Archive for Mei 2010

Memahami anugerah karamah

Oleh Mohd Fadly Samsudin

AKIBAT terlalu taksub, ada golongan yakin pemimpin mereka boleh memberi ‘syafaat’ selepas meninggal dunia.

DIANGGAP WALI...tiada sesiapa pun yang mampu memberi manfaat atau  pertolongan kepada orang lain selepas meninggal dunia.
DIANGGAP WALI…tiada sesiapa pun yang mampu memberi manfaat atau pertolongan kepada orang lain selepas meninggal dunia.

sebelum  –  selepas
KERJA TAK MASUK AKAL...pelbagai cara dilakukan sesetengah  golongan bagi melakukan pemujaan untuk mendapatkan nombor ekor. KHURAFAT...amalan pemujaan kubur individu yang dianggap wali  adalah perkara yang ditegah Islam.

KERJA TAK MASUK AKAL…pelbagai cara dilakukan sesetengah golongan bagi melakukan pemujaan untuk mendapatkan nombor ekor.

 

Maka berlakulah amalan khurafat seperti memuja makam dengan membawa pisang emas, ayam panggang, pulut kuning kemudian diletakkan di atas tanah perkuburan.
Mereka menganggap keramat itu seseorang itu boleh memberikan apa yang mereka hajati seperti menyembuhkan penyakit dan meminta nombor ekor.

Apakah kubur yang dianggap keramat itu boleh menyampaikan apa yang mereka hajati?

Ingat, hanya Allah yang Maha Esa layak kita sembah dan meminta pertolongan.
“Dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya”. (Surah al-Kahfi ayat 110).

Maka amalan pemujaan yang sering berlaku itu adalah satu jenayah besar yang membabitkan akidah.

Di dalam Islam memang kita perlu beriman serta mempercayai perkara ghaib. Namun mempercayai seseorang yang meninggal dunia mampu memberi pertolongan atau hidup kembali tidak boleh diterima akal.

Amalan khurafat adalah perbuatan yang menyalahi hukum syarak. Kepercayaan kuat yang mula bertapak dalam masyarakat kita itu tidak boleh terus dipegang atau menjadi amalan tradisi kerana ia boleh merosakkan akidah.

Tiada salahnya kita sering menziarahi kubur, malah ia sunat bagi umat Islam tetapi mengadakan pemujaan atas kubur di luar batasan syarak, itu menjadi kesalahan besar.
Seseorang itu boleh menjadi murtad tanpa mereka sedari. Aktiviti tidak bermoral berkenaan didorong oleh kelebihan seorang yang dianggap wali.
Wali biasanya dikaitkan dengan karamah. Apakah yang dikatakan karamah? Adakah seseorang wali itu memerlukan karamah?

Secara umumnya, kita mengetahui karamah itu adalah kejadian luar biasa yang berlaku kepada wali dan ia dapat dilihat dengan mata kasar.

Contohnya mereka boleh berjalan di atas air, berada di beberapa tempat dalam satu masa, terbang di udara dan bergerak dari setempat ke setempat dengan sekelip mata.

Allah berfirman yang bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan terhadap mereka dan tiada pula mereka berdukacita. (Iaitu) Orang-orang yang beriman dan bertakwa”. (Surah Yunus ayat 62 hingga 63).
Selepas nyawa terpisah daripada jasad, seorang itu tidak lagi dapat memberi manfaat kepada yang lain. Kubur itu sendiri tidak dapat memberi pertolongan.

Di negara ini, antara kubur yang sering menjadi tumpuan ‘kaki ekor’ adalah seperti kubur di Pulau Besar, Melaka dan kubur Tok Temong di Kuala Kangsar, Perak kerana ada yang menganggap kubur ia walikeramat.

Individu yang dipanggil wali adalah mereka yang beriman serta takut kepada Allah. Wali Allah yang paling tinggi tingkat kewaliannya adalah nabi.

Nabi sendiri adalah manusia biasa yang makan, minum, sakit, berkahwin dan mati. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Muhammad itu tidak lain, hanya seorang Rasul, sesungguhnya telah terdahulu beberapa orang Rasul sebelumnya. Jika Rasul itu mati atau terbunuh, adakah kamu kembali menjadi kafir? Barang siapa kembali menjadi kafir, tidaklah dia mendatangkan bahaya kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberikan balasan bagi orang yang bersyukur”. (Surah Ali-Imran ayat 144).

Nabi Muhammad s.a.w adalah Rasul yang paling tinggi tingkat kewaliannya. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya pada Rasul Allah (Muhammad) ada ikutan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan (pahala) Allah dan hari kemudian, serta dia banyak mengingati Allah”. (Surah al-Ahzab ayat 21).

Masyarakat kita sering beranggapan wali Allah biasanya memiliki kemampuan ‘supernatural’ (kemampuan yang tidak biasa dimiliki manusia).

Mereka (wali) adalah seorang yang mahfuz iaitu terpelihara daripada berbuat dosa besar tetapi tidak terlepas daripada melakukan dosa kecil.

Namun apabila melakukan dosa, dengan segera mereka menyesali perbuatan itu kemudian bertaubat nasuha atas kesalahan dirinya.
Mereka adalah orang yang selalu mengingati Allah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Beruntunglah orang-orang yang sendirian”. Ditanyakan kepada Baginda, “Siapakah al-Mufarridun (orang-orang yang sendirian) itu Ya Rasulullah? Jawab Rasulullah, “Mereka adalah orang-orang yang menyendiri dan menyibukkan diri dengan zikir kepada Allah”.

Karamah adalah sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada wali-Nya sebagai satu keistimewaan. Mereka diberi penghormatan dengan pelbagai kelebihan dan kemuliaan yang tidak diberi kepada manusia biasa (orang awam).

Malah Allah jelaskan dalam satu hadis Qudsi bahawa mereka itu mendengar dengan pendengaran Allah, melihat dengan penglihatan Allah dan berkata-kata dengan perkataan Allah.
Justeru, tidak hairanlah ramai orang akan mengaitkan karamah apabila memperkatakan peribadi seorang wali.

Orang awam umumnya hanya mengenali karamah berbentuk zahiriah atau karamah hissi iaitu melalui kejadian luar biasa.
Ulama Sufi menjelaskan bahawa terdapat bermacam-macam peringkat wali yang dilantik Allah dengan syarat perlantikan yang hanya Allah saja yang mengetahuinya.
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata amalan memuja kubur wali yang dianggap keramat adalah berpunca daripada sifat jahil mereka.

“Pengetahuan agama masih berbentuk fakta atau hafalan dan hanya mempelajari kepada teori.

“Jika kepercayaan masih berteraskan ikutan semata-mata tanpa melalui pengetahuan khusus sukar mempraktikkan cara hidup Islam sebenar,” katanya.

Katanya, bukan perkara mustahil jika ada mengatakan golongan wali boleh melakukan perkara luar biasa.

“Perkara ini bukan mustahil kerana ia adalah kelebihan yang Allah kurniakan atas sifat soleh mereka. Tetapi tidak bermakna kelebihan itu menyebabkan mereka perlu dipuja.
“Jika dilihat dalam sejarah hidup (manaqib) sebahagian mereka yang soleh ini, kita boleh simpulkan bahawa kelebihan seperti berjalan atas air, pergi ke satu tempat dengan sekelip mata adalah kurniaan Allah bagi memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab seperti berdakwah dan mempertahankan syariat,” katanya.
Beliau berkata ada juga golongan wali mampu membaca hati manusia yang dikurniakan Allah kerana mereka daripada golongan yang sentiasa bersih hatinya.
“Ada satu riwayat menyatakan Nabi Muhammad pernah mengingatkan sahabat “takutilah firasah (mengenal hati budi manusia) orang beriman….” “Imam Syafie pernah menjelaskan perkara ini dan beliau menceritakan kelebihan yang dimiliki orang Yaman. Allah kurniakan kelebihan ini buat mereka yang soleh tetapi ia bukanlah untuk bermegah-megah,” katanya.

Rahimi berkata manusia perlu mengelak sifat taksub terhadap seseorang sehingga mengagungkan mereka secara berlebihan.

“Kita kena sentiasa ingat bahawa syaitan akan berusaha merosakkan manusia daripada melakukan kebaikan.
“Setiap usaha menegakkan kebenaran perlu ada dua perkara, iaitu ilmu dan semangat.

“Jika kita berilmu tetapi tiada semangat, usaha pasti tidak bergerak ataupun jika ada semangat tetapi tiada ilmu maka kita akan mudah tersesat,” katanya.

Beliau menerangkan Allah turut memberi kelebihan kepada orang sesat atau kufur namun ia adalah penghinaan buat mereka.

“Allah perintah kita mencari kebenaran dengan ilmu. Kebenaran pasti terbukti kerana orang yang berilmu tidak pernah melihat perkara ganjil untuk meneguhkan kebenaran yang cuba disampaikan,” katanya

Solat hajat dan doakan semoga Konvoi ke Palestin tidak diserang Israel

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Pasukan ketenteraan Israel kini di bawah pengawasan dan arahan terus daripada kerajaan negara haram itu telah bersedia untuk misi yang mereka namakan Operation Sky Wind (Operasi Angin Laut) bagi menyerang dan menangkap aktivis armada bantuan kemanusiaan Gaza atau Freedom Frotilla yang akan bergerak menuju ke Gaza dalam masa terdekat.

Sumber Israel melaporkan bahawa angkatan laut telah bersiap sedia dengan semua persiapan untuk pengambilalihan kapal-kapal tersebut, sama ada secara paksa jika perlu, dalam usaha untuk mengelakkan daripada konvoi tersebut berlabuh di pantai Gaza.

Laman web Haluan Palestin hari ini melaporkan operasi itu dipimpin langsung oleh Komando Angkatan Laut Israel, Mayor Jenderal Elizer Marom.

Serangan yang dirancang meliputi empat tahap:

Pertama, tahap amaran. Tentera Laut akan sentiasa berusaha untuk menghentikan kapal daripada menghampiri garis sempadan yang ditentukan yang dikategori sebagai garis merah, apabila kapal menceroboh garis yang ditentukan, mereka akan diberi amaran bahawa mereka telah “melanggar undang-undang”.

Kedua, menghentikan dan mengawal kapal-kapal tersebut; sekiranya kapal-kapal gagal mematuhi arahan Tentera Laut Israel, tentera laut Israel akan menyerang dan seterusnya mengambilalih lapan buah kapal yang mengangkut hampir 800 aktivis. Kapal-kapal akan dibawa ke Asdod Port dan aktivis akan ditahan di sebuah khemah besar yang telah dipasang untuk tujuan ini.

Ketiga, diasingkan dan dihantar balik; tentera dan polis Israel memerintahkan para aktivis ditahan untuk menandatangani kenyataan menerima untuk dihantar balik ke negara asal mereka, dan akan dihantar pulang melalui udara di Lapangan Terbang Ben Gurion.

Keempat, penangkapan sebelum dihantar balik; sekiranya aktivis enggan dan menolak untuk menandatangani kenyataan untuk dihantar balik ke negara asal, mereka akan ditangkap, dihantar untuk pemeriksaan perubatan, kemudian dipindahkan ke Brigade Nahason milik Pentadbiran Penjara Israel sebelum dihantar ke Penjara Be’er Sheva Penjara dan kemungkinan penjara yang lain.

Mereka akan diadili dan dihantar pulang pada tahap seterusnya.

Sekitar 600 aktivis hak asasi manusia yang menaiki lapan buah kapal misi bantuan kemanusiaan menuju Gaza mengatakan bahawa mereka bertekad untuk sampai ke Gaza tanpa menghiraukan ancaman Israel.

Greta Berlin, juru bicara dari Gerakan Pembebasan Gaza, menyatakan bahawa “tidak ada yang akan menghentikan kapal ini, para aktivis hak asasi manusia tekad untuk mematahkan pengepungan dan sekatan Israel ke atas lebih 1.5 juta penduduk Palestin di Gaza, dan kami akan tetap menghantar bantuan kemanusiaan ini”.

Perbezaan pendapat ulama’ dalam masalah amalan sunat

SOALAN

PERINTAH Allah untuk Muslim mengerjakan solat (dan mengeluarkan zakat) terdapat dalam beberapa surah al-Quran. Bagaimanapun, penjelasan cara solat tidak dinyatakan dalam al-Quran dan dirujuk kepada sunnah Rasulullah.

Pada saya asas amalan dan ibadat mestilah berpandukan al-Quran dan sunnah. Sepatutnya ia sama dan seragam tanpa perbezaan cara semua Muslim melakukan solat.

Bagaimanapun saya dapati terdapat pelbagai cara solat dilakukan. Contohnya letaknya kedua tangan di dada selepas takbiratul ihram; ada di atas pusat, di tengah-tengah perut, ada di dada atas kedudukan jantung dan lain-lain.

Jawapan

Soalan seumpama ini perlu kepada beberapa kuliah atau perlu membaca beberapa buah buku dalam permasalahan fiqh. Juga boleh membantu anda buku-buku yang membincangkan perbezaan pendapat di kalangan para fuqaha’.

Sebelum membincangkan kenapa ulama berselisih pendapat dalam sesuatu masalah kita harus hadam usul fiqh dan qawaid al-Fiqhiyyah yang menjadi nadi dan asas kepada punca pengistibatan sesuatu hukum dalam masalah fikah.

Huraian secara rawak tidak dapat memberi faham yang sebenarnya dalam persoalan ini. Lebih-lebih lagi apabila timbul persoalan kenapa banyak perbezaan di antara mazhab dalam melakukan ibadat?

Ini kerana setiap ulama ada manhaj (kaedah) tersendiri yang digunakan bagi memahami sesuatu nas sama ada dari al-Quran mahupun hadis nabi SAW.

Para ulama berusaha memberi kefahaman yang lebih dekat kepada tuntutan Allah SWT dan sunnah Rasulnya.

Tidak semua memiliki kemampuan menghuraikan sesuatu permasalahan mengikut al-Quran dan sunnah. Sebab itulah urusan mengistinbat hukum sehingga penjelasan terhadap tuntutan sesuatu ibadat benar-benar jelas.

Seperkara yang perlu diketahui, para fuqaha yang empat termasuk Imam al-Syafie adalah pakar dalam akidah, hadis, tafsir dan bahasa arab.

Begitu juga dengan Imam Malik seorang yang terkenal dengan karya unggulnya al-Muwatta’, kitab yang memuatkan hadis-hadis Rasulullah SAW berpandukan kepada permasalahan fikah. Menurut riwayat, Imam al-Syafie hafal kitab ini sebelum bertemu dengan Imam Malik di Madinah, juga tidak kurang hebatnya Imam Ahmad yang memiliki karya agung beliau Musnad Imam Ahmad.

Imam Ahmad bin Hanbal banyak karyanya dalam ulum al-Islam. Kefahaman mereka adalah jauh lebih baik daripada kita. Ini kerana mereka sendiri adalah lautan ilmu. Mereka menguasai ilmu, alat bagi merungkai dan memberi faham yang betul mengenai sesuatu tuntutan sama ada fardu mahupun sunat.

Oleh sebab itu, Allah SWT menegah kita menyatakan sesuatu yang kita tidak ada ilmu padanya. Sebabnya, dikhuatiri seseorang berkata dalam urusan agama termasuk dalam persoalan halal haram sedang dia tiada ilmu dalam hal itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya… (Israk: 36)

Lalu Allah SWT memerintahkan agar sesuatu persoalan atau permasalahan hendaklah dirujuk kepada ahlinya, firman-Nya yang bermaksud: …Oleh itu bertanyalah kamu kepada golongan yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. (al-Nahl: 43)

Sebenarnya perbezaan yang saudara dapati dalam sesuatu ibadat yang dilakukan adalah kerana pengistinbatan (penghasilan sesuatu hukum) yang berbeza oleh para ulama fiqh. Iaitu cara kesemua mereka yang berpandangan berbeza masih tidak terkeluar daripada apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan baginda SAW.

Ini kerana asas dalam sesuatu ibadat mesti berpandukan al-Quran dan sunnah sebab kedua-duanya menjadi rujukan dalam setiap ibadat yang dilakukan.

Namun kefahaman ulama terhadap sesetengah nas sama ada ia ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW adalah berbeza.

Perbezaan yang dimuatkan dalam mazhab mereka masih berpandukan syariat dan kehendak Allah SWT.

Contohnya, mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram tidak disunatkan oleh semua mazhab melainkan Mazhab Syafie, Mazhab Hanafi dan sebahagian ulama Mazhab Maliki.

Saudara tidak perlu khuatir, mengenai perselisihan yang berlaku. Perselisihan adalah sunnah alam yang ditetapkan oleh Allah. Allah SWT telah mengizinkan perselisihan asalkan ia tidak mengundang perbalahan dan perpecahan di kalangan masyarakat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi golongan yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia…. (Hud: 118-119)

Perbezaan pandangan adalah rahmat dan keluasan anugerah Allah kepada mereka yang beriman kepadanya.

Contohnya rahmat perbezaan pendapat antaranya dalam penetapan waktu melontar pada 10 Zulhijjah, bagi mereka yang memilih melontar jamrah al-Aqabah untuk bertahallul, imam al-Syafie menetapkan selepas waktu duha adalah waktu bermulanya melontar. Mazhab yang lain waktu melontar bermula selepas tergelincir matahari serta pandangan-pandangan yang lain dari mazhab.

Bayangkan sahaja kalau kesemua ulama sepakat bermulanya waktu melontar ialah selepas tergelincir matahari apa akan terjadi?

Jawapannya akan ramai lagilah yang syahid ketika melontar.

Perbezaan dalam ibadat adalah perbezaan dalam persoalan yang sunat, sama ada sunat itu muakkad atau sunat sahaja.

Contoh mengangkat kedua tangan sambil bertakbir tidak semua mazhab melakukannya. Jika ada yang tertinggal tidak pula dihukum batal solat orang itu, kalau ada pun dikira tidak melakukan sunat fi’liyyah (sunat perbuatan).

Umat Islam di negara ini berpegang dengan mazhab al-Syafie, mazhab yang paling ramai berpegang dengannya di atas dunia ini. Sesungguhnya Imam al-Syafie tidak menokok tambah perkara yang tidak ada dalam al-Quran dan sunnah kerana beliau sangat arif dan menjadikan hadis sahih sebagai asas dalam mazhab beliau.

Bolehkah lelaki hidup bersama kekasihnya di Syurga

LELAKI yang soleh akan hidup selamanya dalam syurga bersama bidadari dan isteri yang dinikahinya ketika hidup di dunia. Wanita yang tidak pernah berkahwin ketika hayatnya di dunia pula akan disandingkan dengan lelaki ahli syurga dengan segala kepuasan dan keredaan hati. Pertanyaan saya, adakah lelaki boleh hidup bersama wanita yang gagal dijadikan isterinya ketika di dunia biarpun wanita itu sudah menjadi isteri lelaki lain ketika di dunia?

Hamba Allah

//

SYURGA adalah perkara ghaib yang wajib diimani. Manusia tidak mampu menggambarkan keadaan sebenar syurga. Syurga adalah kemuncak nikmat yang kekal abadi. Sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: “Aku sudah menyediakan buat hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata (keindahannya), tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati seseorang.

//

Cubalah kamu baca (dalam surah Sajdah ayat 17 yang bermaksud): Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan (sewaktu di dunia).”

Semua yang kita hajati dan disangka besar di dunia dulu sehingga perkara yang dirasakan mustahil, adalah kecil sebenarnya apabila memperoleh syurga Allah SWT. Segala yang terlintas di fikiran kita, nescaya Allah SWT akan tunaikan.
Dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang ternak serta kebun tanaman.

Semua itu kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah SWT ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). Katakanlah (wahai Muhammad), mahukah supaya aku khabar kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan yang suci bersih, serta beroleh keredaan daripada Allah SWT. Dan (ingatlah), Allah SWT sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya.”
Sebuah hadis daripada al-Mughirah bin Syu’bah daripada Rasulullah SAW bersabda: Nabi Musa bertanya kepada Tuhan: “Bagaimanakah serendah-rendah tingkatan ahli syurga?” Tuhan menjawab: “Iaitu seseorang lelaki yang datang sesudah semua ahli syurga dimasukkan ke dalam syurga, kemudian diperintahkan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga.”

Lelaki itu berkata: “Wahai Tuhan, bagaimana hendak masuk, sedangkan manusia semuanya sudah mengambil tempat mereka masing-masing dan sudah memperoleh bahagian mereka?” Allah berfirman: “Puaskah kamu kalau kamu diberi seluas kerajaan seorang raja di dunia?” Lelaki itu menjawab: “Wahai Tuhan, saya puas.”
Tuhan berfirman lagi: “Bagimu seluas itu dan ditambah lagi sepertinya, ditambah lagi sepertinya dan tambah lagi sepertinya, ditambah lagi sepertinya.” Ketika Tuhan berkata yang kelima kalinya, lelaki itu berkata: “Wahai Tuhan, saya puas.” Tuhan berfirman: “Inilah bagimu dan 10 kali daripada itu dan segala yang disenangi nafsu dan matamu.” Lelaki itu berkata: “Wahai Tuhan, saya puas.”

Sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya serendah-rendah salah seorang daripada kamu dalam syurga iaitu dikatakan kepadanya: Sebutkanlah keinginanmu? Lalu ia menyebutkan keinginanmu. Maka ia menyebutkan keinginannya dan menghitung-hitung keinginannya.” Kemudian ditanya kepadanya: “Apakah kamu sudah menyebutkan semua keinginanmu?” Dia menjawab: “Ya, sudah.” Kemudian dikatakan kepadanya: “Sesungguhnya bagimu apa yang kamu inginkan dan ditambah lagi sepadan dengannya.”

Allah SWT juga mencabut perasaan hasad dengki yang sering menjadi punca permusuhan di kalangan manusia dan jin sebagai mana firman-Nya dalam surah al-Araf ayat 43 yang bermaksud: “Dan Kami cabutkan segala perasaan dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai.”

Begitu juga firman-Nya dalam surah al-Hijr ayat 46 dan 47: “(Mereka disambut oleh malaikat dengan berkata) : Silakan masuk ke dalam (syurga) dengan selamat sejahtera serta beroleh aman. Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka daripada perasaan hasad dengki sehingga jadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadapan di atas pelamin masing-masing.” Wallahualam

Hakim syari’e wajib beragama Islam

SOALAN: Selain isu pemberian lesen judi untuk mengendalikan perjudian Piala Dunia pada Jun ini, isu berkait Islam yang banyak ditanyakan adalah perlantikan Peguam Syarie dari kalangan bukan Islam. Apakah terdapat larangan khusus atau keharusan berkaitannya di dalam Islam? Mohon diulas.

JAWAPAN: Saya kira isu ini memerlukan perbincangan lanjut dengan lebih terperinci khususnya yang membabitkan peruntukan undang-undang dan yang berkait dengannya. Selain itu, perkara berkait nas syarak dan kesan positif serta negatifnya juga perlu diteliti bagi memperoleh keputusan paling konkrit serta wajar. Artikel ini hanyalah sekelumit perbincangan yang berkaitan, ia ditulis dalam bentuk agak ringan untuk pembacaan awam. Ia tentunya tidak cukup untuk menetapkan pendirian terbaik namun saya kira cukup untuk memberikan sedikit jawapan dan rujukan untuk perbincangan yang lebih mendalam dan ilmiah. Jika kita menelusuri khazanah ilmu Islam terdapat beberapa perkara boleh dijadikan rujukan iaitu:

1. Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. “Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan,” (al-Maidah: 8).
Ayat ini secara jelas mengarah umat Islam menegakkan keadilan dan kebenaran dalam apa juga penilaian dan hukuman yang dijatuhkan. Justeru, menjadi objektif syariah, apa saja perkara harus (yang tiada larangan khusus) boleh mendekatkan kepada keadilan akan turut dibenarkan. Dalam konteks ini, demi menegakkan keadilan dalam pemutusan hukum syariah di mahkamah, tentunya hakim mestilah seorang Muslim malah mempunyai syarat tertentu tambahan pula. Saya kira, adalah jelas hakim di Mahkamah Syariah MESTILAH dan WAJIB seorang MUSLIM. Namun status peguam, bagi saya mereka HANYALAH pelaksana atau bidang kuasanya terhad seperti pegawai eksekutif saja, bukan pemutus. Malah semua hujahnya dalam dakwaan atau pembelaan terhadap anak guamnya belum tentu diterima oleh Hakim Syarie. Perbicaraan pula boleh dibuat secara tertutup. Justeru tidak timbul persoalan, peguam terbabit akan menyelewengkan nas al-Quran atau hadis, kerana sebarang penyelewengan akan ditolak oleh hakim dan peguam lain. Maka dalam konteks itu, saya melihat tiada masalah bagi seorang Peguam Syarie walau dari kalangan bukan Muslim. Ia hampir sama dengan situasi perbankan dan kewangan Islam hari ini yang dipenuhi dengan pengurusan tertinggi serta eksekutif yang bukan beragama Islam. Namun tentunya, mereka diperlukan mempunyai beberapa kriteria dan kelayakan tertentu untuk menduduki jawatan di sektor kewangan Islam khususnya ilmu dan pengetahuan di dalam hal ehwal hukum syariah di dalam bidang Fiqh Muamalat. Apa yang tidak wajar atau TIDAK DIBOLEHKAN adalah bukan Muslim menjadi ahli Majlis Penasihat Syariah di mana-mana institusi kewangan Islam. Ini kerana, jawatan itu memerlukan kriteria seperti hakim di Mahkamah Syariah yang perlu menghayati Islam dalam ilmu, kehidupan dan keimanan di hati. Alhamdulillah setakat ini, masih belum ada mana-mana individu atau ilmuan bukan Islam yang dilantik menjadi ahli penasihat syariah.

 2. Allah SWT juga mengingatkan: “Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta putusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka.
“Jika kamu berpaling dari mereka maka mereka tidak akan memberi mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil,” (al-Maidah: 42).
Ayat berkenaan menunjukkan mahkamah Islam sentiasa sedia menerima mana-mana individu bukan Islam untuk mencari keadilan atau mendapatkan hukuman terbaik di atas pertikaiannya berdasarkan syariah.
Justeru, dalam konteks memberikan pembuktian, mengemukakan hujah, sudah tentulah individu bukan Islam itu BEBAS untuk berhujah di mahkamah (jika dia tidak diwakili oleh mana-mana peguam). Keadaan ini secara langsung menjelaskan bahawa mahkamah Islam menerima hujah dari individu bukan Islam sama ada atas nama pendakwa, tertuduh dan sekali gus peguam yang mewakili anak guamnya.

Halal Judi undang laknat Allah

PERJUDIAN adalah sejenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akan meraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam, malah turut dilarang agama lain.

Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan seorang timbalan menteri yang menyatakan pertimbangan dibuat untuk meluluskan lesen perjudian bola sepak sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan datang.
HUJAH BELIAU Beliau dirakam oleh akhbar tempatan sebagai berkata: “Ada beberapa perkara penting untuk dikaji, sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).” BANTAHAN DAN RASIONAL Pengeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mesti lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap.
Kawalannya bukan dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala itu, tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisiensi yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terbabit dengannya.
ANALOGI Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin membenarkan perkara yang tidak benar. Bolehkah atas alasan mengetahui jumlah sebenar dan mengawal MAT REMPIT yang merempit secara haram, KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mat rempit di atas JALAN RAYA AWAM.
Semua mat rempit mesti mendaftar dan membayar yuran untuk merempit. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.
Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap’ untuk dijadikan ‘terang’ tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.
JUSTERU Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukan meraikan dan meluluskannya. Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam: l Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya yang sering diserbu selain diharamkan oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah-olah ingin membenarkan skim terbabit, perjudian adalah satu daripada jenis skim cepat kaya yang sering membawa kepada kayap; l Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumah tangga. Pergaduhan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya; l Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian, khususnya secara dalam talian, dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen diberi oleh kerajaan manakala perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan; l Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bola sepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya gembira untuk melihat pasukan yang disokong. Kini, bakal menjadi taksub dan tertekan kerana keputusan perlawanan membabitkan wang pertaruhan l Mendorong rakyat memfokus kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa teknik, namun akhirnya kerugian saja yang lebih kerap menjelma. Masakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yang kalah; l Kesan buruk kekalahan boleh menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergeseran rumah tangga, kesan psikologi di tempat kerja, mungkin dikejar lintah darat dan banyak lagi; l Pemberian lesen itu seolah-olah menjolok sarang syaitan kerana kemungkinan ada individu yang tidak terdorong untuk berjudi kerana ia adalah aktiviti gelap dan salah di sisi undang-undang. Namun akibat lesen itu, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.
NASIHAT Sedarilah tegahan Allah SWT: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (al-Baqarah: 219) Dan juga larangan selanjutnya: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu supaya kamu mendapat keberuntungan.” (al-Maidah: 90) Justeru, saya berharap pihak berkuasa agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika pihak berkuasa agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami selaku ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujah keharusan itu.

Solat batal jika bacaan al-Fatihah tak sempurna

ADA rakan menegur bacaan al-Fatihah saya. Kerana bukan setakat bacaannya rosak, malah berdosa dengan menyebut nama syaitan yang dilaknati Allah SWT dalam solat kita dan boleh mencacatkan solat. Bolehkah ustaz huraikan perkara ini?

Nur Hana Ameera Akil,


Bangi

// <![CDATA[//

MEMBACA surah al-Fatihah dalam solat termasuk dalam rukun Qauli iaitu wajib dibaca dengan betul. Sekiranya dibaca tidak betul, dibimbangi boleh membawa kepada batalnya solat. Saya tertarik dengan petikan dalam buku Indahnya Hidup Bersyariat mengenai rukun solat.

Salah satunya menyatakan, membaca surah al-Fatihah itu menyebut: “Perlu diingat bahawa adalah wajib memelihara segala makhraj dan tajwid ketika membaca al-Fatihah tiap-tiap rakaat dalam solat.”

Syarat sah bacaan al-Fatihah ialah:

  • Bacaan itu didengari dengan jelas jika dia mempunyai pendengaran yang baik;
  • Membaca mengikut tertib ayat serta jelas sebutan huruf dan bacaan yang bersabdu;
  • Menyebut sebutan kalimah dalam surah itu dengan betul sama dengan maknanya. Jika tidak, solatnya dianggap tidak sah;
  • Bacaan surah al-Fatihah dalam solat hendaklah dilafazkan dalam bahasa Arab;
  • Hendaklah menyempurnakan bacaan al-Fatihah ketika dalam keadaan berdiri dan tidak boleh disambung dalam keadaan duduk.Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban dan Daraquthni menyebut: “Tidak cukup solat yang tidak dibaca al-Fatihah kepadanya.” Satu riwayat lagi iaitu Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Hibban menyebut: “Barangkali kamu membaca di belakang imam kamu?”Kami menjawab: “Betul.” Maka sabda baginda: “Janganlah kamu berbuat (demikian) melainkan membaca Faatihatul Kitab (surah al-Fatihah), kerana tidak ada solat bagi yang tidak membacanya.”

    Hadis daripada Ubadah bin Shamit pula menyebut, sudah bersabda Rasulullah SAW: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca ummul Quran (surah al-Fatihah) Muttafaqun ‘alaih.”

    Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: “Suatu saat ketika Jibril duduk bersama Nabi SAW, tiba-tiba terdengarlah suara dari arah atas. Kemudian dia mengangkat kepala dan berkata: “Sesungguhnya ini suara pintu langit yang pada hari ini dibuka di mana sebelumnya belum pernah dibuka dan akan turunlah darinya malaikat.”

    Dia berkata pula: “Ini adalah malaikat yang turun ke bumi yang mana sebelum hari ini ia belum pernah turun, kemudian ia memberi salam dan berkata: “Sambutlah khabar gembira dengan diturunkan dua Nur yang mana belum pernah disampaikan kepada nabi sebelum kamu iaitu Fatihatul kitab dan beberapa ayat pada akhir surah al-Baqarah yang mana bila kamu membaca satu huruf daripadanya nescaya akan diberikan apa yang kamu harapkan.” (Riwayat Muslim)

    Rasulullah SAW sangat menitikberatkan pembacaan al-Quran yang tepat dan betul. Selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Muzzammil ayat 4 yang bermaksud: “Bacalah al-Quran itu dengan tertib (bertajwid).”

    Untuk memastikan bacaan kita betul dan tepat, hendaklah menyemak bacaan kita dengan guru yang diakui atau apa yang disebut sebagai penyampaian secara talaqqi dan musyafahah.

    Rasulullah SAW juga amat berhati-hati dalam menjaga kesahihan bacaannya. Walaupun baginda sudah dijamin terlepas daripada melakukan kesilapan, Baginda tetap menyemak bacaannya dengan Jibril setahun sekali iaitu pada Ramadan seperti yang disebut dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah, katanya: “Adalah Jibril mengemukakan kepada Nabi SAW bacaan al-Quran setiap setahun sekali (iaitu pada Ramadan). Maka pada tahun Baginda wafat dikemukakan kepadanya dua kali. Adalah Nabi SAW beriktikaf 10 hari setiap tahun (iaitu pada Ramadan). Maka pada tahun Baginda wafat, Baginda beriktikaf 20 hari.”

    Selepas itu, Rasulullah SAW pula mengajar dan menurunkan bacaan itu secara talaqqi dan musyafahah kepada kalangan sahabatnya seperti bacaan yang Baginda terima tanpa mengubahnya. Sebuah hadis sahih riwayat Ibnu Khuzaimah, daripada Zaid bin Tsabit, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT suka al-Quran itu dibaca menepati seperti ia diturunkan.” Rasulullah SAW juga sudah menentukan beberapa sahabat yang berkelayakan dan mahir dalam pembacaan al-Quran seperti Abdullah Ibnu Mas’ud, Salim, Mu’az bin Jabal, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Tsabit, Abu Musa al-Asy’ari, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abu Darda’ dan lain-lain.

    Rasulullah SAW amat menitikberatkan pembelajaran dan ketepatan bacaan al-Quran dan perlunya ia diambil daripada orang yang berkelayakan. Perkara ini dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abdullah Ibnu ‘Amr bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Ambillah bacaan al-Quran itu daripada empat orang iaitu: Abdullah Ibnu Mas’ud, Salim, Mu’az bin Jabal dan Ubai bin Ka’ab.”