Archive for 28 Februari 2011

Perawi Qiraat Hamzah

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

PERAWI pertama Qiraat Imam Hamzah ialah Khalaf dan perawi keduanya ialah Khallad. Kedua-dua perawi ini mempelajari dan menguasai Qiraat Hamzah melalui seorang muridnya yang bernama Imam Sulaim. Ini bermaksud Khalaf dan Khallad tidak bertalaqi dari Imam Hamzah.

Imam Sulaim adalah murid Imam Hamzah. Beliau berkhidmat dalam pengajaran al-Quran dan mengembang Qiraat Imam Hamzah dalam tempoh yang panjang.

Ramai ulama yang mengambil ilmu Qiraat dari imam Sulaim antaranya Khalaf dan Khallad.

Nama penuh Imam Khalaf ialah Khalaf Ibn Hisyam Ibn Tha’lab. Dalam Qiraat Tujuh beliau adalah perawi kepada Imam Hamzah. dalam Qiraat Sepuluh beliau adalah seorang Imam yang mempunyai dua perawi iaitu Ishak dan Idris.

Khalaf dalam Qiraat Tujuh dan Khalaf dalam Qiraat Sepuluh adalah orang yang sama. Namun, daripada sudut bacaan sebagai salah seorang imam dalam Qiraat Sepuluh beliau mempunyai pilihan bacaannya sendiri iaitu sebanyak 120 tempat berbeza ketika beliau adalah perawi kepada Imam Hamzah.

Imam Khalaf lahir pada tahun 150 hijrah. Beliau menyempurnakan hafazan al-Quran ketika berusia 10 tahun. Ramai ulama yang memujinya dengan mengatakan beliau seorang yang amat dipercayai, zuhud, kuat beribadat dan alim.

Guru-guru yang memberi ilmu dan mengajar al-Quran kepada Imam Khalaf ialah Sulaim ibn Isa, AbdulRahman Ibn Abi Hammad, Yaaqub Ibn Khalifah al-‘Asyi, Ubaid ibn Aqil, al-Kisai dan ramai lagi.

Beliau meninggal dunia pada tahun 229 hijrah di Bahgdad.

Perawi kedua Imam Hamzah ialah Khallad Ibn Khalid Abu Isa. Lahir pada tahun 130 hijrah ketika pemerintahan Hisyam atau Marwan.

Khallad meriwayat Qiraat Hamzah melalui gurunya Imam Sulaim. Ketekunan dan usahanya dalam menuntut ilmu menjadikan beliau seorang yang paling mantap menguasai bacaan Imam Hamzah.

Selain berguru dengan Sulaim, beliau juga bertalaqi dengan Husin Ibn Ali al-Ju’fi, Abu Bakr ‘Ayash dari Imam ‘Asim dan juga Abu Ja’far Muhammad Ibn Hasan al-Rawasi.

Beliau meninggal dunia pada tahun 220 hijrah.

Perbezaan bacaan antara riwayat Hafs yang selalu kita amalkan dengan Qiraat Imam Hamzah melalui dua perawinya adalah amat jelas dan bilangan perbezaan amat banyak.

Justeru, untuk mempelajarinya tidak cukup dengan merujuk kepada kitab sahaja atau mengikut rakaman suara qari terkenal, tetapi ilmu ini mestilah diambil dan mempelajarinya secara musyafahah atau disebut talaqi daripada guru.