Archive for 9 Julai 2010

Penjaga Muslim hak kanak-kanak Islam

Oleh Zainul Rijal

Kemaslahatan anak perlu diutama selesai pertikaian ibu bapa berbeza agama

ISU perebutan anak antara ibu bapa berlainan agama memang sukar untuk diselesaikan. Polemik berkaitan hak jagaan anak apabila salah seorang ibu atau bapa bukan Islam memeluk Islam masih belum dapat dirungkaikan.

Walaupun Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan, ia seolah-olah tidak memberi tiket istimewa bagi mualaf ini mendapat hak jagaan dan mengislamkan anaknya.

Persoalan ini masih lagi dibicarakan dan disensasikan beberapa pihak. Penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Subahsini melawan Saravanan, nampaknya tidak dapat menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Daripada lensa hukum syarak pula, seorang kanak-kanak itu dikira Islam jika ibu atau bapanya seorang Islam. Ia berlaku secara automatik tatkala ibu atau bapa memeluk Islam.

Melainkan dalam keadaan tertentu, orang bukan Islam tidak harus diberikan hak penjagaan kanak-kanak Islam, kerana hak penjagaan adalah hak penguasaan (haq al-wilayah). Orang bukan Islam tidak mempunyai hak penguasaan terhadap orang Islam.

Firman Allah, Surah yang bermaksud: “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang beriman.” (Surah an-Nisa’, ayat 141). Jika orang bukan Islam diberikan hak jagaan anak Islam, mestilah diletakkan beberapa syarat ketat bagi memastikan al maqasid al syariah yang lima itu dapat dipelihara. Lima al maqasid al syariah itu ialah menjaga agama, harta, keturunan, akal dan nyawa.

Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Al Fiqhu Islamiy Wa Adillatuhu mengutip pandangan Imam Al-Syafie bahawa syarat umum pihak yang diberi hak penjagaan anak (haadin) adalah cukup umur, sempurna akal, berkeupayaan mendidik kanak-kanak, berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan seorang Islam. Islam adalah syarat penting seseorang menjaga kanak-kanak Islam.

Menurut Al-Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al Muhtaj menegaskan: “Hadanah daripada segi syarak membawa maksud tanggungjawab menjaga seseorang yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri, oleh kerana masih belum mampu atau tidak mampu membuat pilihan mana satu baik dan mana satu buruk, seperti kanak-kanak kecil atau orang dewasa gila, dan juga tanggungjawab memberi pendidikan kepada mereka berkenaan itu hingga menyebabkan mereka berjaya menjadi manusia baik, serta tanggungjawab memberi makan minum dan seumpamanya kepada mereka.”

Walau apa pun, objektif hadanah dalam Islam sebenarnya bertujuan menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak itu dari segi agama, harta, keturunan, akal dan nyawa sejajar dengan al maqasid al syariah. Asas dan objektif hadanah ialah maslahat budak yang dipelihara dan dijaga sebagai hak asasi budak itu.

Hak kanak-kanak ini mesti diutamakan lebih daripada hak pihak yang memelihara seperti dinyatakan Sayid Sabiq dalam Kitab Fiqhul al-Sunnah, yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap menjaga dan dijaga (anak) mempunyai hak dalam pemeliharaan tetapi hak dijaga lebih kuat daripada hak yang menjaga.”

Ibnu Qadamah pula berpandangan: “Sabit hadanah adalah untuk menentukan nasib (kepentingan) budak (kanak-kanak) itu.”

Daripada kaca mata perundangan Islam pula, perbuatan seorang Islam menyerahkan, memberikan atau menjual anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seorang bukan Islam untuk menjaganya adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah.

Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: “Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.”

Maka dalam hal sedemikian, timbullah polemik kepada mualaf jika diperintahkan memberi hak jagaan anak Muslimnya itu kepada pasangannya yang bukan Islam. Mengikut undang-undang syariah, beliau melakukan kesalahan.

Tetapi pada masa sama, jika beliau ingkar perintah mahkamah, mualaf ini boleh disabitkan kesalahan menghina mahkamah. Sudah tentu mualaf yang patuh kepada undang-undang diletakkan di dalam keadaan sukar antara kesalahan Seksyen 35 dan menghina mahkamah.

Pada pandangan saya, tatkala seseorang itu memeluk Islam, maka undang-undang Islamlah yang terpakai ke atasnya. Oleh itu Enakmen Jenayah Syariah hendaklah terpakai ke atas mualaf.

Mahkamah sama ada Sivil atau Syariah hendaklah tidak menjadi alat kepada sebarang tindakan melakukan kesalahan seperti Seksyen 35. Dalam hal sedemikian, mualaf tidak boleh diperintahkan memberikan hak jagaan anak Islamnya kepada orang bukan Islam.

Tindakan sebegini boleh dilihat seolah-olah mempromosikan perlakuan jenayah yang sudah tentu tidak selari dengan objektif kewujudan sesuatu mahkamah untuk menegakkan keadilan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Polemik ini hanya boleh diselesaikan jika makna sebenar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan diberikan seperti dijelaskan dalam beberapa penghakiman terdahulu seperti Nenduchilian dan Subahsini.

Malah, kedudukan istimewa Islam mesti diterima semua rakyat Malaysia tanpa mengira ras dan agama. Kedudukan istimewa ini bukanlah memaksa orang bukan Islam memeluk Islam tetapi mempertegaskan modul penyelesaian sesuatu kemelut perlulah berasaskan penyelesaian digariskan agama negara iaitu Islam disamping menjamin hak orang bukan Islam menganut dan mengamalkan agama mereka seperti Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan