Archive for 12 Julai 2010

Al-Fatihah buat al-Marhum Ustaz Hj Nahar Sabah


Ustaz Hj Nahar mengalami sakit gestrik dan dibawa keluarganya ke hospital Likas selepas Isya’ semalam dan ditahan semalaman. Sekitar jam 9 pagi tadi, Ustaz dibenar keluar dan disahkan sihat. Bila di rumah, setelah berihat sebentar, dia mengadu sakit dada dan sesak nafas. Ustaz pun dibawa keluarga dibawa ke SMC, tidak lama masuk ke ICU..ustaz disahkan meninggal dunia pada jam 10.50 pagi tadi..

Sepanjang mengenali Hj Nahar khasnya ketika beliau dilantik menjadi Imam Besar Masjid Negeri Sabah adalah suatu kenangan yang tidak dapat dilupakan. Apa juga program ustaz, akan di bawa sama saya selaku pegawai media MNS masa itu..pernah seorang teman yang ustaz baru kenal, seorang pegawai perubatan yang baru ditempatkan bertugas di Hospital Queen Elizibeth, juga turut dibawa sama bagi menyertai program antaranya program Jejak Da’wah Pulau Banggi..begitulah bersunguhnya seorang yg diberi amanah dalam hal urusan da’wah…

Ustaz sentiasa memberi ruang dan bantuan kepada sesiapa juga dalam urusan program dakwah di Sabah selama ‘berkuasa’ di Masjid Negeri Sabah. Program pengimarahan Masjid Negeri Sabah di zamannya jelas menyerlah! Begitu ramai kenalan dan sahabat ustaz yang sempat berkerjasama dengan ustaz dalam banyak program , seminar, forum ,ceramah, kuliah dan pelbagai khidmat masyarakat lagi. Yang pastinya bumi Sabah telah kehilangan sebutir permata anak jati Sabah bagi menyemarakkan program da’wah yang sangat diperlukan oleh masyrakat Sabah. Kepada rakan taulan sahabat ustaz sekalian, ustaz berpesan teruskan usaha murni kalian. Hadapi setiap halangan, cemuhan, kejian dan pelbagai lagi sebagai dorongan kuat bagi menyebarluaskan kebenaran urusan Agama ini..

Sudah menjadi adat, setiap ‘kehilangan’ pasti meninggalkan kesan mendalam apatah lagi perginya seseorang spt ustaz Hj Nahar..insyaAllah, blog ini kekal akan memaparkan rakaman aktiviti ustaz sepanjang hayatnya…Kepada sahabat yg ada menyimpan bahan berkaitan boleh dikongsikan bersama melalui blog .http://hjnahar.blogspot.com/.

Perginya seorang sahabat dan pejuang – al-Fatihah

Ustaz Norazamudin

Assalamualaikum…

MENURUT MAKLUMAT KELUARGA ALMARHUM JENAZAH ALMARHUM AKAN DIKEBUMIKAN ESOK PAGI DI LIKAS

Pagi ini saya mendapat panggilan mengejutkan dari seorang sahabat…Ustaz Nahar meninggal dunia…sekali lagi saya menerima panggilan dari Abu Nuha ustaz Nahar disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi…Tiada ada apa yang dapat disebut melainkan  إنا لله وإنا إليه راجعون . Allah lebih sayangkan dia…

Saya mengenali beliau semasa belajar di Jordan…Beliau orang rujukan kami semasa di sana…Kami berusrah dan menjalankan aktiviti dakwah di sana dan beliau merupakan salah seorang pemimpin kami di sana…Bagi orang-orang bujang beliau menjadi orang tengah bagi sahabat-sahabat yang ingin mencari pasangan…Empat tahun kami bersama di sana, pada masa itu anaknya Nasraf masih kecil…sekarang sudah 17 tahun…Begitu cepat masa berlalu…

Perkenalan kami berterusan apabila saya ditempatkan di Sabah…sesekali saya ke rumah beliau di Likas dan saya mengenali keluarganya dari dekat…Masih saya ingat di awal-awal saya di Sabah saya bersama Ustaz Diauddin dan keluarga al-marhum rehlah di pantai Dalit dan saya kemalangan dalam perjalanan..beliaulah yang membantu saya…

Kemudian beliau dilantik sebagai Imam Masjid Negeri dan banyak program yang diadakan dan beliau melakar lanskap baru di masjid negeri…Aktiviti ziarah hospital, derma darah, program Qiamullail sepuluh malam terakhir, hari kemerdekaan dan ramai sahabat-sahabat yang dijemput untuk berkhutbah…sempat juga kami menjemput Ustaz Azhar, Ustaz Khairuddin dan Ustaz Zaharuddin pada zaman pentadbiran beliau…Syukbah Dakwah juga dapat melaksanakan pelbagai aktiviti…

Setelah beliau dipindahkan ke JHEINS agak jarang sedikit kami berjumpa…antara yang terakhir yang segar dalam ingatan ialah semasa Sambutan Maulidurrasul  di Sipitang, saya menaiki kereta  beliau pergi dan balik…

Pada tahun-tahun akhir ini, beliau juga ada mengadu lemah-lemah badan dan semalam dia dimasukkan ke hospital, khabarnya serangan jantung…kemudian dibenarkan keluar dan hari ini saya menerima berita kematiannya…berita yang menyedihkan…

Selepas di Sipitang, saya bertemu beliau di rumahnya di Likas dalam program Usrah selepas saya pulang dari Kota Mekah pada bulan Mac dan sekali lagi pada bulan April juga di rumahnya semasa membincangkan program Makan malam yang dipengerusikan oleh Sdra Ahmad Fazilah…di kedua-dua majlis kami dihidangkan roti nan berlaukkan kari kambing…

Kali terakhir saya bertemu beliau ialah sekembalinya beliau dari umrah semasa berusrah di  rumah Abu Aslam…Beliau membawa sedikit buah tangan dari Mekah dan menceritakan pengalamannya dalam berdakwah sepanjang perjalanan umrah…antaranya beliau menggunakan saat perjalanan antara Bir Ali sampai ke Mekah sepenuhnya dengan talbiah, ukhuwwwah dan amalan-amalan menghampirkan diri kepada Allah…Tidak saya sangkakan itulah kalau terakhir saya menatap wajah beliau dan hari ini beliau telah bertemu kekasihnya…semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya…ALFATIHAH

Hukum duit komisen arak

Soalan:

DAHULU, ayah saya bekerja sebagai pemandu pelancong di mana dia membawa pelancong untuk ke kedai yang menjual arak. Daripada situ, dia diberi komisen RM20 oleh tuan kedai.

Duit yang dibawa balik pada asalnya disimpan, tetapi kesilapan berlaku apabila ibu saya terambil duit tersebut dan membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Bolehkah saya hanya berniat dan menggantikan duit komisen tadi dengan menderma sejumlah wang yang sama atau lebih dan mengekalkan akaun ASB sedia ada hasil pembukaan akaun daripada duit komisen tadi.

Jawapan:

Persoalan yang berkaitan dengan pelaburan bersumberkan pendapatan yang haram perlu kepada penjelasan yang lanjut daripada pelabur itu sendiri.

Ada beberapa perkara yang tidak jelas dalam soalan saudara. Antaranya, sudah berapa lama duit itu dilaburkan dan ada percampuran atau tidak dengan nilai yang asal?

Sekiranya ibu saudara melaburkan duit itu untuk tempoh lima tahun dengan berasaskan pelaburan yang jumlahnya RM20 maka keseluruhan hasil dari pelaburan itu adalah haram.

Ini kerana punca pelaburan itu adalah daripada sumber yang haram. Baginda SAW bersabda daripada Abu al-Nu’man bin Bashir r.a yang bermaksud: Sesungguhnya yang halal itu adalah jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram juga jelas… (riwayat al-Bukhari, no: 52, dan Muslim no: 1599).

Berbalik kepada soalan di atas, bukan sahaja modal pelaburan itu dikira haram malah keuntungan dari pelaburan juga haram, kedua-duanya (modal dan keuntungan) adalah haram.

Setiap sumber yang haram maka hasil daripadanya juga haram. Apa yang perlu saudara buat adalah keluarkan semua duit yang bersumberkan haram iaitu modal dan keuntungan pelaburannya kemudian guna untuk pembinaan keperluan orang awam.

Contohnya membaik pulih jalan, membaiki jambatan, membina wakaf dan sebagainya yang mana kelak pembangunan tersebut akan digunakan oleh orang ramai bagi keperluan masing-masing.

Isunya bukan menutup akaun tetapi bagaimana duit modal dan keuntungan dikeluarkan terus daripada akaun pelaburan. Biar banyak mana sekalipun pelaburan tersebut, saudara kata RM20, mungkin juga ada yang melabur lebih daripada itu.

Contohnya si Jamal melabur RM20 daripada sumber yang haram pada tahun 1995. Pada tahun 2010 pelaburan itu mencatat keuntungan dan jumlahnya kini RM2,000.

Maka mengikut syariah kesemuanya itu hendaklah dilupuskan. Sama ada dikembalikan keuntungan itu kepada syarikat yang menguruskan pelaburan itu atau digunakan untuk pembinaan tempat-tempat keperluan awam.

Banyak mana sekalipun duit itu tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan peribadi, lebih-lebih lagi makan.

Soalan 2:

Jika boleh, bagaimanakah cara dan tempat yang sesuai untuk saya menderma.

Jawapan:

Harta yang diperoleh daripada sumber haram hanya dibenarkan kegunaannya untuk pembinaan tempat-tempat wakaf, jalan, jambatan dan apa-apa yang menjadi keperluan awam.

Sebuah hadis lain pula menyebut: “Sesiapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)”. (riwayat al-Hakim, sahih menurut al-hakim dan disepakati oleh az-Zahabi)

Harta haram yang saya maksudkan di sini adalah harta yang dimiliki dengan cara yang tidak diiktiraf oleh syariah. Ia termasuklah wang hasil pelaburan sumber yang haram, pinjaman dengan transaksi riba, harta curi, tipu, judi, pecah amanah, rasuah, hasil perniagaan haram, hasil keuntungan jualan barang curi, hasil keuntungan pelaburan haram, hasil wang dari proses perniagaan secara monopoli dan banyak lagi.

Sheikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berkata: “Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada fakir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu). (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, hlm 2/65)

Menurut syariah, jika sesuatu harta didapati daripada sumber haram itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui pemiliknya), cara melupuskannya adalah memulangkan kembali wang curi itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian bertaubat.

Jika gagal memulangkan kepada tuan miliknya, hendaklah ia dipulangkan kepada warisnya, jika gagal juga, barulah harta itu disalurkan kepada sedekah. (Zad al-Ma’ad, Ibn Qayyim, 4/251).

Demikian juga harta yang terhasil daripada riba pinjaman, maka perlulah dipulangkan kepada peminjam yang dikenakan riba itu.

Jika harta itu bukan milik perseorangan tetapi milik sekumpulan seperti koperasi sekolah, syarikat atau yayasan; maka cara memulangkannya adalah dengan memasukkan dalam akaun sekolah, yayasan atau syarikat itu; atau cara lain adalah membayarkan bil air sekolah dan syarikat sebanyak jumlah yang dicurinya. Ia secara tidak langsung dikira pemulangan kepada pemilik organisasi.