Archive for 3 Februari 2011

Bolehkah tak kahwin alasan ganggu ibadat

Soalan:

BOLEHKAH seseorang itu tidak mahu bernikah kerana takut sibuk berkeluarga sehingga menjejaskan ibadat.

Roslan, Kulim.

Jawapan:

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nur ayat 32 dan 33 yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) dalam kalangan kamu dan orang yang salih daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpahan kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya.

Dalam satu riwayat, disebutkan tiga sahabat Nabi SAW iaitu Ali Abi Talib, Abdullah Amr dan Usman Mazun berkunjung ke rumah Nabi SAW, ingin mengetahui ibadat baginda. Mereka sedar bahawa ibadat mereka masih kurang dan masing-masing bertekad meningkatkannya. Ada yang mahu solat malam terus menerus, ada juga yang bermaksud berpuasa sepanjang masa dan yang ketiga ingin tidak mahu berkahwin sama sekali.

Maksud mereka pun didengari Rasulullah SAW. Baginda kemudian menjelaskan ketakwaan bukan melakukan perkara bertentangan dengan fitrah manusia atau melampaui batas dalam ibadat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, aku adalah orang yang paling takut di antara kamu kepada Allah dan aku paling bertakwa kepada-Nya. Tetapi aku tetap berpuasa (pada suatu hari) dan tidak berpuasa (di hari yang lain). Aku solat dan tidur, dan aku juga berkahwin. Siapa yang tidak senang mengikuti sunnahku, maka dia bukan dari (umat)ku.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik)

Maksud perkataan ‘sunnah’ dalam hadis di atas bukan dari pengertian hukum yang bererti siapa yang mengerjakannya mendapat ganjaran dan mengabaikannya tidak berdosa. Tetapi ia adalah cara hidup Nabi SAW.

Perkahwinan hukum asalnya adalah Mubah (harus), walaupun terkadang menjadi wajib kepada yang berkemampuan secara fizikal dan material dan bimbang terjerumus ke lembah dosa. Terkadang, perkahwinan menjadi terlarang bagi yang tidak mampu secara fizikal dan material, manakala yang tidak mampu secara material dianjurkan menangguhkan perkahwinan sehingga mampu. Demikianlah. Wallahua’lam.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menganjurkan kepada para pemuda untuk berpuasa, “Wahai pemuda, siapa antara kamu yang mampu (secara fizikal dan material) untuk berkahwin, hendaklah berkahwin. Sesungguhnya itu dapat menghalang pandangan (melihat yang terlarang) dan mengelak (berzina). Sesiapa yang tidak mampu (secara material tetapi mampu secara fizikal), maka hendaklah ia berpuasa, kerana puasa menjadi perisai bagi kamu.” (Hadis ini riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud). Demikianlah. Wallahua’lam.