Archive for Jun 2010

Talak kuasa suami

SOALAN:

Saya menetap di Amerika Syarikat. Imam yang dirujuk untuk kes penceraian adalah dari mazhab Hanafi. Saya ingin bertanya tentang kes penceraian daripada segi mazhab Shafie.

Imam tersebut mengatakan selepas jatuh talak yang pertama, dua bulan kemudian jatuh talak ketiga (satu bulan satu talak) dan idah bermula untuk tempoh tiga bulan kemudian selepas talak tiga.

Bolehkah ustaz terangkan penceraian dalam mazhab Shafie.

JAWAPAN:

Molek kiranya saya mulakan ulasan soalan saudara dengan sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.

Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).

Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 229)

Dalam ayat di atas Allah menetapkan bahawa seseorang isteri yang dicerai dengan cerai raj’i (cerai yang boleh dirujuk) dengan talak yang paling maksimum adalah dua, kalau tiga tidak boleh dirujuk melainkan dikahwini oleh orang lain sebelum dikahwininya.

Ayat ini juga sekali gus menjelaskan adanya bilangan talak yang dilafaz bukan ikut bilangan bulan.

Persoalannya sekarang, saudara telah diberitahu oleh imam di sana mengenai talak. Sebenarnya apa yang jelaskan oleh imam tersebut tidak tepat.

Tidak ada mazhab yang menyebut seseorang isteri diceraikan dengan talak satu kemudian bila si suami tidak merujuk dalam bulan pertama dalam tempoh idahnya masuk bulan kedua talak yang asalnya satu jadi dua dan bagi bulan ketiga talak itu menjadi tiga.

Maksudnya kalau si suami gagal merujuk isteri dalam idah yang kebiasaannya dalam tempoh tiga bulan maka talak yang satu yang dilafazkan oleh suami menjadi tiga.

Pandangan ini sangat bercanggah dengan pandangan jumhur ulama termasuk Imam al-Syafie. Bilangan talak adalah apa yang dilafazkan oleh si suami ketika menceraikan isterinya.

Contohnya si suami kata, “aku ceraikan engkau dengan talak satu”, maka talak satulah sampai dirujuk dalam idah.

Kalau tidak rujuk sampai habis idah dan si suami ingin kembali maka hendaklah dinikahi dengan akad yang baru dan mas kahwin yang baru. Ini bermaksud bilangan talak tidak bertambah kerana kelewatan merujuk.

Cara mengira bilangan talak yang dilafazkan oleh suami adalah sama ada menyebut dengan jelas jumlah bilangan talak seperti: “Aku cerai/talak dikau dengan talak satu atau dua atau tiga”. Maka jatuh talak mengikut bilangan yang ditentukan atau disebut oleh suami.

Cara lain pengiraan talak adalah suami menceraikan isteri dengan talak satu kemudian rujuk semula, tetapi perceraian berlaku lagi selepas itu.

Setelah dua kali bercerai (dengan talak satu), kemudian berlaku perceraian lagi dengan suami melafazkan cerai talak satu maka ia dikira telah jatuh talak tiga.

Pasangan ini tidak boleh rujuk kecuali bekas isteri berkahwin dengan orang lain, bersetubuh dan bercerai.

Talak mesti dijatuhkan mengikut aturan kiraan Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talak untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talak dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya.

Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis idah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalam idah, maka dia boleh merujuknya.

Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis idah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan akad dan mahar (mas kawin) baru. Kalau dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, maka si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.

Jika si lelaki tersebut kembali kepada isterinya sesudah talak satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talak yang kedua, si lelaki masih boleh rujuk semula dalam tempoh idah.

Dan kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini merupakan suatu bukti nyata, bahawa perceraian antara keduanya itu harus dikukuhkan, sebab persesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.

Oleh kerana itu dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si lelaki tersebut, sehinggalah dia kahwin dengan orang lain secara syarie. Bukan sekadar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi.

NGO bantah cadangan anjur festival Ramadan

Rancangan Kementerian Pelancongan untuk mengadakan Festival Ramadhan bagi menarik pelancong Arab melawat Malaysia, mendapat bantahan badan bukan kerajaan – Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) – kerana menurutnya ia bertentangan dengan makna dan maksud Ramadan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia dan sangat dihormati sebagai bulan ibadah untuk meningkatkan kekuatan rohani dan akhlak uslimin.

 

 

 

 “Pengumuman menteri tersebut yang merencana bulan itu sebagai bulan pesta makan dan pelbagai aktiviti yang dianggap akan menarik pelancong, sama sekali bertentangan dengan makna dan maksud Ramadan.

“(TERAS) mendapati rencana itu adalah satu penghinaan terhadap kemuliaan bulan barakah yang mengajar para Muslimin untuk mengawal nafsu serta mendidik diri untuk tidak bersifat berfoya-foya dan membazir,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Azmi berkata, program tersebut hanya mengambil kira aspek keuntungan yang dapat dikumpul dari wang pelancongan yang dijadikan perhitungan dan ia menghina bulan Ramadan.

 

 

 

 Malah, beliau turut menentang sebarang usaha yang menjadikan ibadah yang mulia di sisi Islam, bertukar dan dipakej sebagai bahan atau khidmat yang dijual untuk mengaut keuntungan.

Beliau juga berkata kenyataan menteri itu yang mengatakan pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Agama Islam bagi menjemput imam-imam terkenal bagi memimpin ibadah terawih sebagai satu lagi pakej menarik pelancong untuk berkunjung ke Malaysia, menunjukkan kejahilan beliau terhadap martabat solat terawih di bulan puasa.

Selain itu, beliau juga akan menghantar surat bantahan dalam masa terdekat kepada kementerian pelancongan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan menteri hal ehwal agama, Datuk Jamil Khir Baharom untuk membuat penilaian semula terhadap cadangan tersebut.

 

 

 

 Katanya, perkara itu juga akan dibawa ke pengetahuan Majlis Fatwa dan Majlis Raja-Raja untuk mendesak supaya festival tersebut dibatalkan.

“Kita nak kumpul banyak lagi sokongan daripada badan-badan Islam di seluruh negara untuk mengesahkan bantahan ini,” katanya.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen sebelum ini mencadangkan untuk mengadakan Festival Ramadhan di I-City Shah Alam sebagai salah satu inisiatif bagi menarik pelancong Arab ke Malaysia pada Ogos nanti.

Adakah kerajaan ikhlas sokong banteras merokok

 CAP   

 

 

 Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (MoH) menerima moto Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) “Lindungi Wanita Daripada Asap dan Pemasaran Tembakau” untuk Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei 2010 sebagai dorongan untuk memberikan tumpuan kepada wanita yang menjadi sasaran utama bagi pemasaran industri tembakau di Malaysia. 

Dalam laporan media baru-baru ini, Presiden Persatuan Torasik Malaysia, Profesor Roslina Manap menyatakan bahawa lebih ramai wanita di seluruh dunia menjadi perokok memandangkan syarikat tembakau terus mensasarkan mereka melalui iklan dan di Malaysia, adalah dianggarkan 50% daripada perokok adalah lelaki manakala perokok wanita pula kira-kira 20% daripada lebih satu billion penduduk dunia yang merokok. 

Jelas sekali industri tembakau di sini juga telah berjaya dalam mensasarkan wanita generasi muda. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, peratus remaja perempuan yang merokok, lebih tinggi daripada remaja lelaki, amat membimbangkan, terutama sekali apabila terdapat remaja perempuan yang mula merokok sebelum mencapai usia 10 tahun. 

Beliau berkata Kajian Mortaliti dan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan Kedua (NHMS11) yang dijalankan pada 2003 mendapati 28.8 peratus remaja perempuan merokok, lebih dua kali ganda daripada angka bagi remaja lelaki yang merupakan 14.1 peratus. 

“Trend ini amat membimbangkan memandangkan ia jelas menunjukkan terdapat peningkatan yang serius dalam bilangan perokok wanita yang memulakannya pada usia yang masih muda,” tambah beliau. 

Dengan wanita muda, industri ini dengan mudah serta mempunyai lebih banyak ruang untuk berkembang. Dengan wabak penggunaan tembakau dalam kalangan lelaki secara perlahan semakin merosot di beberapa buah negara, penggunaannya dalam kalangan wanita di beberapa negara semakin meningkat.       

Daripada lebih lima juta orang yang mati setiap tahun daripada penggunaan tembakau adalah dianggarkan 1.5 juta daripadanya merupakan wanita. Melainkan tindakan segera diambil oleh kerajaan seluruh dunia, tembakau yang digunakan boleh membunuh lebih daripada lapan juta orang menjelang 2030, 2.5 juta daripadanya adalah wanita. Adalah dianggarkan tiga suku daripada kematian wanita ini akan berlaku terutamanya di negara berpendapatan rendah dan pertengahan seperti Malaysia yang kurang mampu untuk menyerap kerugian itu. Setiap kematian pramatang ini boleh dielakkan. 

Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 memberikan fokus kepada bahaya pemasaran tembakau dan merokok kepada wanita. Wanita, dan lelaki mestilah dilindungi daripada pemasaran industri tembakau dan merokok sepertimana yang dicatatkan dalam mukadimah Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) PBB yang turut ditandatangani oleh Malaysia. 

Berkuatkuasa sejak 2005, perjanjian antarabangsa ini menyedari “peningkatan dalam merokok dan pengambilan tembakau dalam bentuk lain oleh wanita dan remaja perempuan di seluruh dunia” dan mengenal pasti dengan jelas “keperluan strategi kawalan tembakau khusus untuk gender”. 

Malangnya, kurang daripada 9% daripada penduduk dunia yang diliputi oleh pengharaman iklan komprehensif. Hanya 5.4% diliputi oleh undang-undang bebas merokok kebangsaan komprehensif. Malaysia merupakan salah sebuah negara di mana undang-undang seperti itu digubal dan dikuatkuasakan dengan lemah sekali. Malah undang-undang penting berhubung kawalan tembakau juga tertakluk kepada sikap berdolak-dalik kerajaan dalam membuat keputusan. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pada tahun lalu tiada lagi halangan dalam pengharaman kotak rokok 14 batang dan pada 1 Jun 2010 selepas lima tahun kelewatan kotak rokok 14 batang akan dihapuskan. Pada lewat Mei tahun ini, kerajaan dengan tiba-tiba memutuskan untuk menangguhkan pengharaman kotak rokok 14 batang kepada 1 Januari tahun depan. Kerajaan telah melanggar peraturannya sendiri.  

Kami melihat tiada alasan untuk mengubah perkara ini melainkan terdapat kemungkinan lobi oleh beberapa syarikat tembakau yang memberikan kesan terhadap kemampuan kerajaan nenepati janjinya. 

Hanya baru-baru ini selepas bantahan daripada orang ramai dan pertubuhan awam terhadap kegagalan kerajaan, pengharaman itu akhirnya dikenakan selepas sekali lagi berubah haluan oleh kerajaan pada 1 Jun.  

Amat sedih sekali, perkara ini hanya berlaku selepas syarikat tembakau mengancam untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap MoH terhadap kemungkinan kerugian yang dialami oleh mereka daripada menghentikan pengeluaran kotak bersaiz sederhana hasil daripada penangguhan dasar secara tiba-tiba. 

Kementerian Kesihatan ketika menguatkuasakan pengharaman itu juga berkata kajian ke atas penjualan rokok haram juga akan dijalankan oleh pihak kementerian. Masalah rokok haram yang boleh diperolehi dengan murah dan meluas tanpa amaran grafik atau paras nikotin dan tar dijual secara terbuka dengan harga serendah RM1.80 sekotak pernah didedahkan oleh CAP pada tahun lalu.      

 Adalah menjadi pengetahuan umum rokok murah ini terus dijual secara terbuka kepada remaja perempuan. Kami tidak faham kenapa perlunya sebarang kajian apabila hanya kurangnya kemahuan politik untuk menguatkuasakan dengan berkesan undang-undang terhadap penyeludupan dan penjualan rokok ini. 

Keadaan yang menyedihkan ini hanya menunjukkan bahawa dalam kes kesilapan kotak rokok 14 batang, kerajaan hanya berminat untuk menjaga kepentingannya sahaja, dalam keadaan ini industri tembakau tidak ikhlas dalam usaha menghapuskan kegiatan merokok dan melindungi kesihatan seluruh rakyat Malaysia, memandangkan ia merupakan tugas utama kepada rakyat melalui Kementerian Kesihatan. 

Dengan sikap tidak tetap kerajaan dalam menjalankan pelaksanaan dasar, kami mempersoalkan keikhlasan dan keseriusan kerajaan dalam mematuhi FCTC dan menyedari “peningkatan dalam merokok dan pengambilan tembakau dalam bentuk lain oleh wanita dan remaja di seluruh dunia” dan mengenal pasti dengan jelas “keperluan strategi kawalan tembakau khusus untuk gender” di Malaysia. Adakah kerajaan benar-benar ikhlas dalam aspirasi untuk menghentikan peningkatan bilangan perokok remaja perempuan dengan banyak cara untuk diperolehi atau ia sekali lagi tunduk kepada tekanan oleh pihak industri? 

Dengan kedatangan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) pada tahun ini, Malaysia terpaksa mengurangkan duti import tembakau. Penanaman tembakau dijangka merosot dan kerajaan dalam beberapa tahun yang lalu telah mengadakan beberapa program untuk menghentikan petani daripada penanaman tembakau dan bertukar kepada tanaman komersial sebagai alternatif.  

Apakah jalan lain yang akan diambil oleh pihak industri tembakau tempatan? Adakah mereka sekali lagi mengugut kerajaan supaya menentang dasar pertaniannya sendiri dengan mengarahkan semula petani kita daripada tembakau atau lebih buruk lagi, adakah kerajaan mengalah kepada taktik ugutan oleh industri tembakau? 

Kami menggesa kerajaan Malaysia yang menandatangani FCTC pada 2003 dan bersetuju untuk mematuhinya dan meratifikasikannya pada 2005, untuk mematuhi semangat perjanjian yang menegaskan hak bagi semua orang terhadap standard kesihatan yang tinggi mengatasi segalanya. Sebagai salah satu negara yang menerima Konvensyen itu dan menjaga kesihatan rakyat, kerajaan mestilah membuktikan kepada rakyat kejujurannya dan memberikan jaminan yang sebenar dalam menjamin pengubalan dasar dan perundangan yang teguh dan tegas, pelaksanaan dan penguatkuasaan yang selaras dengan Konvensyen secara keseluruhan dan tanpa kekaburan. 
 
S. M. Mohamed Idris,

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Erat silaturahim, rezeki semakin lapang

Bantu keluarga terdekat lebih utama daripada cuba berbakti kepada orang jauh

Soalan:

SAYA ingin tahu apabila seorang lelaki berkahwin, yang mana satu harus diutamakan olehnya – keluarga iaitu anak dan isteri atau keluarga asalnya. Apakah hukum lelaki itu menanggung adik beradiknya yang sudah berkeluarga dan berkerjaya, termasuk anak mereka. Apakah adik beradiknya itu perlu meminta kebenaran si isteri itu bagi setiap sen yang mereka pinta.

IBU PRIHATIN,

Kuala Lumpur.

Jawapan:

KEWAJIPAN bagi seorang lelaki, selain isteri dan anak-anaknya, ialah beliau juga hendaklah berbakti kepada dua ibu bapanya sebagai mana firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23 iaitu: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berlaku ihsan (berbuat baik) kepada ibu bapamu dengan dengan sebaik-baiknya.

Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW bersabda: “Sangat hina, sangat hina, sangat hina orang yang sempat bertemu dengan salah seorang atau kedua orang tuanya di saat mereka sudah tua, namun ia tidak masuk syurga (dengan berbakti kepada mereka).”

Dalam hadis yang lain, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Mu’awiyah bin Jahimah as-Salami, bahawa Jahimah pernah datang kepada Nabi SAW, ia berkata, “Wahai Rasulullah, aku ingin turut serta berperang dan aku datang meminta pandanganmu.”

Rasulullah SAW bersabda, “Adakah kamu masih memiliki ibu?” Jahimah menjawab, “Ya.” Rasulullah SAW bersabda: “Tetap bersamanya, kerana sesungguhnya syurga berada di kedua-dua kakinya (sebab dengan keredaannya kamu dapat masuk syurga).

Selepas Allah SWT memerintahkan supaya berbakti kepada ibu bapa, ia juga memerintahkan supaya membantu kaum kerabat dan mempereratkan hubungan silaturahim sebagai mana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 26 iaitu: “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau.”

Maksud kaum kerabat pada ayat ini ialah menguatkan tali silaturahim dengan mereka, bergaul mesra dengan mereka dan membantu mana-mana yang memerlukan bantuan sekiranya mereka dalam kesusahan.

Imam Ibn Kathir rhm dalam tafsir pula menyebut pandangan Mujahid iaitu seandainya seseorang menyumbangkan semua hartanya di jalan yang benar, maka hal itu tidak termasuk pemborosan. Sebaliknya, meskipun hanya sedikit tetapi dibelanjakan bukan bagi jalan yang benar, maka keadaan berkenaan disifatkan dengan pemborosan.”

Sebagai mana yang disebutkan dalam hadis riwayat Imam Ahmad yang disahihkan oleh Syeikh al-Arna-uth iaitu: “Utamakan (dalam bersedekah itu) ibumu, lalu ayahmu, lalu orang yang berikutnya dan berikutnya (yang lebih dekat hubungan kerabatnya denganmu).

Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada seorang yang berasal dari Bani Yarbu’, ia bercerita, “Aku pernah datang kepada Nabi SAW, ketika itu aku mendengar Baginda sedang bercakap dengan orang lain (iaitu): Tangan yang banyak memberi itulah tangan yang mulia. Dahulukan ibumu (dalam bersedekah), lalu ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu, kemudian dahulukan yang mana lebih dekat kekerabatannya kepadamu dan seterusnya.

Begitu juga hadis yang lain, daripada Miqdam bin Ma’dikarib daripada Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ayahmu, sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada kepada ibumu, sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu, sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu, sesungguhnya Allah SWT berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada keluarga-keluargamu, yang lebih dekat sebelum yang lebih jauh.”

Justeru, dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa jika seseorang itu hendak diluaskan rezekinya, hendaklah ia menghubungkan silaturahim seperti sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang ingin rezekinya diluaskan, usianya dipanjangkan, maka hendaklah ia menjalinkan silaturahim.”

Persoalan rezeki di tangan Allah SWT sebagai mana firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 30 menyebut: “Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezekimu kepada siapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. Wallahua’lam.

Beza antara Ahlu Sunnah dengan Syiah

Soalan:

SAYA kurang faham apakah sebenarnya perbezaan antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.

SAIFUDDIN, Sri Damansara.

Jawapan:

ISTILAH Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak asing lagi bagi masyarakat awam. Namun istilah ini di kalangan ulama, ada yang menyempitkan dan ada yang meluaskan. Pengarang al-Farqu baina al-Firaq yang beraliran Sunnah, Abdul Qahir bin Tahir al-Baghdadi, menerangkan bahawa ada lapan macam golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ada 15 prinsip pokok yang wajib dipenuhi. Prinsip p itu pun belum tentu dipersetujui lapan golongan berkenaan. Namun demikian, mereka tidak saling mengkafirkan atau menyesatkan.

Dalam surat Syeikh al-Azhar Salim al-Bisyri kepada seorang tokoh Syiah, Syaraf ad-Din al-Musawi, difahami bahawa tokoh Sunnah itu berpendapat bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah golongan terbesar kaum Muslim yang mengikuti fahaman atau aliran Asy’ari dalam akidah salah satu daripada empat mazhab (Malik, Syafi’i, Hanafi, dan Hambali) dalam syariah.

Pengarang al-Faruq baina al-Firaq , pula menyatakan dengan pasti bahawa “Termasuk pula dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah itu pengikut al-Auza’i, ats-Tsauri, Ibnu Abi Lailah, dan Ahl azh-Zhahir (al-Farqu, hlm 314).

Kelompok Syiah juga terbahagi, bahkan dalam puluhan kelompok. Pengarang al-Farqu baina al-Firaq membahagi kelompok Syiah menjadi empat kelompok besar yang setiap kelompok pula masing-masing terbahagi kepada sekian banyak kelompok kecil. Menurutnya, hanya dua daripada kelompok besar itu yang dapat dimasukkan ke dalam umat Islam, iaitu kelompok Imamiyah dan kelompok Zaidiyah.

Walaupun mereka ini berbeza-beza, ada prinsip dasar yang mesti diyakini semua kelompok Syiah sebagai mana yang ditulis oleh Muhammad Jawad Mughniyah (salah seorang ulama Syiah) iaitu keyakinan bahawa Nabi Muhammad SAW menetapkan dengan pernyataan yang tegas mengenai khalifah sesudahnya, iaitu Imam Ali.

Benih kelahiran kelompok Syiah adalah persoalan khilafah. Maka benarlah sebagai mana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya at-Takfir al-Falsafi fi al-Islam, yang menyatakan bahawa pada hakikatnya, Syiah adalah aliran politik. Ini berbeza dengan Ahl-Sunnah wal Jamaah yang kelahirannya dimulai dengan persoalan akidah.

Sebenarnya kelompok Syiah sebagai mana dikemukakan diatas cukup banyak, namun sebahagian kelompok berkenaan sudah punah. Yang bertahan hingga kini dalam jumlah besar adalah Syiah Imamiyah Itsna ‘Asyariyah iaitu penganutnya sekitar 90 peratus rakyat Iran, 50 peratus rakyat Iraq, sebahagian penduduk Afghanistan, Syria, Pakistan dan beberapa juga negara lain. Kelompok Syi’ah Zaidiyah yang secara umumnya bertempat di Yaman.

Antara perbezaan atau perkara yang tidak dapat diterima oleh Ahl-Sunnah wal Jama’ah iaitu:

# Nabi SAW belum menyampaikan seluruh ajaran, ada yang disembunyikan untuk kalangan imam, padahal secara tegas al-Quran dalam surah Ma’idah ayat 67 menyatakan: “Sampaikanlah apa yang diturunkan oleh Tuhanmu kepadamu, kalau tidak maka engkau belum menyampaikan risalah-Nya.”

# Kalangan imam mempunyai hak untuk mengecualikan apa yang sudah disampaikan oleh Nabi SAW.

# Kalangan imam juga mempunyai kedudukan yang sama dengan Nabi SAW dari segi maksum (terpelihara mereka daripada berbuat salah atau dosa).

Menurut pandangan Syiah Imamiyah, mereka meyakini bahawa Ali bin Abi Talib adalah imam dan khalifah yang ditunjuk oleh Nabi. Namun, apa yang berlaku kalangan sahabat Nabi baiat Abu Bakar kemudian Umar dan Usman, dan diikuti Ali bin Abi Talib.

Sikap tiga khalifah menerima pelantikan berkenaan dan sikap majoriti sahabat merestui mereka sebagai khalifah, dinilai oleh kelompok Syiah sebagai sesuatu yang menyalahi petunjuk Nabi SAW. Dari sinilah lahirnya sikap mereka yang antisahabat sehingga membenci dan mengutuk sahabat-sahabat Nabi SAW

Al-Mawardi tokoh ulama terkenal, kuasai banyak ilmu

SALAH seorang pemikir asas keilmuan politik Islam dan dianugerahi kebijaksanaan dalam bidang kehakiman adalah al-Mawardi. Nama sebenar ulama mazhab Syafie ini adalah Abu al Hasan Ali bin Habib al Mawardi dan lahir di kota pusat peradaban Islam klasik, Basrah (Baghdad) pada 386 H/975 M.

Menyelami tiga kitab yang ditulis al-Mawardi iaitu al-Ahkam al-Sultaniah, Qanun al-Wizarah dan Nasihah al-Muluk, kita sudah pasti akan tahu siapa sebenarnya ilmuwan Islam ini. Dalam kitab pertama dibahaskan asas pentadbiran negara Islam, kitab kedua menyentuh aturan peraturan kementerian dan kitab ketiga pula dihimpunkan beberapa panduan nasihat, kata hikmah dan ucapan untuk kalangan raja.

Apabila kita melihat kitab keempatnya iaitu al-Hawi al-Kabir, kita juga akan lebih mengetahui siapa sebenarnya susuk yang disebut orang Barat sebagai Alboacen.

Ketokohannya ini terserlah hasil pendedahannya kepada bidang undang-undang ini. Sejak remaja lagi, al-Mawardi sudah terbabit dalam bidang undang-undang Islam yang mana beliau berguru kepada tokoh mazhab Syafie di Basrah, Abu al-Qasim Abdul Wahid al-Saimari. Selepas menguasai ilmu fekah, al-Mawardi melanjutkan pelajaran ke Baghdad dan mendalami ilmu sastera dan tata bahasa Arab, hadis, politik, falsafah, dan etika.

Dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir, al-Mawardi termasuk salah seorang ulama yang memulakan penulisan fekah perbandingan mazhab. Ini berikutan usahanya mengetengahkan pandangan mazhab Syafie yang kemudian dilanjutkan dengan perbandingan mazhab-mazhab lain.

Kemampuan al-Mawardi dalam menguasai pelbagai ilmu menghantarkannya kepada sebuah perjalanan karier yang cemerlang, termasuk hakim di jabatan pertama yang ditawarkan khalifah kepadanya. Ketokohannya sebagai hakim di beberapa wilayah kekuasaan Abbasiyah menyaksikannya bertugas di jabatan yang lebih kanan. Malah kemuncak kariernya adalah apabila diangkat sebagai ketua hakim di Baghdad.

Kecemerlangan al-Mawardi itu menjadikan al-Qa’im bi Amrillah, seorang khalifah di penghujung kerajaan Abbasiyah untuk melantiknya sebagai duta besar kekhalifahan. Dia bertugas dari satu negeri ke negeri lainnya sebagai ketua misi khusus Khalifah Abbasiyah.

Sebagai seorang penasihat politik, Al Mawardi memainkan peranan penting dan diakui sebagai salah seorang ahli hukum terbesar pada zamannya. Al Mawardi mengemukakan fiqh madzhab Syafi’i dalam karya besarnya Al Hawi, yang dipakai sebagai buku rujukan tentang hukum mazhab Syafi’i oleh ahli-ahli hukum di kemudian hari, termasuk Al Isnavi yang sangat memuji buku ini.

Dua bukunya yang bertajuk, al-Ahkam al-Sultaniah dan Qanun al-Wizarah, turut diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa sehingga membat nama al-Mawardi dikenali di seluruh dunia. Dia diyakini sebagai seorang penulis Doctrine of Necessity dalam ilmu politik.

Malah, dalam al-Ahkam al-Sultaniah dibahas cara pelantikan pemimpin termasuk ketua negara, para menteri, gabenor, panglima tentera, jihad, jawatan hakim, imam masjid dan pentadbirannya, pengumpulan zakat dan pengagihannya dan lain-lain secara terperinci.

Satu lagi kitab yang ditulis ulama era Abbasiyah yang meninggal dunia pada 30 Rabiulawal tahun 450H bersamaan 27 Mei 1058M pada usia 86 tahun, adalah kitab Adab al-Dunya wa al-Din yang membincangkan kajian etika. Kitab ini masih dikaji oleh para cendekiawan masa kini dan telah memberikan banyak manfaat dalam bidang etika Islam.

Menurut Imam al-Subki dalam kitab Tabaqat al-Syafi’iyah al-Kubra yang menghimpun semua ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa al-Mawardi adalah seorang ulama yang sudah mencapai tahap keilmuan yang tinggi, tokoh mazhab terkenal serta pakar dalam segala bidang ilmu

Bila Tun Mahathir halal judi macam babi

Oleh laniisma

“”Kalau saya jadi kerajaan, saya luluskanlah”. Itulah kata Mahathir tentang judi. Rasanya Mahathir begitu angkuh untuk berkata begitu.

Mahathir lebih mengarah kepada masyarakat Cina yang suka berjudi. Dia lupa tentang masyarakat Melayu Islam juga yang suka berjudi. Mahathir juga umpamakan judi macam babi.

 Kita tahu kebanyakkan orang Islam merasa jijik kepada babi, melalui kawasan babi pun sebolehnya tidak mahu. Segelintir orang Melayu Islam melihat judi tak semacam mereka melihat babi. Mereka tidak jijik kepada judi semacam mereka jijik kepada babi, kalau mereka jijik kepada judi semacam mereka jijik kepada babi, bolehlah Mahathir berkata begitu. Haram sama-sama haram, tapi tingkat rasa untuk mereka merasa haram ada bezanya tentang judi dan babi. Ini yang menjadi masalahnya.

Dahulu pun judi ekor hanya untuk bukan Islam. Orang di kalangan Islam sendiri yang suka akhirnya. Juga apakah jaminan kerajaan dan jaminan Mahathir sendiri orang Islam tidak akan turut serta dalam perjudian bola yang dihalalkan Mahathir itu. Apakah juga jaminan kerajaan dan jaminan Mahathir sendiri dengan adanya judi yang dihalalkan kerajaan, judi haram akan lenyap dalam masyarakat.

Susah juga sekiranya niat baik seseorang difikirkan niat tidak baik oleh orang lain. Lebih-lebih lagi orang lain itu orang Islam sendiri.