Archive for 23 Julai 2010

Inah dan Tawarruq

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

SebahagiaN besar kita biasa melakukan pembelian barangan secara tertangguh iaitu Bai’ Inah. – Gambar hiasan

 

Sistem kewangan dalam negara kita dan seluruh dunia semakin pesat berkembang. Institusi-institusi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam industri kewangan nampaknya begitu aktif dalam memainkan peranan masing-masing dalam menggerakkan sistem kewangan negara.

Justeru, dalam berhadapan dengan situasi persaingan yang begitu mencabar ini, institusi-institusi kewangan Islam seperti bank Islam dan takaful begitu agresif mengeluarkan produk-produk baru.

Namun, dalam keghairahan mengeluarkan produk-produk baru, mereka perlu lebih berhati-hati. Ia agar produk-produk berkenaan bukan sahaja menepati kehendak pengguna, namun turut selari dengan prinsip dan nilai-nilai syariah.

Ini bermakna, terdapat banyak faktor yang perlu dinilai dalam proses pembangunan produk sehinggalah ia berada di pasaran.

Tetapi, faktor utama yang perlu dititikberatkan adalah sejauh mana produk-produk berkenaan mematuhi syariah.

Elemen kepatuhan syariah inilah yang menjadi keistimewaan produk-produk kewangan Islam.

Bai’ Inah adalah antara kontrak produk yang masih terdapat ruang perbincangan sehingga hari ini tentang keharusannya. Ia biasanya digunapakai oleh sesetengah perbankan Islam di Malaysia sebagai kontrak asas menyediakan pembiayaan peribadi.

Bai’ Inah berlaku apabila seseorang menjual barangan secara tangguh dan membeli secara tunai kemudiannya dengan harga yang lebih murah.

Sebagai contoh, Hanif menjual komputernya kepada Ramlah dengan harga RM5,500 dengan bayaran secara tangguh. Ramlah kemudiannya menjual kembali komputer tersebut dengan harga RM5,000 kepada Hanif secara tunai.

Ini bermakna, Ramlah telah mendapat wang tunai sebanyak RM5,000 dan dia perlu membayar hutangnya secara ansuran kepada Hanif sebanyak RM5,500.

Melalui transaksi itu, kita dapat memahami bahawa Bai’ Inah digunakan untuk memperolehi tunai, bukannya untuk memanfaatkan barang yang dibeli.

Justeru, kebanyakan ulama berpandangan Bai’ Inah tidak diharuskan kerana bercanggah dengan maqasid syariah di sebalik keharusan kontrak jual-beli.

Bai’ Inah biasanya digunakan oleh sesetengah perbankan Islam di Malaysia untuk menyediakan produk pembiayaan peribadi, kad kredit dan ia turut digunakan dalam pasaran modal Islam.

Contohnya, pelanggan ingin mendapatkan kemudahan produk pembiayaan peribadi sebanyak RM30,000 daripada bank. Pelanggan akan membeli sebuah aset daripada bank dengan harga RM35,000 secara ansuran.

Setelah selesai transaksi yang pertama, pelanggan seterusnya menjual semula aset berkenaan kepada bank dengan harga RM30,000 dengan bayaran tunai.

Ini bermakna, pelanggan akan mendapat RM30,000 dengan segera dan pada masa yang sama mempunyai komitmen untuk membayar kepada bank sebanyak RM35,000 kepada bank selama sembilan tahun. Keuntungan kepada bank adalah RM5,000.

Bai’ Inah juga membantu bank-bank Islam dalam menyediakan kemudahan kad kredit kepada pelanggan. Bank Negara Malaysia (BNM) memantau dan mengawal operasi kad kredit ini dengan penguatkuasaan Garis Panduan Kad Kredit-i pada 1 Ogos 2004.

Apabila pelanggan ingin mendapatkan kemudahan kad kredit, pihak bank akan menjual sesuatu aset miliknya kepada pelanggan dengan harga tangguh. Seterusnya pihak bank akan membeli balik aset itu daripada pelanggan secara tunai.

Pihak institusi kewangan kemudian mengkreditkan jumlah tunai itu ke dalam akaun khas atas nama pelanggan dan memberikan kad kredit kepada pelanggan. Pelanggan berhak menggunakan jumlah tunai dalam akaun melalui penggunaan kad kredit ini.

Sekiranya penggunaan kad kredit melebihi had pengeluaran tunai, maka bank akan memberikan qard hasan (pinjaman tanpa faedah).

Pandangan yang mengharuskan Bai’ Inah lebih cenderung kepada elemen-elemen zahir yang perlu ada kepada sesebuah kontrak. Oleh kerana Bai’ Inah melengkapi keseluruhan rukun kontrak jual beli, maka hukumnya adalah harus.

Pandangan ini dikemukakan oleh Mazhab Hanafi, Zahiri, Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad dari mazhab Hanafi. (rujuk Dr. Wahbah Az-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 4, ms 468).

Majlis Penasihat Syariah BNM dalam mesyuarat ke-8 memutuskan bahawa Bai’ Inah diharuskan dengan syarat mengikut garis panduan dan pandangan Mazhab Syafie.

Bai’ Inah juga tidak boleh dilaksanakan kepada barang-barang ribawi seperti emas dan perak. Di samping itu, kontrak jual dan beli semula mestilah berasingan dan tidak digabungkan bersama.

Parlimen Sepanyol tolak cadangan haramkan purdah

 

MADRID – Parlimen Sepanyol menolak cadangan mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam tetapi menyokong pengharamannya di bangunan kerajaan.

Sejumlah 183 orang menolak, 162 menyokong manakala dua tidak mengundi apabila cadangan itu dibahaskan dalam persidangan Dewan Rakyat, kelmarin.

Cadangan mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam dikemukakan wakil rakyat pembangkang dari Parti Popular dengan alasan pemakaian purdah bertentangan hak golongan wanita.

Parti Sosialis yang menguasai kerajaan membantah cadangan itu tetapi menyokong cadangan mengharamkan pemakaian purdah di bangunan kerajaan.

Usul itu akan dibincangkan pada persidangan akan datang apabila Dewan rakyat membentangkan cadangan berhubung isu-isu agama.

Walaupun belum ada peraturan rasmi, pemakaian purdah sudah diharamkan di bangunan kerajaan di beberapa bandar utama seluruh Sepanyol, termasuk Barcelona, Lerida dan El Vendrell.

Hampir sejuta daripada 47 juta penduduk Sepanyol beragama Islam dan kebanyakan mereka berasal dari barat laut Afrika.

Dewan Rakyat Belgium meluluskan usul pengharaman purdah pada April lalu, manakala Dewan Rakyat Perancis membuat keputusan sama, minggu lalu.