Archive for 26 Januari 2011

Bank Negara Punca Aliran Wang Haram Malaysia Antara Tertinggi di dunia

Oleh Fadli

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua  berkata terdapat kemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) sudah pun sedia maklum mengenai pengaliran wang haram Malaysia yang mencatatkan antara yang tertinggi di dunia. Namun katanya, mekanisme kawalan yang agak lemah menyebabkan pengaliran wang tersebut meningkat tiga kali ganda dalam masa lapan tahun.

“Saya sendiri bersama beberapa Ahli Parlimen yang lain ada membangkitkan perkara ini tahun lepas di Parlimen apabila terdapat beberapa individu tertentu, memindahkan sejumlah besar wang melalui agen pengurup wang yang buat masa ini tidak direkodkan Bank Negara Malaysia,” kata Tian Chua.

Tian turut tidak menolak kemungkinan ia dilakukan golongan yang mempunyai ‘hubungan baik’ dengan parti pemerintah.

“Mereka berbuat demikian kerana mereka sendiri tidak percaya dengan kemampanan ekonomi negara ini. Malah, tidak mustahil ia merupakan rancangan sistematik untuk mengeluarkan kekayaan negara yang dirompak secara tidak sah,” kata Tian lagi.

Malaysia mencatatkan pengaliran keluar wang haram antara yang tertinggi di dunia membabitkan sebanyak USD 291 bilion di antara tahun 2000 sehingga 2008.

Berada pada kedudukan kelima di antara sepuluh negara teratas, Malaysia berada di belakang China ( USD 2.18 trilion), Russia (USD 427 bilion), Mexico (USD 416 bilion), dan Arab Saudi (USD 302 bilion).

Demikian dilaporkan Global Financial Integrity (GFI), sebuah badan pemerhati kewangan global dalam laporan mereka Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2000-2009 (Update with a Focus on Asia).

GFI dalam laporannya mendefinisikan Wang haram sebagai merujuk kepada wang daripada aktiviti-aktiviti tidak sah seperti rasuah, kecurian, sogokan serta pengelakan cukai.

Lebih menarik, pengaliran keluar wang haram dari Malaysia dilaporkan meningkat tiga kali ganda sepanjang tempoh tersebut-sebanyak USD 22.2 bilion pada tahun 2000 melonjak kepada USD 68.2 bilion pada tahun 2008.

Peningkatan kadar tersebut yang berlaku secara mendadak dan turut melanda beberapa negara Asia yang lain, dipercayai berpunca daripada isu tata kelola yang turut memberi kesan langsung kepada sektor swasta dan awam.