Archive for Januari 2011

Bila bukan Islam lebih berminat dengan perbankan Islam

DALAM praktis perbankan Islam masa kini, secara jelas boleh dinyatakan bahawa 70 peratus pelanggan yang menggunakan khidmat perbankan Islam di beberapa bank tempatan di negara kita adalah pelanggan yang bukan beragama Islam.

Malah statistik yang hampir sama juga pernah dikeluarkan oleh bank-bank Islam lainnya yang menyatakan kebanyakan pelanggan mereka adalah daripada pelanggan berbangsa Cina dan bukanlah pelanggan Melayu.

Jadi, mengapakah situasi itu berlaku. Mengapa pula ramai pelanggan bukan Islam yang memilih untuk menggunakan khidmat perbankan Islam?

Pastinya ada segelintir akan menyatakan bahawa kumpulan itu lebih banyak terbabit dalam urusan perniagaan dan kerana itulah mereka lebih kerap berurusan dengan bank.

 

Mungkin ada benarnya pandangan spontan ini, namun orang Cina yang disebut ini bukan hanya melanggan produk perbankan Islam berkaitan dengan pembiayaan korporat untuk perniagaan mereka saja, malah mereka juga menggunakannya untuk pembiayaan perumahan, kereta dan lain-lain produk.

 

Jelas di sini, kesemua produk yang digunakan mereka ini tergolong dalam kategori produk perbankan pelanggan dan peruncitan yang bersifat sebagai kegunaan individu dan bukannya untuk tujuan perniagaan.

Persoalannya, ke manakah perginya individu beragama Islam khususnya dalam negara kita yang majoritinya beragama Islam.

Perlu diketahui, Islam menerima segala yang baik walaupun ia diperkenalkan oleh kumpulan penjahat seperti Yahudi selagi mana ia boleh diubahsuai bagi manfaat umat Islam.

Demikian kesimpulan berasaskan nas ayat Al-Quran dan hadis yang dihuraikan oleh para ulama silam dan kontemporari.

Dalil ini dapat dilihat menerusi jawapan Rasulullah SAW kepada Abu Hurairah yang menerima satu ilmu dari Syaitan Ifrit, yang bermaksud: “Ia (Syaitan) itu telah berkata benar, walaupun ia adalah maha pendusta, itulah dia Syaitan. (Riwayat Al-Bukhari)

Pengajaran daripada hadis membuktikan apa saja yang sampai kepada kita oleh sebarang sumber yang bukan Islam khususnya, boleh disemak menurut neraca Islam. Jika tidak bercanggah dan boleh membawa kebaikan, kita sepatutnya menyokong dan bukan menentang secara buta.

Jika benarlah terdapat mereka yang menolak perbankan Islam hanya kerana ia adalah anjuran dan dimulakan oleh pihak kerajaan yang berlainan dengan partinya, maka ia adalah satu sikap yang patut dikesali.

Sering saya sebutkan dulu bahawa perbankan Islam di Malaysia berkait rapat dengan perbankan Islam di seluruh dunia. Ulama Malaysia yang berdamping dengan perbankan dan kewangan Islam di Malaysia serta mengatur arahnya pula bukanlah kalangan individu yang terbabit dengan dunia politik dan jika ada sekalipun, mereka tidak berpengaruh dalam penentuan hala tuju dan fatwa berkaitan kewangan Islam ini.

Selain itu, melalui hubungan rapat industri kewangan Islam di seluruh dunia, Malaysia tidak boleh terlepas dari penilaian, kritikan membina dan perhatian ulama Syariah dan kewangan Islam di seluruh dunia.

Hasilnya, kritikan membina ulama dunia ini membawa perkembangan baru dalam produk-produk kewangan Islam di Malaysia seperti wujudnya Komoditi Murabahah, konsep ‘Unilateral Promise’ dalam transaksi Forex, Tawarruq Masrafiy, Musharakah Mutanaqisah, Bai al-Mutaradif Bil Ajal dalam Forex, Parallel Istisna dan lain-lain.

Kebanyakan produk, konsep dan kontrak produk Islam ini berlaku di luar pengaruh politik tempatan dan ia biasanya hanya berlaku hasil perbincangan ilmiah di kalangan ahli akademik non-partisan dan pengurus industri dari dalam dan luar negara.

Adapun, beberapa produk dan konsep perbankan Islam di Malaysia seperti Bai al-Inah (jual dan beli semula) dan Bay ad-Dayn (Diskaun hutang perdagangan) yang tidak dipersetujui oleh ulama antarabangsa, tetapi diluluskan oleh kumpulan Ilmuan Syariah Malaysia memang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan politik.

Namun ia dibuat secara sementara dan berdasarkan pertimbangan akademik dan hukum. Sejauh manapun kita tidak menyetujuinya, ia tetap termasuk dalam keputusan akademik dan bukannya fatwa politik.

Namun boleh saya katakan ia tidak berkait dengan produk-produk perbankan Islam yang diperkenalkan oleh bank-bank Islam.

Tolak atas dasar lebih mahal

Ini juga satu persoalan yang amat kerap ditimbulkan sejak dulu tetapi yang nyata, persoalan serta jawapan ini timbul kerana ramai yang tidak mengetahui lebih lanjut mengenai konsep perkhidmatan yang ditawarkan itu.

Mereka yang membuat dakwaan ini sebenarnya membuat perbandingan terhadap dua perkara yang memang tak boleh dibandingkan.

Selain itu, mereka juga tidak memahami cara kiraan kedua-dua sistem antara perbankan Islam dan konvensional, tidak memahami apa itu pecahan kadar bunga akibat pembayaran yang lambat, tidak mengetahui kadar pinjaman dasar dan sifatnya serta memang tidak memahami konsep ‘ibra’ dan syarat pelaksanaannya dalam Islam.

Jadi, apabila ada orang bercakap hal ini namun gagal memahami perkara asas, mereka sebenarnya sedang membuat fitnah kepada Perbankan dan Kewangan Islam sekali gus menunjukkan kecetekan ilmunya berkaitan hal perbankan.

Al-Majriti pakar astronomi

ABU Al-Qasim Maslamah bin Ahmad atau Al-Majriti diibarat ensiklopedia matematik, astronomi dan ilmu kimia, kerana memiliki pengetahuan luas dan mendalam mengenai sumber maklumat bidang berkenaan. Beliau dilahirkan di Majrit (Madrid) 338 Hijrah bersamaan 950 Masihi. Beliau juga terkenal sebagai ilmuwan Islam yang sangat cemerlang di Andalus. Hakikat itu diakui ilmuwan Barat yang mengagumi buku hasil tulisannya, terutama mengenai akaun perdagangan. Kepakarannya dalam teori bilangan dan angka menjadikan buku berkenaan rujukan seluruh dunia, selain hasil karangan mengenai perhitungan kejuruteraan. Al-Majriti berbeza dengan ilmuwan lain kerana ketelitian serta ingatannya yang kuat. Beliau sering menekankan bahawa mereka yang dikhususkan dalam bidang analisis sains seperti kimia, juga perlu mempelajari ilmu matematik dan sains. Penghasilan air raksa menunjukkan ketekunan dan ketelitian Al-Majriti apabila melakukan eksperimen yang akhirnya membawa kejayaan kepada kerjaya beliau. Eksperimen yang terkenal itu memperlihatkan bagaimana beliau menukarkan satu perempat tabung air raksa menjadi serbuk berwarna merah, selepas diletak di atas api selama 40 hari. Sebagai ilmuwan yang teliti dalam kerjayanya, beliau sentiasa mendorong penyelidik untuk mengkaji bahan kimia melalui proses percubaan di makmal. Sebuah penulisan ilmiah Al-Majriti yang terkenal ialah mengenai astrolab, iaitu sebuah peralatan kuno untuk mengukur ketinggian bintang di langit. Ia adalah cakera yang dibuat daripada kayu atau logam mempunyai ukuran darjah di tepinya dan di tengahnya ada sebuah jarum penunjuk yang boleh bergerak. Beliau menulis dua buku dalam bidang kimia bertajuk Rutbaj Al-Hakim dan Ghayah Al-Hakim yang menjadi rujukan ilmuwan Timur mahupun Barat hingga hari ini. Menyedari pentingnya buku Ghayah Al-Hakim, Raja Alfonso memerintahkan agar buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1252 Masihi. Buku lain karangan Al-Majriti ialah Thimar Al-Adad yang dikenali sebagai Al-Muamalat, Ikhtisar Ta’dil Al-Kawakib Min Zij Al-Battani, Rutbah Al-Hakim Fi Al-Kimiya, Al-Ahjar Rawdhah Al-Hada’iq wa Riyadh Al-Khala’iq serta Risalah Al-Asturlab, merangkumi ilmu sejarah, tabii dan pengaruh alam sekitar terhadap kehidupan. Al-Majriti mempunyai ramai murid yang berjaya dalam kehidupan, seperti Abu Al-Qasim Al-Ghirnati, seorang jurutera dan ilmuwan dalam bidang perubatan dan Abu Al-Hakam Al-Karmani, seorang penduduk Cordova yang sangat terkenal sebagai pakar bedah dan jurutera.

Kutuk Harian Metro hina ISLAM

Harian Metro bertarikh 27 Januari 2011 di ruang Dialog Kota Raya telah memaparkan gambar situasi di Tenang. Ada 2 watak di dalam gambar ini. Seorang muslim wanita. Dan seorang pula wanita cina menjual ikan. Apa yang berlaku dalam gambar ini? Kartun sinis menghina calon Pas, Cikgu Mala. Isu bodoh yang dibangkitkan oleh Chua Soi Lek Porno. Gambar ni menghina Umat Islam khasnya muslimah dan agama Islam sendiri!

Hukum berkaitan darah Haidh

Soalan 1:
SAYA mengalami haid buat pertama kalinya bulan lepas. Tempohnya adalah lima hari. Adakah ini normal? Pada kebiasaannya berapa lamakah tempoh haid bagi seorang wanita?

Jawapan:

Tempoh haid tidak sama antara seorang wanita dengan wanita yang lain. Sekiranya adik mengalami haid untuk jangka masa yang sama bulan hadapan dan seterusnya, maka itu adalah jangka masa normal bagi adik.

Pada kebiasaannya tempoh haid adalah antara enam sehingga tujuh hari.

Soalan 2:

Sudah tiga bulan adik saya mengalami haid hanya satu hari bermula daripada sebelah pagi dan habis kira-kira tengah malam iaitu lebih kurang 16 jam. Adakah itu dikira haid?

Jawapan:

Ia bukan haid kerana tempoh haid adik puan adalah kurang daripada 24 jam. Tempoh haid adalah sekurang-kurangnya satu hari satu malam iaitu 24 jam.

Soalan 3:

Saya mengalami haid selama 18 hari sehingga 20 hari setiap bulan. Adakah ini haid atau darah penyakit?

Jawapan:

Bagi tempoh satu hari sehingga 15 hari, ia adalah darah haid dan darah yang keluar selepas itu adalah darah penyakit (istihadah).

Soalan 4:

Apakah maksud suci antara hari-hari kebiasaan haid? Apakah hukumnya?

Jawapan:

Apabila seorang wanita mendapati dia kedatangan haid, misalnya dua hari, kemudian pada hari berikutnya tiada darah keluar (suci), hari keempat keluar semula darah hingga hari keenam.

Dalam keadaan ini, menurut pandangan Imam Syafie dan Abu Hanifah, keseluruhan hari daripada hari pertama hingga keenam dikira haid.

Soalan 5:

Apakah syarat bagi menentukan suci antara hari-hari kebiasaan haid adalah haid?

Jawapan:

Suci antara darah-darah sama ada dalam tempoh minimum haid (sehari semalam) atau lebih dikira sebagai haid dengan syarat:

a) Tempoh suci tidak lebih daripada 15 hari 15 malam.

b) Darah haid yang keluar keseluruhannya tidak kurang daripada satu hari satu malam (sekurang-kurangnya haid).

c) Tempoh suci itu dihimpit antara dua tempoh pengeluaran darah haid

Produk hiburan Islam perlu garis panduan

DUNIA hiburan tanah air sejak kebelakangan ini dihidangkan dengan drama dan telefilem berbentuk dakwah. Tahniah apabila Imam Muda, Akademi al-Quran dan beberapa siri drama berkualiti tinggi berjaya menjadi fenomena kepada masyarakat.

Semakin banyak produser berlumba menerbitkan rancangan bercirikan Islam. Meskipun peratusnya masih kecil berbanding hidangan hiburan lain, sekurang-kurangnya penonton yang inginkan program berunsur keagamaan mempunyai pilihan.
Namun, masih banyak kelemahan dilihat menyebabkan niat menerapkan nilai agama kepada penonton tidak mencapai matlamat, malah menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan mula diperbahaskan.
Umpamanya, adegan cara berdoa serta memberi salam yang dipermain-mainkan. Ada adegan menunjukkan jemaah surau bermain mata antara lelaki dan wanita di sebalik tabir pemisah, belum lagi ustaz alim berjalan berdua-duaan dengan bukan muhrim.

Perlukah dalam drama peguam syarie digambarkan sangat terbuka dalam soal bersosial hingga boleh pula makan berduaan dalam rumah perempuan? Timbul juga polemik antara pembikin filem dan intelektual mengenai filem genre seram yang memaparkan ustaz sebagai penghalau hantu.

Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah, yang menjelaskan perkara itu berkata watak diketengahkan mengikut jalan cerita ditetapkan dan sudah tentu watak dilakonkan bersesuaian dengan skrip.

Katanya, filem genre seram mengisahkan suasana seram bukan mengenai hidup ahli agama. Watak ustaz diwujudkan bagi memberikan moral atau nasihat kepada penonton yang menonton filem berkenaan.
Persoalannya, sejauh mana moral dan nasihat itu dapat diterima masyarakat. Seharusnya penerbit filem faham apa maksud cerdik pandai mengenai bahaya pemahaman ini dalam struktur sosial masyarakat.

Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata pendedahan berterusan masyarakat terhadap filem atau cerita genre seram yang ketika ini dilihat begitu keterlaluan, boleh memberikan kesan buruk terhadap struktur sosial masyarakat.

Tema hiburan Islam perlu ditafsir semula dan diperkemaskan supaya selari dengan maksud dan kehendak syariah. Jika penulis skrip dan penerbit bebas mendefinisikan Islam melalui kacamata masing-masing, dikhuatiri pemahaman Islam akan menjadi kacau bilau.

Niat murni penghasil drama dan filem berteraskan Islam tidak dipertikaikan tetapi bagi memastikan hasrat itu benar-benar memenuhi matlamat, perlu ada penyelidikan supaya hasilnya nanti tidak lari daripada syariat Islam sebenar.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh mengambil inisiatif membantu ahli industri hiburan dengan menyediakan garis panduan yang jelas serta mudah dituruti dan pada masa sama tidak ber canggah ajaran Islam.

Saranan ini sangat penting memandangkan kesan media terhadap pemikiran masyarakat sangat besar. Kita tidak mahu apa yang ditonton diterima bulat-bulat oleh penonton disebabkan salah faham atau kejahilan mereka.

Penghasilan produk hiburan bercirikan Islam adalah tanggungjawab yang tidak boleh diambil ringan dan tidak keterlaluan ia sebahagian fardu kifayah yang sangat dituntut. Islam juga tidak menafikan keperluan hiburan kepada manusia tetapi hiburan itu perlu selari tuntutan fitrah dan syariah.

MOHD FIRDAUS MOHAMED KHAIRI,
Sungai Bakap

Menuntut ilmu jalan menuju syurga

Ilmu ialah pengetahuan (maklumat) yang merupakan lawan kepada ketidaktahuan atau kejahilan. Ilmu secara syarie adalah ilmu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang berupa penjelasan dan petunjuk yakni al-Quran, as-Sunnah dan kefahaman yang benar terhadapnya. Iaitu ilmu yang membimbing kehidupan di dunia hingga ke akhirat.

Ilmu bermanfaat pula merujuk kepada dua perkara, iaitu ilmu tentang keagungan Allah Taala yang diketahui melalui nama-nama-Nya yang indah (al-Husna) dan sifat-sifat-Nya mulia yang menjadi hak-hak-Nya. Dengan mengetahuinya, akan membawa kepada pengagungan, rasa takut, cinta, harapan, sabar, reda dan tawakal hanya kepada Allah.

Keduanya, ilmu yang bermanfaat membawa kepada segala apa yang diredai dan dicintai Allah. Melalui ilmu tersebut menjadikan kita menjauhi segala apa dibenci dan dilarang oleh-Nya. Ini adalah sebagaimana yang disebut al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) dalam risalahnya yang berjudul Fadhlu ‘Imli as-Salaf ‘ala al-Kholaf.

Dari sini menunjukkan adanya ilmu yang tidak bermanfaat bagi diri seseorang, iaitu apabila ilmu tersebut tidak membawa untuk taat dan bertakwa, sebaliknya membawa pula kepada apa yang dibenci oleh Allah SWT.

Ini juga berdasarkan kefahaman terhadap firman-Nya (yang bermaksud): “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56). Maka, atas sebab itulah setiap ilmu yang kita pelajari seharusnya menuju kepada jalan tersebut, iaitu jalan ubudiyyah kepada Allah SWT.

Apabila memahami hakikat ini, sudah seharusnya kita meletakkan usaha dan prioriti yang tinggi untuk menekuni ilmu-ilmu tersebut. Itulah yang merupakan tradisi ulama dan ilmuwan Islam dari dahulu hingga kini.

Jika kita melihat Imam asy-Syafie rahimahullah – imam yang kita ikuti mazhabnya sebagai pedoman, beliau hafaz dan menguasai al-Quran seawal usianya sembilan tahun. Manakala dalam sebahagian riwayat mengatakan tujuh tahun. Pada ketika usianya 13 tahun pula, beliau menguasai kitab hadis yang unggul pada zamannya, iaitu al-Muwaththa’ karya Imam Malik rahimahullah. Jika kita bandingkan dengan usia kanak-kanak di sekitar kita hari ini, pada usia tersebut kebanyakan mereka masih lagi membaca al-Quran dengan merangkak atau mungkin ada yang masih tidak tahu walaupun untuk mengeja. Bahkan kebanyakan mereka mungkin lebih seronok dibuai khayalan kartun Doraemon, Sin Chan, Sponge Bob, Naruto dan Ben10 sambil memeluk bantal busuk.

Demikianlah keadaannya, ketika ilmuwan-ilmuwan itu menyibukkan umur-umur mereka dengan al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW, sebahagian kita ada yang lebih gembira untuk memilih kartun, muzik, dan permainan video sebagai santapan rohani anak-anaknya.

Sehingga masuk ke sekolah dan universiti pun kita lebih risau jika anak-anak gagal dalam peperiksaan dan tidak meraih peluang pekerjaan yang lumayan. Tetapi amat jarang sekali risau sekiranya anak-anak tidak bersolat dan gagal memahami aqidah benar.

Sebenarnya kita perlu sentiasa membudayakan tradisi ilmu yang ditinggalkan oleh ulama-ulama. Lebih-lebih lagi untuk menangkis syubhat-syubhat yang dihantar oleh musuh-musuh Islam melalui muzik, kartun, massa, pemakanan dan pelbagai bentuk lainnya yang hebat melanda ketika ini, iaitu dengan menghidupkan budaya membaca, memahami, dan menghayati sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

Berapa ramai di antara kita yang menempatkan buku-buku ulama di rumah-rumah sebagai bahan bacaan dan rujukan, sama ada dari rangkaian kitab-kitab  tafsir al-Quran seperti Tafsir Ibnu Katsir dan kitab-kitab hadis seperti Riyadhus Sholihin Imam an-Nawawi, asas-asas Mustholahul Hadis, sehinggalah kepada rangkaian kitab-kitab hadis yang utama seperti Shohih al-Bukhari, Muslim, serta siri kitab-kitab syarahannya.

Jangan biarkan anak-anak memenuhi rohaninya dengan majalah artis dan bintang bola, komik-komik, atau surat khabar-surat khabar yang sering bermain isu. Sehingga risalah hadis 40 (al-Arba’in an-Nawawiyyah) pun terasa janggal untuk dibelek sampai ada yang tidak pernah mengetahui kewujudannya. Bimbinglah mereka untuk mengenali ulama-ulama dan karya-karyanya.

Jangan biarkan tokoh-tokoh jalanan lebih kita kenali berbanding tokoh-tokoh ulung agama ini. Kerana ilmu yang bermanfaat itu hanya dapat diperoleh dengan menekuni warisan tinggalan ulama berupa aqidah dan akhlak peribadi mereka melalui karya-karya agungnya yang berisi penjelasan al-Quran dan as-Sunnah.

Atas sebab itulah Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi dan para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Melalui ilmu darjat seseorang beriman diangkat Allah, jiwa menjadi bahagia dan tenteram, dengan ilmu kita diberi kefahaman menghadapi pelbagai ujian dan cabaran, ilmu mengajak untuk memilih kebaikan berbanding keburukan, dengannyalah juga kita dibimbing untuk berjalan menuju syurga Allah yang luas terbentang. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Tidak terhenti sekadar di dunia, ilmu bermanfaat ini pahalanya akan terus kekal mengalir walaupun ditinggal mati. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalan-amalannya melainkan tiga perkara, (iaitu) 1 – Sedekah jariah yang pernah dilakukannya, 2 – Ilmunya yang dimanfaatkan, atau 3 – Anak soleh yang mendoakannya. (Hadis Riwayat Muslim)

Selain dalil ini, terdapat dalil-dalil lain yang menyebutkan bahawa amalan kebaikan anak-anak yang soleh juga turut mengalirkan pahalanya kepada ibu dan bapa yang telah meninggal dunia walaupun tidak pernah diadakan ritual-ritual khas sedekah pahala seperti tahlil dan Yasin.

Jadi, manfaatkanlah umur yang ada untuk menyuburkan budaya ilmu dan mendidik anak-anak dengannya. Kerana dengan membudayakan ilmu yang bermanfaat, ia membantu meraih keredaan Allah SWT sekali gus jalan menuju syurga yang kekal abadi.

Sebagai penutup, penulis tinggalkan dengan pesanan Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H), “Kita memohon kepada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Quran dan ditafsirkan oleh Rasulullah SAW dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan daripadanya. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” Jauhilah syubhat pemikiran ahli falsafah, ajaran para pendeta, dan khayalan orang-orang yang suka menyendiri. Seluruh kebaikan itu adalah dengan mengikuti jalan yang lurus. Mintalah pertolongan kepada Allah. Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan-Mu yang lurus.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340) Wallahu a’lam…

Bank Negara Punca Aliran Wang Haram Malaysia Antara Tertinggi di dunia

Oleh Fadli

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua  berkata terdapat kemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) sudah pun sedia maklum mengenai pengaliran wang haram Malaysia yang mencatatkan antara yang tertinggi di dunia. Namun katanya, mekanisme kawalan yang agak lemah menyebabkan pengaliran wang tersebut meningkat tiga kali ganda dalam masa lapan tahun.

“Saya sendiri bersama beberapa Ahli Parlimen yang lain ada membangkitkan perkara ini tahun lepas di Parlimen apabila terdapat beberapa individu tertentu, memindahkan sejumlah besar wang melalui agen pengurup wang yang buat masa ini tidak direkodkan Bank Negara Malaysia,” kata Tian Chua.

Tian turut tidak menolak kemungkinan ia dilakukan golongan yang mempunyai ‘hubungan baik’ dengan parti pemerintah.

“Mereka berbuat demikian kerana mereka sendiri tidak percaya dengan kemampanan ekonomi negara ini. Malah, tidak mustahil ia merupakan rancangan sistematik untuk mengeluarkan kekayaan negara yang dirompak secara tidak sah,” kata Tian lagi.

Malaysia mencatatkan pengaliran keluar wang haram antara yang tertinggi di dunia membabitkan sebanyak USD 291 bilion di antara tahun 2000 sehingga 2008.

Berada pada kedudukan kelima di antara sepuluh negara teratas, Malaysia berada di belakang China ( USD 2.18 trilion), Russia (USD 427 bilion), Mexico (USD 416 bilion), dan Arab Saudi (USD 302 bilion).

Demikian dilaporkan Global Financial Integrity (GFI), sebuah badan pemerhati kewangan global dalam laporan mereka Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2000-2009 (Update with a Focus on Asia).

GFI dalam laporannya mendefinisikan Wang haram sebagai merujuk kepada wang daripada aktiviti-aktiviti tidak sah seperti rasuah, kecurian, sogokan serta pengelakan cukai.

Lebih menarik, pengaliran keluar wang haram dari Malaysia dilaporkan meningkat tiga kali ganda sepanjang tempoh tersebut-sebanyak USD 22.2 bilion pada tahun 2000 melonjak kepada USD 68.2 bilion pada tahun 2008.

Peningkatan kadar tersebut yang berlaku secara mendadak dan turut melanda beberapa negara Asia yang lain, dipercayai berpunca daripada isu tata kelola yang turut memberi kesan langsung kepada sektor swasta dan awam.