Archive for 16 Januari 2011

Bagaimana cara dapatkan baik saat kematian

KITA sememangnya tidak dapat lari daripada kematian. Malah, pelbagai tafsiran dibuat mengenainya. Apakah ada sebarang cara untuk mengetahui sama ada seseorang itu mati dalam husnul khatimah (kesudahan usia yang baik) atau sebaliknya? Harap dapat penjelasan.

WAN,

Terengganu.

 

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya.”

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu mati dalam keadaan husnul khatimah atau kesudahan usia yang baik atau sebaliknya bukanlah sesuatu yang mudah atau senang untuk diteka sebegitu saja.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Demi Tuhan yang tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya seseorang antara kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada jarak antara dia dan neraka melainkan sehasta, maka Ketentuan Ilahi sudah mendahuluinya, lalu pada akhir usia ia sudah melakukan amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalamnya.

Dan sesungguhnya seseorang antara kamu ada yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antara dia dan syurga melainkan sehasta, maka ketentuan Ilahi telah mendahuluinya, lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka, maka ia masuk ke dalamnya.”

Ketika kalangan sahabat Nabi mendengar penjelasan itu, mereka lalu bertanya: “Kalau demikian, tidakkah elok jika kita berserah saja pada ketetapan itu? Nabi SAW memberi bimbingan: “Beramallah kerana semua dimudahkan (untuk beramal) sesuai dengan tujuan penciptaannya.”

Kitab suci al-Quran berpesan pada ayat 102 surah Ali Imran (yang bermaksud): “Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Muslim.”

Sekiranya anda membaca ayat ini, janganlah berfikir: “Bukankah kematian adalah kehendak Tuhan, bukan kehendak manusia? Jika demikian apa makna larangan ini?”

Jawapannya adalah: “Biasanya seseorang meninggal dunia sesuai dengan kebiasaan yang dilakukannya (atau sesuatu yang terbiasa dilakukannya).”

Jika demikian, ayat itu jelas berpesan iaitu: “Biasakan hidup sesuai dengan tuntutan Islam kerana apabila anda melakukan hal berkenaan, anda akan meninggal sesuai dengan kebiasaan baik itu dan itulah husnul khatimah.”

Sehubungan itu, janganlah membiasakan diri anda dengan melakukan larangan Allah SWT atau melanggar syariat seperti meminum arak kerana boleh jadi maut akan meragutnya dalam keadaan demikian juga atau pada ketika dirinya berdepan sakaratulmaut, dia berasakan bagai sedang minum arak dan mabuk. Pada ketika itulah dia mengalami Su’ul Khatimah (penyudahan usia yang tidak baik).

Apabila melihat semua keadaan itu, maka kita bolehlah menyatakan bahawa salah satu tanda Husnul Khatimah (penyudahan usia yang baik) iaitu ‘ketekunan melaksanakan tuntutan agama.’

Bagi seseorang yang menghadapi sakaratulmaut, dianjurkan kepada kaum keluarga atau sesiapa saja untuk membacakan surah Yassin serta membimbingnya mengucap kalimah syahadah sebagai mana yang disuruh oleh Nabi Muhammad SAW. Demikianlah. Wallahua’lam.

Hukum menasabkan anak angkat kepada ayah angkatnya

Soalan keenam : Mengapakah Islam mengharam menasabkan(bin atau binte) anak angkat kepada bapa atau keluarga angkatnya?

    Islam telah membuang amalan menasabkan seseorang anak kepada bapa atau keluarga angkatnya kerana di sana ia mempunyai beberapa hikmat yang besar dan tersendiri demi menjaga keamanan serta ketenteraman di dalam masyarakat. Islam menegah anak angkat daripada turut menjadi pewaris kepada harta pesaka(mirath) demi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan pertelingkahan antara pewaris yang sebenar dan anak angkat. Ia juga bertujuan mengelakkan daripada harta pesaka(mirath) daripada dimiliki oleh mereka yang tidak berhak walau pun dia dipanggil anak angkat kerana mereka bukanlah pewaris kepada harta ayah atau keluarga angkatnya.Islam memandang serius kepada pembahagian harta pesaka(mirath) agar ia tidak dibahagikan kepada mereka yang bukan ahlinya supaya tidak berlakunya perpecahan di dalam masyarakat terutama perbalahan antara pewaris dan anak angkat misalnya dan mengelakkan daripada berlakunya pembahagian yang tidak sah serta penggunaan harta secara haram kerana menyalahi perintah syarak.Namun begitu anak angkat berhak untuk mendapat harta daripada wasiat ayah atau keluarga angkatnya.

    Islam juga mengharam menasabkan anak angkat kepada ayah angkatnya bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya penipuan dan kesamaran yang mana boleh menyebabkan anak angkat akan berasa begitu kecewa apabila mengetahui kedudukannya yang sebenar iaitu dia bukanlah anak kandung. Ini akan menekan perasaan dan juga maruah anak angkat apabila mengetahui perkara ini sedangkan Islam melarang umatnya daripada melakukan  pengkhianatan dan penipuan kepada seseorang terutama perkara ini boleh mengecewa serta menghilangkan kebahagian seseorang. Islam juga melarang perkara ini di dalam menghindari daripada seseorang yang berbalah dan membenci ayah sebenarnya untuk memilih seseorang yang lain bertujuan menasabkan dirinya kepada lelaki tadi. Perbuatan ini boleh menyebabkan perbalahan dan kekacauan dalam masyarakat.

Larangan Islam ini dapat dilihat di dalam ayat 4 dan 5 surah al-Ahzab yang bermaksud :

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang itu dua hati dalam rongganya dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu ziharkan(menyamakan dengan perempuan yang diharamkan berkahwin dengannya) itu sebagai ibumu dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu(sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu melalui mulutmu sahaja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan(yang benar).Panggillah mereka(anak angkat itu) dengan(menggunakan) nama bapa-bapa mereka.Itulah yang lebih adil pada sisi Allah dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka(panggillah mereka sebagai)saudara-saudaramu seagama dan wali-walinya. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu berselisih padanya tetapi(yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

    Islam tidak melarang memelihara dan mendidik anak yang kehilangan ibubapa tetapi ia melarang daripada menasabkan mereka kepada ayah angkat mereka.Ini adalah kerana hak anak yang sebenar adalah banyak iaitu harta pesaka(mirath), tidak boleh berkahwin dengan ibu, adik-beradik kandung, bapa dan ibu saudaranya, neneknya. Jika dia dinasabkan kepada ayah angkatnya menyebabkan dia tidak boleh berkahwin dengan mereka yang tersebut sedangkan pada hakikatnya dia boleh berbuat demikian. Anak yang sebenar juga berhak untuk duduk bersama dengan keluarga dan mereka yang diharamkan berkahwin dengannya dan boleh melihat perkara yang tidak dibenarkan dilihat oleh orang lain. Pandangan anak sebenar kepada keluarga mereka seperti ibu dan adik-beradiknya adalah berlainan dengan pandangan anak angkat kepada keluarga angkatnya kerana memang menjadi fitrah pandangan anak sebenar tidak mengandungi syahwat berlainan dengan pandangan anak angkat yang tidak lari daripada syahwat kerana tiada hubungan kekeluargaan yang sebenar.Anak angkat tidak dibenarkan memandang bahagian yang diharamkan sebagaimana orang halal berkahwin yang lain kerana mereka hanya anak angkat bukannya anak sebenar. Perkara ini mestilah dipandang berat agar tidak berlakunya perkara syubhat dan haram sedangkan kita merasa perkara ini adalah diharuskan semata-mata gelaran anak atau keluarga angkat. Ayah angkat juga tidak boleh menjadi wali untuk mengahwini anak angkatnya.
 
 

Soalan ketujuh : Adakah anak kecil yang belum baligh mati disebabkan sakit, kemalangan, mati lemas atau pun terbakar dikira mati syahid dan dimasukkan dalam syurga tanpa hisab?

Anak kecil belum baligh yang mati akan menjadi orang yang akan membantu keluarganya yang soleh dalam syurga. Mereka yang mati sebelum baligh sama ada disebabkan kemalangan maka dia merupakan ahli syurga.
 
 

Soalan kelapan : Adakah Islam membenarkan seseorang muslim itu untuk mengucap dan menjawab salam untuk ahli kitab atau bukan Islam?

Islam tidak menyuruh seseorang muslim untuk memberi salam kepada ahli kitab atu bukan Islam. Jika mereka yang memberi salam maka kita hanya disuruh untuk mengucapkan “waalaikum” sahaja. Ini adalah mengikut apa yang telah dibuat oleh Rasulullah S.A.W.