Archive for 17 Julai 2010

Nazar kena lafaz, wajib tunai

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Soalan:

SAYA ada sedikit kemusykilan mengenai niat puasa. Saya nazar berpuasa sehari jika hajat tercapai. Bagaimana berniat puasa nazar dan adakah ia puasa wajib bagi saya?

MUHAMMAD,

Bangi.

Jawapan:

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Maaidah ayat 89 iaitu: “Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu ialah memberi makan 10 orang miskin iaitu daripada makanan yang kamu biasa berikan kepada keluargamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak.

“Siapa yang tidak sanggup melakukan demikian, maka kaffaratnya puasa tiga hari. Yang demikian itu ialah kaffarat sumpah apa bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).”

Nazar ertinya janji atau sumpah untuk berbuat baik atau buruk. Dari segi istilah ialah mewajibkan diri melakukan sesuatu kebaikan dengan menyebut nama Allah. Nazar bukan sekadar niat tetapi hendaklah juga dilafazkan.

Contohnya: “Dengan nama Allah sekiranya aku berjaya aku berjanji untuk berpuasa satu hari”.

Ia dikira nazar dan wajib dilaksanakan. Sekadar terdetik di hati ia tidak dikira nazar. Mereka yang menarik balik atau tidak mampu melakukannya hendaklah membayar kiffarat nazar sebagaimana ayat di atas.

Sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bernazar mentaati Allah, maka hendaklah mentaatinya.”

Apabila menyebut mengenai sumpah yang tidak dimaksud untuk bersumpah (yamin al-Laghw), Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut Allah tidak akan menghukum dan tidak juga mewajibkan kamu untuk menjalankan sumpah yang tidak dimaksudkan oleh hati dan ia tidak bermaksud mengucapkannya, tetapi sumpah itu keluar daripada lidahnya tanpa ada keyakinan dan kesungguhan.

Seperti ditetapkan dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa bersumpah dengan menyebut Lata dan Uzza (nama berhala), maka hendaklah dia mengucapkan Laa ilaaha illallaah (tidak ada yang berhak diibadati dengan benar kecuali Allah.”

Hal itu disampaikan Rasulullah SAW kepada kaum yang baru keluar dari masa Jahiliyah menuju agama Islam, namun lidah mereka masih terbiasa menyebut Lata dan Uzza tanpa sengaja.

Kemudian mereka diperintah mengucapkan kalimah Laa ila ha illallah. Perkara berkenaan juga disebut oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 225 iaitu: “Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang sengaja ( bersumpah) oleh hatimu.”

Pada ayat sebelumnya, Allah SWT melarang bersumpah untuk meninggalkan amal salih dan memutuskan silaturahim iaitu pada ayat 224 menyebut: “Janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan dan bertakwa dan juga hendaklah mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Ali Talhah meriwayatkan dariapda Ibnu Abbas bahawa beliau berkata: “Maksudnya, janganlah sekali-kali engkau menjadikan sumpahmu sebagai penghalang bagimu untuk berbuat kebaikan tetapi (gugurkanlah sumpahmu serta) bayarlah kaffarat, lalu lakukanlah kebaikan.”

Justeru, siapa yang bernazar untuk mentaati Allah, hendaklah ia taat. Namun, jika bernazar untuk bermaksiat kepada Allah SWT, maka jangan dia melaksanakannya seperti disebut sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Aisyah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang bernazar mentaati Allah SWT, hendaklah ia mentaatinya dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat terhadap Allah SWT, janganlah dia melakukannya.”

Antara syarat nazar, mesti orang Islam, iaitu tidak sah nazar orang kafir, mukallaf bukan kanak-kanak atau orang gila dan atas kerelaan sendiri bukan dipaksa. Tiada nazar bagi perkara yang harus iaitu perbuatan yang tidak menyebabkan pahala dan dosa sekiranya dibuat atau ditinggalkan seperti makan atau tidur. Begitu juga tiada nazar bagi perkara haram seperti membunuh dan berzina. Begitu juga perkara makruh seperti tidak mengerjakan solat rawatib. Wallahua’lam