Archive for 2 Januari 2011

Seni hias islam: satu karya agung

SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

 

TAHUKAH anda seni bina dan seni hias Islam turut digelar sebagai Seni Bina Purdah. Kenapa purdah? Lazimnya, yang tersembunyi sebalik purdah itu ialah satu keindahan yang selama ini terlindung dari pandangan mata.

Begitu juga dengan seni hias Islam. Keindahannya akan terserlah dan sangat unik apabila kita memasuki ruang dalamnya yang tidak dapat dilihat dari luar.

Maka keindahan yang memukau mata itu lazimnya tertumpu kepada pelbagai elemen seni bina dan hiasan yang terdapat dalam sesebuah struktur bangunan.

Ini termasuklah rumah, masjid, istana, sekolah, madrasah, musolla, makam, harem dan sebagainya.

Tidak lengkap sesebuah seni bina atas nama Islam jika corak paten dan hiasannya tanpa struktur seni ini.

Justeru melihat kepada corak di atas misalnya, maka mengertilah kita betapa tingginya nilai seni hiasan yang ditonjolkan dalam seni bina Islam.

Apabila dipindahkan dalam bentuk grafik komputer, seni hiasan tersebut merupakan bentuk-bentuk segi poligon (rajah atau bentuk geometri dengan banyak segi atau banyak sudut) yang sangat menepati.

Tidak sahaja pada corak atau bentuk yang unik mahupun pemilihan warna, tetapi segalanya berasaskan kepada perkiraan atau matematik.

Tanpa campur, tolak, darab dan bahagi, sesebuah corak berasaskan geometri tidak mungkin dapat direka dan seterusnya menghiasi medium-medium dalam seni bina mahupun seni tampak dan budaya yang lain.

Pola geometri ini yang jika diulang-ulang penggunaannya maka ia menjadi makna kepada istilah seni hiasan bercorak Arabesque (gaya berulang) yang turut ditambah nilai ketinggian seninya dengan unsur bunga-bungaan (flora dan fauna) dan terutama sekali kaligrafi khat, ayat-ayat al-Quran.

Sepanjang sejarahnya, semua unsur ini yang sering kita temui. Seni Islam tidak merangkumi penggambaran makhluk, termasuk manusia.

Kekurangan unsur potret manusia adalah kerana ajaran Islam mengharamkan pelukisan manusia, termasuk gambar Nabi Muhammad SAW. Perbuatan sedemikian dipercayai akan menggoda penganutnya supaya mengamalkan penyembahan berhala.

Larangan melukis gambar manusia atau ikon sebegini dikenali sebagai anikonisme. Di sini Mega perturunkan seni hiasan Islam yang menghiasi pelbagai tamadun dan negara-negara Islam dari segenap penjuru alam.