Archive for 8 Januari 2011

Islam benar lelaki pasang gigi palsu emas

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

APAKAH hukum jika lelaki memakai perhiasan cincin emas, batu permata atau memasang gigi palsu emas.

Hamba Allah,

Damansara.

Secara umumnya Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 32 yang bermaksud: ” Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang dikeluarkan untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya”.

Namun, Islam mengharamkan kepada orang lelaki dua perhiasan paling disukai oleh kaum wanita.

Pertama, berhias dengan emas dan kedua, memakai kain sutera. Ali Abu Talib berkata: “Rasulullah SAW mengambil sutera, Baginda letakkan di sebelah kanannya dan Baginda mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas Baginda bersabda: Kedua-dua ini haram buat orang lelaki daripada umatku.”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

Tetapi Ibnu Majah menambah: “halal buat perempuan.”

Persoalan keharaman lelaki memakai emas untuk perhiasan sudah jelas. Namun persoalan memakai batu permata, walaupun dengan harga yang sangat mahal seperti berlian, yaqut, zamurud, zabarjad dan sebagainya, tidak ada larangan bagi lelaki atau perempuan untuk memakai dan menggunakannya kerana untuk permasalahan seumpama ini, asal hukumnya halal kecuali jika ada larangan Allah dan Rasul-Nya untuk hal tersebut.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan buat kamu apa-apa yang ada dibumi seluruhnya.”

Dalam riwayat al-Tabarani dan Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ” Sesungguhnya Allah, sudah memfardukan beberapa kefarduan, maka jangan kamu menyiakannya dan Allah meletakkan batas (hudud), maka janganlah kamu melampauinya. Allah mengharamkan beberapa perkara, maka jangan kamu melanggarinya dan Allah berdiam diri dalam beberapa hal, sebagai rahmat untuk kamu bukan kerana lupa, maka janganlah kamu mengoreknya.”

Adapun pertanyaan saudara mengenai memasang gigi palsu daripada emas, perak dan logam lainnya atau mengikat gigi dengan benda berkenaan adalah halal dan diperbolehkan sebagaimana hal itu dilakukan beberapa sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Uthman dan Anas Malik sebagaimana dibolehkan menggantikan hidung yang putus dengan emas dan perak.

Kenyataan ini seperti dijelaskan oleh Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari dalam Hamisy Hasyiatus Syarkhawi, juz 1, halaman 333 sebagai berikut yang bermaksud: “Dan halal meneguhkan letak gigi iaitu mengikatnya dengan apa-apa yang telah tersebut sebagaimana yang telah dilakukan oleh Uthman dan Anas bin Malik dengan nisbah kepada emas.”

Tersebut pula dalam Hasyiah as-Syarqawi dalam juz dan halaman yang sama yang bermaksud: “Dan demikian pula, halal membuatnya daripada emas atau perak. Sekalipun dapat dibuat dengan bahan lain. Maka kata-kata mengikat bukanlah qaid seperti juga gigi, hujung jari dan hidung.”

Hadis yang diriwayatkan bahawa ‘Arfayah bin As’ad terputus hidungnya pada hari peperangan Kulab (Kulab dibaca dengan baris hadapan pada Kaff iaitu nama tempat yang pernah berlaku padanya suatu pertempuran pada masa Jahiliyyah), maka ia menggantikan hidung dengan perak. Lalu ia menjadi busuk. Kemudian Nabi SAW memerintahkannya, lalu dibuat hidungnya dengan emas. Dan diqiaskan hidung itu juga dengan hujung jari dan gigi.” Wallahua’lam.