Archive for 9 Mac 2011

Macamana nak selesai perbalahan adik beradik

SAYA dan kakak bergaduh lebih sebulan yang lalu. Sampai sekarang kami masih belum bertegur sapa. Dia seorang yang berperangai negatif seperti malas sembahyang, suka menceritakan keburukan orang lain kepada ibu bapa dan suka berdengki. Adakah saya berdosa jika tidak bertegur sapa dengannya.

AA,
Selangor.
AL-HAMDULILLAH. Wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat-36 yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu sekalian mempersekutukan dengan sesuatu. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya.” Manakala Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memutuskan hubungan silaturahim. Hadis ini riwayat al-Bukhari daripada Abu Muhammad Muth’im.

Kepada saudara yang bertanya, menghubungkan silaturahim adalah perkara wajib dan memutuskannya adalah haram dan termasuk dalam orang yang mendapat laknat Allah SWT. Justeru, berusaha berbuat baik kepadanya seperti memberi hadiah, menziarahinya, mendoakannya dan sebagainya. Apa gunanya kita melaksanakan solat tetapi pada masa yang sama kita memutuskan hubungan silaturahim.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, daripada Abdullah bin Amr bin al-‘Ash daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Orang yang menghubungkan silaturahim bukan orang yang memberi jaminan, tetapi orang yang menghubungkan silaturahim adalah orang yang apabila kaum kerabatnya memutuskan hubungan maka ia menyambungnya.

Sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah bahawasanya ada seseorang berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai beberapa saudara yang saya menghubungkan tali persahabatan dengan mereka tetapi mereka memutuskan tali persahabatan dengan saya. Saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya. Saya selalu berlembut ramah kepada mereka tetapi mereka tidak mengendahkan.”
Baginda SAW bersabda: “Seandainya kamu benar-benar seperti apa yang kamu katakan, maka seakan-akan kamu menelan abu yang sangat panas kepada mereka. Dan Allah SWT akan selalu memberi pertolongan kepadamu atas perbuatan mereka selama kamu tetap berbuat demikian.”

Adapun sikap kakak yang tidak baik itu, maka tegur dia dengan cara yang berhikmah. Sesungguhnya amalan nasihat menasihati sekiranya dilakukan dengan cara yang betul boleh mengeratkan hubungan silaturahim.

Allah SWT berfirman dalam an-Nahl ayat-125 yang bermaksud: “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan dengan tutur kata yang baik.” Contohnya, sebuah hadis daripada Abu Wail Syaqiq berkata: “Ibnu Mas’ud biasa memberi nasihat kepada kami setiap hari Khamis, kemudian ada seseorang berkata kepadanya: “Wahai Abu Abdurrahman saya amat senang hati kiranya engkau mahu memberi nasihat kepada kami setiap hari.

Ibnu Mas’ud menjawab: Sebenarnya tidak ada yang menghalangi saya untuk memberi nasihat setiap hari melainkan saya bimbang kamu semua akan menjadi bosan. Saya sengaja menjarangkan waktu untuk memberi nasihat seperti mana Rasulullah SAW juga menjarangkan kepada kami kerana Baginda bimbang kalau kami merasa bosan.” Wallahua’lam.