Archive for 11 Julai 2010

Jakim akan pantau program ESQ


JERLUN – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti semula program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) yang diharamkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana modulnya didakwa menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, Jakim akan meneliti dan mendalami modul ESQ untuk melihat apa yang disifatkan sebagai menyeleweng itu.

“Kita akan semak semula modul itu kerana mereka (ESQ) ini peniaga. Jadi kita tidak mahu menyekat rezeki orang, tetapi kita akan semak. Jika benar ada penyelewengan, kita terpaksa ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerlun di sini, semalam.

Menurutnya, Jakim juga mempunyai rekod berhubung program yang dikendalikan ESQ, malah ramai kakitangan kementerian dan agensi kerajaan menyertai program itu.

“Program itu masih diteruskan dan kita tidak boleh mengatakan ia sah atau halal kerana selepas ini, kita tidak tahu apa yang mereka buat. Jadi kita akan pantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Mashitah berkata, beliau percaya keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul ESQ bagi membimbing atau mengelakkan pemesongan akidah.

“Masyarakat kita memang mudah sangat terikut dengan sesuatu perkara, tambahan pula perkara yang melibatkan kesedaran akidah. Tetapi kita perlu menjaga supaya ia tidak terseleweng daripada akidah.

“Kita akan ambil langkah awal untuk mengelakkan perkara itu berlaku kerana ia boleh melibatkan penyelewengan akidah yang lebih dahsyat jika dibiarkan,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama baginya ESQ adalah program motivasi lama dan sebahagian modulnya untuk menyedarkan dan memberi kesedaran supaya kita menjadi pekerja yang baik dan cemerlang dan itu mungkin niat yang baik.

“Apapun, setiap yang disampaikan janganlah sehingga melanggar garis-garis dan batas kerana negara ini mempunyai undang-undang sendiri,” katanya.

Beliau berkata apa yang dilihat masa kini, masyarakat menerima pendakwah yang berinovatif dan program yang dijalankan ESQ juga canggih dari segi peralatannya dan ia harus menjadi cabaran.

“Malah Jakim sendiri boleh mempertingkatkan sistem audio dan visual yang menarik dalam menyampaikan dakwah selepas ini, memandangkan dakwah kita sudah baik. Cuma cara penyampaiannya perlu dipelbagaikan supaya lebih menarik,” katanya