Archive for 24 Julai 2010

Jangan hanya cemerlang akademik

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Gambar MOHD. NOOR AMIN

Sebahagian peserta Forum Muhadharah Siri ke-11 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor.

 

JIKA diamati ungkapan Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi & Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail, ia menjurus supaya sistem pendidikan negara bersih daripada kertas-kertas peperiksaan.

Ini ekoran kebimbangan yang diperolehi daripada kajian yang dijalankan, di mana para pelajar Melayu terutamanya mampu mencatat keputusan cemerlang dalam akademik, namun sayangnya ia tidak selari daripada aspek lain, terutamanya sahsiah dan peribadi.

Menurut Dr. Khaidzir, melalui kajian terhadap 1,000 kemasukan pelajar baru ke sebuah universiti tempatan misalnya, 29 daripada mereka didapati mengalami ketagihan dadah.

Lapan daripada mereka adalah penagih tegar manakala 825 daripada pelajar baru itu diletakkan pada status low probability, iaitu boleh terjebak terhadap penagihan dadah disebabkan faktor persekitaran.

“Hanya 127 daripada penuntut universiti itu yang didapati benar-benar bersih daripada sebarang kaitan dan rekod najis dadah,” katanya.

Sedangkan kata Dr. Khaidzir kebanyakan mereka adalah yang terbaik daripada kalangan pelajar cemerlang negara. Mereka juga yang dijangka akan mentadbir dan memimpin negara dalam apa juga sektor.

“Tetapi jika sudah terlibat dengan najis dadah misalnya, bayangkan risiko yang kita ambil terhadap masa depan negara di bawah kepimpinan mereka kelak?

“Maka tidak menghairankan apabila dewasa dan bekerja, mereka akan melakukan penipuan dan tidak amanah terhadap bidang tugas sedangkan mereka adalah graduan-graduan cemerlang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Ibu Bapa Cemerlang, Anak Gemilang pada Forum Muhadharah Siri ke-11, anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Forum sehari itu bertemakan Kemahiran Keibubapaan: Asas Kesejahteraan Keluarga, Masyarakat dan Negara.

Dr. Khaidzir berkata, tuntutan atau penekanan terhadap keputusan cemerlang dalam peperiksaan terhadap anak-anak itu adalah sesuatu yang tidak menghairankan.

Buktinya, kata beliau, jalan-jalan raya masih sesak sehingga ke waktu malam akibat ibu bapa yang terlalu mahu memenuhi tuntutan tersebut.

“Tidak cukup waktu siang, anak-anak kita memenuhi sebahagian besar masa mereka di sekolah untuk belajar dan sebagainya.

“Pada sebelah malamnya pula, ibu bapa terpaksa keluar untuk menghantar dan mengambil anak-anak mereka itu ke kelas-kelas tambahan,” katanya.

Sedangkan kata Dr. Khaidzir, negara telah mempunyai sistem persekolahan tersendiri yang sepatutnya mencukupi untuk anak-anak menghadapi peperiksaan.

Katanya, fenomena seperti itu menjadikan anak-anak yang sering difahami sebagai aset kini bertukar menjadi ‘kos’ yang sangat tinggi yang perlu ditanggung oleh ibu bapa.

“Ini termasuklah kos-kos sosial yang terpaksa ditanggung apabila anak-anak hari ini mudah terjebak dalam fenomena ledakan teknologi maklumat (IT) yang tidak dapat dikawal oleh ibu bapa.

“Di salah sebuah sekolah menengah di Lembah Kelang ini misalnya, saya pernah difahamkan apabila hampir setiap pelajarnya mempunyai telefon bimbit.

“Apa yang berlaku, mereka menggunakan kaedah Bluetooth untuk memindahkan kandungan apa juga bentuk pornografi, sama ada dalam bentuk klip video dan sebagainya dengan rakan-rakan yang lain.

“Dalam tempoh yang singkat sahaja, habis semua satu kelas dapat berkongsi gambar dan aksi lucah.

“Dengan begitu mudah sekali ‘ilmu’ yang seperti itu sampai kepada para pelajar,” katanya.

Maka tidak menghairankan, kata Dr. Khaidzir jika diperiksa telefon-telefon bimbit mereka, ada yang menyimpan seminimum 40 pelbagai bahan pornografi sehingga ke semaksimum beratus-ratus simpanan.

Lebih memburukkan keadaan apabila ledakan IT itu telah menyebabkan para remaja menjadikan sumber-sumber daripada Internet sebagai bahan rujuk untuk mereka ambil sebagai panduan hidup dan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Jadi, tidak hairan ada yang menjadikan panduan termasuk yang negatif di laman web sebagai penyelesaian kepada apa yang dihadapi seperti membunuh diri sebagai jalan keluar kepada masalah.

Kenakalan remaja hari ini yang semakin kompleks turut berpunca daripada aspek kognitif itu sendiri, iaitu cara mereka berfikir.

“Ini termasuklah mereka tahu bahawa seks luar nikah atau berzina itu berdosa besar tetapi bagi mereka tidak salah kalau sekadar ringan-ringan, seperti berpeluk-pelukan dan bercium.

“Mereka juga tahu bahawa minum arak itu haram hukumnya, tetapi tidak salah, tidak berdosa minum arak itu jika tidak sampai mabuk.

“Begitu cara mereka berfikir pada hari ini. Maka tidak menghairankan jika para remaja kita hari ini semakin berani melakukan pelbagai perlakuan jenayah-jenayah moral itu,” katanya.