Archive for 10 Januari 2011

Mahkamah Syariah utamakan keadilan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Orang bukan Islam salah anggap institusi kehakiman Islam hanya pertahan hak Muslim

ISU kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapa berkahwin walaupun salah seorang sudah memeluk Islam masih belum mencapai jalan penyelesaian yang tuntas walhal ia diperbahaskan sejak beberapa tahun.

Keputusan jemaah menteri mengekalkan agama asal mendapat tentangan masyarakat Islam arus perdana dan tidak dapat dilaksanakan walaupun dikatakan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak itu.

Keputusan jemaah menteri sangat dikesali. Manifestasi kekesalan dizahirkan apabila lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berkumpul menyatakan bantahan mereka. Alhamdulillah, kerajaan tidak meneruskan hasrat sedemikian selepas mendengar bantahan NGO Islam arus perdana termasuk Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Perkahwinan sivil yang didaftarkan melalui Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, pembubaran perkahwinan hanya boleh berlaku jika perkahwinan sudah berpecah belah dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Perkara ini termaktub dalam seksyen 52 Akta berkenaan. Seksyen 51 Akta sama pula menjelaskan jika salah seorang pasangan itu memeluk Islam, pasangan yang tidak memeluk Islam boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam.

Ini bermakna petisyen perceraian atas alasan pemelukan Islam hanya boleh difailkan pasangan yang tidak memeluk Islam saja. Selagi yang bukan Islam tidak memfailkan petisyen perceraian, perkahwinan sivil dianggap sah mengikut akta itu.

Jelaslah di sini ketidakadilan kepada pasangan yang memeluk Islam kerana tidak mempunyai locus standing untuk memfailkan petisyen perceraian. Mualaf ini seolah-olah diberi hukuman kerana memeluk Islam.

Menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran I Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah boleh membuat penentuan sesuatu perkara mengenai hukum dan doktrin syarak. Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menepati semangat Perlembagaan Persekutuan dengan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membuat penentuan mengikut hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan itu.

Seksyen 46(2) memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan Mahkamah Syariah.

Sebenarnya, apabila seseorang itu memeluk Islam, Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada mualaf mengamalkan agamanya termasuklah undang-undang diri seperti munakahat. Mengheret mualaf ke Mahkamah Sivil adalah pelanggaran hak kebebasan beragama bagi mualaf.

Seorang yang sudah mendapat hidayah Allah tentu ingin mempertahankan agamanya. Inilah hak yang perlu dipertahan kerajaan dan bukan merobek hak ini atas alasan yang tidak selaras dengan Perlembagaan.

Membawa orang bukan Islam ke Mahkamah Syariah pula bukan suatu perkara mudah kerana kebiasaannya orang bukan Islam enggan hadir ke Mahkamah Syariah atas alasan tidak mahu tertakluk kepada undang-undang Islam.

Sebenarnya apa diputuskan Mahkamah Syariah hanya membuat perisytiharan di sisi hukum syarak mengenai kedudukan perkahwinan saja. Hakikatnya, sebahagian kecil orang bukan Islam tidak mengiktiraf kewujudan Mahkamah Syariah.

Mereka tidak mahu membantu Mahkamah Syariah memberi keputusan adil. Mereka sanggup memberi keterangan di media, tetapi tidak di Mahkamah Syariah, yang diiktiraf sistem perundangan negara yang sah. Tidak ada seorang pun boleh memperlekehkan Mahkamah Syariah.

Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

Perkara 12(4) pula menegaskan bagi maksud Perkara 12(3) di atas, agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapanya atau penjaganya. Mahkamah Persekutuan dalam kes Subahsini mlwn Saravanan memutuskan salah seorang (bukan kedua) ibu bapa boleh menentukan keIslaman anak itu.

Peruntukan Perkara 12(4) dan juga tafsiran dibuat Mahkamah Persekutuan sebenarnya selaras dengan hukum syarak.

Mengenai pemeliharaan anak pula, menjadi amalan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil bahawa kebajikan anak mengatasi hak ibu atau bapa termasuklah permasalahan akidah, tumbesaran dan pembelajaran. Hak memelihara diputuskan setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak.

Apa yang berlaku, masyarakat bukan Islam terlalu takutkan dan menganggap Mahkamah Syariah hanya mempertahankan hak orang Islam saja. Sudah dibuktikan dalam beberapa kes, keputusan Mahkamah Syariah tidak memihak kepada orang Islam, tetapi memihak kepada keadilan.

Diharapkan kemunculan 2011 dapat menyelesaikan banyak konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Mahkamah Syariah bukan mahkamah bawahan dan mestilah diberikan pengiktirafan sesuai kewujudannya jauh terlebih dulu dari Mahkamah Sivil.