Di Manakah Sirah nabi & Para Sahabat


Oleh  Penerbitan Sanaabel

Firman Allah Taala : Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan kepada kebenaran dan berpesan kepada kesabaran. al Asr :1-3. Segala puja dan puji hanya layak untuk Allah, Penguasa sekelian alam. Selawat dan salam tidak pernah dilupakan buat junjungan Nabi yang Mulia Muhammad saw, ahli keluarga, para sahabat yang diredhai serta para pejuang penegak kebenaran walaupun di mana mereka berada.

Alhamdulillah! Kerana diberi kesempatan oleh Allah swt meneruskan buletin kali ke 99 ini…

Mengingati, menghayati biografi kehidupan Rasulullah saw dan sejarah hidup baginda serta para sahabat adalah sumber kekuatan dan perasaan keagamaan (iman) bagi ummat Islam. Sebab itu mengingati atau menyambut `kelahiran` baginda tidak boleh dibataskan pada tarikh-tarikh atau tempat-tempat tertentu sahaja. Ia merupakan sumber terkuat dari kekuatan iman dan perasaan keagamaan yang sentiasa ditonjolkan oleh generasi pejuang sebelum ini dalam kehidupan perjuangan untuk menyalakan obor keimanan dalam kalbu ummat agar jangan sampai dapat dipadamkan oleh tiupan angin dan badai kebendaan. Justeru kerana apabila terpadamnya obor ini, maka ummat akan kehilangan kekuatan dan ciri serta pengaruhnya sehingga akan menjadi seperti bangkai yang membebani kehidupan ummah sendiri.Sesungguhnya rahmat Islam yang kita dapat nikmati hingga kini adalah hasil perjuangan, pengorbanan, penderitaan Rasul yang mulia dan para sahabat yang mengimani dan membenarkan dengan sepenuh hati kepada Allah dan Rasul Nya. Mereka telah memilih hidup yang penuh kepahitan dan berisiko demi memastikan cahaya Islam menyinari seluruh alam dan dapat diwarisi anak cucu generasi yang menjadi amanahnya. Para sahabat yang mulia dengan penuh keyakinan kepada kebenaran dakwah telah meletakkan tangan-tangan mereka di atas tangan Rasul mempertaruhkan seluruh kehidupan baik jiwa, harta maupun keluarga untuk risalah Islam. Keyakinan itu telah memenuhi kalbu mereka lantas mempengaruhi jiwa dan akal sehingga muncullah keajaiban keimanan terhadap yang ghaib, kecintaan kepada Allah dan Rasul melebihi segalanya, perasaan kasih sayang sesama mukminin dan keteguhan pendirian terhadap orang-orang kafir. Mereka lebih tertarik kepada kehidupan akhirat yang kekal daripada kehidupan dunia yang sementara, lebih mementingkan yang akan datang daripada yang sekarang dan memilih hidayah atas kesesatan.

Marilah kita melihat bagaimana penderitaan Nabi saw setelah bersungguh-sungguh menjalankan amanah Allah seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Anas r.a. katanya: Pernah Nabi saw bersabda, “Tidak seorangpun yang pernah disakiti di jalan Allah lebih daripadaku. Tidak seorangpun yang pernah takut dalam jalan Allah lebih daripadaku. Pernah selama sebulan penuh aku dan Bilal tidak mendapatkan makanan kecuali hanya sedikit sahaja.”

Pernah suatu ketika Abu Hurairah melihat Rasulullah sedang solat sambil duduk, maka Abu Hurairah pun bertanya, “Apakah gerangan yang menyebabkan engkau solat duduk ya Rasulullah?” Jawab baginda saw, “Aku tak kuat berdiri kerana lapar.” Ketika mendengar ucapan Nabi yang sedemikian itu, Abu Hurairah menangis… dan Nabi pun bersabda, “Hai Abu Hurairah janganlah kamu menangis, sesungguhnya sulitnya hisab di hari qiamat tidak sebanding dengan kesulitan lapar di atas dunia.”

Ibnu Bujair meriwayatkan, “Pada suatu hari Nabi pernah merasa lapar maka beliau meletakkan batu pada perut baginda , seraya berkata: “Adakalanya seorang yang kenyang dan hidup mewah di dunia ini kelak akan lapar dan telanjang di hari qiamat dan adakalanya pula orang yang hina di dunia ini akan mulia di akhirat.”

Sebenarnya itulah gambaran realiti sebuah perjuangan di mana untuk memenuhi keperluan dharuri peribadi pun tidak sempat.. di ketika mana? Ketika Islam masih dalam keadaan dagang, ketika aqidah tauhid yang menjadi tunjang kehidupan dan sistem hidup yang benar, berusaha mengambil tempatnya ditengah-tengah segala kepercayaan syirik dan kebobrokan sistem hidup jahiliyyah. Sememangnya kesulitan dan kepayahan adalah fitrah dan lumrah perjuangan Islam. Sebagai ummat yang beriman kepada Allah dan RasulNya kita perlu sedar bahawa zaman Islam dilayan seperti dagang berulang kembali. Bermula setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah dan pemecatan Khalifah Islam yang terakhir Sultan Abdul Hamid pada 1909 M dan sehingga sekarang, khilafah ummah belum lagi berjaya mengambil tempatnya kembali walaupun atas sejengkal tanah. Segala kepercayaan dan sistem hidup serta sistem pemerintahan yang terpakai di seluruh bumi ummat Islam adalah sistem jahiliyyah, sistem sekular, sistem thoghut . Benarlah sabda Nabi saw, ‘Islam bermula dalam keadaan dagang dan kembali dalam keadaan dagang juga seperti ianya bermula, maka berbahagialah mereka yang dagang’- al Hadis.

Jadi bagaimana kita boleh bayangkan dalam keadaan dagang ini para pejuangnya boleh hidup serba selesa, mewah dan bergaya. Islam dibiarkan berdagang sendirian sedangkan ummatnya tanpa pedoman boleh senang lenang bergayut dan menumpang apa-apa sahaja sistem yang ada untuk meneruskan survival kehidupan sementaranya di muka bumi ini tanpa memperdulikan balasan di akhirat nanti. Tentu di sana ada yang tidak kena telah berlaku … naluri saya bersetuju, senjata terakhir peninggalan penjajah telah meresap keseluruh urat saraf para pejuang yang dulunya cukup bersemangat memperjuangkan Islam. Itulah candu politik, ‘saka’ yang dulunya diwarisi oleh perjuangan nasionalis, kini berjaya memabukkan kebanyakkan golongan yang pada mulanya hanya ingin menggunakan saluran politik untuk bersiasah ‘menegakkan ad Deen (cara hidup Islam) dan mentadbir dunia dengan ad Deen’ tetapi telah terlajak dan tergesa-gesa mengambil lebih dosnya.

Saka itu menjadi bahan rebutan golongan pemimpin-pemimpin politik yang tidak sedar mereka sebenarnya telah menjadi hamba-hamba dan pecacai-pecacai sistem politik sehingga ummah kebanyakan dibiarkan kehilangan punca serta arah tuju sebenar kehidupannya. Ummah dalam proses pembinaan hadharahnya ditaja sepenuhnya oleh jahiliyyah, pembentukkan budaya hidup, akhlak melalui pendidikan formal atau informal dan perkembangan serta penguncupan pemikiran segalanya dikawal selia oleh sistem jahiliyyah. Ya! Bala yang menimpa ummah, sebutkan apa sahaja kemungkaran, noda dan dosa sejak zaman Nabi Adam.., semuanya ada dan berlaku di zaman ini. Sedangkan orang yang mabuk politik dari kalangan yang kononnya ingin memperjuangkan Islam pun hanya pandai bersandiwara, sudah tidak dapat mempertimbangkan antara kebenaran dan kebatilan. Melihat segala permasalahan ummah baik dari sudut aqidah maupun akhlak hanya sebagai issu-issu dan bahan-bahan politik murahan sahaja.

Ummah yang sedar tidak boleh membiarkan kehidupan diri, keluarga dan masyarakatnya terbina mengikut polar perkembangan semasa oleh sistem-sistem jahiliyyah dan percaturan politik jika ia bercita-cita menegakkan Hadharah Islam dan meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini. Perjuangan menegakkan kalimah Allah bukanlah semudah menukarkan nama tuhan dalam perlembagaan kepada kalimah Allah seperti yang telah dicadangkan oleh pemimpin politik yang berkepentingan. Walaupun ia diletakkan dalam piagam PBB sekalipun tidak ada apa ertinya untuk perjuangan Islam. Ummah yang sedar jangan sampai membodohkan dirinya menjadi hamba kepada hamba-hamba politik ataupun pecacai kepada pecacai-pecacai politik sedangkan muslimahnya yang sepatutnya bertanggungjawab menjadi benteng terkuat dalam mempertahankan aqidah dan akhlak generasi ummah yang diasak hingga ke dalam rumahtangganya jangan sampai hanya disebokkan sebagai buruh-buruh kasar politik. Jadilah hamba Allah swt.

Bertapak asaskan aqidahnya yang sebenar dalam menentukan sikap dan mengambil pertimbangan, seseorang pejuang Islam samada muslimin atau muslimat tidak perlu takut dan gentar untuk kembali meneroka jejak-jejak seerah ar Rasul saw dan para sahabat ra serta para pejuang mukhlisin yang terdahulu dalam semua bidang kehidupan untuk membangunkan kembali Hadharahnya yang mulia.Seterusnya perlaksanaan pula tidak lari dari tuntutan kalimah thoyyibah walaupun akan berlaku pertembungan dan pertentangan dengan kebatilan serta kepalsuan di sepanjang zaman. Sekian wassalam.
Dari Ummu el-Husna.

“qulil haq walau kana murron“-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: