Archive for 18 Julai 2010

Buang Islamofobia pada orang filem

Diiktiraf…Pengarah filem Iran, Abbas Kiarostami menunjukkan trofi yang dimenanginya pada Festival Filem Munich, Jerman 29 Jun lalu.

 

Apakah pengertian filem Islam?

DR. NAIM: Pokok pengertian filem Islam adalah daripada pengertian Islam itu sendiri. Filem Islam dan filem berunsur Islam juga adalah dua ungkapan berbeza.

Filem berunsur Islam adalah merujuk kepada filem yang antara paparannya mengandungi beberapa unsur yang selaras dengan tuntutan Islam tetapi tidak keseluruhan filem itu Islamik.

Mungkin daripada aspek naratif, dramatik, sinematografi, semiotik, aplikasi, teknikal dan kontekstualnya.

Filem Islam adalah konsep yang memerlukan kupasan ‘luaran dan dalaman’, aspek ciri dan konsep lain yang berkaitan. Malah pengertian Islam itu sendiri perlu jelas agar pengertian dan ‘roh’ Islam itu benar-benar berada dalam filem sehingga ia dapat dianggap sebuah filem Islam.

Maka, sebagai asasnya sesebuah filem Islam itu merangsang kepada keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan. Filem yang menganjurkan keamanan, ketenteraman, kedamaian dan kebersihan daripada segala yang negatif.

Ia juga filem yang membawa mesej penyerahan diri, tunduk, patuh dan bertauhid kepada Yang Maha Pencipta.

Seorang seniman yang jujur, insya-Allah akan menemui Allah dengan seninya. Kata seorang seniman jalanan di Indonesia, seorang seniman itu ialah sufi (orang yang baik) dan seniman itu juga adalah sufi.

Justeru, sebarang bentuk seni tetapi tidak menjadikan kita baik bukanlah dinamakan seniman. Sebabnya, seniman itu mengamalkan sifat mahmudah (terpuji).

Sebuah filem Islam itu perlu ada bukan sahaja nilai seni yang tinggi tetapi dapat menembusi aspek rohani dan jiwa. Apa maksudnya?

DR. NAIM: Filem itu dibuat oleh pembikinnya. Bagaimana mahu menghasilkan filem yang bagus?

Ini memerlukan kepada kemahiran menggarap seni, kemahiran teknik dan juga kemahiran guna teknologi. Ia juga memerlukan kepada jati diri.

Namun, yang masih kurang pada dasarnya adalah ilmu pengetahuan tentang Islam. Bukan tidak ada di kalangan pembuat filem kita tetapi kurang.

Kemahiran agama ini membawa kepada tauhid tadi. Ia bersesuaian dengan yang selalu disebut oleh ulama kita asal agama adalah mengenal Allah. Inilah yang telah dihilangkan oleh masyarakat Barat.

Barat tahu untuk menghilangkan kepercayaan kepada agama, akidah umat Islam ini perlu digegarkan. Sebab itu umat Islam perlu disibukkan dengan 3F iaitu food (makanan), fashion (fesyen) and fun (keseronokan).

Namun, saya melihat bukan hanya 3F tetapi 10F iaitu food (makanan), fashion (fesyen), free sex (seks bebas), feminin (wanita), film (filem), finance (wang), fantasy (fantasi), facebook, faith (tauhid) and fun (keseronokan).

Membicarakan hal ini, Ismail Faruqi menyebut, tidak seperti kebudayaan lain mengaitkan keindahan sebagai kemewahan, nilai intrinsik yang difahami untuk kepentingan sendiri, kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. (Islam and Culture, 1980)

Ada juga pengeluar filem yang kata niat mereka baik untuk memberi pengajaran, tetapi perlakuan di dalam filem itu yang tidak baik. Bolehkah berhujah demikian?

DR. NAIM: Menghasilkan filem pada asalnya diharuskan oleh Islam. Namun pekerjaan yang harus ini menjadi haram jika proses penghasilan dan garapan pengisiannya menyalahi hukum dan etika Islam.

Niat itu tidak bersuara atau berhuruf. Ia adalah qasad atau keazaman untuk membuat sesuatu yang lahir daripada hati.

Dalam Islam, niat mesti baik dan ikhlas kerana setiap amalan itu diukur berdasarkan niat kita. Tetapi matlamat tidak menghalalkan cara.

Contohnya, niat kita baik iaitu hendak membantu fakir miskin tetapi gunakan sumber yang haram. Ini tidak dibenarkan oleh Islam.

Begitu juga kalau ceritanya bagus tetapi busana atau pakaiannya teruk sehingga menampakkan aurat, itu haram.

Sebab itu, niat ini perlu disertakan dengan lafaz bismillah. Kalau tidak, ia tiada keberkatan. Namun, permulaan lafaz bismillah itu tidak menghalalkan perlakuan salah dalam sesebuah filem.

Contohnya, membuat filem porno untuk memberi pengajaran. Dalam hal ini, orang yang membuat, merancang, mengedar, membeli dan melakonkan adegan itu semuanya berdosa. Ia seperti juga penglibatan kita dalam arak.

Bagaimanapun, orang buat filem ini lebih teruk kerana yang menontonnya juga turut berdosa. Sedangkan orang yang semata-mata melihat arak itu tidak berdosa.

Penghasilan filem ini kesannya tidak dibatasi umur, geografi dan budaya.

Jangan kita lupa, setiap kebaikan yang kita tonjolkan dalam filem itu akan menjadi amal jariah yang boleh menyumbang pahala selepas kematian kita kelak.

Begitu juga jika filem kita itu penuh dengan kemaksiatan, maka kita akan memikul dosanya selama mana ia disaksikan oleh penonton.

Negara sudah merdeka lebih 50 tahun tetapi belum nampak kemunculan filem Islam. Antara alasannya susah nak buat filem Islam, batas aurat dan sebagainya. Betulkan dakwaan ini?

DR. NAIM: Segala hukum atau peraturan yang dibuat sama ada dalam agama atau adat mempunyai sebab dan tujuan.

Menghasilkan filem memang susah tetapi Allah bagi kita akal, daya kreativiti dan inovatif.

Dalam hal ini mungkin kita perlu gunakan perlambangan.

Islam itu mudah, jadi jangan susahkan perkara yang mudah dan jangan mempermudah perkara yang sukar. Kalau kita benar-benar berfikir tentang filem Islam, ia tidak susah.

Islam tidak mengehadkan orang berkarya termasuklah dalam pembikinan filem. Syaratnya jangan langgar batasan.

Manusia selalu lupa sebab itu dia kata Islam itu susah. Sebenarnya mereka terperangkap dalam isme-isme Barat.

Kita kena belajar daripada filem-filem Iran. Dalam filem Iran, tidak ada adegan pegang tangan, peluk-peluk dan tidak ada yang melanggar batasan.

Ini tidak, kebanyakan kita terpengaruh dan berkiblatkan filem dari Barat sahaja. Kita tidak mahu membuka sudut pandangan kepada filem negara-negara Islam.

Sebab itu, timbul alasan susah nak buat filem Islam. Susah itu berpunca daripada kita sendiri.

Sebabnya, adalah lebih senang untuk melanggar hukum Allah daripada berfikir bagaimana menghasilkan filem Islam.

Orang yangbercakap begini biasanya tidak faham dantidak tahu akan keindahan Islam. Apabila tidak tahu, maka kita takut melihat Islam seolah- olah masuk ke tempat ‘gelap’ sebab kita tidak dapat membuka cahayanya.

Apa yang berlaku, wujud Islamofobia di kalangan pengeluar filem Islam itu sendiri.

Bagi mengatasinya, semua pihak perlu terlibat. Ia mesti bermula daripada bawah. Segala keilmuan dan para ulama mesti memberi nasihat kepada orang filem daripada awal hingga akhir. Barulah, kita dapat menghasilkan filem Islam, insya-Allah.

Mereka yang sudah mendapat hidayah pula patut terus terlibat dalam industri filem supaya kita dapat mengubah dan merealisasikan hasrat ini.

Kita selalu dengar ungkapan pelakon sebagai idola. Tetapi adakalanya pelakon itu dipuja kerana kehebatannya menjiwai sesuatu watak, bukan sebab tingkahlaku semulajadinya. Soalnya, bolehkah mereka dijadikan idola?

DR. NAIM: Bagi yang benar-benar memahami seni, watak dalam filem dan kehidupan sebenar mestilah sama. Dia tidak akan hipokrit.

Jika sebaliknya, ia adalah satu penipuan kepada diri dan masyarakat.

Memanglah drama itu berpura-pura tetapi bukan sampai ke tahap tersebut. Drama adalah melakukan perkara yang benar.

Sebab itu, kita biasa mendengar ungkapan dunia ini adalah pentas dan manusia sebagai pelakonnya.

Jika berterusan begini atau kalau filem kita sama seperti filem Barat, kita tidak akan dapat menembusi persada dunia. Kita perlu keluar daripada elemen stereotaip dan perlu ubah 360 darjah kalau mahu ke persada antarabangsa.

Saya selalu sebut, jangan kita takut rugi di dunia kerana kecundang di panggung tetapi kita perlu takut rugi di akhirat di hadapan Allah kelak.

Ada juga dakwaan seniman adalah orang yang istimewa. Justeru mereka harus bebas berkarya apa sahaja. Benarkah?

DR. NAIM: Seniman dibolehkan berkarya apa sahaja menggunakan segala kepakaran kreativiti dengan syarat mesti bersandarkan hukum.

Sebab itu dalam pepatah Melayu pun ada menyebut, “hukum adat bersandar syarak, hukum syarak bersandarkan akidah”.

Realitinya, mana ada negara yang memberi kebebasan mutlak kepada rakyatnya. Amerika Syarikat sendiri pun dipantau setiap masa.

Burung yang terbang bebas pun bila tiba masanya akan hinggap di dahan pokok.

Undang-undang dan peraturan itu ada hikmahnya yang kita kena cari.