaedah yang dipersetujui oleh para ulama Fiqh iaitu: “Perkara yang boleh menyebabkan berlakunya sesuatu yang haram, maka perkara itu juga adalah haram.”

Maka, kaedah ini boleh kita lihat berlaku kepada pengharaman jalan-jalan ke arah perzinaan, riba, judi dan sebagainya. Demikian juga yang berlaku kepada solat Jumaat.

Haram bagi umat Islam melalaikan diri dengan berlengah-lengah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid. Rentetan dari itu, Allah SWT mengharamkan berjual-beli semasa azan Jumaat.

Pengharaman ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual- beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (al-Jumuah: 9)Para ulama secara sepakat merumuskan bahawa haram melakukan urusan jual-beli setelah azan Jumaat dikumandangkan. Walaubagaimanapun, pengharaman ini hanya ke atas kaum lelaki sahaja.

Ini kerana, hukum menunaikan solat Jumaat hanya wajib keatas kaum lelaki. Justeru, sekiranya urusan jual-beli itu berlaku di antara wanita dengan wanita, maka ia tidak termasuk dalam pengharaman tersebut.

Tidak termasuk juga dalam pengharaman ini kaum lelaki yang gugur syarat wajib menunaikan solat Jumaat seperti kanak-kanak yang belum baligh, orang gila, orang yang uzur dan sebagainya.