Archive for 10 Februari 2011

Sambutan Maulud Nabi perlu peremajaan

Tulisan Hamizul Abdul Hamid

Sejarahnya begini. Lebih 1,000 tahun yang lalu, pada abad ke-10 hingga abad ke-12, telah ada umat Islam telah mulai lupa kepada  rasul. Wilayah Islam yang kian melebar dari semenanjung Arab sehingga ke Afrika Utara (hari ini diangkat sebagai sebahagian daripada dunia Arab) menyaksikan umatnya kian rencam dan ramai.

Kala itu, pemerintah di Mesir yang dikuasai Dinasti Fatimiyyah (910 – 1,171) – sebuah kerajaan bermazhab Syiah yang terkenal fanatismenya kepada Ahlul Bait, melihat perlunya satu sambutan yang mampu menarik umat Islam kembali mengenali nabi mereka.

Saat itulah, mula tercetusnya sambutan yang pada hari ini menjadi acara wajib bagi sebahagian besar dunia Islam, termasuklah di Malaysia.

Pepatah Melayu ada menyatakan, tidak kenal maka tidak cinta. Cinta itu pula, mulanya di mata lalu turunnya di hati. Maka, upaya agar umat Islam kembali mengenali sosok agung sang pencerah kegelapan manusia bernama Muhammad bin Abdullah ini perlu dilakukan.

Jika tidak, umat Islam akan terus-menerus ‘buta’ mengenai nabinya, apatah lagi untuk menyintainya.

Nah! Ribuan tahun berlalu, cetusan semangat ini terus berkesinambungan. Hakikatnya, sambutan yang pada hari ini dikenali sebagai Maulidur Rasul (kelahiran rasulullah SAW) ini, tidak pernah pun disambut sepanjang nabi masih hidup atau disambut oleh para sahabat nabi.

Jangan meletihkan diri mencarinya di lembaran kitab sejarah dan sirah, mereka tidak pernah sekali pun menyambutnya.

Atas sebab itu jugalah, ada pandangan ulama yang menegahnya. Bagi mereka, menyambutnya adalah suatu bidaah. Namun, ada juga ulama yang lebih rasional dan mengharuskan sambutan Maulidur Rasul dengan harapan, selepas umat Islam menyambutnya, maka akan tercetuslah sedikit ingatan kepada nabi dan cetusan itu mampu menjadi api yang memarakkan cintanya.

Maka, jika ditinjau dari sudut dakwah dan islah, menyambut Maulidur Rasul ini adalah suatu proses ke arah kebaikan. Ia boleh disamakan seperti proses ‘peremajaan’ agar kita tidak lupa kepada Nabi Muhammad SAW. Peremajaan daripada sudut ingatan, maksud saya. Biasalah, kita selaku manusia memang mudah lupa dan sering kali bersifat pelupa!

Menyambut kelahiran nabi agung yang bernama Muhammad atau Ahmad ini, samalah seperti kita mengenang kembali tarikh kita dilahirkan atau tarikh ulang tahun pernikahan. Samalah kita mengenang tarikh keramat kemerdekaan negara atau tarikh penting bagi sesuatu sambutan yang lain. Hari raya misalnya.

Jika kita boleh mencatatkan dalam kalendar pelbagai tarikh yang mahu diraikan, maka berlebih lagilah patutnya kita menandakan 12 Rabiul Awal sebagai tarikh yang tidak wajar dilupakan.

Walau bagaimanapun, 12 Rabiul Awal yang jatuhnya pada 15 Februari pada tahun 2011 ini, tidak akan mendatangkan sedikit pun faedah kepada kita, andai kita hanya tahu ia sekadar hari sebuah kelahiran. Ia tidak lebih daripada sekadar menjadi hari liburan seperti mana kita sering berlibur di hujung minggu.

Paginya kita bersarapan pagi di kedai roti canai dengan anak-anak, selepas itu ke pasar dan kemudiannya membaca akhbar di serambi rumah. Lalu petangnya membasuh kereta dan membawa anak-anak ke taman permainan atau ke kebun bunga.

12 Rabiul Awal tanpa persediaan mental dan rohani, tidak akan membawa kita ke mana-mana. Percayalah! Maka, atas sebab itu, kita mesti memberi suatu kelainan pada tarikh ini.

Kelainan yang bukan sekadar menyebutnya, atau sekadar berarak meregang sepanduk dengan pelbagai kata-kata, tetapi perlu kepada penjiwaan yang mendasar. Jiwa yang akan mendarat di tanah yang subur untuk terus mencambahkan lestarinya cinta kepada Rasulullah.

Soalannya bagaimana? Ya, mulakan daripada diri sendiri dan lebarkannya kepada lingkungan sendiri. Keluarga terdekat dan kepada kejiranan. Amalkan apa yang diamal oleh nabi.

Jika tidak tahu, belajarlah atau mencarilah. Halusi bagaimana caranya nabi berinteraksi dengan ahli keluarga. Pernahkan sang nabi membentak isterinya yang sembilan orang. Pernahkah juga nabi menjentik telinga anak-anaknya atau bagaimana nabi melentur akhlak para sahabatnya.

Jika perlu, bawalah keluarga ke kedai buku dan carilah koleksi buku sirah nabi di rak-raknya. Bagi anak-anak, belikan mereka kisah nabi pada zaman anak-anaknya. Buat isteri, belikan buku tentang ummahatul mukminin dalam melagang peranan mereka di sisi nabi.

Natijahnya, biar kita tahu, sang pencerah yang kita sambut setiap tahun kelahirannya itu, adalah manusia yang wajar dicontohi.

Bukan sekadar ditulis namanya di atas sepanduk, lalu diarak ke sana dan ke sini, tanpa usaha dan upaya sedikit pun mengenali akhlaknya, mengenali ramah dan santunnya dan mengenali betapa agung peribadinya.