Archive for 19 Julai 2010

Peguam perlu jujur dalam menyelesaikan kes

SAYA pelajar perundangan dalam bidang sivil dan syariah di universiti tempatan. Baru-baru ini saya mengikuti satu sesi soal jawab mengenai ‘persoalan sama ada seorang peguam beragama Islam boleh membela pesalah jenayah’.

Saya terperanjat apabila dimaklumkan penceramah bahawa ia dibolehkan menerusi tiga perkara. Sebab pertama, seseorang itu belum terbukti bersalah selagi mahkamah belum membuat keputusan mensabitkannya walaupun dia mengakui pada peguam.

 

Sebab kedua pula kerana pengakuan yang dibuat anak guamnya adalah berlandaskan pengakuan sebelah pihak saja, manakala sebab ketiga pula kerana peguam itu hanya menjalankan tugas, iaitu menegakkan kebenaran untuk anak guamnya dan ia tidak akan sesekali disoal di akhirat.

 

Persoalannya, adakah betul kita boleh membela seseorang itu walaupun dia mengaku membunuh, merogol atau melakukan jenayah lain kerana tugas yang diamanahkan dan apakah pula status pendapatan yang diterima menerusi pekerjaan ini? Ini kerana penceramah juga mengatakan ia dihalalkan atas dasar setiap manusia mempunyai hujah serta penjelasan bagi mempertahankan tindakannya.

JAWAPAN:

Bagi saya, soalan ini baik dan realistik, di mana ia sangat menarik untuk dikaji serta dihurai dengan lebih mendalam.

 

Namun menerusi ruangan ini saya hanya mampu memberi sedikit pandangan ringkas serba sedikit mengenai tindakan seseorang peguam untuk membela seseorang penjenayah yang datang kepadanya berlandaskan hadis dan hukum Islam.

 

Memang benar, ada jenis kesalahan yang diperlukan lebih daripada pengakuan seseorang itu, sebagai contoh Rasulullah SAW menolak pengakuan Maiz bin Malik sebaik pemuda itu mengaku berzina.

 

Hanya selepas Maiz membuat pengakuan sebanyak empat kali, baru Rasulullah memutuskan hukuman ke atasnya.

 

Berdasarkan kisah ini, mungkin benar pengakuan seseorang itu belum mencukupi untuk kita meyakini bahawa dia bersalah dan tidak layak dibantu walaupun pada satu tahap ia turut disokong dengan pelbagai bukti, walaupun tugas menjatuhkan hukuman itu tertanggung di atas bahu hakim.

 

Bagaimanapun, di dalam Islam, peguam itu tidak boleh menyembunyikan fakta serta bukti yang diperoleh membabitkan perbuatan anak guamnya.

 

Jika disembunyikan, ia jelas termasuk dalam perkara yang haram dan jelas pendapatan hasil pembelaan itu turut haram kerana ia termasuk dalam golongan orang yang membantu dalam perkara dosa, maksiat serta permusuhan selain menggagalkan keadilan daripada ditegakkan.

 

Ini sebagaimana Allah SWT mengharamkan seseorang saksi yang enggan menjadi saksi dalam pembelaan keadilan menerusi surah Al-Baqarah, ayat 282 yang bermaksud: “Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil.” Jadi, apabila peguam itu menjadi saksi pengakuan anak guamnya walaupun di luar mahkamah, yang perlu dilakukannya adalah dia sepatutnya menjadi saksi bagi menegakkan keadilan dalam kes terbabit.

Apabila dia menyembunyikan fakta bagi mengelak anak guam yang diwakili disabit atas sesuatu tuduhan, jelas tugas dan gajinya membabitkan kes itu boleh termasuk dalam syubhah atau lebih tepat lagi, ia menjadi haram.

 

Ini boleh dilihat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi yang menyatakan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk diselesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah daripada sebahagian yang lainnya, maka aku memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari saja. Barang siapa yang ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” Berdasarkan hadis ini, jelas jika seseorang peguam itu dengan kepintarannya berhujah menyebabkan hukuman yang diputuskan menjadi salah, dengan kepintarannya berhujah, dia membantu pesalah itu, ia melayakkan seseorang itu dibakar sepotong api neraka dan nescaya, pendapatan yang diperoleh turut haram.

 

Walaupun hadis kelihatan menyebut perihal mereka yang terbabit di hadapan hakim saja (dalam konteks moden iaitu peguam), namun hadis ini membawakan satu prinsip yang jelas buat semua umat Islam, iaitu kita tidak sama sekali boleh menyebelahi mereka yang salah walau atas nama profesion, kaum, satu parti, keluarga dan sebagainya.

 

Selain itu, apabila hakim memutuskan hukuman itu berdasarkan perhitungan terhadap hujah disampaikan, ia bukan keputusan hakim itu semata-mata, sebaliknya berdasarkan hujah yang didengarnya.

Click Here

Ini sebagaimana firman Allah SWT: Firman Allah: “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah: 8) Selain itu, Rasulullah SAW menegaskan prinsip keadilan tanpa mengira kaum, bangsa atau keluarga apabila bersabda: “Sesungguhnya kaum sebelum kamu menjadi hancur disebabkan apabila mereka yang berkedudukan mencuri, mereka melepaskannya, tetapi jika orang biasa (lemah kedudukan) mencuri, dijatuhkan hukuman ke atasnya, Demi Allah (dalam Islam), jika Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya akan ku potong tangannya (jatuh hukum sebagaimana yang lain).” (Riwayat Al-Bukhari) Kesimpulannya, saya secara peribadi berlandaskan keterangan ayat di atas, tidak bersetuju dengan jawapan penceramah yang menyatakan perbuatan membela anak guam yang nyata mengakui kesalahan berdasarkan pengakuan serta bukti yang ada adalah dibolehkan serta dihalalkan.