Archive for 26 Julai 2010

Syria haramkan pemakaian purdah di universiti

 

DAMSYIK – Kerajaan Syria mengharamkan pelajar dan guru memakai purdah dengan alasan mengekalkan identiti sekular yang menjadi amalan di negara itu.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran pada Ahad lalu menyebut, semua universiti awam dan swasta sudah diarah tidak membenarkan wanita memakai purdah mendaftar sebagai pelajar.

Bulan lalu, ratusan guru sekolah rendah kerajaan yang memakai purdah tidak lagi dibenarkan mengajar di kelas dan sebaliknya hanya dibenarkan membuat kerja-kerja pengurusan di pejabat.

Pengharaman pemakaian purdah di Syria tidak meliputi pemakaian tudung biasa, selendang dan skarf yang tidak menutup muka si pemakai.

Pada 13 Julai lalu, Perancis mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam sementara Belgium, Belanda dan Sepanyol juga berusaha mengharamkannya.

Turki pula mengharamkan skarf di universiti dengan alasan pakaian itu bertentangan dengan undang-undang sekular negara berkenaan.